Tag Archives: pikap

Toyota tease Tundra 2022, perkenal enjin baharu iForce

MODEL trak pikap Tundra baharu atau generasi ketiga dijangka membuat kemunculan pertama di pasaran tidak lama lagi.

Pikap keluaran Toyota itu bakal memberi saingan kepada model lain termasuk Ford F-150, Chevrolet dan Nissan Titan.

Rata-rata peminat pikap menanti keluaran terbaharu ini selepas model generasi kedua dilancarkan pada 2006.

Toyota telah memberi sedikit ‘teaser’ dengan mendedahkan foto bahagian penutup atas enjin yang tertera tulisan “iForce Max”.

Toyota memperkenalkan model Tundra generasi kedua pada tahun 2006.

Ia secara tidak langsung memberi gambaran enjin terbaharu ini berbeza berbanding model sebelumnya yang menggunakan unit petrol V8 NA 5.7 liter iForce.

Model Tundra sebelum ini menggunakan enjin V8 iForce yang mampu menghasilkan 381 kuasa kuda (hp) dan 544 Nm tork pada 3,600 rpm.

Ia mempunyai transmisi automatik enam kelajuan dengan pilihan pacuan roda belakang atau kesemua roda.

Setakat ini, Tundra generasi ketiga dijangka akan dilancarkan selewat-lewatnya pada awal tahun 2022.

D-Max generasi ketiga kebanggaan Isuzu, tampil lebih memukau

KENDERAAN pacuan empat roda (4×4) Isuzu D-Max telah berada dalam pasaran tempatan!

Generasi ketiga ini hadir lebih kental dan sporty sekaligus melonjakkan lagi imej tegap sebuah trak pikap.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Koji Nakamura berkata, pihaknya telah melakukan pelbagai kajian dalam penghasilan D-Max generasi ketiga ini.

Jelasnya, ia bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengguna malah memiliki teknologi tinggi bagi sebuah kenderaan pikap.

“Mereka (jurutera) menghabiskan banyak masa untuk membangunkannya (D-Max) dan telah menjalankan lebih empat juta kilometer ujian ke atasnya.

“Ia bagi memastikan mampu mencapai tahap terbaik yang pernah dicapai oleh model Isuzu D-Max.

“Ciri berteknologi tinggi bertujuan melengkapi keperluan pengguna yang sentiasa inginkan tahap keselesaan,” katanya.

Rekaan dalaman yang mewah sesuai untuk individu yang gemarkan sentuhan premium. - Foto oleh Isuzu Malaysia

D-Max: Selamat, lasak dan canggih

Terdapat beberapa varian Isuzu D-Max baharu termasuk X-Terrain.

Isuzu D-Max flagship terbaharu ini menggunakan enjin 3.0 liter yang memberikan prestasi serta maklum balas lebih baik.

Enjin baharu ini menjana 190 PS, membolehkan X-Terrain dipandu bersahaja dengan prestasi menggagumkan.

Setakat ini, terdapat dua warna ditawarkan iaitu Valencia Orange atau Sapphire Blue.

Selain itu, X-Terrain juga didatangkan dengan ciri-ciri menarik seperti berikut:

  • Penghidup enjin jarak jarak jauh
  • Kunci differential belakang
  • Sistem pengilap basah
  • Kerusi balutan kulit coklat dengan larasan lapan hala dan sokongan lumbar
  • Skrin sentuh infotainmen 9-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay
  • Advanced Driver Assist Systems (ADAS)
  • Brek kecemasan autonomous (AEB)
  • Amaran penukaran lorong (LDW)
  • Kawalan melayar adaptif (ACC)
  • Lampu tinggi automatik (AHB)
  • Peninjau titik buta (BSM)
  • Amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • Penghad kelajuan manual (MSL)
  • Brek multi-perlanggaran
Valencia Orange antara warna pilihan bagi Isuzu D-Max generasi ketiga. - Foto oleh Isuzu Malaysia

Varian D-Max

Terdapat dua varian Premium 1.9-liter 4×4 Auto dan 3.0-liter 4×4 Auto.

Varian Premium ideal bagi mereka menginginkan kelengkapan keselamatan baharu dan keselesaan perjalanan jarak jauh.

Namun, pelanggan yang mempunyai kekangan perbelanjaan usah risau! Isuzu turut menawarkan varian Standard yang dilengkapi enjin 1.9-liter.

Sementara itu, turut ditawarkan adalah dua model Single Cab dengan pilihan enjin 1.9-liter atau 3.0-liter.

Trak pelbagai kegunaan ini juga menawarkan kemampuan mengangkut beban yang luas dan fleksibel.

Pada masa sama ia turut dilengkapi ciri keselamatan penting dengan menerima penarafan lima-bintang bagi ASEAN NCAP.

Semua model Isuzu D-Max menikmati jaminan lima tahun atau 150,000 km sementara X-Terrain pula diberikan jaminan tujuh tahun tanpa had perbatuan.

Harga bagi Isuzu D-Max baharu bagi pendaftaran persendirian tidak termasuk insurans di Semenanjung Malaysia bermula RM88,599.20 sehingga RM141,938.40.

Sasar jual enam ribu unit D-Max 2021, Isuzu kaji pikap berkuasa elektrik

SYARIKAT Isuzu tidak menolak bakal menghasilkan kenderaan pikap berkuasa elektrik.

Bagaimanapun, perkara itu masih dalam perancangan dan tidak akan direalisasikan dalam tempoh terdekat ini.

Pengarah Teknikal dan Ketua Jurutera Isuzu Chifumi Saito berkata, usaha menghasilkan kenderaan berkuasa elektrik masih dalam peringkat kajian selain mengambil kira permintaan pasaran.

“Isuzu mempunyai dua haluan yang sentiasa menjadi arah tuju ke arah penghasilan kenderaan.

“Pertama untuk menghasilkan kenderaan berkuasa diesel seperti mana permintaan dari pasaran antarabangsa juga tidak lupa di pasaran negara membangun misalnya ada permintaan trak pikap menggunakan kuasa kuasa elektrik.

“Isuzu tidak menolak wujud usaha memajukan industri automotif dengan teknologi kuasa diesel dan elektrik di masa depan,” katanya dalam satu sidang media pelancaran model trak pikap D-Max 2021 yang dilakukan secara maya, baru-baru ini.

Sementara itu, Saito menjelaskan Isuzu sentiasa menitikberatkan kelestarian alam sekitar dalam penghasilan produk mereka.

Sedar akan permintaan tinggi terhadap trak pikap menggunakan bahan bakar diesel, syarikat itu bagaimanapun tidak ketinggalan melakukan kajian bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

Terdahulu, Saito memberi penerangan terperinci mengenai modul trak pikap terbaharu keluaran Isuzu, D-Max generasi ketiga.

Model yang juga dikenali sebagai D-Max 2021 menerima beberapa penambahbaikan terutama membabitkan kawalan pemanduan.

Menggunakan enjin diesel 1.9 dan 3.0 liter, D-Max 2021 mempunyai kuasa tujahan yang disifatkan sebagai antara terbaik dalam segmennya.

Selain itu, D-Max 2021 dilengkapi sistem keselamatan tinggi yang memenuhi tahap penarafan dan piawaian di pasaran eropah, asia dan Australia.

Antara ciri keselamatan terdapat pada D-Max 2021 termasuk tanda amaran jika kenderaan berada dalam keadaan bahaya.

Berdasarkan tren pengguna negara ini, Isuzu menjangkakan mampu mencapai sasaran jualan lebih 6,000 unit model D-Max baharu, tahun ini.