Tag Archives: Proton Waja

Proton Waja pernah jadi teksi di Iran 17 tahun lepas

Siapa yang tidak kenal dengan sedan Proton Waja?

Ia merupakan antara produk ‘asli’ terawal yang lahir dari Proton pada tahun 2000 dengan membawakan rekaan yang lebih segar dan lari daripada pengaruh Mitsubishi.

 

 

Tempoh pembangunan sedan ini hanya memakan masa tiga tahun, di mana rekaan luaran Waja dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga tempatan sementara platform casis pula masih lagi berkongsi teknologi daripada Mitsubishi.

Disebabkan itu, model-model terawal Proton Waja menggunakan nadi 4G18 1.6 liter yang disumberkan daripada Mitsubishi, diikuti penawaran enjin 1.8 liter Renault, nadi Campro standard 1.6 liter serta nadi CPS daripada Proton.

 

 

Tidak ketinggalan, terdapat versi Waja Chancellor dengan jarak antara roda yang lebih panjang, serta dipadankan dengan enjin 2.0 liter bentangan V6 6A12 yang sama digunakan oleh Perdana V6.

Pada zaman kegemilangannya, Proton Waja mendapat pujian kerana pengendalian yang baik, terima kasih kepada talaan Lotus Ride & Handling yang menjadi identiti kereta-kereta Proton pada masa itu.

Tidak dilupakan, masalah tingkap kuasa yang kini masih lagi menghantui kereta-kereta Proton walaupun kita sudah pun menapak dalam era 2020-an.

 

 

Sepanjang tempoh jualan antara tahun 2000 hingga 2012, Proton Waja telah berjaya dijual sebanyak 292,556 unit.

Selain dijual di pasaran Malaysia, Proton Waja turut dieskport ke beberapa pasaran luar negara, seperti Australia (menggunakan nama Proton GX), United Kingdom (Proton Impian), Indonesia, Iran dan Pakistan.

 

 

Tahukah anda, Proton Waja pernah digunakan sebagai teksi rasmi di Iran?

Pada tahun 2007, Proton telah mengeksport kira-kira 5,000 unit Proton Waja untuk dijadikan sebagai teksi di Iran menerusi kumpulan Zagross Khodro.

Sumber: Instagram Malaysia Cars Overseas

Menggunakan nama Proton Impian, kesemua 5,000 unit Waja itu dilayangkan dengan warna hijau khas di kilang Proton Shah Alam sebelum dieksport.

Menurut rakan media Motoqar, pada ketika itu kerajaan Iran sedang dalam usaha untuk memperbaharui barisan teksi di Tehran, di mana terdapat 70,000 unit teksi yang sudah terlalu berusia dan ketinggalan zaman.

 

Proton Waja terbalik selepas dihimpit Honda City, 2 cedera

DUA beranak cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas akibat dirempuh sebuah kenderaan lain dalam satu kejadian di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada Ahad.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata kejadian berlaku pada 10.15 pagi di KM49.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (menghala Kuala Lumpur).

Video berdurasi satu minit 41 saat yang tular di media sosial menunjukkan Proton Waja masuk ke lorong kanan dari lorong kiri.

Akibat tidak berpuas hati dengan tindakan Waja itu yang tidak memberi isyarat lebih awal, Honda City bertindak untuk mengekori rapat Waja tersebut.

Selepas kejar-mengejar dan himpit-menghimpit antara satu sama lain, pemandu Waja akhirnya hilang kawalan sebelum kenderaan itu terbabas dan terbalik di bahu jalan.

Pemandu Waja yang merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 56 tahun dan anak lelakinya yang berusia 25 tahun mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu.

Ketika kejadian dua beranak itu dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Kedah, manakala pemandu City, lelaki warganegara tempatan berumur 34 tahun sedang menuju ke Shah Alam dari Temerloh.

“Sebelum kemalangan jalanraya berlaku kedua-dua kereta didapati telah memandu secara cuai, melulu serta menghimpit dan membuat provokasi kerana tidak berpuas hati dari pemanduan kereta masing-masing,” kata Zaiham.

Tambah Zaiahm, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalanraya agar  memahami dan mengalamkan etika semasa memandu atau menunggang bagi mengurangkan kemalangan.

“Didik diri agar bertimbang rasa dan bertolak ansur ketika berada di atas jalanraya,” katanya.