Tag Archives: porsche 718

Sangat penting untuk terus kekalkan transmisi manual – bos GT Porsche

Porsche merupakan salah satu daripada sebilangan pengeluar kereta sports yang masih lagi setia menawarkan model bertransmisi manual.

Di sesetengah pasaran, anda masih lagi boleh mendapatkan 718 manual, namun untuk keluarga 911 pilihan tersebut kini terhad kepada varian GT3 dan Carrera T sahaja.

Biarpun disifatkan sebagai transmisi yang hampir pupus, pengarah GT Model Line Porsche Andreas Preuninger berpendapat adalah penting untuk beliau terus berjuang bagi mempertahankan transmisi manual di Porsche.

Memetik laporan Motor1, Preuninger berkata, “Dari sudut pandangan peribadi, adalah sangat penting untuk mempunyai sebuah model manual.

“Saya lebih gemar manual, dan tidak kisah untuk menukar gear sendiri terutama di dalam litar, walaupun sebetulnya saya tahu (kotak gear) PDK lebih pantas,” ujarnya lagi.

Preuninger juga tidak berpendapat undang-undang emisi yang lebih ketat bakal membunuh kotak gear manual.

“(Manual) lebih ringan, jadi ia menyumbang kepada pengurangan emisi dan penggunaan bahan bakar yang lebih cekap, dan anda juga mempunyai lebih banyak kuasa pada roda disebabkan rintangan kuasa pada kotak gear manual lebih rendah berbanding PDK,” ujarnya.

“Dalam dunia sebenar, kereta manual kurang menggunakan gasolin, dan kurang menghasilkan emisi berbanding PDK. Itu adalah fakta.”

Porsche 718 Spyder RS – 493hp, 4.0 NA, enjin ICE terakhir untuk Cayman/Boxster

SEPERTI dapat dijangka selepas Porsche memberikan 718 Cayman GT4 RS kepada peminat sukan permotoran, kini versi tiada bumbung pula dilancarkan, iaitu 718 Spyder RS.

Ianya berasaskan 718 Boxster, tetapi ditala menjadi ekstrem, penuh dengan komponen motorsports. Tetapi versi Spyder RS juga menggunakan bumbung fabrik manual yang boleh ditanggalkan bila tidak diperlukan.

Bumbung fabrik berserta deflektor angin mempunyai berat keseluruhan 18.3kg, iaitu 7.6kg lebih ringan dari bumbung 718 Spyder. Ia juga 16.5kg lebih ringan berbanding bumbung 718 Boxster.

Bercakap mengenai berat, 718 Spyder RS adalah seberat 1,410kg, kira-kira 40kg lebih ringan dari versi bukan RS. Ya, bab berat cukup penting bagi model-model RS seperti ini.

Satu lagi perkara penting ialah, Porsche 718 Spyder RS ini dipacu oleh enjin 4.0-liter naturally-aspirated yang sama seperti Cayman GT4 RS, dan enjin ini akan menjadi unit ICE (pembakaran dalaman) terakhir bagi model 718 (Cayman dan Boxster).

Enjin yang juga dikongsi dengan 911 GT3 ini menjana 493hp dan 450Nm tork, dan output disalurkan ke roda belakang menggunakan kotak gear dwi-klac PDK 7-kelajuan.

Ini memberikan prestasi 0-100km/j dalam hanya 3.4 saat, dan 0-200km/j dalam masa 10.9 saat. Kelajuan maksima ialah 308km/j (7km/j lebih rendah dari Cayman GT4 RS).

Prestasi ini disumbang juga oleh rim 20-inci forged yang boleh dinaik taraf dengan rim magnesium. Selain itu, Spyder RS diberikan dengan talaan suspensi dan penyerap hentak lebih selesa, menurut Porsche untuk memberikan pengalaman berbeza dari Cayman GT4 RS.

Untuk lebih eksklusif, 718 Spyder RS boleh ditingkatkan dengan Weissach Package yang akan memberikannya muncung ekzos dari 935 2018, yang merupakan tribute dari jentera LeMans 935/78 (Moby Dick).

Porsche 718 Spyder RS kini boleh mula ditempah di Jerman dengan harga €151,215 (RM739,247) dan diikuti pasaran luar kemudian. Pembeli jentera sports ini akan turut mendapat jam tangan khas dengan bekas titanium.

Porsche 718 Spyder RS ini juga akan membuat kemunculan di Goodwood Festival of Speed pada Julai depan.