Tag Archives: Plus

RFID di semua lebuh raya PLUS menjelang Februari 2022

PLUS dilaporkan akan mengadaptasi sistem RFID di semua lebuh raya kendalian mereka sebelum Februari 2022 dengan sekurang-kurangnya satu lorong di setiap plaza tol.

Perkara ini sudah dalam perancangan untuk beberapa ketika sebelum terpaksa ditangguh salah satu sebabnya akibat pandemik Covid-19.

Menurut CEO Teras Teknologi Sdn. Bhd. TnG RFID akan diaktifkan bersama-sama Automated Number Plate Recognition (ANPR) bagi melancarkan perjalanan pengguna-pengguna lebuh raya di Malaysia.

Imej: Soya Cincau

Bila berfungsi dengan sebetulnya, pengguna mampu melalui plaza tol dengan lebih laju, sehingga 30km/j berbanding SmartTag yang mempunyai had laju 20km/j.

Lebuh raya kendalian PLUS di Lembah Klang adalah satu-satunya lokasi yang tidak menyokong RFID sedangkan semua lebuh raya utama lain sudahpun menyokongnya.

Dulu kami pernah melaporkan yang terdapat konflik antara PLUS dan pihak Touch ‘n Go pada segi solusi RFID siapakah yang akan digunakan.

Kalau benar, nampaknya kata putus sudahpun dicapai antara kedua belah pihak.

Namun, ciri yang paling diharapkan pengguna adalah untuk menambah nilai ke dalam kad Touch ‘n Go melalaui aplikasi TnG eWallet yang sehingga kini masih sepi.

PLUS: Rancang perjalanan, lorong kecemasan dari Tapah ke Bidor ditutup

LORONG kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan bermula dari Tapah hingga ke Bidor (arah selatan) ditutup sehingga 19 November ini.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berkata, ia ditutup bagi semua kenderaan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan.

Bagaimanapun, PLUS memaklumkan lorong kanan di kawasan terlibat masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Foto ihsan PLUS

Memetik kenyataan PLUS, semua pemandu diminta merancang perjalanan selain menggunakan Aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini.

Aplikasi tersebut dapat memberi informasi keadaan trafik termasuk memaparkan visual semasa keadaan jalan.

Terdahulu, PLUS turut meminta semua pemandu kekal mematuhi papan tanda trafik serta arahan dikeluarkan oleh kakitangan PLUS.

Untuk maklumat lanjut atau ingin mendapatkan bantuan kecemasan sila hubungi PLUSLine di 1800-88-0000.

Boleh mula ‘dine-in’ di R&R PLUS terpilih secara berperingkat

SEMUA pelanggan yang sudah lengkap dos vaksinasi kini boleh menjamu selera di premis (dine-in) R&R terpilih sejajar negara memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Pegawai Komersial PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Christine Liew berkata lokasi-lokasi yang mula dibuka pada 16 September adalah restoran Jejantas Sungai Buloh, Simpang Pulai (arah Selatan), dan Mambau (arah Timur dan Barat).

Sementara itu, kawasan rehat Sungai Buloh (arah Selatan) mula dibuka hari ini (17 September) manakala R&R Dengkil (arah Utara dan Selatan) akan dibuka bermula 18 September.

Christine berkata lebih 80 peratus dari rakan niaga PLUS di R&R telah lengkap dos vaksinasi mereka bagi mematuhi SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Dalam minggu-minggu akan datang, kami akan mengumumkan lebih banyak medan selera R&R yang akan sedia untuk dine-in apabila lebih ramai rakan niaga kami yang lengkap dos vaksinasi mereka,” katanya.

Sumber: Bernama

Tambah Christine, dengan semangat ‘Kita Jaga Kita’, diharapkan semua pelanggan tetap mematuhi semua SOP yang ditetapkan MKN dengan menunjukkan status vaksinasi mereka dari MySejahtera untuk dine-in semasa membuat pesanan makanan.

“Pelanggan yang telah lengkap dos vaksinasi akan mendapat pelekat hijau dari pengusaha makanan, mengesahkan mereka untuk dine-in di premis.”

Sementara itu, pelanggan yang belum mendapat vaksinasi lengkap boleh tetap memilih untuk bungkus (take-away) di premis-premis ini atau menggunakan fungsi Pre-Order di aplikasi PLUS atau melalui https://orderdisini.plus.com.my/.

Elak tol, syarikat diarah bayar Plus RM518,369

AKIBAT tidak membayar tol sebuah syarikat diarah membayar pampasan RM518,369.27 kepada Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (Plus).

Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan perintah itu selepas mendapati syarikat Berjasa Logistic Sdn Bhd harus dipertanggungjawabkan atas tindakan 19 buah kenderaannya yang sengaja tidak membayar tol.

Memetik laporan media, Plus dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya memandang serius tindakan pemandu tidak membayar tol.

Pada masa sama, Plus memohon kerjasama syarikat logistik agar memantau pemandu bermasalah yang sengaja tidak membayar tol.

Isu pemandu tidak membayar tol bukan suatu yang baharu.

Terdapat pelbagai taktik digunakan sehingga memaksa pihak Plus memantau lebih rapi selain mengambil tindakan undang-undang.