Tag Archives: pikes peak

Lucy (isteri Ken Block) pula akan sertai Pikes Peak 2023, pandu Sierra Echo EV

ACARA Pikes Peak International Hill Climb 2023 kian membuka tirai, walaupun Ken Block tidak dapat menyertainya, legasi keluarganya terus bersaing. Isterinya Lucy yang juga pemandu rali dalam American Rally Associated (ARA) sah akan menyertai acara tahun ini.

Untuk kali pertama bersaing dalam Pikes Peak, dia akan memandu Sierra Echo EV dalam kategori Unlimited, dengan nombor 430 di sisi. Lucy berkongsi di laman Instagram miliknya dengan gambar kereta yang akan dipandu itu.

Echo dibina oleh Sierra Cars, membawakan motor elektrik tunggal Hypercraft dengan pek bateri 55.8kWh. Ia mampu menjana 300hp untuk jentera satu tempat duduk itu, memberikannya kelajuan maksima 193km/j.

“Ianya satu penghormatan untuk diberikan peluang memandu acara ini untuk Ken,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi oleh Dirtfish.

“Dia (Ken Block) banyak menyumbang terhadap komuniti sukan aksi. Memandu di Pikes Peak memberikan kami satu cara membawa semangat Ken mara ke depan dan melakukan sesuatu yang dia sendiri suka lakukan.

“Kami teruja dapat menggunakan peluang ini untuk memberikan kesedaran kepada 43 Institute, dan meraikan minat suami saya terhadap sukan permotoran dan inovasi.”

Walaupun kali pertama berentap di Pikes Peak, Lucy tidak asing dalam dunia rali. Dia kini di kedudukan ke-12 keseluruhan dalam kejuaraan ARA 2023, bersaing dalam Limited 4WD Class dengan memandu Ford Fiesta.

Seperti dilaporkan sebelum ini, anak mereka, Lia juga akan bersaing di Pikes Peak 2023 memandu Porsche “Hoonipigasus” berkuasa 1,400hp. Lia juga aktif dalam rali, memandu Subaru BRZ dalam kelas Open 2WD untuk musim ARA 2023.

Menarik untuk melihat waris mendiang Ken Block meneruskan minatnya dan turut terlibat aktif dalam sukan permotoran. Jika kami pun menjadi pelumba, pastinya kami mahu mencurahkan dan berkongsi minat dengan insan tersayang.

Lia Block akan memandu Hoonipigasus di Pikes Peak 2023

TAHUN lepas, Ken Block telah merancang mencipta rekod baharu di Pikes Peak dengan memandu Porsche 911 merah jambu yang diberi nama Hoonipigasus. Sayangnya, hasrat itu tidak kesampaian memandangkan ikon sukan permotoran itu terkorban dalam kemalangan snowmobile pada Januari lepas.

Walaubagaimanapun, Porsche 1,400hp itu akan tetap berentap di Pikes Peak tahun ini, tetapi dipandu oleh Lia Block, anak perempuannya yang berusia 16 tahun.

Lia baru-baru ini berkongsi mengenai berita itu di Instagram miliknya. Tetapi ianya bukan pemanduan dengan catatan masa rasmi, memandangkan dia masih perlu sedikit pengalaman sebelum memandu dengan kelajuan perlumbaan penuh.

Memandangkan banyak pemandu baharu memerlukan pengalaman walaupun hanya untuk memandu kereta biasa 90hp, jadi keperluan masa untuk jentera 911 yang telah dimodifikasi dan dipandu di lokasi perlumbaan mencabar, ianya difahami.

Hoonipigasus ialah Porsche 911 yang dibina khas oleh BBi Autosport untuk perlumbaan hillclimb itu. Ianya menggunakan konfigurasi mid-engine, dengan berat hanya 997kg, kuasa setinggi 1,400hp, dan menggunakan pacuan semua-roda.

Jentera ini juga mendapat suspensi canggih yang menggunakan GPS untuk melaras ketinggiannya mengikut kedudukan tepatnya di sepanjang litar menuju puncak bukit itu. Warnanya mengambil inspirasi Porsche 917/20 dari yang berlumba pada 1971, dengan nama timangan Pink Pig.

Ken Block telah melakukan persiapan dalam cubaan mencipta rekod di Pikes Peak Hillclimb tahun lepas, yang merupakan edisi ke-100 acara itu. Beliau gagal kerana mengalami kerosakan enjin sebelum perlumbaan bermula.

Lia akan bersaing untuk tahun ini iaitu edisi ke-101, dengan pengalaman memandu Hoonicorn Mustang. Kita juga harus ingat bahawa dia pernah menerima latihan drift dari mendiang bapanya sejak berumur 13 tahun, dan kini agak berjaya dalam musim Green APU American Rally Association, memandu Subaru BRZ dalam kategori Open 2WD.

Dia baru-baru ini tamat di tempat pertama dalam kelasnya di 2023 Olympus Rally dan kini di tempat kedua keseluruhan dalam O2WD.