Tag Archives: porsche carrera cup asia

Pendaftaran Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2025 kini dibuka

Porsche Malaysia yang diwakili oleh Sime Darby Auto Performance mengumumkan penganjuran Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia untuk tahun kedua yang terbuka kepada bakat-bakat muda.

Terdapat tiga kategori umur yang dipertandingkan di mana pelumba sim seawal usia 10 tahun hingga 24 tahun layak untuk menyertai cabaran ini.

Tiga pusingan kalah mati akan menentukan pelumba terpantas yang layak untuk ke pusingan berikutnya, di mana pusingan akhir akan berlangsung serentak dengan perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia pada 8 Jun 2025.

Pendaftaran dalam talian akan dibuka bermula 20 Mac hingga 16 April ini menerusi laman web https://pescm.porsche.com.my/, di mana setiap peserta perlu memilih lokasi Porsche Centre sekiranya layak mara ke Pusingan 2.

Untuk tahun 2025, Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2025 akan menggunakan platform RaceRoom Racing Experience di Steam, menampilkan litar lumba yang digunakan oleh Porsche Carrera Cup Asia.

Pusingan pertama kelayakan (time-trial 10 minit) akan berlangsung secara dalam talian dan di Porsche Centre seluruh Malaysia bermula 12 April hingga 20 April di mana peserta boleh memilih untuk menyertai cabaran ini di rumah masing-masing.

Pusingan 2 pula akan berlangsung di lokasi berikut:

• Porsche Centre Ara Damansara: 26 – 27 April 2025
• Porsche Centre Johor Bahru: 3 – 4 May 2025
• Porsche Centre Penang: 10 – 11 May 2025
• Porsche Centre Sungai Besi: 17 – 18 May 2025

Dalam Pusingan 2, setiap peserta akan menerima sesi bimbingan peribadi, diikuti sesi latihan selama 10 minit.

10 peserta terbaik dari setiap kategori yang mencatatkan pusingan terpantas di setiap Porsche Centre akan mara ke pusingan kelayakan akhir pada 25-26 Mei 2025 di Bangsar Shopping Centre.

10 finalis terbaik dari setiap kategori akan mara ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 8 Jun 2025, menggunakan format perlumbaan pecut di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS secara maya.

Tiga pelumba yang berjaya mendapatkan kedudukan podium semasa kejohanan akhir berpeluang untuk merasai pengalaman memandu sebuah Porsche sebenar di dalam litar Sepang.

Pemenang di bawah umur 18 tahun boleh berkongsi pengalaman bermakna ini bersama seorang ibu/bapa atau penjaga.

Peserta yang berminat untuk mendaftar atau mengetahui dengan lebih lanjut boleh melayari laman web ini: https://bit.ly/pescm-registration.

Porsche 911 GT3 RS tiba di Malaysia – Lebih hardcore, lebih pantas, dari RM2.63 juta

VERSI paling serius dan hardcore untuk Porsche 911 generasi 992, iaitu GT3 RS telah tiba di Malaysia, dibawakan oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP). Ia dilancarkan serentak dengan hujung minggu Porsche Carrera Cup Asia 2023 yang dilancarkan di Litar Antarabangsa Sepang.

Untuk model generasi 992, 911 GT3 RS tampil dengan pelbagai penambahbaikan yang diinspirasikan dari sukan permotoran termasuk kit aerodinamik dari Formula 1, komponen suspensi baharu, casis yang dipertingkatkan serta enjin yang lebih berkuasa.

Dari segi penampilan, jika dibandingkan dengan 911 GT3, versi RS ini kelihatan lebih serius dan mengancam terima kasih kepada kit badannya yang agresif. Ia merangkumi splitter depan, skirt sisi, sirip fender dan sudah tentu, spoiler belakang.

Menurut Porsche, spoiler berkenaan mempunyai Drag Reduction System (DRS) yang boleh diaktifkan menerusi butang pada stereng. Selain membolehkan kereta memecut lebih laju, ia juga didatangkan dengan fungsi airbrake sebagai sokongan kepada brek cakera ketika membrek pada kelajuan tinggi.

Apa yang lebih menarik, spoiler 911 GT3 RS ini lebih tinggi berbanding bumbungnya dan ini merupakan yang pertama bagi model produksi Porsche!

Model baharu ini mempunyai ukuran trek (jarak antara titik tengah roda kiri dan kanan) yang lebih lebar sebanyak 29 mm berbanding GT3. Para jurutera Porsche turut memberikan profil berbentuk teardrop pada komponen double-wishbone depan bagi meningkatkan downforce sebanyak 40 kg pada kelajuan maksimum.

Selain itu, kadar spring pada sistem multi-link belakang telah diperbaharui, manakala sistem bantuan pemandu dan stereng gandar belakang mempunyai tetapan yang lebih dinamik.

911 GT3 RS dikuasakan oleh enjin naturally-aspirated 4.0-liter 6-silinder yang sama seperti GT3, namun dengan camshaft dan cam profile baharu, kuasanya meningkatkan dari 510PS kepada 525PS.

Transmisi PDK 7-kelajuan yang memacu roda belakang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 296km/j.

Menerusi penggunaan bahan-bahan ringan seperti CFRP pada pintu, sayap depan, bumbung, bonet serta tempat duduk bucket antara lainnya, berat jentera ini hanya 1,450 kg walaupun mempunyai komponen-komponen yang lebih besar.

Pelanggan boleh menaik taraf 911 GT3 RS menerusi pakej Clubsport secara percuma. Pakej ini didatangkan dengan rollover bar, tali pinggang keledar enam poin dan juga pemadam api.

Untuk mereka yang lebih serius dengan prestasi, Porsche turut menawarkan pakej Weissach yang merangkumi kemasan gentian karbon, lebih banyak komponen CFRP dan teknologi magnet pada paddle shifter.

Pelanggan yang membeli pakej ini juga boleh memilih untuk mendapatkan rim magnesium yang 8kg lebih ringan berbanding rim standard.

Porsche 911 GT3 RS 2023 serba baharu boleh menjadi milik anda pada harga RM2,630,000.

Pasukan Sime Darby Racing dilancar, akan berentap dalam Porsche Carrera Cup Asia 2023

PORSCHE Malaysia – diwakili oleh Sime Darby Auto Performance – hari ini memperkenalkan pasukan lumba mereka, Sime Darby Racing.

Ia dijadualkan membuat kemunculan pertamanya di Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) 2023, dengan kerjasama Earl Bamber Motorsport (EBM) dan pelumba muda negara, Nazim Azman yang akan memandu jentera 911 GT3 Cup itu.

Pasukan Malaysia bakal berentap dengan jentera lumba yang dihiasi dengan corak batik kebanggaan negara, dan akan bersaing dalam kategori PCCA PRO.

Musim Porsche Carrera Cup Asia ke-20 bakal merentasi benua ini sekali lagi pada 2023, selepas dua musim perlumbaannya tertumpu di China.

Malaysia telah diberi penghormatan untuk membuka tirai perlumbaan 2023, yang seterusnya akan bersambung di Korea, Jepun, Thailand, Singapura sebelum berakhir di pangkalan Porsche Motorsport Asia Pasifik di Shanghai, China.

Siri one-make menetapkan standard teknikal yang sama untuk semua pasukan, dan kereta GT3 Cup generasi ke tujuh ini dibina berasaskan 911 generasi-992 yang membawakan lebih downforce dan teknologi berbanding sebelum ini untuk prestasi yang lebih baik.

Bersama-sama dengan Earl Bamber Motorsport (EBM), Porsche Malaysia membawakan rakan teknikal yang sangat berpengalaman untuk Pasukan Sime Darby Racing.

Pasukan itu dibangunkan oleh juara PCCA sebanyak dua kali, pemandu Porsche Works yang berkaliber dan juara 24 Hours of Le Mans sebanyak dua kali, Earl Bamber yang terkenal dalam dunia sukan pemotoran.

Dengan kerjasama EBM dan Porsche Malaysia, bekas pelumba FIA Formula 3, Nazim akan mewakili Pasukan Sime Darby Racing di PCCA 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter berkata, “Penyertaan kami dalam Porsche Carrera Cup Asia tahun ini menggariskan komitmen kami terhadap DNA sukan pemotoran Porsche sejak sekian lama.

“Kami yakin dengan prestasi kami untuk musim yang akan datang ini terutama sekali dengan adanya kerjasama mantap daripada Earl Bamber Motorsport dan Nazim.”

“Kami juga berbesar hati kerana dapat terus menyokong bakat teknikal muda tempatan dengan pemindahan ilmu menerusi kerjasama Porsche Motorsport Asia Pacific bagi meningkatkan lagi kepakaran teknikal mereka dalam sukan pemotoran,” tambah Hunter.

Pengarah Urusan Porsche Motorsport Asia Pasifik, Alexandre Gibot pula berkata, “Kami sangat teruja kerana dapat melihat pasukan lumba Malaysia yang diwakili oleh Porsche Malaysia turut serta dalam perlumbaan musim ini.

“Kami berbesar hati kerana Nazim Azman menjadi sebahagian daripada program pembangunan PCCA Talent Pool, dan kami tidak sabar untuk melihat beliau berlatih bersama-sama juara perlumbaan Porsche tatkal dia memulakan perjalanan perlumbaannya,” tambahnya.

Nazim Azman, pelumba negara yang mewakili pasukan itu berkata: “Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Porsche Malaysia dan Earl Bamber Motorsport untuk mewakili Pasukan Sime Darby Racing di Porsche Carrera Cup Asia 2023.

“Memandangkan ini adalah kali pertama saya berlumba menggunakan kereta GT semusim penuh, saya percaya bahawa peluang ini akan meluaskan lagi pengalaman dan pengetahuan saya dalam perlumbaan GT.”

Kembali untuk jadual penuh Asia, tirai perlumbaan musim ini akan dibuka di Litar Antarabangsa Sepang untuk pusingan 1 dan 2 pada 28 hingga 30 April 2023.

Siri ini kemudiannya akan menjelajah ke seluruh rantau Asia sebelum kembali ke Malaysia untuk pusingan 9 dan 10 pada 25 hingga 27 Ogos 2023, serta pusingan 3 Siri Kejohanan Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.