Tag Archives: proton x90

Jualan Proton naik 13.6 peratus sepanjang Oktober 2024, Saga kekal model paling laris

Sepanjang bulan Oktober, Proton telah merekodkan jualan sebanyak 12,799 unit untuk pasaran domestik dan eksport, dengan peningkatan sebanyak 13.6 peratus berbanding bulan terdahulu.

Ini menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) Proton naik kepada 125,557 unit dan meletakkan jenama kereta nasional itu ditempat kedua dalam kedudukan jualan automotif negara.

Daripada jumlah tersebut, Proton Saga kekal menjadi pilihan popular di kalangan pembeli dengan jumlah sebanyak 6,112 unit dicatatkan dan jumlah YTD mencecah 60,178 unit.

Proton juga berharap angka jualan Saga dapat menembusi paras 70,000 unit untuk tahun kedua berturut-turut tahun ini.

Walaupun Saga tidak berjaya menjadi pendahulu di dalam segmennya, terdapat tiga model Proton lain mengekalkan kedudukan teratas di dalam segmen masing-masing.

Proton X50 menjadi SUV segmen B yang paling laris terjual sepanjang bulan lepas, dengan 2,122 unit dicatatkan, manakala Proton S70 pula kembali ke tangga teratas sebagai sedan segmen C terlaris dengan jumlah jualan 1,432 unit.

Model flagship Proton X90 pula kekal sebagai peneraju jualan SUV segmen D dengan jumlah sebanyak 245 unit direkodkan untuk bulan lepas.

Dalam masa yang sama, Proton mendedahkan model EV pertama syarikat itu, e.MAS 7 akan dilancarkan secara rasmi pada bulan hadapan (Disember 2024).

Proton X90 kini tembus pasaran Mauritius, Afrika Selatan dan Brunei

WALAUPUN berdepan pelbagai cabaran, Proton tetap meneruskan rancangannya untuk meluaskan jangkauannya di luar sempadan Malaysia.

Ini kerana pertumbuhan jualan eksport di pasaran antarabangsa merupakan salah satu tonggak utama bagi matlamat jangka panjang pengeluar kereta nasional itu.

Justeru itu, bulan Ogos menyaksikan Proton melancarkan SUV terbarunya iaitu X90 di tiga pasaran eksport.

Mauritius merupakan pasaran eksport pertama yang menerima X90, apabila model itu itu telah diperkenalkan pada 4 Ogos di Le Salon de L’ Automobile, SVICC, Pailles.

Ia diikuti dengan pasaran Afrika Selatan ketika Proton Afrika Selatan mempamerkan X90 di Festival Permotoran di Litar Grand Prix Kyalami dari 25 hingga 27 Ogos.

Pada hari yang sama, Proton Brunei melancarkan X90 di majlis pelancaran besar-besaran yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah dan Tan Kah Boon, Pengerusi Pad dan Econ Motors.

Menurut Proton, populariti model keluarannya telah melonjak di Brunei dengan pencapaian tertinggi dalam sejarah. Kumpulan pertama unit X90 telah dijual dengan pantas dan model lain turut diminati pembeli dalam pasaran dengan anggaran Jumlah Volume Industri (TIV) tahunan sebanyak 13,000 unit.

Bagi Ogos, jualan kenderaan Proton mencecah paras tiga angka buat kali pertama apabila 100 unit didaftarkan.

“Tahun 2023 mencabar perniagaan eksport Proton kerana kebanyakan pasaran eksport kami mengalami cabaran ekonomi yang mengakibatkan kawalan ketat pasaran modal. Walau bagaimanapun, usaha kami untuk meneroka peluang dalam pasaran lain diteruskan dengan kerja-kerja asas sedang dijalankan di Fiji, Ghana, Trinidad dan Tobago, dan Iraq,” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa, Proton.

Mengenai prestasi jualan untuk pasaran eksport bagi tahun 2022, Proton berkata volum berkembang pesat (5,406 unit), menandakan peningkatan sebanyak 79 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Proton X90 berasap: Punca dari kabel grounding, bukan bateri mild hybrid 48v

PROTON telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai jumpaan mereka dari siasatan berkenaan kes kebakaran melibatkan sebuah X90 bulan lepas. Video itu telah tular dan tersebar di media sosial.

Kini, pengeluar nasional itu telah mengenal pasti bahawa sambungan grounding menjadi punca kebakaran. Mereka juga mengingatkan kepada pemilik bahawa bateri mild hybrid 48volt bukan punca kebakaran itu.

Proton berkara pemilik-pemilik X90 akan dihubungi secara terus oleh pihak pengedar 3S dan 4S bagi membawa kenderaan mereka untuk pemeriksaan. Jika perlu, kerja-kerja pemulihan akan dijalankan oleh pusat servis itu bagi membendung sebarang risiko lain.

Pemilik-pemilik juga boleh menghubungi pusat 3S/4S terdekat atau talian 1-800-88-8398 untuk maklumat lanjut.

Selain itu, Proton dan para vendor juga telah mengambil langkah “untuk meningkatkan kawalan proses bekalan” dan membuat pemeriksaan di kilang pemasangan X90.

Berikut adalah kenyataan penuh dari pihak Proton di Facebook:

Tiada letupan dari bateri hibrid 48v X90 – Proton

PROTON telah mengeluarkan kenyataan bahawa unit yang terbakar itu kini sedang berada dalam simpanannya untuk tujuan siasatan.

Syarikat automotif nasional itu turut menegaskan bahawa tiada sebarang insiden letupan yang disebabkan oleh bateri sistem mild hybrid pada model berkenaan.

Kenyataan itu dibuat susulan video yang tersebar di media sosial menunjukkan sebuah Proton X90 berasap di bahagian but dipercayai terbakar.

“Kami mengesahkan insiden itu, dan kenderaan tersebut kini dalam simpanan kami. Pasukan kami akan menjalankan siasatan menyeluruh dan berhubung terus dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menentukan punca insiden,” tulis kenyataan itu.

“Kami juga ingin menegaskan tiada letupan disebabkan bateri mild hybrid 48v Proton X90 berkenaan. Kami faham kerisauan orang awam dan memohon kerjasama agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menekankan bahawa siasatan sedang berjalan.

“Di Proton, kualiti serta keselematan produk kami menjadi keutamaan, dan kami ingin memberi jaminan kepada pengguna bahawa semua model Proton dibangunkan menepati piawaian tertinggi dan setiap unit melalui pemeriksaan kualiti dan keselamatan ketat sebelum diserahkan kepada pelanggan.”

Kami akan kemas kini lagi perkembangan isu ini sebaik sahaja kami dapat maklumat lanjut dari pihak Proton.

X90 merupakan model terkini ditawarkan pengeluar nasional itu, yang merupakan sebuah SUV segmen-D tujuh tempat duduk.

Ia ditawarkan dengan empat varian, dan harga bermula RM123,800 untuk varian Standard hingga RM152,800 untuk Flagship.

Setiap X90 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo TGDi seperti terdapat pada X70 dan X50, tetapi enjin ini mendapat padanan Electric Motor Synergy (EMS) 48volt, iaitu suatu sistem mild hybrid.

Kami juga telah pandu uji SUV ini, anda boleh baca laporan kami di sini.

Proton X90 rasmi dilancar, NEV pertama, harga dari RM124k

PROTON X90 akhirnya dilancarkan, serentak dengan sambutan ulang tahun ke-40 pengeluar kereta nasional itu. X90 merupakan SUV tujuh atau enam tempat duduk dan ianya merupakan kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama Proton.

Seperti dilaporkan sebelum ini, X90 ditawarkan dengan empat varian, dan harga masing-masing seperti berikut:

X90 1.5 TGDI BSG Standard: RM123,800
X90 1.5 TGDI BSG Executive: RM130,800
X90 1.5 TGDI BSG Premium: RM144,800
X90 1.5 TGDI BSG Flagship: RM152,800

Seperti pada namanya, Proton X90 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo TGDi seperti terdapat pada X70 dan X50, tetapi enjin ini mendapat padanan Electric Motor Synergy (EMS) 48volt, iaitu suatu sistem mild hybrid. Ini yang menyebabkan X90 mendapat penarafan NEV.

Sistem mild hybrid itu merangkumi enam komponen utama iaitu motor Belt-Starter Generator (BSG) 48V, penukar DCDC, bateri litium-ion, sistem pengurusan bateri, sistem brek pemulihan dan sistem kawalan modul hibrid.

X90 akan guna sistem operasi Atlas seperti X50 dan X70

Secara sendirinya, enjin 1.5 TGDi menjana 177PS dan 255Nm namun apabila digabungkan dengan 13PS dan 45Nm yang dibekalkan oleh EMS, ia menghasilkan output keseluruhan setinggi 190PS dan 300Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi dwi-klac 7-kelajuan.

Reka bentuk luaran X90 tidak jauh berbeza dengan model asal iaitu Geely Haoyue cuma ia menampilkan elemen-elemen Proton yang tersendiri seperti pin krom pada bahagian gril dan tulisan ‘PROTON’ pada tailgate. Perkara yang sama juga boleh dikatakan untuk ruang dalaman model ini.

Dari segi kelengkapan, SUV ini didatangkan dengan lampu DRL LED, lampu isyarat berjujukan dan rim 19-inci. Di dalam, anda akan menemui balutan kulit Nappa serta skrin sentuh infohibur berukuran 12.3-inci dan kluster insutrmen digital 10-inci.

Selain itu, terdapat juga tujuh pengecas USB, satu pengecas wayarles, pendingin hawa dua zon dengan corong untuk setiap barisan tempat duduk, ciri pelarasan dan ventilasi tempat duduk, serta penapis udara N95 G-Clean.

Bagi sistem bantuan pemandu (ADAS) pula, X90 akan didatangkan dengan 14 ciri termasuk tiga ciri baharu iaitu Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Traffic Sign Information. Auto Park Assist, kamera 360 darjah dengan paparan 3D dan Tyre Pressure Monitoring System turut disertakan.

Seperti disenaraikan di atas tadi, Proton X90 ditawarkan pada harga antara RM123,800 hingga RM152,800, atas jalan tanpa insurans.

Kesemua X90 turut hadir dengan pakej seperti berikut:

Jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan
Pakej data 5-tahun
Kos upah servis percuma 6 kali
Kadar faedah serendah 2.1 peratus
Program Insurans Proton

Proton X90 kini dibuka untuk tempahan

SELEPAS didedahkan secara rasmi pada bulan lalu, kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama Proton iaitu Proton X90 akhirnya dibuka untuk tempahan.

Harga masih belum diumumkan namun seperti yang dilaporkan sebelum ini, model itu ditawarkan dalam empat varian Standard, Executive, Premium dan Flagship.

Seperti yang boleh dilihat dalam brosur di atas, varian Standard, Executive dan Premium didatangkan dengan tujuh tempat duduk, manakala varian Flagship mempunyai enam tempat duduk dengan kerusi kapten pada barisan kedua.

Keempat-empat varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter TGDi yang digandingkan dengan teknologi mild-hybrid yang merangkumi motor Belt-Starter Generator (BSG) 48V. Trenkuasa ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 190 PS dan 300 Nm, dan disalurkan ke gandar hadapan oleh transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

Dari segi spesifikasi, varian Standard mendapat lampu hadapan LED, rim aloi 18 inci, upholsteri fabrik, skrin sentuh infohibur 12.3 inci dan kamera undur.

Varian Executive pula menambah ciri-ciri sistem pemantauan tekanan tayar, tailgate kuasa, upholsteri leatherette, pelarasan kuasa untuk tempat duduk pemandu, sistem ventilasi tempat duduk hadapan serta kamera 360 darjah dengan paparan 3D.

Varian kedua tertinggi iaitu Premium pula didatangkan dengan sistem bantuan pemandu ADAS, rim aloi 19 inci, balutan kulit Nappa, pelarasan kuasa untuk tempat duduk penumpang hadapan, pengecas wayarles dan ciri Park Assist.

Sebagai varian tertinggi, X90 Flagship mendapat semua ciri yang ada pada varian Premium dengan penambahan bumbung panoramik, suis ‘Boss’ pada tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk kapten.

Untuk makluman pembaca, suis ‘Boss’ membolehkan tempat duduk tersebut dianjak ke hadapan bagi memberikan ruang kaki yang luas kepada penumpang di tempat duduk barisan kedua.

Untuk pilihan warna, varian Flagship dan Premium boleh didapati dalam kesemua enam warna yang ditawarkan iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown, Ruby Red dan Marine Blue.

Varian Executive ditawarkan dalam semua warna kecuali Marine Blue, manakala Standard pula hanya boleh didapati dalam warna Snow White, Armour Silver dan Jet Grey.

Proton X90 didedah secara rasmi – 4 varian, 6 atau 7 tempat duduk

SETELAH pelbagai laporan dan spekulasi, Proton akhirnya mendedahkan SUV ketiga dan kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama mereka dalam satu acara prebiu eksklusif di studio rekaannya di Shah Alam.

Ya, seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, model itu akan dikenali secara rasmi sebagai Proton X90. Ia akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship, dengan pilihan enam atau tujuh tempat duduk. Walau bagaimanapun, harganya masih belum diumumkan.

Apa yang kami tahu setakat ini, X90 sah akan menampilkan trenkuasa mild hybrid yang terdiri daripada enjin 1.5-liter TGDi yang sama seperti pada X50 dan X70, serta sistem Sinergi Motor Elektrik (EMS) 48V.

Sistem itu merangkumi enam komponen utama iaitu motor Belt-Starter Generator (BSG) 48V, penukar DCDC, bateri litium-ion, sistem pengurusan bateri, sistem brek pemulihan dan sistem kawalan modul hibrid.

Secara sendirinya, enjin itu mempunyai 177 PS dan 255 Nm namun apabila digabungkan dengan 13 PS dan 45 Nm yang dibekalkan oleh EMS, ia mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 190 PS dan 300 Nm. Output disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

Reka bentuk luaran X90 tidak jauh berbeza dengan model asal iaitu Geely Haoyue cuma ia menampilkan elemen-elemen Proton yang tersendiri seperti pin krom pada bahagian gril dan tulisan ‘PROTON’ pada tailgate. Perkara yang sama juga boleh dikatakan untuk ruang dalaman model ini.

Dari segi kelengkapan, SUV ini didatangkan dengan lampu LED dengan lampu nyalaan siang, lampu isyarat berjujukan dan rim 19 inci. Di dalam, anda akan menemui balutan kulit Nappa serta skrin sentuh infohibur berukuran 12.3 inci dan kluster insutrmen digital 10 inci.

Selain itu, terdapat juga tujuh pengecas USB, satu pengecas wayarles, pendingin hawa dua zon dengan corong untuk setiap barisan tempat duduk, ciri pelarasan dan ventilasi tempat duduk, serta penapis udara N95 G-Clean.

Bagi sistem bantuan pemandu (ADAS) pula, X90 akan didatangkan dengan 14 ciri termasuk tiga ciri baharu iaitu Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Traffic Sign Information. Auto Park Assist, kamera 360 darjah dengan paparan 3D dan Tyre Pressure Monitoring System turut disertakan.

Proton X90 dipertonton buat julung kali, produksi kini bermula di Tg Malim

BUKANLAH suatu rahsia bahawa Proton akan mengembangkan rangkaian modelnya tahun ini dengan model SUV yang ketiga selepas X70 dan X50.

Model berkenaan, yang dijangka dinamakan sebagai Proton X90, telah pun dipertontonkan kepada pihak media sejurus selepas majlis pelancaran rangkaian stamping baharu di kilang Proton di Tanjung Malim.

Spesifikasi rasmi masih belum didedahkan namun menurut Proton, X90 bakal menjadi model pertamanya yang menawarkan teknologi hibrid.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, SUV tiga tempat itu berkemungkinan menggunakan gabungan enjin 1.5-liter turbo dan teknologi BSG (belt starter generator) yang dibangunkan oleh Geely.

BSG berfungsi memberi bantuan kuasa sementara semasa pecutan untuk merendahkan penggunaan bahan api, selain mengembalikan kuasa semasa coasting (meluncur).

Gabungan tersebut dikatakan mampu menghasilkan output berjumlah 190 PS dan 300 Nm. Untuk transmisi, ia dijangka menggunakan kotak gear dwi-klac 7 kelajuan seperti yang terdapat pada X50 dan X70 MC2.

Dari segi reka bentuk, gambar rasmi tunggal yang disiarkan menunjukkan bahawa model itu mempunyai reka bentuk gril yang berbeza daripada X50 dan X70. Sekilas pandang, ia tidak ubah seperti gril Mercedes-Benz dengan pin berlian yang mengelilingi logo jenama.

Selain itu, unit yang dipertontonkan itu juga dilihat menggayakan warna biru gelap baharu (berkemungkinan warna Deep Marine Blue).

Timbalan Ketua Eksekutif Pegawai, Proton, Roslan Abdullah berkata pihaknya akan mengadakan pratonton media dan sesi suai kenal pelanggan sebelum melancarkan SUV baharu itu ke pasaran.

“Ini merupakan langkah penting dalam perjalanan NEV (Kenderaan Tenaga Baharu) kami yang akan secara beransur memberi penekanan pada teknologi hibrid sebelum kami melancarkan Proton EV yang pertama,” tambah beliau.

Proton X90 bakal dapat enjin mild-hybrid 190hp/300Nm, 4 varian, lancar sebelum Raya?

ANDA pasti telah banyak melihat gambar-gambar intipan Proton X90 di media sosial, dan nampaknya SUV segmen-D itu bakal dilancarkan tidak lama lagi. Menurut beberapa sumber yang dilaporkan oleh Wapcar, Proton X90 mungkin memasuki pasaran dalam suku pertama ini.

Gambar oleh: Sam Ho

X90 juga dikatakan bakal menjadi model hibrid pertama Proton. Tetapi ia bukanlah hibrid sepenuhnya seperti Toyota Corolla Cross dan Honda HR-V, sebaliknya X90 akan menampilkan sistem mild hybrid (MHEV) 48 volt.

Gambar oleh: Adi Irfan

Unit yang akan digunakan ialah BSG (belt starter generator) Geely, dipadankan pada enjij 1.5-liter turbo. Secara umumnya, BSG akan memberi bantuan kuasa sementara semasa pecutan untuk merendahkan penggunaan bahan api, selain mengembalikan kuasa semasa coasting (meluncur).

Menurut Funtasticko, output gabungan BSG dan enjin adalah sekitar 190hp dan 300Nm tork. Kuasa ini dijangkan disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan, iaitu transmisi sama pada X50 dan X70 MC2.

Gambar oleh: Adi Irfan

Funtasticko juga menambah bahawa Proton X90 akan ditawarkan dengan empat varian (Standard, Executive, Premium, dan Flagship), dengan enam warna badan termasuk satu warna baharu Deep Marine Blue.

Tiada harga anggaran didedahkan, tetapi apa pendapat anda mengenai Proton X90 setakat ini? Kami jangkakan ia dijual pada harga anggaran sekitar RM120k hingga RM145k.