Tag Archives: polis

Polis Terengganu rampas 11 Yamaha RX-Z diseludup dari Thailand

Kegiatan penyeludupan motosikal jenis Yamaha RX-Z berjaya ditumpaskan oleh Polis Terengganu susulan penahanan seorang lelaki di Kampung Padang Luas, Jertih, di Besut pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, kegiatan penyeludupan itu terbongkar hasil pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang dijadikan bengkel kenderaan di kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bengkel yang turut disaksikan oleh suspek menemukan 11 buah motosikal jenis Yamaha RX-Z, empat casis dan enam komponen enjin motosikal jenis tidak pasti.

“Kita percaya kesemua barangan tersebut dibawa masuk dari Thailand tanpa dokumen sah,” katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 41 tahun berasal dari Jertih yang mengaku sebagai pemilik rumah itu telah ditahan pada hari sama.

“Suspek didapati mempunyai tiga rekod jenayah di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 61 (1) LLPK (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

“Hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat manakala ujian saringan air kencing dijalankan ke atasnya adalah negatif,” ujarnya.

Pemandu disaman lebih setengah juta ringgit gara-gara cucuk kereta depan

Switzerland adalah antara beberapa negara yang mengamalkan sistem saman berdasarkan pendapatan. Dalam erti kata lain, semakin tinggi pendapatan pesalah, semakin mahal saman yang dikenakan.

Baru-baru ini, seorang pemandu dikenakan saman berjumlah 108,500 Swiss Francs (RM556,690) selepas didapati bersalah memandu terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan.

Menurut pihak berkuasa Switzerland, pemandu berusia 58 tahun itu didapati melakukan perbuatan tersebut di Lebuh Raya A1 berdekatan Zurich pada Mac 2023.

Pemandu BMW 540d itu dilaporkan bergerak pada kelajuan sekitar 119 km/j sambil berada hanya 26 hingga 40 kaki di belakang kenderaan dihadapannya.

Siasatan pihak berkuasa mendapati pemandu tersebut mempunyai pendapatan bercukai sebanyak 1.674 juta francs (RM8.5 juta), jadi dia telah diberi saman berjumlah 108,500 francs (RM556,690) atau hanya 6.48% daripada jumlah pendapatannya.

Tidak berpuas hati dengan saman terbabit, pemandu BMW itu yang juga merupakan seorang peguam mengambil keputusan untuk membawa kesnya ke Mahkamah Tinggi.

Dia mendakwa haknya tidak dibacakan kepadanya ketika disoal siasat dan berkata pengiraan jarak melalui video adalah tidak tepat. Mahkamah telah menolak dakwaan-dakwaan tersebut.

Menurut laporan, penghakiman tersebut terdiri daripada denda bersyarat bernilai 1,970 francs (RM10,105) sehari atau 98,500 francs (RM505,206) untuk 50 hari, dan terikat dengan tempoh percubaan dua tahun.

Di samping itu, dia juga perlu membayar baki denda berjumlah 10,000 francs (RM51,290), kos mahkamah berjumlah 3,000 francs (RM15,387) dan yuran guaman. Ini menjadikan jumlah saman yang perlu dibayar melebihi 108,500 francs.

Bayangkan jika sistem saman berdasarkan pendapatan diamalkan di negara ini. Agak-agak berapa jumlah denda yang perlu anda bayar?

Polis Johor guna dua buah bas halang kumpulan samseng jalan raya

TINDAKAN polis daerah Johor Bahru Selatan menggunakan dua buah bas untuk menghalang laluan membuahkan hasil apabila sekumpulan samseng jalan raya berjaya ditahan dalam operasi khas bersepadu di Jalan Skudai-Pantai Lido awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat, operasi selama dua hari bermula jam 5 petang hingga 1 pagi itu menyaksikan seramai 286 individu bersama 257 buah kenderaan diperiksa.

“Daripada jumlah itu sebanyak 115 motosikal telah disita di bawah seksyen 64, Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 bagi pemeriksaan lanjut” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, operasi membanteras samseng jalanan itu membabitkan lebih 100 pegawai dan anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi.

Sebanyak 153 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan termasuk tidak mempunyai lesen memandu, ubahsuai struktur kenderaan dan pelbagai kesalahan lain.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga telah mengeluarkan saman 54 kompoun mengikut seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula mengeluarkan 46 saman kompoun dan 52 notis arah periksa terhadap individu yang menunggang motosikal yang mengeluarkan bunyi melebihi paras yang ditetapkan.

‘Kita juga menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine setelah menjalani ujian saringan air kencing. Kesalahan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952″ tambahnya.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM5,000.00 serta menjalani pengawasan polis selama dua tahun.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan dan lumba haram boleh menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan (JBS) di talian 07-218 2222.

Lelaki ini pandu Toyota Alphard bertulis Polite Car supaya orang lihat dan pandu perlahan

DARI jauh, Toyota Alphard ini kelihatan seperti kenderaan peronda polis atau ambulans, tetapi bila didekati, tulisan di badannya bertulis POLITE, bukannya POLICE.

MPV di Singapura ini menarik perhatian netizen dan telah dikongsi di laman Facebook SG Road Vigilante.

Bila diimbas kod QR pada badan Alphard ini, ia akan membawa anda ke laman web kedai ais krim.

Netizen mempunyai pelbagai komen dan pendapat di ruangan komen. Ada yang beranggapan ianya idea menarik, ada juga yang berkata “misleading” kerana menyerupai kenderaan penguasa.

Pemiliknya, Goh Yong Wei berkata kepada The Straits Times, beliau menghiasai Toyota Alphard miliknya sejak Mei lepas, dan pengguna jalan raya sering memperlahankan kenderaan mereka untuk memberi laluan.

Katanya, “Sebagai pemandu dan penunggang motosikal di Singapura, saya dapati budaya memandu di sini tidak cukup bagus, terutamanya di waktu puncak.

“Saya mahu dilihat, saya mahu perhatian, saya mahu orang lihat saya dan memperlahakankan kenderaan untuk mengelakkan perlanggaran.”

Goh berkata dia pernah terlibat dalam lebih 10 kemalangan kereta dan motosikal sejak empat tahun lepas, dan dekal pada Alphard ini membantu mengelakkan kemalangan padanya.

“Saya rasa lebih selamat, lebih mudah memandu sekarang. Ramai orang dalam kereta tersenyum dan menunjukkan isyarat bagus kepada saya.

“Ini memberikan pengalaman memandu yang menarik buat saya,” tambahnya.

Walaubagaimanapun, pihak polis Singapura berkata mereka menerima laporan berkenaan hal ini, dan perkara ini sedang disiasat.

Operasi Hormat Undang-Undang dari 4 hingga 15 Jun di KL

POLIS Kuala Lumpur akan terus melaksanakan Operasi Hormat Undang-Undang (Op HUU) bermula hari ini (4 Jun) hingga 15 Jun 2024.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi itu akan menggunakan konsep sama iaitu memberi penekanan utama membabitkan kesalahan halangan lalu lintas, garisan putih, nombor pendaftaran, motosikal, didik, parkir haram, lampu merah dan telefon bimbit.

“Kekuatan penugasan pada operasi kali ini membabitkan lebih 200 pegawai dan anggota dari jabatan serta daerah Kontinjen Kuala Lumpur.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan pengguna jalan raya serta menjaga imej Kuala Lumpur sebagai pusat bandar raya,” tambahnya.

Gambar oleh: Malay Mail

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Trafik Kuala Lumpur di talian 03-20719999/9777 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Sebelum ini, Op HUU dijalankan dua fasa dengan Fasa 1 dilaksanakan pada 3 hingga 31 Julai 2023 manakala Fasa 2 pada 15 sehingga 29 September 2023.

Individu terlibat melepak, masak mi segera di Genting disiasat polis

BARU-baru ini, tular video sekumpulan remaja berkumpul dan memasak mi segera di sebuah stesen minyak, dikatakan di Genting Highlands. Sehubungan itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung klip video memaparkan sekumpulan individu melakukan perbuatan itu yang tular di media sosial.

“Hasil siasatan mendapati klip video berkenaan dimuat naik pada 13 Mei sebelum tular di laman sosial X.

“Klip video berdurasi kira-kira 50 saat memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan melakukan aktiviti memasak stesen minyak berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, operasi bersepadu akan dijalankan di sekitar kawasan itu dengan lebih kerap terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam.

“Polis mendapat maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu keterangan awam.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan (menyebabkan kegusaran awam) dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan (perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri.

“Mana-mana pihak yang melihat kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber gambar: Facebook dan Twitter (X)

Op Selamat 22: Kes kemalangan dan kematian menurun

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan penurunan 1.41 peratus kes kemalangan jalan raya di seluruh negara sepanjang tempoh Op Selamat 22 sempena sambutan Aidilfitri bermula 8 hingga 13 April lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata jumlah kes kemalangan menurun sebanyak 8,862 kes berbanding 8,989 kes pada tahun lepas.

“Kes kemalangan maut juga menurun 10 peratus dengan 105 kes berbanding 117 kes pada tahun lepas, manakala jumlah kematian turut mencatatkan pengurangan enam peratus dengan 119 kematian berbanding 126 kematian pada tahun sebelumnya,” katanya.

Razarudin berkata penunggang dan pembonceng motosikal masih mencatatkan kematian tertinggi dengan 79 kematian berbanding 80 kematian yang direkodkan pada tahun lepas.

“Berdasarkan kajian, kemalangan yang berlaku berpunca daripada kegagalan mengawal kenderaan sehingga terbabas akibat keletihan dan mengantuk serta tidak menjaga jarak pemanduan selamat antara kenderaan.

“Saya percaya bahawa penurunan kes kemalangan adalah impak positif hasil daripada kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan jalan raya serta amalan pemanduan yang berhemah,” katanya.

Selain itu, Razarudin berkata JSPT merekodkan peningkatan jumlah saman pada Op Selamat 22 apabila sebanyak 114,467 saman dikeluarkan berbanding 29,216 saman pada Op Selamat yang lepas iaitu meningkat kepada 85,251 saman.

Katanya statistik kes jenayah pecah rumah pada Op Selamat kali ini mencatatkan 189 kes berbanding 272 kes pada tahun lepas.

Polis KLIA bakal guna ‘e-scooter’ untuk rondaan

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkhidmat di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan mengguna pakai skuter elektrik (e-scooter) tidak lama lagi. 

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, penggunaan ‘e-scooter’ berkenaan akan membantu polis melakukan rondaan dengan lebih efisien. 

“Dengan ‘e-scooter’, kami boleh memberi respon dengan lebih cepat selain lebih banyak tempat dapat di awasi, jelasnya. 

Difahamkan, penggunaan ‘e-scooter’ tersebut telah pun dirancang awal tahun ini dengan kerajaan Selangor bersetuju untuk membuat pembelian. 

Dalam pada itu, Datuk Hussein Omar Khan turut menjelaskan bahawa kawalan di Terminal 1 akan diperketatkan susulan daripada insiden tembak yang berlaku baru-baru ini. 

“Kami akan perketatkan tahap kawalan dan sekuriti. 

“Laluan bahagian dalam yang dekat dengan pintu Ketibaan dan Pelepasan juga akan ditutup kepada orang ramai kerana sangat berisiko,” tambahnya. 

Polis Houston temukan kereta curi bernilai RM4.7 juta di ‘kedai potong’ kartel Mexico

HASIL siasatan selama enam bulan, Bahagian Siasatan Khas (SID) Pejabat Sheriff Harris County berjaya membuat tiga tangkapan melibatkan kartel serta menemukan sejumlah kenderaan curi bernilai $1 juta di Houston, Texas.

Menurut laporan, penangkapan dibuat di tiga ‘kedai potong’ di Houston Utara dengan bantuan daripada beberapa agensi kerajaan. Sebanyak 14 buah kenderaan curi berjaya ditemukan semula, dengan nilai keseluruhan dikatakan melebihi $1 juta.

Pihak berkuasa mendedahkan yang kebanyakan daripada kenderaan curi tersebut adalah pikap trak mewah namun jenama dan model spesifik tidak dinyatakan.

Ketiga-tiga ‘kedai potong’ tersebut didapati berselindung di sebalik perniagaan bengkel namun hakikatnya, ia menjadi lokasi di mana kenderaan curi akan dileraikan dan dijual sebagai alat ganti.

Pejabat Syerif Harris County percaya bahawa jenayah yang lebih teruk turut berlaku di lokasi-lokasi berkenaan, yang didakwa mempunyai kaitan dengan Kartel Generasi Baru Jalisco atau Cártel de Jalisco Nueva Generación (CJNG).

Foto: Pejabat Sherif Harris County

Menurut Peguam A.S. Alamdar S. Hamdani, “CJNG adalah salah satu organisasi jenayah yang paling berkuasa dan berbahaya di Mexico, bercirikan keganasan melampau dan penyeludupan bahan yang paling berbahaya.”

Buat masa ini, serbuan ini membawa kepada lima tangkapan. Mejar Paul Suarez daripada Pejabat Syerif Harris County berkata pasukan SWAT HSCO, skuad bom dan SID bekerjasam rapat dalam operasi tersebut.

“Matlamat kami bukan hanya untuk mengganggu organisasi ini tetapi untuk memusnahkannya sepenuhnya,” kata Suarez.

Selain itu, pihaknya juga sedang dalam usaha memulangkan semula kenderaan-kenderaan yang ditemukan itu kepada pemilik.

200 pegawai, anggota trafik digerakkan ke 142 hotspot atasi kesesakan lalu lintas Ramadan

DALAM usahanya untuk menangani kesesakan lalu lintas sepanjang Ramadan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengerakkan 200 pegawai dan anggota di 142 lokasi hotspot di sekitar ibu negara.

Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, kehadiran pegawai dan anggota JSPT adalah bagi memberi pertolongan dan kerjasama kepada orang ramai selain melancarkan aliran trafik pada waktu puncak.

“Saya mengambil kesempatan ini bagi menasihati orang ramai supaya mengawal emosi, bersabar dan jangan ambil tindakan melulu sekiranya berada dalam kesesakan jalan raya.

“JSPT akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai termasuk melancarkan Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Ia bagi memudahkan pergerakan balik kampung dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) supaya premis atau kediaman yang ditinggalkan dalam keadaan selamat,” katanya.

Selain itu, orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat halangan trafik dengan meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, dianggarkan 1.2 juta kenderaan setiap hari masuk ke ibu negara dan kira-kira 800,000 pada hari minggu sepanjang Ramadan.

“Sepanjang bulan Ramadan, JSPT menjangkakan kesesakan kerana ramai pengguna jalan raya mengambil kesempatan pulang awal ke rumah dengan pelepasan diberi majikan,” katanya.

Pekerja p-hailing bakar kereta polis bantuan ditahan

SEORANG lelaki yang merupakan pekerja p-hailing ditahan polis selepas didapati membakar kereta polis bantuan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara di Petaling Jaya, awal pagi ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 1.52 pagi tadi.

“Susulan laporan itu, polis menahan lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan di rumahnya di Flora Damansara, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

“Suspek disyaki menggunakan bom petrol yang dibaling ke arah kenderaan itu sebelum terbakar,” katanya kepada Harian Metro, hari ini

Mohd Fakhrudin berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan suspek dalam kes berkenaan.

Siasatan awal dilakukan mendapati suspek juga ada melakukan vandalisme dengan menconteng dinding hentian bas.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan ia disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki dikesan memuat naik video mendakwa bertindak membakar sebuah kenderaan polis bantuan di laman sosial TikTok.

Lelaki terbabit memuat naik rakaman video berdurasi lima saat yang memaparkan dia bersama kenderaan sedang terbakar.

Lelaki itu turut membuat hantaran ‘berpuas hati dapat membakar kereta polis #polistakdekeje’.

“Bayar kat balai RM300, sini RM100” – Polis siasat anggota tawar diskaun saman

POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung video tular yang memaparkan seorang anggota polis trafik mengambil RM100 daripada sepasang pelancong dari United Kingdom.

Dalam video yang dimuat naik di saluran YouTube ‘Tread the Globe’ itu, pasangan pelancong yang dikatakan memandu sebuah van telah ditahan oleh seorang anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

Anggota polis trafik tersebut menjelaskan kepada pasangan terbabit bahawa mereka didapati memandu sekitar 80 km/j berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 km/j.

Apabila ditanya apa yang perlu dilakukan, polis berkenaan memberitahu mereka boleh menjelaskan saman RM300 di balai polis berdekatan atau membayar RM100 kepadanya di lokasi itu.

Pasangan berkenaan kemudiannya menyerahkan wang tunai berjumlah RM100 kepada anggota polis tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum video yang tular itu dan sedang menjalankan siasatan terperinci.

Katanya lagi, pihak JSPT tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat. Azman turut menggesa pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

Menurut laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), secara umumnya hukuman bagi kesalahan rasuah ialah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

14 ‘mat rempit’ solat Subuh berjemaah selepas motosikal disita

Seramai 14 penunggang motosikal telah bersama-sama anggota penguatkuasa bersama-sama menunaikan solat Subuh selepas ditahan dalam Operasi Pencegahan Samseng Jalanan yang diadakan di Lebuhraya Guthrie pada Sabtu. 

Memetik laporan Astro Awani, semua individu tersebut ditahan sekitar jam 3 pagi oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Sungai Buloh. 

Susulan daripada operasi berkenaan, sebanyak 87 surat saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sementara 14 motosikal lagi disita. 

Difahamkan, kesemua remaja yang dibawa bersama bagi menunaikan solat Subuh di Surau Fazwina IPD Sungai Buloh itu telah diimamkan Pegawai Penyiasat BSPT Sungai Buloh, Inspektor Che Hassan Ambok. 

Tembak pencuri motosikal, dua beradik dipenjara 30 tahun

Pasangan adik beradik di United Kingdom telah dijatuhkan hukuman penjara lebih 10 tahun selepas didapati bersalah atas cubaan membunuh pencuri motosikal. 

Christopher dan Colin Nurse masing-masing dijatuhkan hukuman 30 dan 14 tahun penjara susulan insiden yang berlaku pada Mac 2020. 

Menurut laporan, sekumpulan pencuri motosikal telah cuba melarikan dua motosikal jenis Ducati dan Yamaha yang berada di tapak letak kenderaan di Cooper Close, London. Namun, percubaan pertama mereka gagal apabila disergah penduduk setempat. 

Bagaimanapun, dua daripada mereka kembali semula ke lokasi dan ketika itu dua beradik Nurse telah pun bersedia dengan pistol lalu melepaskan tembakan. 

Akibat dari tembakan yang dilepaskan secara melulu terhadap pencuri berkenaan, salah seorang penduduk yang tidak ada kaitan dengan kejadian tersebut mengalami kecederaan tembakan di bahagian kanan. 

Polis menahan adik beradik itu serta merta di rumah mereka selepas menerima laporan. 

Polis buru mat rempit kecundang di LPT, nombor plat sudah dikenal pasti

ANDA pastinya sudah melihat video yang menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal yang terjatuh di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) selepas melakukan aksi menunggang secara berbahaya.

Berikutan tularnya video berkenaan di media sosial, kumpulan mat rempit itu kini menjadi buruan polis.

Dalam satu hantaran di Facebook, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berkata kejadian tersebut dipercayai berlaku berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di LPT.

“JSPT sudah mengarahkan JSPT Pahang mengesan dan menjalankan siasatan terhadap penunggang motosikal yang terlibat.

“JSPT menggesa kepada mereka yang terbabit untuk segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan memandangkan nombor pendaftaran sudah dikenal pasti ,” tulis hantaran itu.

Dalam klip video berdurasi 28 saat itu, kumpulan mat rempit tersebut dilihat berlumba sesama sendiri sambil membuat aksi ‘superman’ sebelum seorang daripada mereka hilang kawalan lalu terjatuh.

Ini menyebabkan beberapa penunggang lain yang mengekori dari belakang pada kelajuan tinggi turut terjatuh selepas gagal mengelak rakan mereka yang terbabas itu.

Polis sita 247 motosikal di KL, 82 tiada brek belakang

Sebanyak 247 motosikal telah disita dalam satu operasi khas yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Ahad. 

Lebih mengejutkan, daripada jumlah tersebut, 82 daripanya didapati tidak mempunyai brek belakang.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, tindakan itu kini menjadi trend dikalangan anak muda yang menunggang motosikal terutamanya yang terlibat dengan aktiviti lumba haram.

“Kami telah mengesan pelumba remaja yang berlumba dengan mencabut brek belakang. Tindakan itu sangat membahayakan dan mampu mengundang kemalangan maut,” jelasnya. 

Memetik laporan The Star, sebanyak 625 saman telah dikeluarkan ketika operasi tersebut berlangsung. 

Suspek langgar pelajar sekolah akan didakwa di bawah Seksyen 302 hari ini

SEMALAM media melaporkan pegawai kanan polis yang disyaki melanggar pelajar tingkatan lima akan dituduh di bawah Seksyen 302, di Mahkamah Majistret Ipoh, esok (hari ini, Isnin, 18 Disember 2023).

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya mendapati terdapat keterangan mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek langgar pelajar dalam kejadian yang berlaku di Ipoh, Jumaat lalu.

Menurutnya, ia diputuskan selepas pihaknya membuat penelitian terhadap hasil siasatan dan keterangan yang dikemukakan dalam kertas siasatan.

“Jabatan ini mendapati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek.

“Justeru, suspek akan dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pada 18 Disember 2023 (hari ini).

“Mahkamah Majistret kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk tujuan perbicaraan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan, di sini tadi.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan itu sebagai merujuk kepada kes kemalangan jalan raya yang berlaku Jumaat lalu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, Perak.

Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta dipandu seorang pegawai kanan polis dengan sebuah motosikal ditunggang mangsa yang berusia 17 tahun hingga menyebabkan kematian.

Susulan itu, keluarga mangsa yang maut dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter menuntut keadilan di atas kejadian yang menimpa mangsa.

Polis Itali dapat Lamborghini Urus Performante sebagai peronda lebuh raya

KERJASAMA antara Automobili Lamborghini dan pasukan polis Itali kini diteruskan dengan kenderaan peronda lebuh raya baharu iaitu Urus Performante.

Buat pengetahuan anda, SUV berprestasi tinggi itu merupakan kereta Lamborghini keenam yang menyertai flit polis lebuh raya Itali sejak termeterainya kerjasama antara dua pihak itu pada 2004.

Urus Performante itu bakal memasuki perkhidmatan bermula tahun hadapan bersama dengan Huracan LP610-4 dan akan digunakan untuk tugasan-tugasan khas termasuk penghantaran segera organ dan plasma.

Jentera ini disiapkan oleh jurutera Lamborghini di Sant’Agata Bolognese mengikut spesifikasi polis. Livery direka oleh studio Lamborghini Centro Stile, menampilkan gabungan warna biru dan putih polis Itali, serta warna bendera Itali pada bahagian sisi dan tali pinggang keledar.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan logo polis yang dibalut filem pantulan cahaya, bar lampu LED biru 360 darjah di atas bumbung dan siren elektrik dua nada.

Bahagian kokpit pula menampilkan kotak senjata, paparan boleh lipat dan kotak simpanan di dalam but untuk menyimpan alat defibrilator.

Lebih penting lagi, terdapat juga peti sejuk mudah alih untuk membawa organ serta paparan dan pengelog data untuk pemantauan suhu secara berterusan.

Urus Performante ini tidak akan mempunyai masalah untuk menggalas tugasnya dalam situasi kecemasan kerana ia dikuasakan oleh enjin 4.0 liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 666 PS dan 850 Nm.

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 306 km/j.

Lampu hazard waktu hujan suatu kesalahan – JSPT

ANDA pasti biasa jumpa kereta yang menyalakan lampu kecemasan ‘double signal’ atau lampu hazard semasa hujan lebat, bukan? Tetapi adakah cara ini betul dan selamat?

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, perbuatan menyalakan lampu hazard adalah dibenarkan untuk waktu kecemasan sahaja.

Lampu hazard dalam hujan. Gambar oleh: FOX 13 Tampa Bay

“Di Malaysia, perkara ini masih samar-samar disebabkan tiada yang disebutkan dengan jelas dan spesifik tentang penggunaan lampu hazard.

“Namun, sekiranya pemandu dalam konteks kecemasan (akibat hujan lebat), mereka perlu menghentikan pemanduan jika darjah penglihatan terhad dan tidak berupaya mengawal kenderaan.

“Lampu hazard ini adalah bertujuan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain serta menarik perhatian kenderaan yang mengekori untuk mengambil tindakan segera dan selamat bagi mengelak pelanggaran,” katanya.

Menurut Mohd Azman, selain penggunaan lampu hazard ketika hujan lebat, ia juga sering dilihat digunakan ketika konvoi mengiringi kenderaan jenazah, konvoi rombongan kahwin, konvoi kelab bermotor atau semasa kenderaan ditunda dan kenderaan kecemasan seperti ambulans.

“Penggunaan lampu hazard ketika kenderaan bergerak akan mengelirukan pengguna lain khususnya sewaktu hujan lebat.

“la sukar dibezakan sama ada kenderaan tersebut sedang berhenti atau bergerak. Seterusnya, ia sangat berbahaya jika kenderaan yang disangkakan sedang bergerak rupa-rupanya sedang rosak atau tersadai di tengah laluan.

“Jika lampu hazard dipasang, bagaimana kita (pemandu) ingin memberitahu pengguna jalan raya yang lain arah mana kita ingin membelok?” tambahnya.

Ada sarjan boleh pakai Alphard, Vellfire, Mercedes hasil ‘berkawan’ dengan sindiket – Ketua JSJ

HUJUNG minggu baru-baru ini hangat apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi amaran keras terhadap mana-mana pegawai bawahannya yang masih bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Mohd Shuhaily berkata, situasi berkenaan harus diberi perhatian serius oleh setiap pegawai atasan atau penyelia dalam Jabatan dan Bahagian Siasatan Jenayah di seluruh negara.

“Dalam erti kata lain, dalam pasukan ini kelak, ada yang sanggup membunuh antara satu sama lain disebabkan duit.

“Satu sarjan boleh pakai Alphard, Vellfire, Mercedes. Perkara ini berlaku disebabkan tiada penyeliaan di bawah (peringkat kontinjen dan daerah) untuk memantau dan melihat cara hidup pegawai dan anggota bawahan mereka,” katanya dalam Majlis Amanat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Universiti Sains Malaysia.

Ucapannya itu disiarkan dalam video oleh laman Facebook Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ).

Majlis amanat itu dihadiri oleh Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen, Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh Malaysia.

Mohd Shuhaily berkata, penyeliaan oleh pegawai atau penyelia atasan ini adalah satu perkara yang sememangnya sedia ada dalam arahan penugasan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau turut memberi amaran kepada semua 130 KBSJD yang gagal menjalankan tugas mengikut arahan pasukan PDRM.

“Sesiapa sahaja antara 130 orang ini yang masih gagal mengikut arahan, anda bukan sahaja saya akan tukarkan malah saya akan tulis notis cadangan di situ bahawa pegawai ini tidak layak untuk diberi kenaikan pangkat.

“Ini sebab mereka tidak layak diberi tanggungjawab menyelia orang lain dengan pangkat lebih tinggi sedangkan dengan pangkat sedia ada pun anda gagal,” tambahnya.

Anda boleh tonton video tersebut di bawah: