Tag Archives: polis dubai

Tesla Cybertruck kini bertugas sebagai kereta peronda Polis Dubai

Pasukan Polis Dubai sememangnya sangat terkenal dengan barisan kereta peronda yang paling pantas atas muka bumi ini, terdiri daripada bermacam-macam kereta eksotik yang mahal seperti Bugatti Veyron dan Lamborghini Aventador.

Dengan kewujudan model-model pantas yang telah dipamerkan sebelum ini, sudah pasti ramai yang ternanti-nantikan model pantas terbaharu yang bakal ditampal dengan liveri hijau Polis Dubai.

 

 

Sayang sekali, pendatang terbaharu dalam armada kereta peronda Polis Dubai nampaknya bukanlah sebuah supercar atau hypercar, sebaliknya mereka membuat keputusan untuk menggunakan sebuah trak pikap berkuasa elektrik Tesla Cybertruck.

Tidak seperti kebanyakan kereta peronda Polis Dubai, MPV Cybertruck ini dipadankan dengan warna putih yang tradisional, diikuti dengan liveri hijau yang lebih ringkas pada bahagian sisi.

 

Menurut Polis Dubai, Tesla Cybertruck ini kebanyakan masa akan diletakkan di kawasan tumpuan utama pelancong seperti pusat membeli belah untuk dijadikan sebagai prop penggambaran.

Spesifikasi kereta peronda Cybertruck ini tidak didedahkan, namun dalam varian yang paling tinggi Cyberbeast, ia dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa sehingga 845 hp, dengan jarak gerak sejauh 515 km untuk sekali cas penuh.

 

Ghiath Smart Patrol jentera terbaru polis Dubai dengan lampu keluar dari bumbung

SEBUT sahaja polis Dubai, pasti anda terbayangkan barisan kenderaan peronda mewah dan berprestasi tinggi yang dihiasi livery putih dan hijau. Kebanyakan kenderaan ini hanya digunakan untuk meronda kawasan tumpuan pelancong namun jentera terbaharu ini memang betul-betul direka untuk membanteras jenayah.

Dikenali sebagai Ghiath Smart Patrol, ia merupakan hasil tangan terbaharu W Motors, pengeluar kenderaan Emirat yang bertanggungjawab menghasilkan Lykan Hypersport dan Fenyr SuperSport.

Syarikat itu tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai model asalnya, namun melihat kepada rekaan bumbung (dan juga namanya), jelas sekali Ghiath Smart Patrol dibangunkan menggunakan Nissan Patrol generasi keenam sebagai asas.

Bagaimanapun, agak sukar untuk melihatnya dengan mata kasar kerana bahagian hadapan dan belakang SUV bersaiz penuh ini telah diubah suai bagi memberikannya imej yang lebih garang, ditambah pula dengan rim aerodinamik.

 

Selain livery rasmi polis Dubai, ia juga hadir dengan lampu polis pada bahagian gril, bumbung dan belakang, rim aerodinamik dan yang paling menarik, lampu 360 darjah yang keluar dari bumbung.

Di dalam, W Motors menambah sebuah skrin infohibur besar pada bahagian tengah papan pemuka, kluster instrumen digital aftermarket, sistem radio polis, papan suis dan skrin ketiga yang memaparkan rakaman daripada kamera keselamatan pada bahagian luar kenderaan.

Sementara itu, ruang belakang diasingkan dari kokpit depan dan dilengkapi dengan kerusi plastik kustom untuk membawa penjenayah.

Tidak diketahui sama ada enjinnya telah ditala oleh W Motors atau tidak, namun dalam versi standard, Nissan Patrol dikuasakan oleh enjin petrol 5.6-liter V8 yang menghasilkan 406PS atau 434PS dalam Patrol Nismo. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan dan sistem pacuan empat roda Nissan.

Dipasang di Dubai, Ghiath Smart Patrol merupakan salah satu daripada pelbagai kenderaan yang dibangunkan di bawah divisyen projek khas W Motors. Barisan itu akan disertai oleh Ghiath Drone Edition, jentera SWAT, kerta dan motosikal elektrik serta banyak lagi.