Tag Archives: platform

Honda bangunkan enjin hibrid generasi baharu, lebih kompak, lebih cekap

Disebabkan permintaan terhadap EV di peringkat global yang semakin perlahan, Honda membuat keputusan untuk menumpukan kembali perhatian terhadap penghasilan enjin hibrid.

Terbaharu, Honda mendedahkan butiran tentang beberapa teknologi e:HEV generasi baharu untuk diguna pakai pada kenderaan hibrid elektrik akan datang.

 

1. Enjin 1.5L & 2.0L baharu

Kedua-dua enjin kitaran Atkinson 1.5 liter dan 2.0 liter serba baharu itu akan digandingkan dengan unit pacuan hadapan dan sistem penyejukan terbina dalam satu pakej yang lebih kompak.

Honda menyasarkan kadar penggunaan bahan api enjin baharu ini 10 peratus lebih jimat pabila digandingkan dengan platform saiz pertengahan generasi baharu yang sedang dibangunkan.

Dengan memanjangkan julat RPM di mana operasi enjin sangat cekap, enjin 1.5 liter serba baharu itu mampu mencapai kadar penjimatan bahan api 40 peratus lebih baik berbanding enjin 1.5L sedia ada.

Kedua-dua enjin tersebut akan berkongsi komponen hibrid yang sama bagi mengurangkan kos pembuatan.

 

2. Platform saiz pertengahan generasi baharu

Selain sistem e:HEV, Honda juga akan memperbaharui platform saiz pertengahan untuk kenderaan hibrid elektrik mereka.

Platform modular ini menjanjikan kestabilan casis yang tinggi, pemanduan dan pengendalian yang sporti, dan berat badan keseluruhan 10 peratus lebih ringan berbanding model e:HEV sedia ada.

Selain itu, Honda juga menyasarkan untuk membangunkan platform yang paling ringan di dalam kelasnya, dengan mengurangkan berat sebanyak 90 kg berbanding pelantar sedia ada menerusi pendekatan rekaan baharu.

Dengan mencapai nisbah kesamaan lebih 60 peratus untuk semua model saiz pertengahan, ia akan menyumbang kepada produksi pelbagai model dengan lebih cekap dan lebih kos efektif.

 

3. Honda S+ Shift

Honda S+ Shift merupakan fungsi baharu yang diperkenalkan untuk menawarkan keseronokan pemanduan yang dapat menguatkan pengalaman terhubung antara pemandu dan kenderaan.

Menurut Honda, S+ Shift ini mengawal putaran enjin dengan tepat sewaktu pecutan/nyahpecutan untuk merealisasikan tindak balas pemanduan secara langsung dan penukaran gear yang tepat.

Bunyi enjin yang terhasil akan disegerakkan dengan sistem Active Sound Control (ASC), di mana bunyi tersebut akan dipertingkatkan kualitinya menerusi sistem pembesar suara bagi melengkapkan lagi pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan.

 

4. Sistem AWD elektrik

Bermula dengan model e:HEV generasi baharu, Honda akan menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD) elektrik (E-AWD).

Berbanding sistem AWD mekanikal, E-AWD ini dapat meningkatkan daya gerak maksimum dan menyumbang kepada prestasi pecutan permulaan yang lebih berkuasa.

Sistem E-AWD ini juga dapat mengoptimumkan kadar pengagihan tenaga penggerak depan-belakang berdasarkan perubahan sentuhan tayar dengan tanah semasa pecutan/nyahpecutan, serta semasa membelok.

Menariknya, sistem e-AWD ini juga boleh dikongsi dengan mana-mana EV.

Dengan teknologi baharu ini, Honda berazam untuk mengurangkan kos produksi bagi setiap model hibrid elektrik sehingga 50 peratus untuk model tahun 2027 berbanding model sama yang dilancarkan pada tahun 2018.

Ford bangunkan platform EV baharu, mahu saingi Tesla Model 3

Sehingga kini, Ford sudah pun mempunyai beberapa buah model kenderaan elektrik yang dijual di pasaran tertentu, antaranya ialah Ford Mustang Mach-E dan Ford F-150 Lightning.

Biarpun kedua-dua model tersebut merupakan antara kenderaan yang mahal harganya di kalangan produk Ford, namun harga jualan yang tinggi tidak semestinya menjamin pulangan keuntungan yang tinggi kepada syarikat tersebut.

Ini kerana menurut laporan, sepanjang tahun 2023 Ford mengalami kerugian bernilai $4.7 bilion (RM22.39 bilion) daripada perniagaan EV mereka (Model e), termasuklah $1.57 bilion (RM7.48 bilion) sepanjang suku keempat tahun yang sama.

Untuk mengelakkan kerugian yang berpanjangan, Ford perlu menyemak semula strategi EV yang bakal digunakan kelak.

CEO-nya, Jim Farley mendedahkan satu pasukan rahsia telah dibentuk untuk membangunkan platform EV kos rendah yang lebih kecil, dan boleh digunakan untuk pelbagai jenis kenderaan.

Platform baharu ini direka bertujuan untuk memberikan saingan secara terus kepada kereta-kereta elektrik Tesla dan syarikat automotif China yang lebih mampu milik di dalam pasaran.

Jim Farley masih percaya pasaran EV akan terus berkembang, namun penggunaan yang lebih meluas bagi pengguna pasaran massa tidak akan terjadi selagi kos EV tidak sama paras dengan kenderaan tradisional.