Tag Archives: porsche macan

Porsche Macan EV 2024 – Lima Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang SUV Elektrik Kompak Porsche

SUV kompak mewah Porsche Macan generasi baharu kini ditawarkan secara rasmi sebagai sebuah SUV berkuasa elektrik sepenuh masa.

Generasi kedua Macan ini dibina berdasarkan platform yang dibangunkan bersama Audi, digelar sebagai Premium Platform Electric (PPE) yang menyokong senibina elektrik 800-voltan.

Ini bermakna, Porsche Macan merupakan model kedua Porsche yang menggunakan senibina elektrik bervoltan tinggi itu selepas Porsche Taycan.

Berikut merupakan lima perkara penting berkenaan Macan generasi baharu:

 

1. Dua varian, iaitu Macan 4 dan Macan Turbo

Terdapat dua varian yang ditawarkan sebagai permulaan, di mana kedua-dua model tersebut dilengkapi dengan dua motor elektrik, satu untuk setiap gandar, dengan sistem pacuan semua roda, dan pengagihan berat badan yang lebih cenderung ke arah belakang.

Pada model Macan 4, ia mampu menghasilkan 402 hp dan 649 Nm, sementara Macan Turbo pula berupaya menjana 630 hp dan 1,129 Nm!

Pecutan 0-96 km/j memakan masa 4.9 saat, sementara varian Turbo pula lebih pantas, sekitar 3.1 saat.

 

2. Tiada kotak gear dua nisbah kelajuan

Tidak seperti Taycan yang ditala untuk menjadi sebuah kereta sports, Macan pula tidak memerlukan khidmat kotak gear dua nisbah kelajuan.

Ini menjadikan Macan jauh lebih ringan, dan membantu dari segi kecekapan trenkuasa secara keseluruhan.

Namun sama seperti Taycan, Macan EV juga tidak dilengkapi dengan mod pemanduan pedal tunggal, sebaliknya bergantung kepada sistem brek regeneratif yang mampu menjana kuasa sehingga 240 kW.

 

3. Tetapan suspensi multi-link, dan opsyen stereng gandar belakang

Secara standard, Porche Macan EV dilengkapi dengan tetapan suspensi multi-link depan dan belakang, dibantu dengan sistem spring udara dan peredam adaptif Porsche Active Suspension Management (PASM).

Ciri baharu untuk Macan ialah opsyen sistem stereng gandar belakang yang mampu mengubah sudut roda sebanyak lima darjah, membantu dari segi pengendalian kelajuan rendah, serta kestabilan pada kelajuan tinggi.

 

4. Angka pekali seretan 0.25

Rekaan luaran Porsche Macan EV ini mengekalkan bentuk seakan SUV coupe, dengan unit lampu nyalaan siang seakan model Taycan, diikuti dengan garis hud dan posisi lampu yang lebih rendah.

Dengan elemen aerodinamik aktif seperti spoiler belakang, flap dan panel pada bahagian bawah badan, Macan EV ini dikatakan mampu mencapai angka pekali seretan serendah 0.25 sahaja.

 

5. Ruang kabin mirip Cayenne, Panamera

Identiti Porsche turut diterapkan pada ruang kabin, di mana ia membawakan susun atur yang hampir sama dengan model Cayenne dan Panamera.

Terdapat skrin kluster digital melengkung, skrin infohibur di bahagian tengah, skrin paparan head-up dengan fungsi realiti terimbuh, dan juga opsyen untuk menambah skrin ketiga di depan penumpang hadapan.

Butang kawalan HVAC pula masih kekal pada konsol tengah, memudahkan urusan untuk menetapkan suhu kabin.

Di pasaran US, harga jualan Macan EV melonjak naik kepada $80,450 (RM380,529) untuk varian 4, sementara varian Turbo pula berharga $106,950 (RM505,874).

Porsche Macan generasi kedua kini sebuah EV – dua varian, sehingga 630hp

INI dia tuan-tuan dan puan-puan, Porsche Macan serba baharu, generasi kedua. Seperti dilaporkan sebelum ini, SUV ini telah menjadi model elektrik sepenuhnya (EV), tidak lagi ditawarkan dengan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Adakah ini bermakna Porsche Macan menjadi model yang tidak mengujakan? Tidak juga, ia ditawarkan dengan dua pilihan, Macan 4 berkuasa 402hp dan Macan Turbo sehingga 630hp.

Porsche Macan baharu ini dibina pada pelantar Premium Platform Electric (PPE) yang dibangunkan bersama dengan Audi. Platform ini menggunakan binaan elektrik 800 volt.

Bateri pula ialah sel Lithium-Nickel Manganese Cobalt dengan kapasiti 95kWh. Ia boleh dicas dengan pengecas pantas DC sehingga 270kW.

Macan 4 dan Macan Turbo dipacu dua motor elektrik synchronous jenis magnet tetap. Motor di belakang dipusing 180 darjah untuk memberikan sedikit agihan berat yang lebih ke belakang.

Seperti disebut tadi, output maksima bagi Macan 4 ialah 402hp dan 650Nm tork, manakala Macan Turbo yang lebih berkuasa menjana sehingga 630hp dan 1,130Nm tork. Kesemua angka ini walaubagaimanapun adalah berdasarkan mod Overboost semasa Launch Control.

Bagaimana pula dengan prestasi? Porsche Macan 4 mampu memecut ke 96km/j dalam 4.9 saat, sementara Macan Turbo mampu melakukan pecutan sama dalam 3.1 saat sahaja. Kelajuan maksima masing-masing adalah 218km/j dan 260km/j.

Agak tinggi kelajuan maksima bagi sebuah EV, bukan? Ini kerana Porsche Macan baharu ini mendapat sistem penurun gear, ia tidak menggunakan kotak gear dua-kelajuan seperti yang digunakan pada Taycan.

Sistem gantungan pula adalah multi-link di depan dan belakang. Suspensi udara dan Porshe Active Suspesion Management (PASM) dibekalkan sebagai standard. Satu ciri baharu pada Macan ialah sistem stereng roda belakang, ia membelok sehingga 5-darjah mengikut keadaan.

Kini kita ke reka bentuk pula. Dari segi ini, ia tipikal Porsche – evolusi dan bukan revolusi. Macan mengekalkan bentuk seperti coupe, walaupun di depannya terdapat DRL seperti Taycan.

Lampu depan kini di bampar, dan tiada lagi hud clamshell. Memandangkan tiada enjin, hud ini juga lebih rendah.

Porsche berkata Macan mempunyai pekali seretan 0.25 sahaja, hasil dari aerodinamik aktif seperti spoiler belakang, panel bawah badan, dan flap di bampar depan.

Ruang dalaman pula mirip model-model Porsche lain yang terkini. Terdapat panel instrumen digital dengan paparan skrin melengkung, manakala di tengah terdapat sistem infotainmen generasi terkini.

Apa pendapat anda mengenai Porsche Macan generasi baharu yang kini EV sepenuhnya?

Porsche Macan EV dalam fasa ujian akhir – 603hp, lebih 500km jarak pemanduan

PARA jurutera Porsche sedang mempersiapkan Macan serba baharu yang juga kini merupakan model elektrik (EV) untuk pendedahan globalnya tidak lama lagi.

SUV itu kini dalam fasa-fasa akhir dan telah melalui pelbagai siri ujian ekstrem. Seperti yang telah diwar-warkan sebelum ini, Macan generasi kedua ini merupakan model elektrik dan menggantikan model generasi pertama selepas 10 tahun ia dalam pasaran.

Porsche Macan EV ini dibina pada pelantar PPE (Premium Platform Electric). Ia kekal sebagai sebuah Porsche yang sporti, tetapi akan menjadi lebih cekap.

Pekali aerodinamik 0.25

Menurut Naib Presiden Product Line Macan, Jorg Kerner, “Apabila kami membangunkan model baharu, ia sentiasa berkenaan dinamik dan ketepatan pemanduan. Itulah Porsche. Ia dalam DNA kami. Tetapi ia sentiasa berkenaan kecekapan juga, dan reka bentuk.”

Kunci kepada aerodinamik Macan baharu ini ialah pekali seretannya (Cd) serendah 0.25. Antara cabarannya ialah mengekalkan identiti Macan yang telah berjaya tetapi pada masa yang sama menepati keperluan dan syarat aerodinamik baharu.

Ini dicapai dengan Porsche Active Aerodynamic (PAA) yang merangkumi spoiler aktif di belakang, flap penyejukan aktif di depan, dan lantai bawah rata serta bertutup seperti jentera lumba.

Jarak pemanduan lebih 500km

Porsche Macan EV akan dibekalkan dengan dengan bateri lithium-ion 100kWh dan binaan 800-volt pada platform PPE yang digunakan.

Ini membolehkan Macan mendapat pengecasan pantas DC sehingga 270kW, bermakna baterinya boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 22 minit sahaja. Pengecasan AC kekal pada 11kW.

Jarak pemanduan pula adalah lebih 500km untuk semua varian.

Diuji dan sedia untuk pelancaran global

Macan EV kini dalam fasa akhir ujiannya, dan prototaip-prototaip dengan celoreng secara keseluruhan telah dipandu lebih 3.5 juta km dalam litar ujian dan jalan raya awam seluruh dunia.

“Kami meliputi semua rangkaian suhu. Dari 30 darjah di bawah paras beku di Scandinavia hingga lebih 50 darjah Celsius seperti di Death Valley, California,” kata Kerner.

“Sudah tentu SUV perlulah boleh dipandu di semua permukaan. Sebab itu kami bukan sahaja mengujinya di jalan raya, tetapi juga di off-road, kerikil, salji, dan ais,” katanya.

Sistem-sistem seperti pacuan semua-roda, dua motor elektrik, Porsche Traction Management, Launch Control, Porsche Active Suspension Management, semuanya diuji di permukaan-permukaan ini.

Nantikan laporan kami selepas pelancaran rasmi Porsche Macan EV pada 25 Januari ini.