Tag Archives: Proton eMAS

Pro-Net umum diskaun pengecasan 30% untuk pemilik eMAS 7 dan smart

Berita baik untuk pemilik Proton eMAS 7 dan smart yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri ini. Pro-Net, anak syarikat Proton, menawarkan diskaun istimewa 30% untuk caj pengecasan EV dari 29 Mac hingga 7 April 2025.

Menurut syarikat itu, inisiatif ini memastikan pengalaman balik kampung akan lebih lancar dan harga pengecasan lebih berpatutan.

Ditubuhkan pada 2022 sebagai pengedar rasmi EV smart dan Proton eMAS, Pro-Net menyediakan akses kepada lebih 2,000 poin pengecasan awam di seluruh negara, menjadikannya rangkaian pengecasan bersepadu terbesar di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Encik Zhang Qiang, menyatakan keterujaannya terhadap inisiatif ini: “Di Pro-Net, kami komited untuk menjadikan pemanduan elektrik lebih praktikal dan menyeronokkan untuk semua. Sempena sambutan Hari Raya, kami ingin menghargai pelanggan dengan memastikan perjalanan pulang mereka lebih mudah dan harga caj pengecasan lebih berpatutan.”

Pemilik Proton eMAS dan smart boleh menikmati tawaran istimewa ini di lebih 85% stesen pengecasan awam. Hanya gunakan aplikasi Proton eMAS atau Hello smart untuk memulakan sesi pengecasan, dan diskaun akan diaktifkan secara automatik.

Pro-Net buka bilik pameran Proton e.MAS di Sabah dan Sarawak

Pro-Net mencatatkan pencapaian penting dalam usaha mengembangkan rangkaian pengedarnya dengan pelancaran rasmi empat bilik pameran Proton e.MAS di Sabah dan Sarawak.

Di Kota Kinabalu, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, YB Datuk Phoong Jin Tze, telah merasmikan pembukaan bilik pameran Proton e.MAS milik Harapan Maju Sabah Sdn. Bhd. pada 8 Februari.

Sementara itu, di Sarawak, Datuk Bandar Kuching, Ybhg. Dato Wee Hong Seng, melancarkan bilik pameran e.MAS oleh Melinau EV Sdn. Bhd. pada 11 Februari.

Perluasan rangakaian pengedar ini diteruskan dengan pembukaan bilik pameran Ghee Hua Co. Sdn. Bhd. di Sarawak pada 13 Februari, diikuti oleh Fook Loi Eurocar Sdn. Bhd. di Sabah pada 28 Februari 2025.

Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net berkata pmbukaan rangkaian pengedar pertama proton e.MAS di Sabah dan Sarawak mencerminkan komitmen mereka untuk menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia.

“Dengan sokongan rakan kongsi yang kukuh, kami yakin pencapaian ini akan mempercepatkan revolusi EV di rantau ini, membawakan inovasi, kelestarian, dan pengalaman pemilikan EV yang luar biasa kepada para pelanggan kami,”katanya.

Pembukaan rangkaian pengedar baharu ini menegaskan komitmen berterusan Pro-Net dalam memperluaskan ekosistem EV di Malaysia.

Peluasan ke Sabah dan Sarawak bukan sekadar membawa teknologi automotif yang lestari dan inovatif, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi rantau ini melalui penciptaan peluang pekerjaan serta pengenalan teknologi canggih.

Bilik pameran moden ini direka bukan sahaja untuk mempamerkan teknologi kenderaan elektrik terkini dari Proton, tetapi juga berfungsi sebagai pusat utama bagi pendidikan dan interaksi kepada pelanggan.

Rangkaian pengedar Proton e.MAS bertujuan untuk memberikan pengalaman yang lebih lancar kepada pelanggan dengan mengintegrasikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan, memastikan sokongan jangka panjang kepada pemilik kenderaan EV ini.