Tag Archives: PROTON

Proton perkenal ProCare Smart Plan untuk Saga, X90 dan X70 2025

Proton telah melancarkan pakej perkhidmatan prabayar baharu yang boleh dibeli oleh pelanggan bagi kereta Proton baru dan sedia ada mereka.

Dikenali sebagai Pelan ProCare Smart (PSP), pakej ini membantu pemilik mengehadkan kos penyelenggaraan pemilikan kenderaan dengan menawarkan penjimatan sehingga 15% atau RM670.

PSP boleh didapati untuk Saga, X90 dan X70 2025. Sekiranya kenderaan dijual dengan baki PSP yang masih belum tamat, pemilik baru akan menikmati manfaat tersebut selagi ia masih dalam tempoh sah.

Pembeli kereta Proton baharu boleh memilih untuk mendapatkan pakej tiga tahun atau lima tahun. Pakej ini juga ditawarkan kepada pemilik semasa yang membeli kenderaan mereka tanpa pakej PSP, namun ia dihadkan kepada selang masa dua tahun, dengan penjimatan sehingga RM350.

Menurut Proton, walaupun PSP pada masa ini terhad kepada tiga model yang disebutkan, terdapat rancangan untuk meluaskannya kepada semua model Proton pada masa depan.

Pembeli yang ingin mendaftar untuk pakej PSP selepas membeli kereta mereka boleh mendapatkan perkhidmatan Pelan Pembayaran Tetap (FPP) sehingga 24 bulan melalui kad kredit Affin Avance Proton.

Pelanggan juga boleh mendapatkan pelan pembayaran ansuran melalui Direct Lending, sebuah platform peminjaman digital patuh syariah, dengan tempoh pembayaran bulanan sehingga 12 bulan.

“Proton kekal fokus dalam membuat penambah baik terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan kami, dan Pelan ProCare Smart adalah contoh terkini usaha ini,” kata Edmund Lim, Naib Presiden Jualan dan Selepas Jualan, Proton Edar.

Proton jual 12,194 unit pada November, turun 4.7% berbanding Oktober

Proton mencatatkan jualan sebanyak 12,194 unit (domestik dan eksport) pada bulan November, menunjukkan penurunan sebanyak 4.7% berbanding Oktober.

Syarikat itu berkata, penurunan itu selaras dengan pengurangan dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 4.1% untuk jualan automotif Malaysia.

Ini membawa jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) kepada 137,751 unit, membolehkan Proton kekal di tempat kedudukan kedua paling popular dalam kedudukan jualan nasional.

Syarikat itu menganggarkan bahagian pasaran untuk bulan November adalah 18.2% yang membawa kepada angka YTD sebanyak 18.8% untuk keseluruhan tahun 2024.

Jualan X70 2025 meningkat 7.7% berbanding Oktober dengan 1,065 unit diserahkan, menjadikan jumlah jualan YTD sebanyak 7,536 unit.

Sementara itu, X50, X90 dan S70 menamatkan November sebagai peneraju segmen masing-masing untuk jualan YTD.

X50 terus mendahului jualan SUV segmen B dengan 1,911 unit terjual. Ini menjadikan jumlah jualan sebanyak 21,033 unit setakat ini.

X90 kekal sebagai peneraju pasaran SUV segmen D dengan pertumbuhan 13.1% bulan ke bulan kepada 277 unit, menyumbang kepada jumlah jualan terkumpul sebanyak 3,246 unit.

S70, yang membuat penampilan pertama dalam perlumbaan Sepang 1000km dan menyambut ulang tahunnya pada 28 November, mencatat jualan sebanyak 1,312 unit untuk memimpin carta jualan segmen. Pencapaian ini membawa jumlah jualan YTD kepada 17,512 unit.

Sementara itu, Saga merekodkan 5,916 unit jualan (YTD 66,094 unit), manakala Persona dan Iriz masing-masing mencatatkan 1,394 unit (YTD 17,325 unit) dan 319 unit (4,762 unit).

Selain di Malaysia, Saga juga laris di pasaran antarabangsa. Sebanyak 480 unit pemanduan kiri (LHD) dieksport ke Mesir bulan lalu, 300% lebih tinggi berbanding berbanding 120 unit yang dihantar pada bulan sebelumnya.

Sehingga kini, sebanyak 2,203 unit Saga telah dieksport tahun ini, menjadikan jumlah eksport 2024 melebihi jumlah eksport keseluruhan tahun 2023. Bersama pertumbuhan jualan di negara lain, jumlah jualan eksport terkumpul kini mencapai 3,652 unit berbanding 3,636 unit tahun lalu.

KLIMS 2024: apa kereta menarik yang bakal muncul?

Bagi yang belum mengetahui, Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 akan membuka tirainya dari 5 hingga 11 Disember 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Menurut penganjur iaitu Persatuan Automotif Malaysia (MAA), acara yang hadir dengan tema ‘Beyond Mobility’ itu bakal menampilkan hampir 70 pempamer, dengan kawasan pameran meliputi hampir 30,000 kaki persegi di dua aras bangunan MITEC.

Bagi mereka yang merancang untuk mengunjungi, berikut adalah antara beberapa kenderaan menarik yang akan membuat kemunculan mereka di acara berkenaan:

Perodua EMO-II

Tidak syak lagi, Perodua bakal mencuri tumpuan pengunjung dengan model konsep berkuasa elektrik mereka iaitu EMO-II (Electric Mobility Online). Ia memberi bayangan kepada versi produksi kenderaan elektrik pertama Perodua yang akan dilancarkan ke pasaran pada penghujung tahun ini.

Proton e.MAS 7

Walaupun tidak diumumkan secara rasmi, EV pertama Proton iaitu e.MAS 7 berkemungkinan besar akan membuat kemunculan sulungnya di KLIMS 2024. Ia boleh didapati dengan dua pilihan pek bateri, dengan harga anggaran RM120,000.

Honda Prelude Concept

Satu lagi jenama yang pastinya akan menjadi tarikan di KLIMS 2024 adalah Honda. Di samping barisan model terkininya, Honda Malaysia mengumumkan bahawa ia juga akan mempamerkan Prelude Concept. Ini sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di peringkat Asia selain Jepun yang mempamerkan model coupe hibrid tersebut.

Mazda CX-60

Bagi peminat setia Mazda, Bermaz Motor akan mempamerkan dua model SUV yang menarik iaitu CX-60 dan CX-80. Dibina di atas platform SkyActiv Multi Solution Scalable Architecture, model ini boleh didapati dengan pilihan trenkuasa petrol, diesel dan hibrid plug-in (PHEV), dengan pacuan roda belakang dan semua roda.

Mazda CX-80

Seperti CX-60, CX-80 juga merupakan sebahagian daripada kumpulan Large Product pengeluar dari Jepun itu namun ia menawarkan tiga barisan tempat duduk. Pilihan trenkuasa juga hampir sama dengan CX-60, terdiri daripada enjin petrol dan diesel enam silinder sebaris, PHEV, transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem AWD atau RWD.

Toyota Camry

Susulan pelancarannya di Thailand pada Oktober lalu, Toyota Camry generasi kesembilan (XV80) akan membuat kemunculan sulungnya di Malaysia minggu ini. Sedan segmen D itu dikuasakan oleh gabungan enjin hibrid 2.5-liter dan transmisi jenis e-CVT yang menghasilkan 227 PS.

Toyota Corolla Cross

Selain Camry, UMW Toyota Motor juga akan membawakan Corolla Cross versi facelift yang sebenarnya sudah pun dibuka untuk tempahan pada November lalu. Selain reka bentuk luaran yang lebih segar, SUV ini juga mendapat beberapa kelengkapan baharu termasuk brek parkir elektronik, Auto Hold dan sistem bantuan pemandu yang dipertingkatkan.

Nissan Kicks e-Power

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Nissan Kicks e-Power akan hadir dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, dengan dua pilihan varian iaitu VL dan VLT. Ia menampilkan enjin petrol 1.2-liter tiga silinder yang bertindak sebagai penjana untuk mengecas pek bateri bagi menggerakkan motor elektrik pada gandar depan.

MG Cyberster

Antara kereta yang bakal menonjol di KLIMS 2024 adalah MG Cyberster, roadster elektrik yang dikuasakan oleh dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan berjumlah 503 PS dan 725 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat.

GWM Wey 80

Wey merupakan sub-jenama mewah yang bernaung di bawah Great Wall Motor (GWM). Sama ada ia akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan atau tidak masih belum dapat dipastikan, namun jika MPV mewah ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung, tidak mustahil ia akan terjadi.

 

Proton Saga LHD mula dipasang di Mesir Disember ini

Proton dijangka akan memulakan proses pemasangan kenderaan (CKD) di Mesir pada Disember ini menerusi pembukaan kilang di Kaherah, Mesir.

Perasmian kilang CKD tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim bersempena dengan lawatan rasminya ke negara itu.

Terletak di Al Oula Industrial Park, Giza, fasiliti yang dimiliki oleh Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) bernilai US$35 juta ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 20,000 unit dan mampu menyediakan 400 peluang pekerjaan.

Perasmian kilang CKD tersebut merupakan susulan daripada penghantaran pertama unit CKD ke Mesir pada 9 September yang lalu.

Unit pertama Proton Saga versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dijangka akan meluncur keluar dari barisan produksi pada bulan Disember ini dengan sasaran pengeluaran 1,400 unit untuk tahun 2024.

Angka tersebut akan meningkat kepada 5,000 unit pada tahun 2025, dengan unjuran pengeluaran sebanyak 16,000 unit Saga CKD versi LHD untuk tempoh sehingga tiga tahun sehingga akhir tahun 2026 dengan anggaran nilai sebanyak RM570 juta.

Selain pasaran domestik Mesir, Proton juga akan mengeksport model kenderaan ke negara-negara di Afrika Utara dan Timur Tengah.

Proton juga merancang untuk menjadikan Mesir sebagai salah satu hab terpenting pengeluar itu di rantau tersebut.

Kos servis Proton X70 2025 cecah RM5,000 untuk 100,000 km/5 tahun

Proton X70 versi facelift 2025 telah dilancarkan ke pasaran tempatan pada Ogos lalu, membawakan penambahbaikan pada aspek reka bentuk, kelengkapan dan juga mekanikal.

Bercakap tentang mekanikal, enjin 1.8-liter empat silinder TGDi dan pacuan semua roda (AWD) tidak lagi ditawarkan, bermakna kesemua varian SUV segmen C itu hanya boleh didapati dengan enjin 1.5-liter tiga silinder TGDi dan pacuan roda depan (2WD).

Dalam artikel ini, kami akan kupaskan kos servis X70 2025 sehingga perbatuan 100,000 km atau lima tahun pemilikan:

1,000 km

Untuk 1,000 km pertama, pelanggan perlu menukar tiga benda sahaja iaitu minyak enjin sintetik penuh 5 liter (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25) dan drain plug gasket (RM5.26), manakala kos buruh adalah percuma sebanyak enam kali. Ini menjadikan kos keseluruhan sebanyak RM244.51.

10,000 km

Setelah mencecah 10,000 km, anda perlu menukar minyak enjin (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25), drain plug gasket (RM5.26), penapis udara enjin (RM71.64) dan pencuci cermin depan (RM2). Kos keseluruhan adalah RM318.15.

20,000 km

Selain minyak enjin (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25), drain plug gasket (RM5.26), dan pembersih cermin depan (RM2), pelanggan perlu menukar penapis bahan api (RM28.18) dan penapis kabin N95 (RM79). Selain itu, kos buruh (RM90) juga akan dikenakan. Ditambah dengan cukai servis 8% (RM7.20), kos keseluruhan untuk servis 20,000 km adalah RM450.89.

30,000 km

Kos servis untuk perbatuan 30,000 km sama sahaja dengan 10,000 km iaitu RM318.15. Barang-barang yang perlu ditukar adalah minyak enjin, penapis minyak enjin, drain plug gasket, penapis udara enjin dan pencuci cermin depan.

40,000 km

Kos keseluruhan untuk 40,000 km agak tinggi iaitu RM696.21 kerana terdapat banyak barang yang perlu ditukar. Antaranya adalah minyak enjin (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25), drain plug gasket (RM5.26), palam pencucuh (RM117.45), bendalir brek (RM50.11), penapis bahan api (RM28.18), penapis kabin N95 (RM79) dan pencuci cermin depan (RM2). Oleh kerana jumlah barang yang ditukar lebih banyak, kos buruh juga sedikit tinggi iaitu RM162, tidak termasuk cukai servis 8% (RM12.96).

50,000 km

Seperti perbatuan 10,000 km dan 30,000 km, kos keseluruhan kali ini adalah RM318.15. Barang-barang yang perlu ditukar juga sama iaitu minyak enjin, penapis minyak enjin, drain plug gasket, penapis udara enjin dan pencuci cermin depan. Tiada kos buruh dikenakan.

60,000 km

Untuk servis 60,000 km, pemilik perlu menukar minyak enjin (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25), drain plug gasket (RM5.26), coolant enjin (RM135.45), penapis bahan api (RM28.18), penapis kabin N95 (RM79), dan pencuci cermin depan (RM2). Kos keseluruhan adalah RM651.14, termasuk kos buruh (RM150) dan cukai servis 8% (RM12).

70,000 km

Kos keseluruhan untuk 70,000 km adalah RM318.15, iaitu sama dengan kos servis perbatuan 10,000 km, 30,000 km dan 50,000 km.

80,000 km

Kini tiba masanya untuk anda melakukan servis major tetapi tidak seperti 40,000 km dan 60,000 km, kos keseluruhan kali ini mencecah empat angka kerana di samping barang-barang seperti minyak enjin, palam pencucuh, bendalir brek dan sebagainya, anda juga perlu menukar minyak gear (RM346.92). Ditambah dengan kos buruh (RM204) dan cukai servis 8% (RM16.32), kos keseluruhan untuk servis 80,000 km adalah RM1,088.49.

90,000 km

Sama seperti servis 10,000 km, 30,000 km, 50,000 km dan 70,000 km, kos servis kali ini adalah RM318.15. Perlu diingat yang ini adalah kali terakhir anda akan menikmati kos buruh percuma.

100,000 km

Untuk servis 100,000 km, kosnya tidak terlalu tinggi iaitu RM450.89 sahaja. Barang-barang yang perlu ditukar adalah minyak enjin, penapis minyak enjin, drain plug gasket, penapis bahan api, penapis kabin N95, dan pencuci cermin depan. Kos servis adalah RM90, manakala cukai servis 8% adalah RM7.20.

Konklusi

Kos keseluruhan servis berkala X70 2025 adalah RM5,172.88 untuk perbatuan 100,000 km/lima tahun pemilikan. Ini bermakna secara purata, pemilik perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM1,034.57 setahun atau RM86.21 sebulan untuk servis.

Pengiraan ini penting kerana selain bayaran ansuran, pelanggan juga perlu mengambil kira kos servis serta kos-kos lain seperti petrol, insurans dan tol sebelum membuat keputusan.

Jualan Proton naik 13.6 peratus sepanjang Oktober 2024, Saga kekal model paling laris

Sepanjang bulan Oktober, Proton telah merekodkan jualan sebanyak 12,799 unit untuk pasaran domestik dan eksport, dengan peningkatan sebanyak 13.6 peratus berbanding bulan terdahulu.

Ini menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) Proton naik kepada 125,557 unit dan meletakkan jenama kereta nasional itu ditempat kedua dalam kedudukan jualan automotif negara.

Daripada jumlah tersebut, Proton Saga kekal menjadi pilihan popular di kalangan pembeli dengan jumlah sebanyak 6,112 unit dicatatkan dan jumlah YTD mencecah 60,178 unit.

Proton juga berharap angka jualan Saga dapat menembusi paras 70,000 unit untuk tahun kedua berturut-turut tahun ini.

Walaupun Saga tidak berjaya menjadi pendahulu di dalam segmennya, terdapat tiga model Proton lain mengekalkan kedudukan teratas di dalam segmen masing-masing.

Proton X50 menjadi SUV segmen B yang paling laris terjual sepanjang bulan lepas, dengan 2,122 unit dicatatkan, manakala Proton S70 pula kembali ke tangga teratas sebagai sedan segmen C terlaris dengan jumlah jualan 1,432 unit.

Model flagship Proton X90 pula kekal sebagai peneraju jualan SUV segmen D dengan jumlah sebanyak 245 unit direkodkan untuk bulan lepas.

Dalam masa yang sama, Proton mendedahkan model EV pertama syarikat itu, e.MAS 7 akan dilancarkan secara rasmi pada bulan hadapan (Disember 2024).

Proton, Grab lancar kempen “Saga Power Up for Grab Drivers”, mula 4 November ini

Proton baru-baru ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Grab Malaysia yang menawarkan faedah eksklusif kepada pemandu e-hailing apabila mereka membeli Proton Saga.

Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pemanduan dan menyokong keperluan yang semakin meningkat dalam industri e-hailing.

Inisiatif ini juga diharap dapat memberikan manfaat kepada pemandu, pengguna dan memperkukuhkan lagi kedudukan kedua-dua syarikat dalam pasaran.

MoA itu ditandatangani oleh Roslan Abdullah selaku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan Rashid Shukor, Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara untuk Grab Malaysia.

Bermula 4 November ini, kempen “Saga Power Up for Grab Drivers” akan memberikan akses keutamaan kepada rakan pemandu Grab untuk memiliki Proton Saga.

Kempen ini termasuklah insentif dan tawaran seperti rebat tunai serta diskaun perkhidmatan 5 peratus sah untuk dua tahun pertama atau sehingga 40,000 km.

Pemandu yang layak boleh membeli sebanyak mungkin Proton Saga selagi mereka memenuhi syarat Grab Malaysia.

Selain pakej Proton, Grab turut menawarkan sehingga RM500 untuk rakan pemandu baru yang membeli Proton Saga dan mengaktifkan akaun Pemandu Grab mereka.

“PROTON teruja untuk bekerjasama dengan Grab Malaysia dalam menyokong industri e-hailing dengan menawarkan model ikonik kami, Proton Saga, kepada rakan pemandu Grab. Kebolehpercayaan dan kos penyelenggaraan yang berpatutan adalah faktor penting bagi usahawan yang menggunakan kereta sebagai alat kerja utama mereka.”

“Selain itu, kerjasama ini memberikan keistimewaan eksklusif kepada mereka yang menerima tawaran ini, sambil menyokong visi kami untuk pengangkutan yang lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan peluang fleksibel kepada rakyat Malaysia dalam ekonomi yang sentiasa berubah. Dengan memudahkan akses kepada peluang pendapatan, kami menyokong rakan-rakan kami yang memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan harian masyarakat.

“Dengan peningkatan permintaan untuk perjalanan, kami sentiasa berusaha untuk menambah dan mengoptimumkan bekalan pemandu aktif kami untuk memenuhi keperluan ini. Inisiatif ini menggalakkan lebih ramai orang untuk memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh ekonomi digital,” kata Rashid Shukor, Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara, Grab Malaysia.

Proton e.MAS 7 – spesifikasi didedahkan, harga anggaran RM120k

Pro-Net akhirnya mendedahkan perincian dan spesifikasi bagi kenderaan elektrik nasional pertama iaitu Proton e.MAS 7.

Kita sudah tahu bahawa e.MAS 7 dibangunkan menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) dan mempunyai ukuran panjang 4,615 mm, lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm, dan jarak roda 2,750 mm.

Hasil ujian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan yang e.MAS 7 mampu meredah air dengan kedalaman sehingga 400 mm, lebih tinggi berbanding Geely Galaxy E5.

Kini, Pro-Net telah mengesahkan terdapat dua varian e.MAS 7 yang akan ditawarkan iaitu Prime dan Premium. Kedua-duanya didatangkan dengan motor elektrik yang sama namun dengan kapasiti bateri dan kelengkapan yang sedikit berbeza.

e.MAS 7 dipacu oleh motor elektrik “12 dalam 1” pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 175 km/j.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, e.MAS 7 dilengkapi dengan bateri Aegis short blade yang dikatakan mempunyai ketumpatan tenaga lebih tinggi, lebih selamat dan tahan lebih lama.

Varian Prime dilengkapi dengan versi 49.52 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 345 km, manakala Premium mendapat pek 60.22 kWj dengan jarak mencecah 410 km. Kedua-dua angka ini adalah mengikut piawaian WLTP.

Untuk pengecasan, e.MAS 7 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium – kedua-duanya memerlukan 20 minit untuk pengecasan dari 30% hingga 80%.

Terdapat juga pengecasan AC 11 kW yang boleh mengecas bateri dari 30% hingga 80% dalam 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.

Senarai kelengkapan bagi kedua-dua varian boleh dikatakan hampir sama. e.MAS 7 didatangkan standard dengan lampu LED dengan ciri Follow-me Home dan Active High Beam Control, rel bumbung, tingkap kuasa dengan ciri anti-trap, sensor hujan, cermin sisi elektrik dengan pelarasan elektrik dan pemanas.

Saiz roda berbeza, di mana varian Prime didatangkan dengan rim 18 inci dengan tayar Giti bersaiz 225/55, manakala Premium dilengkapi dengan rim 19 inci dan tayar Goodyear 235/50. Selain itu, bumbung panoramik, tailgate kuasa dan Active Grille Shutter hanya terdapat pada varian Premium.

Di dalam, kluster instruman LCD 10.2 inci, stereng multifungsi, upholsteri leatherette, pelarasan kuasa enam hala untuk kerusi pemandu didatangkan standard pada kedua-dua varian.

Varian Premium mendapat beberapa ciri tambahan berbentuk cermin pandang belakang auto dimming, fungsi memori untuk kerusi pemandu, pelarasan kuasa empat hala untuk kerusi penumpang depan, fungsi ventilasi untuk kerusi depan dan pencahayaan ambien 256 warna.

Fungsi-fungsi kemudahan yang disertakan termasuk Intelligent Keyless Entry and Start, Walk Away Auto Lock, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa automatik dengan penapis N95 dan Vehicle-to-Load (V2L).

Untuk sistem infohibur, e.MAS 7 didatangkan standard dengan sistem Flyme Auto bersama skrin sentuh 15.4 inci dengan resolusi 2.5K, namun hanya Premium yang mendapat head-up display (HUD) dan sistem audio Wanos dengan 16 pembesar suara.

Dari segi keselamatan pula, ADAS adalah ciri standard pada e.MAS 7. Ia merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Intelligent Cruise Control (ICC)
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Automatic Emergency Braking (AEB)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Dynamic Brake Support (DBS)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Lane Departure Prevention (LDP)
  • Emergency Lane Keeping Assist (ELKA)
  • Rear Collision Warning (RCB)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Rear Cross Traffic Braking (RCTB)
  • Lane Change Assist (LCA)
  • Blind Spot Detection (BSD)
  • Door Open Warning (DOW)
  • Traffic Sign Identification (TSI)

Turut disertakan pada kedua-dua varian adalah kamera 360 darjah dan radar belakang. Radar depan hanya terdapat pada varian Premium.

Proton e.MAS 7 bakal dilancarkan ke pasaran pada suku keempat tahun ini. Ia kini dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran RM120,000. Pelanggan terawal yang membuat tempahan akan menikmati potongan harga sebanyak RM500 dan pakej hadiah bernilai RM1,000.

Proton juarai jualan sedan di Malaysia, 3.85 juta unit terjual sejak 1985

Proton dalam satu kenyataan berkata ia kekal sebagai jenama terlaris bagi sedan di Malaysia, dengan 3.85 juta unit terjual sejak penubuhannya kira-kira 40 tahun lalu.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, kejayaan ini disumbangkan oleh ikon-ikon negara seperti Saga, Wira, Waja, yang pernah digunakan sebagai kereta polis di Humberside County, UK, dua generasi Persona, Prevé, dan penawaran terbarunya iaitu S70.

Dilancarkan pada bulan November tahun lalu, S70 menjadi pilihan utama dalam kategori sedan-C dengan jumlah jualan tahun-ke-tahun mencecah 14,877 unit sehingga bulan September.

Jualan keseluruhan telah mengatasi pesaing lain dalam kategori yang sama, dengan purata 1,640 unit terjual sebulan sejak bulan Januari tahun ini. Model ini mendahului jualan dalam segmennya, dengan tiga negeri teratas iaitu Selangor, Johor, dan Pulau Pinang.

Namun, penyumbang terbesar ialah Saga dengan jualan melebihi 2 juta unit sejak pelancarannya pada 9 Julai 1985 hingga bulan September tahun ini. Model ini telah melalui perubahan besar menerusi tiga generasi, dengan peningkatan dari segi keselamatan, reka bentuk, prestasi, keselesaan dalaman dan ciri-ciri, pembangunan platform dan casis, serta badan yang lebih kukuh.

Bagi sedan Proton, pengalaman pemanduan yang responsif, rekod keselamatan, serta keseronokan di belakang stereng memainkan peranan besar dalam menarik minat pembeli kereta.

Seiring dengan perubahan zaman, model-model ini turut memperkenalkan peningkatan keselamatan yang relevan, seperti sistem brek anti-kunci (ABS), beg udara, pretensioner tali pinggang keledar, serta struktur badan yang dibentuk dengan hot-press form.

Dengan S70, ciri-ciri ADAS (Advanced Driver Assistance Systems) tahap 2 seperti bantuan pertukaran lorong, brek kecemasan automatik, kawalan pemanduan pintar, serta maklumat papan tanda trafik untuk memastikan sedan Proton kekal di barisan hadapan teknologi keselamatan.

Tinjauan terbaru oleh Insight Asia yang melibatkan 277 peserta berumur antara 22 hingga 59 tahun mendedahkan bahawa pembeli mengutamakan kemampuan, keselesaan, dan keselamatan, bersama dengan reka bentuk yang bergaya dan moden.

Sebab-sebab utama untuk memilihnya termasuk estetika yang menarik, kuasa yang baik, dan nilai keseluruhan yang berbaloi, bermula dari lebih RM70,000. Ramai pemilik telah naik taraf dari segmen yang lebih kecil dan tidak mempertimbangkan model lain, melihat model ini sebagai unik dalam kelasnya.

Secara keseluruhan, pemilik S70 menyatakan kepuasan tinggi terhadap keselesaan kabin, ruang penyimpanan, dan ciri keselamatan. Ada yang mengalami masalah bunyi, getaran, dan kekerasan (NVH) yang kecil tetapi ia tidak menjejaskan pengalaman keseluruhan mereka.

Cadangan untuk penambahbaikan termasuk pengenalan ciri seperti pengelap cermin automatik dan tempat duduk berventilasi, menurut Insight Asia.

Apple CarPlay kini boleh dimuat turun ke dalam Proton X70 2025

Proton mengumumkan bahawa Apple CarPlay kini tersedia untuk pemilik Proton X70 2025 yang dilancarkan pada Ogos lalu. Ini menjadikan X70 model pertama Proton untuk menerima ciri sambungan yang popular itu.

Menurut jenama automotif nasional itu, Apple CarPlay untuk X70 2025 boleh didapati menerusi kemas kini Over-the-Air (OTA) mulai 16 Oktober 2024.

Bermula daripada tarikh ini, pemilik kereta akan menerima notifikasi OTA secara berperingkat dan mereka hanya perlu mengikuti langkah-langkah berikut untuk memuat turunnya ke dalam kenderaan mereka:

Langkah 1: Muat turun dan pasang

  • Pakej kemas kini perisian akan dimuat turun sebaik sahaja ia tersedia untuk kenderaan pelanggan. Pengguna perlu memastikan enjin berjalan sehingga muat turun selesai.
  • Setelah selesai, pengguna boleh memulakan pemasangan pada bila-bila masa mengikut keselesaan mereka. Setelah pemasangan dimulakan, pengguna perlu memastikan enjin berjalan sehingga kemas kini perisian selesai.

Langkah 2: Sahkan versi perisian

  • Kemas kini perisian yang berjaya boleh disahkan di Tetapan Kenderaan di bawah [Maklumat Sistem] > [Tentang IHU]. Versi sistem terkini adalah SW3RBA10925H1141.
  • Versi ini mengandungi Apple CarPlay, prestasi sistem yang dipertingkat, serta pelbagai pembetulan pepijat untuk pengalaman pengguna yang lebih baik.

Langkah 3: Boleh mula guna

  • Dengan kemas kini perisian terkini dipasang, pengguna boleh menikmati kemudahan Apple CarPlay dengan memasangkan iPhone mereka, sama ada melalui sambungan USB ataupun tanpa wayar (Bluetooth).
  • Setelah iPhone berjaya dipasangkan ke sistem, pengguna boleh melancarkan antaramuka Apple CarPlay dengan menekan ikon.

3 benda yang ‘kureng’ tentang Proton X70 2025

Penulis secara peribadi menyukai Proton X70 2025 yang dilancarkan ke pasaran pada Ogos lalu. Ia bukan sekadar facelift kerana perubahan yang ditampilkan lebih bersifat menyeluruh, melibatkan aspek estetik luaran dan dalaman.

Pertama sekali, ia tampil dengan wajah yang lebih tampan berbanding sebelum ini. Yang kedua, sesi pandu uji media di Kota Kinabalu baru-baru ini membuktikan yang ia sebuah SUV yang cukup selesa.

Sistem suspensi terasa sedikit lebih keras dari versi CBU asal namun ketika melalui jalan berlubang-lubang dalam perjalanan menuju ke Kundasang, hentakan yang terhasil tidaklah terlalu kuat.

Selain itu, bukan sahaja deruman enjin tiga silinder pada kelajuan rendah tidak sejelas sebelum ini, malah bunyi lori dan trak pikap yang banyak di jalan raya di sekitar KK juga dihalang daripada meresap masuk ke kabin dengan baik.

Walau bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang penulis tidak gemar tentang kereta ini:

Rekaan bahagian belakang yang sama

Seperti yang penulis katakan, X70 2025 mempunyai wajah yang lebih tampan berbanding sebelum ini. Rekaan bahagian hadapan itu sebenarnya diambil daripada Geely Boyue facelift yang dikeluarkan dua tahun lalu tetapi bagi penulis, ia masih nampak segar di pandangan mata.

Cuma, bahagian belakang SUV ini seolah-olah tidak disentuh. Ya, Proton telah menambah reflector melintang (sebelum ini menegak) dan liang udara palsu pada bampar bagi membuatkan ia nampak lebih lebar namun tailgate dan lampu dibiarkan begitu sahaja, mungkin atas sebab kekangan daripada Geely.

Jadi jika anda lihat X70 baharu ini di jalan raya, anda mungkin menyangka yang ia adalah versi lama.

Tuil gear baharu yang agak pelik

Selain upholsteri kulit Nappa berwarna Stone Grey dan sistem pencahayaan ambien, benda baru lain yang terdapat di dalam kabin X70 2025 adalah tuil gear.

Rekaannya masih dikekalkan namun pada model facelift ini, butang P telah dialihkan. Ini bukan satu masalah, malah bagi penulis ia lebih mudah untuk digunakan.

Namun apa yang agak pelik di sini adalah paten menukar gear dalam mod manual. Kebiasaannya, anda perlu menolak tuil gear ke bawah untuk menaikkan gear dan ke atas untuk menurunkan gear.

Tetapi dengan X70 facelift, simbol ‘-‘ dan ‘+’ berada pada bahagian kiri dan kanan, bermakna anda perlu menolak tuil gear ke kiri untuk menurunkan gear dan ke kanan untuk menaikkan gear dalam mod manual.

Pintu tailgate kini boleh dibuka secara automatik tetapi…

Untuk memudahkan lagi pengguna, Proton telah menambah ciri Auto Open pada pintu tailgate. Ini bermakna anda tidak perlu lagi menekan apa-apa butang atau pun menghayun kaki di bawah bampar untuk membuka tailgate.

Apa yang anda perlu lakukan adalah berdiri dekat dengan tailgate (pastikan kunci berada di dalam poket) dan ia akan terbuka dengan sendirinya. Ciri ini memang sangat berguna terutamanya jika tangan anda penuh dengan barang.

Tetapi bagi penulis, ia masih boleh ditambah baik kerana tailgate mengambil masa yang agak lama untuk dibuka iaitu lebih lima saat.

@engear.tv 3 Benda Aku TAK SUKA Dengan Proton X70 2025 #fyp #carsoftiktok #proton #protonx70 #protoncars #protonmalaysia #suv #engeartv #malaysia ♬ original sound – Engear TV

Proton bakal tempatkan dua unit S70 R3 di perlumbaan 1000km Sepang

Proton telah memperkenalkan kereta lumba Proton S70 R3 yang akan bertanding di perlumbaan 1000km Sepang 2024 yang akan berlangsung dari 22 hingga 24 November depan.

Gambar-gambar rasmi yang disiarkan oleh pengeluar kereta nasional itu menunjukkan S70 R3 sedang menjalani persiapan akhir dan hanya menunggu untuk dipakaikan livery perlumbaan sahaja.

Spesifikasi tidak didedahkan namun berdasarkan ngauman nyaring yang jelas kedengaran menerusi video yang dikongsi pada 1 Oktober lalu, terdapat kemungkinan kereta ini menggunakan nadi Campro 1.6 liter seperti yang digunakan oleh kereta-kereta lumba Proton sebelum ini.

Ditubuhkan pada tahun 2003, Proton R3 adalah bahagian sukan permotoran yang disokong oleh kilang Proton, dengan singkatan yang bermaksud Race, Rally, Research.

Sepanjang dua dekad yang lalu, R3 telah berjaya membawa model Proton dalam acara perlumbaan dan rali di peringkat domestik dan antarabangsa. Pengetahuan yang diperoleh dimanfaatkan untuk membangunkan kepelbagaian komponen peningkatan prestasi dan model edisi terhad untuk dijual kepada pelanggan.

Bukan itu sahaja, baru-baru ini, mereka juga telah menceburi bidang pelincir dengan menggunakan jenama R3.

S70 R3 adalah yang terbaru dalam barisan model Proton yang dibangunkan untuk sukan permotoran. Dengan penampilan sulungnya, Proton dan bahagian sukan permotorannya menerokai bidang baru, bertanding dengan kereta yang dibangunkan bersama Geely dan hanya setahun selepas pelancarannya di pasaran.

Proton merupakan OEM paling berjaya dalam sejarah 1000km Sepang dengan enam kemenangan, manakala R3 adalah pasukan paling berjaya dengan lima kemenangan, termasuk tiga kemenangan berturut-turut dari 2017 hingga 2019.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “Setelah tidak bertanding dalam tiga perlumbaan 1000km Sepang yang lalu, Proton teruja untuk kembali ke grid permulaan pada 2024. Proton S70 R3 menandakan satu pencapaian baru bagi jenama ini apabila kita membawa model yang dibangunkan bersama Geely ke dalam persaingan buat kali pertama.”

“Walaupun ia merupakan kereta baru, Proton menyahut cabaran untuk menempatkan dua unit S70 R3 dalam perlumbaan dan bukannya menggunakan model lama yang terbukti sebagai pilihan alternatif. Kami bertekad untuk membuktikan kemampuan model sedan Proton terbaru di litar perlumbaan,” tambah beliau.

Proton kekal no. 2 dalam pasaran walaupun jualan menurun pada September

Proton mencatatkan jualan sebanyak 11,269 unit bagi domestik dan eksport pada bulan September, menjadikan jumlah jualan tahun hingga kini (YTD) sebanyak 112,758 unit.

Pencapaian ini membolehkan pengeluar kereta nasional itu kekal di kedudukan kedua dalam carta jualan automotif nasional dengan bahagian pasaran dianggarkan sebanyak 20.1% untuk bulan September dan angka YTD sebanyak 19.1% untuk keseluruhan tahun 2024.

Jumlah jualan bagi industri automotif menurun pada bulan September dengan jumlah volum industri (TIV) dianggarkan menurun ke tahap terendah dalam tempoh 17 bulan.

Anggaran awal menunjukkan angka tersebut hanya mencapai 56,067 unit, iaitu pengurangan sebanyak 22.2% berbanding bulan sebelumnya. Namun, jumlah anggaran YTD untuk TIV masih lebih baik berbanding 2023, dengan jumlah volum hampir 590,000 unit, iaitu 3% lebih baik daripada tahun lepas.

Dilancarkan pada 19 Ogos tahun ini, Proton X70 2025 meraih semula gelaran sebagai SUV segmen C terlaris dengan jualan sebanyak 1,466 unit pada September. Ini merupakan volum jualan tertinggi untuk X70 sejak Disember 2022.

Selain itu, dua lagi model SUV Proton juga muncul sebagai peneraju jualan bagi bulan tersebut. X50 yang dikemas kini pada Jun lalu menunjukkan prestasi jualan yang kukuh dengan 1,771 unit terjual, manakala X90 kembali meraih kedudukan teratas dalam jualan segmen D dengan 217 unit terjual.

Model lain yang mendahului segmennya untuk jualan YTD adalah Proton S70 yang mencatat jualan sebanyak 1,013 unit, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 14,768 unit dalam tahun penuh pertama jualannya.

Walaupun terkeluar dari kedudukan teratas dalam senarai jualan bulanan, ia akan mendapat dorongan dengan pelancaran Proton S70 R3 yang dijadualkan untuk bersaing dalam Sepang 1000KM pada bulan November.

Saga kekal sebagai model paling popular dengan 5,162 unit terjual bulan lepas, menempatkannya di tempat kedua bagi sedan segmen A.

Proton e.MAS kini mempunyai 36 wakil pengedar di seluruh Malaysia

Pro-Net baru-baru ini mengumumkan pelantikan sebanyak 36 buah pengedar Proton e.MAS iaitu melebihi dua kali ganda berbanding 17 pengedar yang diumumkan pada Jun lalu.

Menurut syarikat itu, pelantikan ini menekankan komitmennya dalam meningkatkan pasaran EV di Malaysia serta memperluaskan keupayaan perkhidmatan pelanggannya.

Peningkatan jumlah pengedar Proton e.MAS ini disertai dengan lawatan ke Institut Penyelidikan Geely (GRI) di Hangzhou, China, yang disertai lebih daripada 40 eksekutif dan pengurus pengedar dari Malaysia.

Lawatan selama tiga hari ini bertujuan untuk memberikan peluang untuk merasai teknologi canggih Geely dalam mendapatkan input mengenai cara pengendalian operasi jualan dan servis model EV premium dari rangkaian pengedar di bawah syarikat Geely.

“Sejak pelancaran jenama Proton e.MAS pada bulan Jun yang lalu, kecepatan pembangunan menjelang pelancaran model pertama kami harus diberi pujian. Penambahan 19 buah pengedar baru ke dalam ekosistem kami menunjukkan semangat juang yang tinggi terhadap ketibaan EV nasional pertama Proton,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net.

Lawatan ke GRI di Teluk Hangzhou membolehkan pengedar Pro-Net mendalami dengan lebih lanjut mengenai teknologi canggih dan inovasi di dalam model Proton e.MAS 7.

Selain sesi perkongsian teknologi, para pengedar juga berpeluang untuk merasai sendiri teknologi tersebut dengan pandu uji Geely E5 di litar percubaan.

Selain itu, mereka turut singgah di Pusat Pengesahan Kenderaan Tenaga Baharu untuk melihat bagaimana Geely menjalankan ujian pra-pengeluaran, penilaian dan pengesahan bagi pembuatan dan teknologi kenderaan EV.

Lawatan ke pelbagai pengedar premium di bawah rangkaian luas Geely juga diatur sebagai sebahagian daripada usaha dalam meningkatkan tanda aras piawaian yang telah ditetapkan kepada pengedar dan prosedur-prosedur mengenai perkhidmatan pelanggan, strategi jualan dan latihan kepada kakitangan.

“Kesempatan kami untuk melawat GRI sangat membuka mata. Merasai pengalaman teknologi canggih yang sedang dibina, diuji, dan disahkan mengukuhkan lagi keyakinan kami terhadap teknologi dan inovasi global yang dibangunkan bersama Geely dan Proton yang akan digunakan di dalam kenderaan elektrik pertama Malaysia,” kata Abdul Hakim Bin Basri, Pengurus Pengedar Proton e.MAS Kota Bharu – JM Otomobil (EV).

Dengan revolusi EV yang semakin pesat membangun, misi Pro-Net bukan sahaja mempeluas penerimaan EV tetapi juga menyediakan laluan kerjaya bagi mereka yang berminat untuk membangunkan dan memelihara ekosistem EV tempatan dengan matlamat mobiliti lestari.

Mereka yang berminat untuk menyertai rangkaian pengedar Proton e.MAS yang semakin berkembang boleh menghubungi Proton melalui emel Zhaole@proton.com/affendyk@proton.com.

Kami pandu uji kembar Proton e.MAS 7, Geely Galaxy E5 – Pandu Uji Ringkas

Minggu lalu, Proton Centre of Excellence (COE) menjadi destinasi penamat bagi siri jelajah dunia Geely Galaxy E5 yang bermula dari China.

Walaupun digelar sebagai ‘siri jelajah dunia’, konvoi yang terdiri daripada beberapa unit Galaxy E5 pemanduan sebelah kiri itu sebenarnya hanya merentasi tiga negara Asia Tenggara iaitu Laos, Thailand dan Malaysia.

Biar pun begitu, perjalanan sejauh 3,700 km itu dilihat sudah cukup untuk membuktikan kemampuan dan ketahanan Galaxy E5 dalam dunia sebenar.

Menurut wakil dari Geely, konvoi tersebut berjaya melengkapkan perjalanan yang panjang itu tanpa sebarang masalah dan setiap unit berjaya tiba di COE dalam keadaan elok walaupun berhadapan dengan banjir di Laos yang diakibatkan oleh Taufan Yagi.

Mengambil kesempatan yang ada, Proton telah menjemput pihak media untuk memandu uji kembar kepada Proton e.MAS 7 itu di litar ujiannya di COE. Bukan itu sahaja, beberapa media terpilih juga berpeluang untuk memandu EV itu di jalan raya untuk pengalaman pemanduan yang lebih realistik.

Apa yang penulis boleh katakan, sesi pandu uji ini memberikan bayangan yang agak jelas mengenai reka bentuk, teknologi dan prestasi e.MAS 7 yang akan dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Reka bentuk luaran sama sahaja?

Proton sebelum ini menekankan bahawa e.MAS 7 bukanlah model rebadge Galaxy E5. Dari sudut teknikal, dakwaan ini benar kerana e.MAS 7 sememangnya dibangunkan serentak dengan Galaxy E5. Menurut Proton, lebih 100 jurutera mereka terlibat dalam projek ini.

Walau bagaimanapun, dari segi reka bentuk luaran, kami tidak rasa Proton boleh membuat terlalu banyak perubahan pada e.MAS 7 kecuali menukar logo dan lencana asal. Elemen Infinite Weave seperti yang digunakan pada model-model lain juga tidak boleh diterapkan kerana e.MAS 7 tidak mempunyai gril.

Cuma, apa yang penulis nampak, e.MAS 7 menggunakan rim satu inci lebih kecil iaitu 18 inci berbanding Galaxy E5 yang didatangkan dengan rim 19 inci.

Ruang dalaman minimalis tetapi mewah

Seperti bahagian luaran, rekaan ruang kabin e.MAS 7 juga dijangka tidak jauh berbeza dengan Galaxy E5. Tetapi ini adalah benda bagus kerana rekaan ruang dalaman EV dari China ini agak mengagumkan, sama ada dari segi susun atur atau bahan yang digunakan.

Upholsteri kulit yang digunakan kelihatan begitu mewah dan terasa cukup lembut pada sentuhan. Paling penting, ia diaplikasikan secara meluas bukan sahaja pada tempat duduk, tetapi bahan itu juga membaluti sebahagian besar papan pemuka dan panel pintu.

Selain daripada warna putih, Geely turut menawarkan pilihan warna merah perang dan biru gelap. Adakah Proton akan menawarkan pilihan warna yang sama? Sama-sama kita nantikan.

Luas dan praktikal, sesuai untuk rakyat Malaysia

Dengan tapak roda berukuran 2,750 mm, Galaxy E5 menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa. Penulis amat kagum dengan ruang kaki penumpang belakang yang setanding dengan kereta segmen D walaupun ini merupakan SUV segmen C.

Tempat duduk belakang menawarkan sokongan peha yang mencukupi tetapi apa yang lebih menarik adalah kerusi penumpang hadapan yang didatangkan dengan fungsi Ottoman – satu ciri yang biasanya terdapat pada MPV mewah sahaja.

Bagi mereka yang sering membawa barangan yang banyak, jangan gusar kerana Galaxy E5 mempunyai 33 ruang storan termasuk laci di bawah kerusi belakang. Untuk sebuah SUV, ruang butnya tidaklah begitu besar (461 liter) namun terdapat ruang simpanan tambahan sebesar 51 liter di bawah lantai but.

Sarat dengan teknologi

Galaxy E5 dan e.MAS 7 menggunakan sistem operasi yang sama iaitu Flyme Auto yang dikuasakan oleh cip Longying One Chip 7 nm yang didakwa sebagai cip kokpit pintar pertama dari China. Selain integrasi telefon pintar, sistem operasi ini juga menawarkan ciri arahan suara untuk melakukan pelbagai perkara. Anggap sahaja ia seperti pembantu peribadi anda.

EV ini juga menggunakan sistem audio Flyme Sound berkapasiti 1,000 watt dengan 16 pembesar suara, termasuk pada perehat kepala. Bukan itu sahaja, terdapat juga pembesar suara pada bahagian luar yang berguna jika anda mahu memainkan muzik ketika berparti.

Anda juga boleh menggunakan pembesar suara luaran tersebut untuk membunyikan amaran kepada pejalan kaki atau pengguna jalan raya yang lain. Yang menariknya, pilihan bunyi yang disediakan boleh dikatakan sangat tidak konvensional. Ia termasuk bunyi “Hi”, ngauman harimau, kucing mengiau, deruman enjin supercar dan pelbagai lagi.

Galaxy E5 jelas ditala untuk keselesaan, bagaimana pula dengan e.MAS 7?

Biarpun agak singkat, sesi pemanduan di litar ujian Proton dan di jalan raya berjaya mendedahkan karakter Galaxy E5. Penulis dapat merasakan yang EV ini memang ditala untuk pemanduan yang lebih santai, berbeza dengan EV China lain yang penulis pernah cuba seperti smart #1.

Galaxy E5 didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 218 PS dan 320 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 184 km/j.

Pada zaman kini, di mana EV sudah mampu menandingi supercar dengan mudah, angka ini tidaklah begitu mengagumkan namun penulis merasakan yang Galaxy E5 sebenarnya sudah cukup pantas untuk kebanyakan pemandu di luar sana. Cuma, tindak balas pendikitnya tenang dan tidak terburu-buru, walaupun ditekan dengan agresif.

Selain itu, sistem suspensi Galaxy E5 juga boleh dikatakan sangat lembut. Dalam perjalanan menuju ke Puncak Alam, kereta ini membuktikan yang ia mampu menyerap hentakan dari permukaan berlubang dengan cukup baik sehinggakan ia hampir tidak terasa di dalam kabin. Walau bagaimanapun, penulis dapat merasakan ada sedikit lantunan ketika bergerak pada kelajuan tinggi atau melalui jalan yang beralun.

Konklusi

Seperti yang dikatakan, sesi pandu uji ini sangat berharga kerana ia dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran mengenai Proton e.MAS 7.

Dari segi reka bentuk luaran dan dalaman, serta sistem infotainment dan teknologi, penulis tidak mengharapkan perubahan yang terlalu ketara kerana pakej yang dibawakan oleh Galaxy E5 sudah cukup menarik.

Bagaimanapun, dari segi pemanduan terutamanya tindak balas pendikit dan talaan suspensi, Proton pastinya akan menggunakan kepakaran mereka bagi memastikan e.MAS 7 sesuai dengan keadaan permukaan jalan raya di Malaysia, selain dapat memenuhi permintaan pembeli EV tempatan.

Proton X90 Flagship jadi pilihan Konvensyen Usahawan Cina Sedunia (WCEC) ke-17

Pada 9 hingga 11 September lalu, Proton telah menyerahkan 20 unit Proton X90 Flagship kepada Konvensyen Usahawan Cina Sedunia (WCEC) ke-17 untuk digunakan dalam mengangkut pegawai asing, pengurusan atasan, dan anggota dari pelbagai perniagaan sepanjang tiga hari acara itu berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), model NEV pertama
Proton itu membantu memastikan VVIP acara tersebut dapat mengalami perjalanan yang selesa dan bergaya ke mesyuarat, janji temu, dan penginapan, serta destinasi lain sebelum mengakhiri perjalanan mereka di lapangan
terbang.

Menurut pengeluar kenderaan nasional itu, para tetamu menyatakan bahawa mereka gemar X90 kerana keselesaan dan ruang yang ditawarkan.

Selepas berakhirnya acara WCEC, SUV itu juga digunakan dalam lawatan ke beberapa lokasi pelancongan di Melaka oleh rombongan-rombongan yang terdiri daripada Cheng Hong, Naib Presiden Persatuan Cina Luar Negara, dan Wang Yanfei, Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Wilayah Sichuan.

Sejak dilancarkan pada Mei 2023, jualan X90 telah mencapai 7,322 unit, menjadikannya salah satu model SUV segmen D paling laris serta mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen tersebut pada Ogos tahun ini.

Bermula pada 1991, acara dwitahunan itu menghimpunkan usahawan dari seluruh dunia untuk membina hubungan perniagaan dan meneroka peluang baru seperti teknologi baru, ekonomi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan banyak lagi.

Dihadiri oleh 4,000 peserta dari China, Amerika, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan tempat lain, WCEC dijangka akan mewujudkan sekurang-kurangnya RM2 billion dalam peluang perniagaan, terutamanya melalui padanan perniagaan dan misi pasca kovesyen yang akan mempamerkan potensi pelaburan negara kepada persada global.

“Dengan menyediakan 20 unit Proton X90 untuk acara ini, kami memperlihatkan komitmen kami terhadap kecemerlangan dan memperkukuhkan hubungan ekonomi yang lebih erat merentas sempadan. Inisiatif ini melambangkan dedikasi kami untuk membina masa depan yang kolaboratif dan mengukuhkan perkongsian global dalam industri automotif,” kata Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Proton X50 usia 6 bulan buat hal di Phuket, terpaksa ditunda kerana enjin tidak dapat dihidupkan

Nasib malang menimpa seorang wanita yang sedang bercuti di Phuket, Thailand apabila kereta Proton X50 yang dipandunya dari Malaysia tiba-tiba mengalami masalah sistem di destinasi percutian itu.

Dalam satu kiriman di laman Facebook ‘X50 Owners Club Malaysia’, Amira Murad mendakwa kunci keretanya tiba-tiba tidak berfungsi dan tidak dapat dikesan, sekali gus menyebabkan enjin tidak dapat dihidupkan.

Untuk pengetahuan anda, X50 didatangkan dengan ciri Remote Engine Start yang membolehkan enjin dihidupkan dari jarak jauh menggunakan kunci.

Menurut Amira lagi, enjin X50 miliknya itu tidak boleh dihidupkan melainkan menggunakan aplikasi Atlas. Tetapi apabila pintu dibuka, enjin akan mati serta-merta.

Dalam kirimannya Amira berkata dia berjaya mendapatkan bantuan dari juruteknik servis Proton tetapi mereka tidak tahu apakah masalah yang dialami oleh X50 itu.

“Bateri remote dah tukar. Semua kaedah dah cuba. Tapi masih tak berjaya.

“Proton We Care suruh towing sampai masuk Malaysia. Mereka hanya cover dalam negara. Kos nk keluar semua kita kena tanggung sedangkan kereta problem sebab produk mereka. Kereta baru pakai 6 bulan.

“Part paling bodoh sekali ialah sistem ACC yang menyebabkan keempat-empat tayar lock. Tak boleh simply pakai towing biasa. So duduk dalam kereta atas towing, tapi tak boleh buka tingkap. 7 jam atas kereta tak buka tingkap.

“Request untuk towing service under Proton tunggu di duty free Bukit Kayu hitam. Mereka tak nak sebab katanya tak cover. Jadi sekarang kami nak kena fikir macam mana nak tow kereta ni ke border Malaysia sebab towing Thailand hanya cover setakat imigresen Thailand sahaja,” tulisnya.

Bukan itu sahaja, dalam satu video yang turut dimuat naik, Amira menunjukkan bahawa pintu keretanya tidak boleh dibuka walaupun aplikasi menunjukkan bahawa pintu sudah pun terbuka.

Mengenai perkara itu, ada beberapa komen mengatakan Amira sepatutnya menggunakan anak kunci fizikal yang tersembunyi di dalam kunci (key fob) untuk membuka kunci pintu secara manual.

Kepada pakar-pakar di luar sana, apa sebenarnya yang terjadi pada X50 ini? Kongsikan pendapat anda.

Proton bawa vendor lawat kilang EV di China, 87% setuju kerjasama dengan pembekal

Proton telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan dua agensi kerajaan untuk membawa pembekal syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Proton untuk menghadiri “Program Akses Pasaran, Pemindahan Teknologi & Peningkatan Vendor” di China.

Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk inovasi, meningkatkan aktiviti, dan menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti yang mampan.

Dianjurkan oleh KUSKOP dan diketuai oleh Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), program tersebut telah diadakan pada awal Julai untuk mempercepatkan pembangunan kenderaan generasi akan datang dan kenderaan elektrik berkuasa bateri melalui perkongsian strategik dan pertukaran teknologi.

Wakil dari MBSB Bank, Tenaga Nasional Bhd, PLUS Expressways Bhd, UEM Edgenta Bhd, Telekom Malaysia serta 22 vendor Malaysia telah dibawa untuk melawat kilang komponen EV, seperti kilang dan stesen pengecas, pengeluar bateri dan pengecas di tujuh lokasi di China, termasuk Shanghai, Nanjing dan Hangzhou.

Antara lokasi yang dilawati termasuk anak syarikat Geely iaitu Zeekr dan pengeluar bateri serta pengecas EV VREMT di Teluk Hangzhou.

Sebagai peneraju global dalam bidang EV, ekosistem menyeluruh China untuk pembangunan EV, menjadikan program ini sangat penting dengan memberikan pandangan mendalam mengenai pembuatan, kemudahan dan perkhidmatan dalam industri EV.

Untuk memudahkan interaksi antara pembekal Proton dan pembekal EV Geely, sesi padanan perniagaan diadakan di Pusat Penyelidikan Geely (GRI) di Teluk Hangzhou semasa program tersebut. 95% peserta berpuas hati dengan sesi yang membantu mengenal pasti potensi perkongsian dan kerjasama untuk rantaian bekalan komponen EV.

87% pembekal tempatan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan pembekal China. Lima kategori perkongsian utama dipilih adalah pengedaran, kerjasama dalam pemindahan teknologi, rakan usaha sama, kerjasama dalam pembangunan kemahiran, dan pelaburan untuk perniagaan bersama.

Menurut KUSKOP, kerajaan komited untuk memajukan EV dan teknologi hijau. Peningkatan kerjasama dan perkongsian bertujuan untuk membina infrastruktur penting dan menyokong ekosistem EV yang mampan melalui pemindahan teknologi.

Dengan membangunkan rantaian bekalan tempatan, Malaysia berharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada import, mencipta pekerjaan, dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Proton e.MAS 7 jalani ujian intensif, pastikan EV lasak dan sesuai dengan pasaran tempatan

Pro-Net mendedahkan bahawa kenderaan elektrik nasional pertama iaitu e.MAS 7 kini sedang menjalani ujian jalan raya tempatan.

Menurut Pro-Net, fasa ujian intensif itu melibatkan enam unit e.MAS 7 yang dipandu oleh jurutera pakar Proton merentasi setiap pelusuk di Semenanjung Malaysia.

Ia merangkumi Ujian Ketahanan Adaptif (DAT), Ujian Jalanan Elektrikal (ERT), Ujian Sistem Bantuan Pemandu (ADAS), dan Ujian Kebolehpercayaan Kualiti (QRT), serta penambahbaikan yang berterusan pada sistem navigasi, Digital Head Unit (DHU), dan Penyedia Sistem Telematik (TSP).

Setakat ini, jurutera Proton telah menjalankan simulasi DAT yang dapat membaca faktor persekitaran dan corak lalu lintas unik di Malaysia.

Sistem navigasi dalam kereta telah diperinci dengan teliti untuk menggambarkan peta jalan raya Malaysia dengan tepat dan mengoptimumkan penangkapan frekuensi radio untuk stesen tempatan, memfokuskan laluan luar bandar, kawasan pergunungan, serta stesen kereta api untuk menguji sambungan rangkaian internet.

Sistem elektrik ini disasarkan untuk melengkapkan ujian jalan sejauh 10,000 km semasa Ujian ERT dijalankan untuk memastikan integrasi kesemua fungsi elektronik berjalan dengan lebih lancar.

Sistem ADAS telah diuji dengan teliti dalam pelbagai situasi seperti tempat letak kereta di pusat membeli-belah, di simpang jalan dan di jalan bertingkat.

Jurutera Proton juga telah menyesuaikan komponen perisian utama, memastikan sistem DHU dapat menterjemah bahasa asal pasaran China ke dalam Bahasa Inggeris Malaysia dengan tepat dan disesuaikan dengan tetapan tempatan, bukan hanya sekadar bergantung pada terjemahan umum.

Usaha kolaborasi antara Proton dan Geely ini membuktikan bahawa Proton e.MAS 7 bukan sekadar kenderaan yang ditukar jenama, tetapi merupakan kenderaan yang benar-benar berjiwa Malaysia.

Ujian ketahanan kenderaan, termasuk penyelesaian masalah dan pemeriksaan sistem yang ketat, memastikan daya ketahanan kenderaan mengikuti spesifikasi tempatan.

Jurutera Pro-Net telah melaksanakan 49 proses tambahan ciri unik daripada Geely untuk memastikan e.MAS 7 memenuhi piawaian tertinggi di peringkat tempatan dan global.

Ujian ini merangkumi segala aspek dari prestasi beban kenderaan sehingga ke kawalan kestabilan elektronik dan kebolehan meredah air yang telah dipertingkatkan — di mana hasil ujian e.MAS 7 melepasi Geely Galaxy E5 dengan kedalaman paras air 400 mm.

Ujian ini dijalankan pada bulan Julai dengan kedalaman air yang telah ditetapkan termasuk dengan ujian bonggol jalan untuk menggambarkan keadaan sebenar jalan raya di Malaysia. Satu isu ditemui dan diperbaiki selepas ujian tersebut dijalankan.

Seterusnya, e.MAS 7 akan menjalani akreditasi ASEAN NCAP. Ia juga akan menjalankan QRT untuk mencapai 100,000 km dalam ujian pecutan, prestasi brek dan penggunaan kuasa. Di samping itu, ujian perisian juga menjadi fokus utama jurutera Proton.

Proton X70 2025 jelas lebih baik berbanding sebelum ini – Pandu Uji Ringkas

Ia bukanlah model bread and butter seperti Saga tetapi X70 akan selamanya dikenang sebagai model yang memainkan peranan terbesar dalam transformasi Proton.

Seperti yang anda tahu, X70 merupakan model pertama yang ‘dilahirkan’ menerusi kerjasama antara Proton dan Geely yang terjalin pada 2017.

Selain itu, ia juga bertanggungjawab membawa Proton meneroka segmen pasaran SUV yang sangat mencabar. Jadi penulis boleh katakan yang X70 sememangnya mempunyai tempat dalam lipatan sejarah pengeluar kenderaan nasional itu.

Dalam sedar tak sedar, sudah enam tahun X70 berada dalam pasaran Malaysia dan dalam tempoh itu, SUV segmen C itu pernah dikemas kini sekali iaitu pada 2022, di mana ia mendapat enjin tiga silinder X50 dan beberapa ciri baharu lain.

Kini, setelah hampir dua tahun berlalu, X70 sekali lagi diberikan penambahbaikan namun kali ini, perubahan yang ditampilkan lebih bersifat menyeluruh kerana turut melibatkan aspek estetik luaran dan dalaman.

Secara ringkasnya, X70 versi facelift ini tampil dengan ‘wajah’ yang diambil daripada Geely Boyue facelift yang dikeluarkan dua tahun lalu. Rupanya sudah dua tahun berlalu tetapi bagi penulis, ia masih nampak segar di mata.

Dengan lampu LED yang lebih tajam dan langsing, ditemani dengan gril lebih lebar yang dihiasi krom pin ala Mercedes-Benz, X70 kini kelihatan jauh lebih tampan berbanding sebelum ini.

Pendek kata, anda tidak akan mempunyai sebarang masalah mengenal pasti model facelift ini di jalan raya. Namun ia mungkin sedikit sukar jika anda melihatnya dari belakang kerana selain bamparnya yang diubah sedikit, bahagian belakang X70 baharu tidak banyak berubah.

Ruang dalaman turut diberikan penampilan lebih segar. Perkara pertama yang anda akan perasan adalah upholsteri kulit Nappa berwarna kelabu Stone Grey pada tempat duduk, panel pintu dan perehat tangan.

Ia tidak semewah warna coklat sebelum ini namun sekurang-kurangnya penggunaan warna lebih cerah membuatkan ruang kabin terasa seolah-olah lebih luas.

Selain itu, terdapat juga pencahayaan ambien dengan 72 pilihan warna yang boleh berubah mengikut rentak muzik yang dimainkan. Cuma sayangnya, X70 kini tidak lagi menggunakan sistem audio Kenwood sembilan pembesar suara.

Perubahan paling besar bagi penulis adalah ketibaan sistem Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, menjadikan X70 kereta Proton pertama yang mempunyai sistem berkenaan.

Walau bagaimanapun, ciri ini masih belum tersedia atas sebab-sebab tertentu. Proton berkata ia akan dimasukkan ke dalam skrin sentuh 12.3 inci menerusi kemas kini atas udara (OTA) kelak.

Sebenarnya banyak penambahbaikan lain yang diterapkan ke dalam model facelift ini. Menurut Proton, SUV ini mempunyai 360 bahagian baharu, manakala proses R&D pula mengambil masa 290,000 jam.

Penulis rasanya inilah sebabnya kenapa syarikat itu mengadakan sesi pandu uji media di Kota Kinabalu. Kepelbagaian bentuk muka bumi dan keadaan jalan raya yang kononnya tidak sebaik di Semenanjung menjadikan KK ‘lapangan’ terbaik untuk menguji prestasi keseluruhan X70.

Pertama sekali, penulis boleh mengatakan dengan yakin yang X70 adalah sebuah SUV yang selesa. Sistem suspensi terasa sedikit lebih keras dari versi CBU asal namun ketika melalui jalan berlubang-lubang dalam perjalanan menuju ke Kundasang, hentakan yang terhasil tidaklah terlalu kuat.

Pengendaliannya juga dirasakan lebih responsif berbanding sebelum ini tetapi agak mengecewakan kerana stereng masih agak ringan bagi penulis. Menukar mod EPS dari Comfort kepada Sport juga tidak memberikan sebarang perubahan ketara dari segi rasa.

Namun penulis agak berpuas hati dengan aspek NVH. Bukan sahaja deruman enjin tiga silinder pada kelajuan rendah tidak sejelas sebelum ini, malah bunyi lori dan trak pikap yang banyak di jalan raya di sekitar KK juga dihalang dengan baik.

Mereka yang mengharapkan kuasa lebih tinggi akan kecewa kerana enjin TGDI 1.5-liter tiga silinder itu masih menghasilkan kuasa yang sama iaitu 177 PS pada 5,500 rpm dan 255 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm.

Namun ini tidak bermakna enjin itu tidak disentuh langsung. Menurut Proton, ia telah menambahbaik beberapa aspek seperti kecekapan pembakaran, pengurusan termal dan pengurangan geseran.

Hasilnya, enjin itu mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api 4% lebih rendah berbanding sebelum ini iaitu 7.3 liter/100 km. 4% adalah angka yang sangat kecil tetapi lebih baik daripada tak ada langsung kan?

Dari segi kuasa, X70 membuktikan yang ia tidak ada masalah memecut dan memotong kenderaan lain walaupun sedang mendaki bukit dengan empat orang penumpagn dewasa.

Masih tiada paddle shifter, jadi untuk menukar gear secara manual, anda perlu menggunakan tuil cuma anda perlu membiasakan diri menggerakkan tuil ke kiri dan ke kanan dan bukannya ke atas dan ke bawah seperti kebanyakan kereta lain.

Bagi penulis, X70 jauh dari sempurna namun rekaan lebih menonjol, serta pelbagai ciri baharu yang dibawakan menerusi kemas kini terbaru ini menjadikannya satu penawaran yang lebih baik dalam segmen yang sengit.

Spesifikasi Proton X70 2025

Harga: RM98,800-RM126,800
Enjin: TGDI 1.5-liter, tiga silinder
Kotak gear: Automatik tujuh kelajuan
Kuasa: 177 PS @ 5,500 rpm
Tork: 255 Nm @ 1,500-4,000 rpm