Tag Archives: Proton S70

Sepang 1000KM: Proton raih tempat kelima selepas lima tahun sepi

Selepas lima tahun menyepi, pasukan rasmi pengeluar Proton R3 kembali beraksi di perlumbaan Sepang 1000KM 2024 dalam kategori Malaysian Touring Car (MTC).

Ini merupakan kali pertama Proton berlumba menggunakan jentera S70 R3 selepas sedan segmen C tersebut dilancarkan pada 28 November 2023.

Dalam perlumbaan yang berlangsung selama 181 pusingan itu menyaksikan pasukan Proton R3 bergelut dengan kesukaran di mana kereta #81 terpaksa menarik diri seawal pusingan ke-8.

Sementara sebuah lagi kereta S70 bernombor 82 yang dipandu oleh Ariff Azmi dan Alister Yoong berdepan dengan masalah teknikal menyebabkan mereka kehilangan lebih 40 minit.

Biarpun dengan cabaran yang dihadapi, pasukan Proton R3 tetap berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-5 kelas MTC.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, “Walaupun kami menyasarkan satu lagi kemenangan keseluruhan, pasukan Proton R3 sedar akan tugas untuk melengkapkan sebuah jentera lumba serba baharu bagi menentang pasukan yang telah melengkapkan perlumbaan untuk tempoh tiga tahun yang lalu.

Jelasnya lagi, hasil daripada data dan pengalaman perlumbaan yang dikumpulkan sepanjang hujung minggu itu akan digunakan sebagai asas bagi R3 untuk memulakan persiapan musim perlumbaan 2025.

Berita baik, bersempena dengan acara KLIMS 2024, Proton akan turut mempamerkan jentera #82 dalam keadaan yang sama seperti kereta tersebut mengakhiri perlumbaan S1K.

Jualan Proton naik 13.6 peratus sepanjang Oktober 2024, Saga kekal model paling laris

Sepanjang bulan Oktober, Proton telah merekodkan jualan sebanyak 12,799 unit untuk pasaran domestik dan eksport, dengan peningkatan sebanyak 13.6 peratus berbanding bulan terdahulu.

Ini menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) Proton naik kepada 125,557 unit dan meletakkan jenama kereta nasional itu ditempat kedua dalam kedudukan jualan automotif negara.

Daripada jumlah tersebut, Proton Saga kekal menjadi pilihan popular di kalangan pembeli dengan jumlah sebanyak 6,112 unit dicatatkan dan jumlah YTD mencecah 60,178 unit.

Proton juga berharap angka jualan Saga dapat menembusi paras 70,000 unit untuk tahun kedua berturut-turut tahun ini.

Walaupun Saga tidak berjaya menjadi pendahulu di dalam segmennya, terdapat tiga model Proton lain mengekalkan kedudukan teratas di dalam segmen masing-masing.

Proton X50 menjadi SUV segmen B yang paling laris terjual sepanjang bulan lepas, dengan 2,122 unit dicatatkan, manakala Proton S70 pula kembali ke tangga teratas sebagai sedan segmen C terlaris dengan jumlah jualan 1,432 unit.

Model flagship Proton X90 pula kekal sebagai peneraju jualan SUV segmen D dengan jumlah sebanyak 245 unit direkodkan untuk bulan lepas.

Dalam masa yang sama, Proton mendedahkan model EV pertama syarikat itu, e.MAS 7 akan dilancarkan secara rasmi pada bulan hadapan (Disember 2024).

Pengalaman Pandu Uji Proton S70 Flagship X Yang Kurang Memuaskan

Bila sebut pasal mana-mana kereta jenama Proton, ia akan menimbulkan sesi perdebatan yang tidak berkesudahan, lebih-lebih lagi bila melibatkan barisan model yang ditukarkan lencananya daripada pasaran Tanah Besar China.

Cakaplah apa sahaja yang anda mahu, kerana hakikatnya inilah pendekatan yang sesuai untuk Proton masa kini.

Lihat sahaja betapa banyak kelibat model-model SUV Proton di atas jalan raya pada masa kini.

 

 

Kalau dulu boleh tahan bersepah model X70, kini tempat SUV popular tempatan telah digantikan dengan model Proton X50 yang lebih lincah dan sporti. Bagaimana dengan Proton X90? Mungkin tak ramai yang pakai, tapi masih ada.

Tapi cerita kali ini penulis tidak akan menyentuh soal SUV, akan tetapi lebih berminat untuk berbicara tentang model kereta terbaharu Proton.

Lebih tepat lagi, sedan Proton S70 yang baru sahaja dilancarkan pada penghujung tahun yang lepas.

 

 

Hendak bercerita tentang spesifikasi, rasanya semua sudah arif dan tahu yang Proton S70 ini dibekalkan dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS @ 5,500 rpm dan 226 Nm @ 1,750-4,000 rpm.

Ia juga datang dengan kotak gear yang jauh lebih moden berbanding pesaing dalam segmen harga bawah RM100k, iaitu DCT tujuh nisbah kelajuan.

Selain itu, Proton S70 juga datang dengan rekaan sedan tiga kotak yang lebih tradisional, jauh lebih senonoh berbanding bentuk sedan yang digantikannya, iaitu Proton Preve dan adiknya Proton Persona.

Rekaan sisi sedan ini juga mengingatkan kita pada sebuah lagi sedan, iaitu Proton Waja (bak kata Amirul Hazmi).

 

Jika dibandingkan dengan model-model pesaing (tak kira segmen B atau C), Proton S70 boleh disifatkan sebagai sebuah sedan mampu milik yang menawarkan kelengkapan yang lebih menyeluruh dan premium.

Jadi, bagaimana pula dengan pengalaman pemanduan? Adakah ia mampu menjadi model Proton yang terbaik?

Adakah S70 ini satu model yang berbaloi jika mahu naiktaraf daripada sedan Proton sedia ada? Kami ada pendapat sebaliknya:

 

1. Sedan bertenaga, dengan kuasa yang sukar dikawal

Dalam banyak-banyak pesaing, Proton S70 datang dengan tetapan rangkaian kuasa yang agak unik – enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DCT tatkala model lain hanya dibekalkan dengan enjin 1.5 liter NA dan kotak gear CVT.

Canggih bermakna lebih baik?

Tidak juga. Walaupun S70 ini mampu menghasilkan kuasa pecutan yang agak baik di atas lebuh raya, lain pula ceritanya ketika ia mahu mula bergerak dari keadaan pegun.

 

Ini kerana ia mewarisi satu sifat malas bergerak yang hampir sama dengan abang besarnya Proton X70, walaupun kadar kemalasan itu kurang sedikit sahaja jika dibandingkan.

Lebih memburukkan keadaan, tayar hadapan Proton S70 ini ada kalanya gemar untuk berputar (buat aksi wheelspin) melebihi kadar cengkaman yang diperlukan sewaktu pedal pendikit ditekan agresif.

Ya, kedengaran cool bila dapat buat wheelspin depan orang ramai, tapi silap haribulan anda mungkin terpaksa mengira duit simpanan untuk melantak mee segera. Mungkin berpuasa lebih afdal.

 

2. Posisi pemanduan yang tidak selesa

Ini antara perkara yang membuatkan penulis bingung, kerana Proton sebelum ini sangat terkenal dengan penawaran tempat duduk yang selesa, jauh mengatasi keselesaan tempat duduk Perodua.

Tempat duduk hadapan balutan kulit palsu yang wujud pada S70 ini sukar menawarkan tahap keselesaan yang diperlukan, di mana kaki rasa agak tergantung bila ia diposisikan rendah. Keadaan ini lebih terasa sekiranya penulis terpaksa membuat perjalanan jarak jauh merentas negeri.

Acap kali juga penulis terpaksa mengubah kedudukan beberapa kali untuk mencapai posisi yang selesa dan ergonomik. Takkan la nak pandu sedan tapi posisi tempat duduk tinggi macam pandu SUV, kan?

Lebih aneh, penulis sebelum ini pernah duduk dalam varian Proton S70 yang dilengkapi dengan kerusi balutan fabrik, dan ia dirasakan jauh lebih selesa berbanding S70 Flagship X ini.

Untuk penumpang belakang, usah risau kerana tempat duduk baris kedua memang direka khas untuk anda menikmati keselesaan, dibantu dengan sistem pendingin hawa yang boleh tahan sejuk sepanjang masa.

 

3. Ciri shift-by-wire yang paling menyusahkan

Dalam dunia ini, terdapat pelbagai jenis sistem penukaran gear yang telah dicipta oleh pengeluar semata-mata untuk faktor cool di mata pengguna. Ada yang wujud dalam bentuk garis lurus, ada yang bengkang-bengkok, bersegi-segi dan ada yang mula menggunakan butang khas PRND.

Salah satu sistem yang menyusahkan pengguna sebenarnya wujud pada Proton S70.

Ciri penukaran gear shift-by-wire yang nampak ringkas ini memerlukan anda menarik dan menolak tuil gear berkali-kali untuk masuk ke dalam posisi gear yang diperlukan, dan ada kalanya ia langsung tidak masuk ke dalam posisi yang diinginkan.

Sistem yang rumit ini memang menyusahkan pemandu, terutama ketika sedang masuk parkir di kawasan yang sibuk waktu tengah hari, seperti contoh di kawasan sekitar Sunway Pyramid.

Bayangkan nak masuk petak parkir tapi tempoh masa yang diambil mengalahkan budak yang baru nak belajar memandu.

Lagi satu, sedan S70 ini langsung tiada paddle shifter! Jadi jika anda mahu menikmati penukaran gear secara manual pun kena tarik tolak tuil gear ke kiri atau ke kanan.

 

 

Ibarat abam Dominic Toretto acah tukar gear automatik Dodge Charger empat pintu dalam filem Fast Furious…

 

4. Kabin senyap, tapi luar bising macam trak pikap

Seperkara yang membuatkan Proton S70 ini terasa mahal dipandu ialah tahap kesenyapan kabin yang baik, walaupun ada kalanya diganggu dengan bunyi bising yang datang daripada golekan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 atas turapan jalan yang tidak berkualiti.

Bunyi bising angin yang datang dari arah luar tidak jelas kedengaran dari dalam kabin, malah bunyi bising enjin juga berjaya ditapis dengan baik bagi mengelakkan sebarang ketidakselesaan sepanjang pemanduan.

Setelah penat memandu, anda semestinya memerlukan masa untuk berehat.

Masa inilah anda boleh keluar dari kereta untuk menikmati bunyi enjin S70 melahu seakan bunyi trak pikap berenjin diesel. Orang sebelah pun mungkin terkejut bila mendengar S70 anda berperangai macam trak pikap.

 

5. Aspek pemanduan, bukan untuk mereka yang mahukan kepuasan

Usah salah sangka, penulis bukanlah bermaksud pemanduan Proton S70 ini langsung tidak sedap.

Berdasarkan pengalaman beberapa hari menguji, penulis juga amat suka dengan apa yang ditawarkan oleh S70.

Pertama, talaan respons stereng yang ringan dan mudah untuk dikawal, dan patuh pada setiap arahan pemandu, di mana maklum balas yang diterima agak baik.

Terdapat juga beberapa mod talaan termasuklah Comfort, Normal dan Sport untuk pemanduan yang lebih..err.. sporti!

 

Kedua, sistem suspensi yang telah diubah mengikut citarasa tempatan.

S70 secara standard datang dengan tetapan topang MacPherson di depan, dan torsion beam di belakang. Agak ringkas di situ. Menurut Proton, ia telah disesuaikan dengan keadaan jalan raya di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman, sistem gantungan S70 ini dirasakan mampu menyerap segala hentakan dan ketidakrataan jalan dengan baik, tanpa menghasilkan gegaran dan bunyi bising ketara yang mampu mengganggu kesejahteraan penumpang.

 

Ketiga, casis Proton S70 yang memang mantap dan terasa mahalnya di situ.

Semasa menikmati jalan-jalan lama, boleh dirasakan casis S70 ini menghasilkan olengan badan yang terkawal, tidak terlalu agresif sehingga menyebabkan pemandu terpaksa bersilat dengan stereng.

Ketiga-tiga aspek ini bekerja dengan harmoni bagi memastikan pemanduan yang lebih mengujakan bagi kebanyakan pengguna di Malaysia, terutama di kawasan yang berselekoh.

Cuma, bagi jiwa-jiwa yang sensitif, aspek pemanduan dan pengendalian Proton S70 ini masih lagi belum cukup sifat seperti yang pernah ditawarkan pada model-model sedan Proton terdahulu (Waja, Preve, Persona).

Respons stereng bantuan elektrik tersebut dirasakan tidak cukup sensitif dan sporti (walaupun dalam mod Sport), dan had yang ditunjukkan oleh suspensi torsion beam belakang sewaktu kereta ini dibelasah di selekoh juga menyebabkan S70 ini rasa sedikit tidak sempurna.

 

Tapi untuk golongan kebanyakan, tetapan standard yang dibawakan pada Proton S70 ini rasa sudah pun memadai.

Cuma kalau ada bajet lebih, tukar sahaja tayar asal kepada tayar yang lebih berprestasi.

Tahukah anda, penulis tidak pernah menyukai pemanduan X70, tapi Proton sebenarnya berjaya menjadikan pemanduan SUV tersebut lebih dinamik dengan penggunaan tayar Continental UltraContact UC6.

 

6. Kokpit ringkas, dah macam Tesla Model 3

Antara perkara yang membuatkan pengalaman pemanduan penulis rasa tidak teruja ialah susun atur ruang kabin yang mengingatkan penulis pada EV Tesla Model 3.

Ya, jujur kami cakap, rekaan papan pemuka Proton S70 merupakan antara yang terkemas Proton pernah tawarkan kepada pengguna, dengan kehadiran butang fungsi yang agak minimum untuk penampilan yang minimalis.

Namun, terlalu ringkas mungkin akan menyusahkan pengguna di kemudian hari, terutama bagi mereka yang masih lagi rindukan butang kawalan fizikal.

 

Seperti contoh, untuk membuka bumbung kaca, anda perlu mencari fungsi tersebut di dalam skrin infohibur, memandangkan tiada langsung butang fungsi khas disediakan pada tempat yang sepatutnya.

Sistem arahan berbentuk suara ‘Hi Proton’ ada kalanya lambat untuk bertindak, mungkin sekali disebabkan oleh sistem terpaksa memahamkan loghat Nismilan yang tak sengaja dikeluarkan semasa bersuara.

Samalah juga halnya apabila pemandu mahu mengubah mod pemanduan, jari jemari terpaksa menari di skrin infohibur terlebih dahulu sebelum dapat mengubah mod yang diinginkan.

Jadi, kebanyakan masa penulis lebih gemar membiarkan mod pemanduan dikekalkan pada mod Comfort.

 

7. Skrin kluster digital, tapi masih lagi ada perangai X70

 

Ciri skrin kluster digital merupakan satu perkara yang normal untuk kereta-kereta baharu, di mana untuk S70 anda boleh mendapatkan ciri ini menerusi dua varian tertinggi, iaitu Flagship dan Flagship X.

Skrin ini membawakan antaramuka (UI) yang lebih ringkas, mudah untuk dibaca dengan dua mod paparan iaitu cerah atau gelap.

Biarpun jauh lebih ringkas berbanding skrin yang wujud pada X70, ia tetap mewarisi satu ciri yang biasa didapati pada kereta buatan China, iaitu masalah paparan info yang berterabur dan cenderung untuk membuatkan pemandu rasa serabut.

Selain itu, penulis mendapati tidak banyak penyesuaian yang boleh dibuat seperti memilih paparan meter kelajuan berbentuk analog, atau tema grafik yang mampu membuatkan pemandu rasa teruja.

Mujur juga skrin tersebut boleh ditetapkan mod paparannya mengikut masa, jadi untuk tidak menyakitkan mata pada waktu siang, ubah saja paparan kepada mod gelap yang lebih menyenangkan pemandangan.

 

Cukup sudah tujuh perkara yang kami kurang gemar, ini pula senarai lima perkara yang membuatkan S70 ini satu model yang berbaloi untuk anda miliki:

 

1. Kelengkapan keselamatan lebih menyeluruh untuk sebuah sedan Proton

Sejak bertahun-tahun lamanya penulis mengimpikan Proton untuk menaik taraf sedan Persona dan Saga dengan ciri keselamatan yang lebih maju.

Sayang sekali, impian tersebut sukar untuk direalisasikan walaupun sudah beberapa model facelift bertaraf lima bintang ASEAN NCAP itu dilancarkan.

Kekecewaan tersebut akhirnya terubat dengan kehadiran Proton S70 Flagship X, di mana secara standard ia didatangkan dengan bermacam-macam akronim yang boleh membuatkan lidah terbelit.

Paling penting, sedan S70 kini datang dengan ciri pengesanan titik buta yang diintegrasikan ke dalam fungsi Bantuan Penukaran Lorong (LCA) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Ciri lain termasuklah enam beg udara, Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Informasi Papan Tanda Trafik (TSI), Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IIHBC) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) membuatkan S70 ini satu model yang agak berbaloi untuk dipertimbangkan.

 

2. Sistem kamera keliling yang jelas, terang dan nyata

 

Terlupa pula, skrin infohibur sebesar 12.3 inci itu sebenarnya masih lagi tidak menawarkan sokongan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Nak bising lebih-lebih pun, memang Proton takkan buat untuk barisan model sedia ada. Tunggu sahaja kehadiran model baharu yang akan muncul kelak.

Cuma, penulis agak suka dengan tahap ketajaman grafik paparan yang wujud, ditambah pula dengan menu yang ringkas dan intuitif.

Walaupun ada kalanya rasa jengkel untuk tangan menari seketika pada skrin, sistem menu yang wujud pada skrin infohibur Proton S70 ini sebenarnya amat mudah untuk digunakan.

Selain itu, S70 juga datang dengan sistem kamera 360 darjah dengan paparan yang cukup jelas dan tajam, mengalahkan model pesaing yang lebih mahal harganya.

 

3. Sedan Proton yang paling jimat minyak?

Berdasarkan pengalaman memandu mana-mana sedan Proton (termasuklah sedan milik sendiri) sebelum ini, agak sukar untuk penulis mendapatkan satu bacaan yang positif.

Ini kerana Proton amat sinonim dengan barisan kereta yang sedap dipandu, akan tetapi pelahap bahan api. Sebut sahaja apa jua versi enjin empat silinder yang pernah Proton lancarkan sebelum ini.

Rata-rata model kereta Proton yang pernah penulis pandu uji sebelum ini sukar untuk melepasi angka 400 km untuk setangki minyak penuh, walaupun penulis sehabis baik memaksa kaki kanan untuk menjadi ringan semasa pemanduan.

Tapi dengan S70, penulis agak teruja kerana setangki penuh bahan api berkapasiti 50 liter itu membolehkan pemanduan melebihi 600 km berjaya dibuat tanpa perlu singgah stesen minyak dengan kerap.

Kadar penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 8.5 liter untuk setiap 100 km. Jadi, jimat ke tak jimat?

 

4. Tidak kedekut ruang

 

Secara asasnya, Proton S70 merupakan sebuah sedan yang dibina atas pelantar segmen B, namun dengan dimensi yang mampu menyaingi sedan dalam segmen C yang lebih besar.

Ukuran panjang kali lebar kali tinggi memang jauh mengatasi mana-mana model sedan dalam segmen B (Toyota Vios, Honda City, Nissan Almera), malah dengan ruang kabin memang jauh lebih besar, luas dan selesa berbanding Proton Persona segmen B dan Persona segmen C.

Selain itu, Proton S70 mampu menawarkan ruang kargo yang jauh lebih praktikal di mana sehingga 500 liter muatan boleh diisi pada ruang but belakang.

Tidak cukup dengan itu, anda boleh mendapatkan ruang barangan ekstra untuk meletakkan peranti pintar atau barangan lain pada ruang bawah konsol tengah, terima kasih kepada penggunaan sistem shift-by-wire yang menyusahkan.

 

5. Harga jualan yang memang berbaloi-baloi

Proton S70 varian Flagship X yang kami pandu uji ini dijual pada harga bermula dari RM94,800 sahaja, di mana anda akan mendapat kelengkapan tambahan seperti bumbung suria dan alat perakam video digital (DVR) tunggal.

Jelas sekali di penghujung hari, Proton S70 Flagship X ini merupakan satu pembelian yang sangat berbaloi jika anda merasakan kereta-kereta segmen B pada julat harga tersebut tidak cukup premium, atau harga sedan segmen C Jepun yang masih lagi di luar kemampuan.

Namun jika anda langsung tidak mementingkan elemen moden, kemewahan dan keselamatan canggih yang wujud pada varian Flagship X, masih wujud varian asas Executive dengan harga bermula dari RM73,800.

Bagi penulis, varian standard ini sudah lebih daripada mencukupi di mana ia masih lagi didatangkan dengan lampu halogen, lampu DRL LED, rim 16 inci, kelengkapan keselamatan ADAS asas (RCW, LCA, DOW, & RCTA).

Paling penting, varian asas ini juga dirasakan lebih selesa untuk pemandu dengan kehadiran tempat duduk balutan fabrik yang lebih menyokong postur pemandu dan paling penting, paparan meter analog tradisional!

Kejap, ini ulasan S70 Flagship X atau S70 Executive?

 

Spesifikasi ringkas Proton S70 2024

Enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo
Kuasa 150 PS @ 5,500 rpm
Daya kilas 226 Nm @ 1,750-4,000 rpm
Kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan
Sistem pacuan roda depan
Suspensi topang MacPherson hadapan/torsion beam belakang
Ruang kargo 500 liter
Tangki bahan api 50 liter
Harga RM94,800

 

Inilah rupa jentera lumba Proton S70 R3 S1k, lihat depan mata di Malaysia Autoshow 2024

INI dia tuan-tuan dan puan-puan, jentera lumba Proton S70 R3 yang akan berentap dalam acara Sepang 1000km (S1k).

Jika anda mahu melihat dengan lebih dekat Proton S70 R3 ini, bolehlah ke acara Malaysia Autoshow 2024 yang akan diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bermula 22 hingga 26 Mei ini kerana ia akan dipamerkan kepada umum buat kali pertama.

S70 R3 merupakan kereta lumba serba baharu pertama Proton R3 sejak Saga R3 pada tahun 2019, menandakan kembalinya jenama tersebut ke perlumbaan S1k.

Setakat hari ini, Proton R3 mempunyai lima kemenangan di tangannya, lebih banyak daripada pasukan yang lain, termasuk meraih kemenangan selama tiga tahun berturut-turut dari 2017 hingga 2019.

Masih lagi dalam pembangunan, kereta yang dipamerkan menampilkan evolusi terbaru pakej aerodinamik yang disesuaikan untuk kereta lumba ini.

Dua unit kereta baharu ini bakal dipertandingkan oleh pasukan pada perlumbaan S1k tahun ini.

“Proton mempunyai sejarah panjang dalam sukan permotoran, bermula dengan Proton Saga dan penglibatan kami semakin meningkat dengan penubuhan Proton R3 pada tahun 2003,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

“Sejak itu, kami telah bersaing dan menang pelbagai pertandingan hingga ke peringkat global dengan model seperti Proton Satria, Waja, Suprima S, Iriz, dan versi terbaru Saga.

“Kini dengan Proton S70 R3, kami menambah satu lagi pencapaian dalam legasi kami, menandakan bukan sahaja kembalinya nama Proton ke acara S1K tetapi juga kereta lumba pertama berdasarkan model yang dibangunkan bersama oleh Proton dan Geely,” tambahnya.

Pembeli dan pengunjung dapat meningkatkan pengalaman mereka di Malaysia Autoshow 2024 dengan promosi eksklusif dan ganjaran dari Proton sepanjang acara tersebut.

Pengunjung yang terus membuat tempahan model Proton akan menerima hadiah eksklusif seperti pelindung matahari, pembaca tol, dan pengecas tanpa wayar untuk model terpilih.

Promosi istimewa juga ditawarkan khusus untuk tempahan yang dibuat di Malaysia Autoshow dengan pendaftaran sebelum 30 Jun 2024.

Ini termasuk penyelenggaraan percuma selama dua tahun untuk model X50, X70, dan X90 serta baucar tunai RM500 untuk model S70, Saga, dan Persona.

Terdapat juga Test Drive Lucky Spin di mana peserta dapat memutar roda bertuah untuk memenangi barangan eksklusif Proton setelah memandu uji model Proton.

7 penemuan kami selepas pandu Proton S70 untuk kali pertama

PROTON S70 boleh dikatakan sebuah model yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia, bukan sahaja kerana ia model baharu yang akan jadi berita nasional, tetapi juga disebabkan dua sebab utama yang lain.

Yang pertama ialah S70 merupakan model paling mampu milik Proton hasil dari kerjasama dengan Geely. Ia ditawarkan pada harga bermula RM73,800 untuk varian 1.5T Executive, lebih rendah dari harga X50 dan X70. Kalau X90 usah ceritalah…

Yang kedua ialah kerana ia sedan pertama Proton yang serba baharu sejak sekian lama, dan sedan pertama hasil kerjasama dua syarikat itu. Kali terakhir Proton memperkenalkan sedan serba baharu ialah pada 2016, dengan Persona dan Perdana.

Penting dan bermakna juga Proton S70 ini, bukan? Malah penulis sendiri menerima banyak pertanyaan berkenaan sedan ini dari kalangan rakan dan saudara-mara terdekat.

Kini, penulis telah pun dapat memandu uji Proton S70 baru-baru ini. Walaupun hanya beberapa jam dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, tapi rasanya cukup untuk penulis kongsikan tujuh penemuan dari sesi tanggapan pertama ini.

1. Rekabentuk keluarga Proton

Walaupun Proton S70 dibangunkan dari Geely Emgrand, tetapi seperti ada pula persamaan reka bentuk dengan model-model Proton sebelum ini.

Sebagai contoh pada sesetengah sudut dari belakang, lapisan menegak bahagian atas dan bawah but yang dipisahkan oleh lampu belakang ada mirip permukaan Proton Saga. Ini rekaan yang lazim dibuat oleh pengeluar-pengeluar masa kini, tetapi ia tetap ‘menghubungkan’ S70 dan abang-abangnya.

Begitu juga bahagian tingkap kecil di sisi berdekatan tiang-C, ada iras Proton Waja – ini bahagian kegemaran penulis pada S70.

2. Kabin paling premium untuk harganya

Pada pendapat penulis, kabin dan papan pemuka Proton S70 terasa paling premium dan moden berbanding pesaing-pesaingnya seperti Honda City, Toyota Vios, dan Nissan Almera.

Walaupun kereta-kereta Jepun di atas penulis tetap suka, direka kemas, dengan mutu binaan tinggi, ruang dalaman Proton yang minimalis ini terasa seperti kereta berharga RM200,000 ke atas.

Jika enjin tidak dihidupkan, segala paparan terpadam, dan anda hanya akan nampak skrin-skrin, ini memberikan impresi seperti kereta premium yang mempunyai paparan digital sepenuhnya. Tiada langsung meter fizikal pada S70 ini.

Tengok sahaja tombol gear, Proton S70 menggunakan jenis joystick dimana gear ini akan kekal ke posisi tegak walau apa gear pun anda masuk. Model-model lain dalam julat harga ini masing menggunakan tombol gear konvensional yang bergerak dalam alur atau laluannya.

3. Tempat duduk depan ‘kureng’, tapi belakang sangat selesa!

Penemuan seterusnya masih sekitar ruang kabin, tetapi khas berkenaan tempat duduk. Peliknya, penulis rasakan tempat duduk pemandu Proton S70 ini agak janggal dan susah untuk penulis cari posisi pemanduan ideal dan ergonomik.

Masalah ini mungkin pada orang yang mempunyai ketinggian atau postur badan sama dengan penulis, tetapi dengan ketinggian 165cm, penulis rasakan seperti kurang sokongan di bawah peha jika duduk agak rendah.

Mungkin Proton mahu kita duduk sedikit tinggi dan hanya ada ruang sebesar penumbuk antara kepala dengan siling kereta. Tetapi penulis mahu acah-acah sporti dengan memandu Proton S70 ini…

Lain pula ceritanya di belakang, penulis rasa tempat duduk S70 ini sangat-sangat selesa! Ia mempunyai kontur menarik, agak suportif jika pemandu di depan memandu sedikit laju di selekoh. Tempat duduk belakang ini ‘memegang’ tubuh anda dengan cukup baik.

Secara keseluruhan, balutan kulit pada tempat duduk S70 ini nampak cukup premium dan kemas.

4. 1.5 je? Tiada masalah

Proton S70 mungkin mempunyai kapasiti enjin yang sama dengan pesaing-pesaingnya iaitu 1.5-liter. Dari segi berat pula, Proton S70 paling ‘gemuk’ dengan 1,319kg.

Vios jika ditimbang hanya sekitar 1,015kg, manakala City lebih sedikit pada 1,100kg hingga 1,250kg (City e:HEV RS).

Tetapi Proton S70 dengan janaan turbo multi-point injection (MPI) memberikannya output 150PS dan 226Nm tork, jauh lebih tinggi berbanding City dan Vios yang mempunyai sekitar 97hp hingga 104hp dan 127Nm hingga 138Nm.

Ditambah dengan padanan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, ini memberikan Proton S70 pecutan yang senang-senang boleh ‘tapau’ pesaing-pesaing Jepun tersebut. Mungkin ini tidak begitu adil, tetapi sejak bila dunia ini adil?

Hakikat tetap hakikat, dan persaingan segmen RM100,000 ini memang sudah menjadi lebih kompleks selepas kehadiran Proton S70. Sedan segmen-B Proton ini tiada masalah memecut hingga melebihi had laju kebangsaan, begitu bersahaja.

Kereta terasa ringan, malah kuasanya juga dengan mudah mengatasi had cengkaman tayar depan. Beberapa kali penulis lihat rakan media yang lain ‘membuat aksi secara tidak sengaja’ sebaik melepasi palang tol.

Oh ya, Proton S70 ini juga membuat pecutan dengan agak senyap, tiada bunyi angin melampau pada kelajuan biasa. Dan tiada juga isu tiga silinder. Anda takkan terasa jika anda lupa atau tidak memikirkannya.

5. Pengendalian bukan seperti yang anda sangkakan

Kini kita ke aspek yang penting untuk Proton – pengendalian. Macam mana dengan pengendalian Proton S70 ini?

Walaupun S70 mengekalkan setup MacPherson strut di depan dan torsion beam di belakang sama seperti Geely Emgrand, difahamkan Proton telah membuat talaan di bahagian ini untuk menyesuaikan S70 dengan situasi pemanduan di Malaysia.

Hasilnya, suatu pengendalian yang sedikit premium dan mewah, tidak terlalu sporti. Jika anda mengharapkan S70 mempunyai pengendalian sporti seperti Waja atau Preve, maka ini tidak menepati jangkaan anda.

Tetapi ini tidak bermakna pengendaliannya tidak bagus. Casis S70 penulis rasakan sangat tegar dan sofistikated, seperti diuji di jalan berliku dari Georgetown menghala ke Batu Ferringhi dan Empangan Teluk Bahang.

Dengan jalan berselekoh dan permukaan tar yang cantik, jelas terasa suspensi, stereng, dan casis Proton S70 ini bekerja dengan harmoni. Ia mengikut sahaja input anda tanpa banyak kerenah, malah maklum balas stereng juga agak baik dan tepat.

Cuma respon pedal minyak kurang tepat bila dipandu lebih agresif, walaupun dalam mod Sport. Mod ini hanya memberikan tindak balas lebih banyak, tetapi masih secara amnya ia tidak begitu linear, dan ini perkara biasa untuk enjin turbo dengan lengkuk tork melengkung (jika dilihat pada graf dyno).

Bila sampai di had cengkaman sama ada memasuki selekoh atau mula menekan minyak keluar selekoh, tayar depan akan ‘menyerah’ dahulu – lebih mudah understeer – juga talaan biasa untuk sedan sebegini. Sesuai untuk kebanyakan pemandu, dan lebih mudah dikawal.

Inginkan respon dan feel lebih sporti? Tukar sahaja tayar lebih berprestasi tinggi. Tetapi tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 pada S70 ini lebih dari mencukupi. Ia seimbang antara cengkaman, prestasi, dan penjimatan.

6. Lebih jimat dari jangkaan

Bercakap mengenai penjimatan, satu lagi subjek sensitif untuk Proton. Ramai yang bertanya bab ini bila kami memuatnaik gambar Proton S70 di Instagram Story. Penulis juga agak skeptikal dengan bab ini disebabkan pengalaman penulis dengan model-model Proton yang lepas.

Tetapi surprise! Penulis dapati enjin Proton S70 ini lebih menjimatkan dari yang dijangkakan. Kami reset bacaan komputer sebelum bertolak dari Shah Alam, dan selepas rakan media yang berkongsi kereta dengan penulis ‘melenjan’ S70 ini sampai tak ingat dunia, ia masih mencatatkan 8L/100km.

Ini bersamaan 12.5km per liter, bacaan yang diambil di salah satu R&R sebelum Ipoh (maaf sudah lupa). Harus diketahui, kereta ini bukan dilenjan biasa-biasa ya, tetapi kelajuan lebih 50 peratus dari had laju (tidak boleh didedahkan terperinci atas sebab-sebab tertentu).

Penulis tidak sempat menguji penjimatan jika dipandu secara malar pada 110km/j kerana kesuntukan masa. Tetapi pastinya jauh lebih jimat, dan bacaan lebih baik dari 12.5km per liter. Not bad untuk enjin turbo, bukan?

7. Teknologi – positif dan negatif

Penemuan terakhir kami ialah dari segi teknologi. Proton S70 varian Flagship X yang kami uji ini padat dengan segala jenis sistem seperti lampu LED automatik, paparan instrumen digital, infotainmen dengan skrin 12.3-inci, sambungan Wifi dan 4G, mod pemanduan, pilihan mod berasingan untuk stereng, dan barisan sistem ADAS seperti Autonomous Emergency Braking, Intelligent Cruise Control, dan Lane Centering Control.

 

Malah kamera Proton S70 juga mampu ‘mengenal pasti’ papan tanda, dan beberapa varian mempunyai paparan bawah lantai melalui kamera 540-darjah.

Kebanyakan teknologi dan sistem ini pastinya membantu anda memandu dengan lebih baik dan selamat, selain memberikan lebih nilai untuk wang.

Tetapi bumbung suria pada Flagship X ini perlu menggunakan skrin infotainmen tengah untuk membuka dan menutupnya, penulis dapati sedikit melecehkan. Lebih baik jika fungsi sebegini dikawal dari suis pada siling seperti kereta biasa.

Teknologi adakalanya mengorbankan praktikaliti. Mungkin ini sindrom kereta premium, kerana Volvo dan Volkswagen Golf Mk8 juga ada isu ini. Dari sudut lain, anda bolehlah katakan Proton S70 ini premium dan canggih.

Jadi, sekian sahaja tujuh penemuan kami mengenai Proton S70 dalam pemanduan singkat ini. Apa pendapat anda? Pengguna S70 ada perkongsian tambahan lain?

@engear.tv

7 #Rahsia #Proton #S70 #engeartv #malaysia #fyp #carstiktok #tiktokmalaysia #sedan

♬ original sound – Engear TV – Engear TV

 

Proton S70 dapat 5-bintang bagi ujian perlanggaran ASEAN NCAP

SEDAN terbaharu Proton yang baru sahaja dilancarkan, S70 telah memperoleh penarafan 5-bintang bagi ujian keselamatan yang dijalankan oleh ASEAN NCAP (ASEAN New Car Assessment Program). Keputusan itu disiarkan dalam laman web rasmi organisasi itu.

Unit yang diuji merupakan varian permulaan iaitu Executive, dan mendapat penarafan 5-bintang dengan skor keseluruhan 82.95 mata.

Proton S70 dinilai berdasarkan protokol penilaian terkini ASEAN NCAP 2021-2025 yang merangkumi empat perkara iaitu Adult Occupant Protection (AOP), Child Occupant Protection (COP), Safety Assist Technology (SAT), dan Motorcycle Safety (MS).

Berikut adalah skor bagi setiap perkara dalam penilaian terkini:

  • AOP – 36.46 mata
  • COP – 17.02 mata
  • SAT – 15.71 mata
  • MS – 13.75 mata

Proton S70 datang standard dengan ciri keselamatan seperti enam beg udara, Vehicle Safety Assist, Anti-lock Braking System, Electronic Brake Distribution, Brake Assist, Hill-hold Assist, Rear Collision Warning, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Door Opening Warning, dan pengesan undur.

Tetapi varian Flagship dan Flagship X didatangkan dengan sistem bantuan pemandu (ADAS) yang membawakan 13 sistem keselamatan seperti berikut:

  • Autonomous Emergency Braking
  • Forward Collision Warning
  • Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go
  • Intelligent Cruise Control
  • Lane Departure Warning
  • Lane Departure Prevention
  • Lane Centering Control
  • Traffic Sign Information
  • Intelligent High Beam Control
  • Lane Change Assist
  • Door Opening Warning
  • Rear Collision Warning
  • Rear Cross Traffic Alert

Proton S70 dilancarkan semalam, dengan empat varian, dan harga permulaan RM73,800 untuk Executive hingga RM94,800 untuk Flagship X. Anda boleh baca laporan pelancaran penuh di sini.

Netizen berdebat video Proton S70 vs Toyota Vios vs Honda City – ini penerangan asas teknikal

PROTON telah mendedahkan sedan terbaharu mereka iaitu S70 dan seperti dijangka, ia mencetuskan hype dan perbualan hangat di media sosial, group-group sembang, malah di kedai kopi.

Proton S70 merupakan sedan pertama kelahiran hasil kerjasama syarikat nasional itu dengan Geely, selepas tiga model SUV sebelum ini iaitu X70, X50, dan X90.

Menurut Proton, S70 dibangunkan dari platform segmen-B (pesaing Vios, City, Almera) tetapi dengan penawaran saiz segmen-C (dalam liga Civic dan Corolla).

Walaubagaimanapun, bukan itu yang hendak kami ceritakan, kerana anda semua sudah tahu. Sebaliknya, berkenaan perdebatan antara netizen berkenaan Proton S70 vs Toyota Vios vs Honda City.

Dalam satu perkongsian netizen di group Toyota Vios 4th Gen 2023 di Facebook, seorang ahli memuatnaik tangkap layar dari video pandu uji oleh Bobby Ang, berkenaan pengendalian S70 berbanding Vios dan City.

Dari gambar itu, Bobby Ang membalas komen berkata, “Ya, kedua-dua Vios dan City mengatasi S70 dalam belokan dan pengendalian. Keselesaan saya rasa S70 jauh lebih baik.”

Rata-rata netizen ‘melompat’ dengan kenyataan itu, seolah-olah tidak boleh menerima hakikat bahawa handling (pengendalian) Honda atau Toyota lebih baik dari Proton (dalam segmen yang sama).

Penulis bukan mahu menyebelahi sesiapa, malah penulis juga pemilik Proton, model R3 lagi. Tetapi kita harus ingat, Proton sekarang bukan lagi yang dulu, malah normal untuk sesebuah pengeluar berubah dan berevolusi.

Jika dilihat model-model terkini Proton juga, rata-ratanya lebih terarah kepada keselesaan dan mungkin aspek premium, jadi apa salahnya? Tiada yang pelik. Proton masih tidak meninggalkan terus R3, cuma ia bukan fokus utama mereka buat masa ini.

Komen tanpa pemahaman teknikal?

Sementara itu, penulis tertarik untuk mengulas mengenai konsep asas mengenai dinamik sesebuah kereta, berdasarkan komen-komen di siaran itu.

“Boleh tengok masa drag race berapa banyak kereta itu ‘menunduk’ semasa membrek, dari situ boleh agak body roll (olengan)”.

Harus diketahui, berapa banyak kereta menunduk semasa membrek atau mendongak semasa memecut tidak boleh dikaitkan dengan olengan badan (body roll). Ini kerana olengan badan dikawal oleh anti-roll bar (bar anti-oleng).

Jika kereta A lebih banyak menunduk semasa membrek berbanding kereta B, tidak bermakna olengan badan kereta A di selekoh lebih banyak. Jika kereta A menggunakan anti-roll bar lebih tebal dan keras, ia pasti mempunyai olengan badan kurang berbanding kereta B di selekoh yang sama.

“Dia tak pernah bawa City ke? Membuang weh kereta itu.”

Apa yang dimaksudkan dengan ‘membuang’? Adakah bermaksud banyak olengan badan di selekoh, atau mudah hilang cengkaman?

Lagi sekali, olengan badan bergantung kepada bar anti-oleng dan faktor-faktor lain seperti penyerap hentak. Dan kereta yang mempunyai banyak olengan badan tidak bermaksud pengendaliannya tidak bagus, kerana ia bab yang rumit dan kompleks.

Jika ‘membuang’ tadi merujuk kepada hilang cengkaman, makai a bergantung kepada banyak faktor juga; jenis tayar, saiz tayar, keadaan permukaan jalan, berat kereta, suhu persekitaran. Dan adakah dakwaan ‘membuang’ itu dibuat selepas ujian terkawal di tempat dan masa yang sama?

“Serius? Walaupun selepas Proton menala semula pengendalian untuk disesuaikan dengan jalan raya Malaysia.”

Difahamkan Proton telah memberikan input dan ‘perisa’ mereka sendiri untuk S70 ini berbanding kereta asal, Geely Emgrand. Menurut Proton, sebanyak 75,000 jam dengan perjalanan sejauh 1.2 juta km telah dihabiskan untuk penalaan suspensi.

Tetapi itu tidak bermakna ia ditala dan dibangunkan untuk menjadi paling sporti dan paling dinamik. Mungkin ia ditala untuk lebih keselesaan, atau untuk keseimbangan.

Kenapa mesti bila Proton memberikan input sendiri, ia perlu mengalahkan City dan Vios dalam bab pengendalian? Salahkah kalau Proton mahu sedan itu selesa dan terasa lebih premium?

Gambar oleh: Practical Motoring

Apa pun, bab pengendalian, kualiti, dan kepuasan pemanduan ini suatu topik yang luas dan rumit. Ada kereta kurang 200hp dengan olengan badan yang banyak seperti Mazda MX-5 lebih terasa mantap pengendaliannya dari supercar mid-engined lebih 600hp dengan badan flat semasa di selekoh.

Ada juga kereta yang berkuasa, laju, tetapi masih selesa kerana menggunakan suspensi aktif atau adaptif.

Akhir sekali, kita harus faham kenapa pengeluar menala kereta sebegitu, tidak semua mempunyai matlamat yang sama. Kita pula haruslah menjadi pengguna bijak, berdebat guna otak dan bukan emosi kerana taksub sesuatu jenama.

Proton S70 versi hatchback dilakar! Pengganti Suprima S?

INI baru hari Selasa, tetapi kami rasa Proton S70 akan menjadi kereta paling hangat diperbualkan dalam minggu ini.

Spesifikasi dan varian telah didedahkan, bersama gambar rupa rasmi sedan baharu Proton itu, dan pelancaran bakal dibuat tidak lama lagi.

Proton S70 dianggap sebagai pengganti Preve, dan jika anda ingat, sedan ini mempunyai kembar hatchback iaitu Suprima S. Jadi, apa kata kita gambarkan Proton S70 hatchback?

Tak perlu gunakan imaginasi terlalu tinggi, kerana sahabat kita pelakar digital kereta, Theophilus Chin telah menyumbang ideanya.

Lakaran Proton S70 hatchback ini dibuat dengan mengambil bahagian belakang Skoda Fabia. Selain dari ‘memotong’ bahagian but dan menurunkan bumbung belakang, S70 hatchback diberikan lampu belakang mirip versi sedan.

Rekaan diffuser pada S70 sedan pula digantikan dengan panel hitam biasa di bahagian bampar belakang hatchback ini, yang juga menempatkan reflektor cahaya.

Sebenarnya kemungkinan untuk penghasilan Proton S70 hatchback amatlah tipis, memandangkan Geely Emgrand (yang menjadi asas kepada kereta ini) tidak ditawarkan dengan versi itu.

Tetapi menarik juga jika Proton dapat memujuk Geely untuk membangunkan dan menghasilkan S70 hatchback ini sendiri, bukan? Kemudian ia dipasarkan pula ke pasaran luar sebagai Geely Emgrand Hatchback, amacam?

Gambar dan imej lakaran oleh: Theophilus Chin

Proton S70 dilancar di kilang Tanjung Malim, sah enjin 1.5 TGDI turbo, tempahan dibuka!

PROTON hari ini mengumumkan pelancaran sedan terbaharu mereka, S70 yang telah secara rasmi dikeluarkan di kilang pemasangan mereka di Tanjung Malim.

Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton juga mengesahkan bahawa semua cawangan syarikat itu akan mula menerima tempahan dari pelanggan mulai 1 November 2023, dengan bayaran sebanyak RM500.

Sebenarnya ramai yang sudah tahu akan nama sedan Proton ini yang dihasilkan dari kerjasama Geely. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, S70 adalah berasaskan Geely Emgrand, yang mempunyai ukuran panjang 4,638mm, lebar 1,820mm, tinggi 1460mm dan jarak roda 2,650 mm.

Ini menunjukkan Emgrand lebih besar berbanding sedan-sedan segmen-B yang ada dalam pasaran seperti Proton Persona, Honda City dan Toyota Vios.

Di China, Emgrand boleh didapati dengan enjin NA 1.5-liter yang dipadankan dengan transmisi CVT atau manual lima kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan 114PS dan 147Nm.

Bagaimanapun, Proton S70 sah mendapat enjin 1.5-liter TGDI turbo dengan gandingan kotak gear DCT dwi-klac 7-kelajuan. Perkara ini dimaklumkan dalam siaran media yang baru kami terima.

Tiada perincian output didedahkan, tetapi jika ianya enjin yang sama dengan X70, bermakna S70 mempunyai output 177PS dan 255Nm tork.

“Proton S70 mencatatkan bab baru bagi Proton kerana kami kembali ke pasaran sedan keluarga dengan model yang merupakan evolusi seterusnya bagi model sedan kami, kata Dr. Li Chunrong.

“Kami mempunyai harapan tinggi bahawa ia akan menjadi popular di kalangan peminat PROTON yang sedia ada dan yang baru, serta membantu kami kembali ke puncak segmen pasaran yang sebelum ini dipimpin oleh model seperti Proton Wira, Waja, dan Prevé,” kata Dr. Li Chunrong.

S70 sah nama rasmi sedan baharu Proton

SEDAN baharu Proton yang dilaporkan akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini nampaknya akan dikenali sebagai Proton S70 dan bukannya S50 seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Menurut laporan rakan media paultan.org, sedan yang bakal menggantikan Preve itu dilihat sedang menjalani penggambaran di jalan raya tanpa sebarang pelekat penyamaran.

Seperti yang boleh dilihat, logo ‘S70’ terpampang jelas pada bahagian tailgate, ditemani dengan tulisan ‘PROTON’ di bawah jalur lampu.

Bagaimanapun, pemegang nombor plat memaparkan tulisan ‘PROTON S 0’, bermakna nombor 7 yang sepatutnya terletak selepas huruf S sengaja ditinggalkan. Mungkin untuk tujuan teaser?

Bukan itu sahaja, unit yang menjalani penggambaran itu juga dilihat mempunyai kit badan yang merangkumi skirting pada bahagian hadapan dan sisi, diffuser belakang serta spoiler.

Keputusan Proton untuk menamakan sedan ini sebagai S70 memberikan petanda bahawa model itu akan dipasarkan sebagai sedan segmen C, walaupun ia dibangunkan menggunakan platform BMA yang sama dengan X50 yang merupakan crossover segmen B.

Gambar oleh: The Ajerul

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, S70 adalah berasaskan Geely Emgrand, yang mempunyai ukuran panjang 4,638 mm, lebar 1,820 mm, tinggi 1460 mm dan jarak roda 2,650 mm.

Ini menunjukkan Emgrand lebih besar berbanding sedan-sedan segmen B yang ada dalam pasaran seperti Proton Persona, Honda City dan Toyota Vios.

Di China, Emgrand boleh didapati dengan enjin NA 1.5-liter yang dipadankan dengan transmisi CVT atau manual lima kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan 114 PS dan 147 Nm.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan yang S50 juga akan ditawarkan dengan enjin 1.5-liter TGDI yang dipasang di Tanjung Malim.