Tag Archives: pilihanraya

PAS Terengganu janji pinjaman motosikal tanpa faedah jika diberi mandat

DALAM usaha untuk meraih sokongan pengundi bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang, PAS Terengganu berjanji akan menawarkan kemudahan pinjaman motosikal tanpa faedah bagi individu yang bekerja dengan pendapatan maksimum RM4,000 sebulan.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, tawaran pembelian motosikal tanpa faedah itu antara 10 janji manifesto PAS sekiranya parti itu berjaya mengekalkan pentadbiran pada PRN kali ini.

“Tawaran ini antara janji kerajaan PAS yang akan ditunaikan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk memerintah.

“Pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lalu, PAS Terengganu telah menunaikan kesemua 20 manifesto yang dijanjikan sepanjang pemerintahan malah ada lagi yang sedang berjalan,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan telah 12 Ogos sebagai hari pengundian PRN serentak di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Tol percuma pada 18 dan 19 November sempena PRU15

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa 30 konsesi lebuh raya telah bersetuju untuk menawarkan kadar tol percuma pada hujung minggu ini bersempena dengan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ismail Sabri, kadar tol percuma itu akan bermula dari 12.01 pagi 18 November (Jumaat) dan akan berakhir pada 11.59 malam 19 November (Sabtu).

Ia melibatkan semua jenis kenderaan persendirian Kelas 1 yang dianggarkan kira-kira 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.

“Implikasi kewangan daripada inisiatif ini akan diserap sepenuhnya oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sebagai salah satu dari inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka, dengan anggaran kos tanggungan sebanyak RM34.5 juta,” katanya.

Menurut beliau lagi, tawaran pemberian tol percuma itu diputuskan setelah mengambil kira cadangan dan rundingan yang melibatkan antara Kementerian Kerja Raya dengan semua syarikat pengendali konsesi lebuh raya minggu lalu.

“Melalui inisiatif ini, kerajaan berharap agar ia dapat meringankan serba sedikit beban kewangan para pengguna khususnya warga negara untuk pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam sistem demokrasi yang diadakan setiap lima tahun sekali,” katanya.