Tag Archives: Proton e.MAS7

Proton e.MAS7 muncul sebagai EV paling laris terjual di Malaysia

Untuk tempoh sepanjang bulan Mac yang lepas, Pro-Net selaku anak syarikat Proton telah berjaya menjual sebanyak 797 unit SUV elektrik Proton e.MAS7.

Ini menjadikan jumlah penghantaran e.MAS7 adalah sebanyak 1,853 unit untuk tempoh suku pertama (Q1) 2025 yang menyumbang kepada pegangan pasaran setakat tahun ini sebanyak 30 peratus sekaligus menjadikannya sebagai EV nombor satu di Malaysia.

Menurut Zhang Qiang selaku Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan atas sokongan, dan keyakinan yang tidak terhingga kepada Proton e.MAS7, selain kepercayaan kepada kami untuk menyediakan ekosistem yang membolehkan mereka menikmati pengalaman pemanduan elektrik.

“Pencapaian ini akan menjadi dorongan untuk kami terus memperbaiki diri dalam menawarkan produk berkualiti tinggi serta memberikan pengalaman pemilikan yang lebih baik kepada pelanggan kami,” ujarnya.

Untuk pasaran Malaysia, Proton e.MAS7 ditawarkan dalam dua varian, iaitu Prime berharga RM105,800 dan Premium berharga RM119,800, sah untuk 6,000 tempahan pertama.

Untuk memudahkan pengguna, Proton menyediakan 75 poin pengecasan DC sehingga 120 kW di beberapa pusat pengedar.

Selain itu, pemilik juga boleh mendapatkan akses kepada lebih 90 peratus titik pengecasan yang wujud di Malaysia dikendalikan oleh Gentari, JomCharge, chargEV, DC Handal, Chargesini, Carput Zap, RExharge dan Charge+, serta peta pengecasan bersepadu langsung menerusi aplikasi Proton e.MAS.

Menurut Zhang Qiang lagi, “matlamat kami bukan sekadar menjual kereta, kami ingin membangunkan eksositem lengkap yang tidak hanya melibatkan 36 pengedar, tetapi juga seluruh infrastruktur pengecasan EV di Malaysia.

“Kami juga bekerjasama rapat dengan pengendali poin pengecasan (CPO) untuk menjadikan pemilikan EV yang lebih mudah kerana kami mahu pelanggan kami beralih dari ICE ke EV dengan lancar.”

 

Proton e.MAS7 berkonvoi 9,000 km rentas 9 negara ASEAN sempena Malaysia Autoshow 2025

Konvoi Proton e.MAS7 berserta empat buah kenderaan Siri X yang dibawakan oleh Proton dan Pro-Net memulakan perjalanan sejauh 9,000 km pada Khamis lalu (20 Mac).

ASEAN Unity Drive 2025 (AUD 2025) merupakan satu inisiatif yang menggariskan kepimpinan Malaysia dalam memacu mobiliti hijau, kerjasama rentas sempadan dan inovasi automotif di seluruh Asia Tenggara.

Proton e.MAS7 dipilih sebagai kenderaan rasmi AUD 2025 yang melambangkan komitmen Malaysia kepada mobiliti elektrik, menyokong agenda EV negara dan matlamat kelestarian ASEAN secara lebih meluas.

Dua laluan utama dirancang, iaitu:
• Laluan Utara: bermula di Hanoi, Vietnam melalui Laos, Kemboja, Thailand sebelum tiba di Malaysia.
• Laluan Selatan: Bermula di Manila, Filipina, melalui Sabah, Brunei, Sarawak, Indonesia, Singapura sebelum tiba di Malaysia.

Konvoi AUD 2025 ini akan bertemu di Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang pada 9-15 Mei ini.

Majlis pelepasan telah diadakan di Menara MITI dan dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“ASEAN Unity Drive 2025 melambangkan kekuatan kolektif rantau ini dalam memajukan mobiliti lestari seiring memperkukuhkan integrasi ekonomi dan pengurusan alam sekitar.

“Malaysia, melalui inisiatif seperti ASEAN Automotive Institute Alliance, komited kepada membentuk ekosistem mobiliti bersatu yang mempercepatkan inovasi, menyelaraskan piawaian, dan mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai peneraju global dalam pengangkutan generasi baharu.

“Inisiatif ini adalah langkah penting ke arah industri automotif yang bersedia untuk masa depan dan membawa manfaat kepada seluruh rantau ini,” ujarnya lagi.

Selain daripada pelancaran model baharu serta pameran teknologi EV & ICE, MAS 2025 pada tahun ini akan menampilkan segmen Wanita dalam Automotif, pameran Hari Kerjaya serta Debat Automotif ASEAN.

Sebanyak 55 buah jenama terkemuka akan menyertai acara Malaysia Autoshow 2025 yang dijangka menarik kehadiran pengunjung yang lebih besar berbanding edisi sebelumnya.