Tag Archives: phantom

Rolls-Royce Phantom Series II dilancarkan di Malaysia – RM2.5 juta

SELEPAS melancarkan Spectre pada September tahun lalu, Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur kini melancarkan satu lagi model ke pasaran tempatan iaitu Phantom Series II.

Phantom generasi kelapan diperkenalkan buat pertama kali pada 2017 sebagai model Rolls-Royce pertama yang menggunakan kerangka spaceframe aluminium yang dibangunkan sendiri oleh Rolls-Royce.

Untuk Series II, hanya sedikit penambahbaikan kecil dilakukan. Ini bagi memenuhi permintaan pelanggan yang meminta syarikat itu untuk tidak melakukan sebarang perubahan besar terhadap kereta yang sudah cukup ikonik.

Perubahan pada bahagian luaran antaranya termasuk garisan mendatar baharu antara lampu nyalaan siang (DRL) di atas gril Pantheon, serta perubahan halus pada gril itu sendiri yang menyerlahkan lagi maskot Spirit of Ecstasy.

Lampu hadapan dihiasi dengan bezel bintang potongan laser, sementara profil sisi kereta ini kini lebih menonjol dengan pilihan rim keluli tahan karat 3D baharu.

Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh mendapatkan rim cakera yang diinspirasikan daripada kereta Rolls-Royce pada era 1920-an.

Bukan itu sahaja, Rolls-Royce turut menawarkan kemasan krom gelap pada gril, serta kemasan hitam pada bonet, bingkai cermin penghadang angin dan rangka sisi.

Ruang dalaman tidak menampilkan sebarang perubahan besar kecuali roda sterengnya kini lebih tebal untuk pengalaman pemanduan yang lebih baik.

Phantom Series II dikuasakan oleh enjin 6.75-liter V12 yang mampu menghasilkan 563 hp pada 5,000 rpm dan 900 Nm pada 1,750 rpm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.5 saat.

Untuk pasaran Malaysia, model ini ditawarkan dalam versi Phantom dan Phantom Extended, masing-masing dijual pada harga bermula dari RM2.5 juta dan RM2.9 juta.

Rolls-Royce Phantom Orchid edisi khas untuk pelanggan Singapura, satu sahaja di dunia!

ROLLS-Royce telah pun menguji Phantom facelift tetapi jabatan Bespoke di Goodwood kini mempersiapkan Phantom istimewa one-off (satu sahaja) berdasarkan model semasa.

Unit istimewa itu dinamakan Phantom Orchid, direka khas untuk seorang pelanggan di Singapura hasil kerjasama Rolls-Royce dengan artis Helen Amy Murray.

Seperti pada namanya, Rolls-Royce Phantom Orchid diinspirasikan dari bunga orkid yang membawa simbol ketahanan, kecantikan dan kekuatan.

Pembangunan limo “satu dari satu” ini sebenarnya mengambil masa dua tahun dimana Helen Amy Murray menghabiskan lebih 200 jam bersama pasukan terdiri dari enam orang.

Rekaan asalnya mula dicetak di atas sutera satin crepe, diikuti dengan bunga-bunga yang diolah dengan tangan, kemudian lapisan tambahan fabrik untuk kesan 3D. Hasilnya dipaparkan di Gallery Phantom meliputi sebahagian besar papan pemuka.

Artis itu mengambil inspirasi beberapa jenis orkid termasuklah Orkid Singapura. “Saya bermula dengan fokus kepada orkid sebenar yang kemudiannya membawakan saya kepada warna yang penting kepada spesis itu,” katanya.

“Saya pernah membuat hasil seni orkid sebelum ini, tetapi idea saya untuk Gallery ialah untuk mencipta sesuatu yang realistik yang menyebabkan kami memperhalusi kemahiran cetakan digital.”

Disebabkan ini Phantom one-off, kustom padanya tidak berakhir pada rekaan orkid itu. Ia menampilkan meja boleh lipat pada bahagian belakang tempat duduk depan, dengan permukaan hitam piano berserta elemen orkid oleh pereka Rolls-Royce, Yohan Benchetrit.

Motif sama juga dibuat pada lantai dan fender depan kereta. Bahagian lain pada ruang dalaman menggabungkan warna Grace White, Havan dan balutan kulit Smoke Gray dengan jahitan Dark Olive.

Model istimewa ini diasaskan dari Phantom Extended iaitu versi panjang yang memberikan lebih ruang kaki pada penumpang belakang.

Warna luarnya menggunakan cat unik dengan asas Arctic White dan lapisan ungu serta kaca halus untuk hasil kilatan yang berubah warna bergantung kepada pencahayaan dan sudut pandangan.

Tiada sebarang harga didedahkan untuk Rolls-Royce Phantom Orchid ini. Tetapi sebagai perbandingan, Rolls-Royce Phantom biasa berharga sekitar RM2.2 juta semasa ia dilancarkan di Malaysia, sudah pastinya edisi khas Orchid ini berharga jauh lebih mahal.