Tag Archives: PSV

Kerajaan tawar 200 lagi lesen PSV bas percuma kepada golongan B40 di Pantai Timur

KERAJAAN bersetuju untuk menawarkan 200 lagi Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bas secara percuma kepada golongan B40 di negeri Pantai Timur.

Perkara ini diberitahu oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada majlis pelancaran bas berprestasi tinggi jenis dua tingkat Scania milik Ekspres Mutiara sebentar tadi.

Menurut Loke, ia merupakan penambahan kepada 500 lesen PSV bas yang ditawarkan kerajaan menerusi program MyPSV yang dilancarkan pada awal bulan ini.

Tambah beliau lagi, tawaran kepada golongan B40 di Pahang, Terengganu dan Kelantan itu dibuat bukan kerana Terengganu dan Kelantan akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, sebaliknya ia adalah dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang diperuntukkan daripada agensi kerajaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Loke menjelaskan negeri-negeri tersebut dipilih kerana MRL terlibat dengan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan beliau melihat dana tersebut wajar dikembalikan kepada penduduk di negeri Pantai Timur.

“Ia adalah lebihan dana yang diperoleh daripada faedah bank yang boleh kita salurkan sebagai peruntukan CSR untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau mengharapkan kerjasama daripada syarikat bas yang mengendalikan laluan dari Lembah Klang ke Pantai Timur untuk bersama-sama melaksanakan inisiatif tersebut dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Ini supaya kita dapat padankan bakal-bakal pemandu bas ini dengan syarikat bas berkenaan bagi memastikan sebaik sahaja mereka tamat latihan, akan terus terima tawaran kerja,” katanya.

Kerajaan mansuh ujian teori Lesen Vokasional PSV, GDL

BERITA baik untuk mereka yang ingin memohon lesen e-hailing. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan bahawa kerajaan akan memansuhkan ujian teori bagi pengambilan Lesen Vokasional untuk kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan kenderaan barangan (GDL) berkuat kuasa serta-merta.

Loke berkata, pemohon bagaimanapun masih perlu menghadiri dan melengkapkan kelas teori sedia ada sebelum lesen terbabit dikeluarkan.

“Ini adalah sebahagian daripada penambahbaikan prosedur Lesen Vokasional terdiri daripada kategori PSV dan GDL untuk memudahkan pemohon.

“Apa yang kita tekankan adalah mereka mengambil kelas tetapi tidak diujikan secara teori. Ini sesuatu yang baharu dalam sistem perlesenan kita di mana ia akan memudahcarakan pemohon,” katanya.

Tambah beliau, langkah ini berikutan keluhan daripada syarikat pengendali e-hailing (EHO) dan pemandu e-hailing yang memberitahu bahawa mereka terpaksa menunggu lama untuk mengambil ujian.

“Sekarang kita kecualikan ujian teori, hanya ambil kelas PSV, itupun boleh buat secara dalam talian… dari rumah pun boleh ambil. Jadi apabila mereka siap kelas teori, mereka akan diberi lesen PSV secara digital,” katanya.

Walau bagaimanapun, calon bagi kategori lesen PSV untuk bas dan GDL untuk lori bersendi masih wajib menjalani latihan dan lulus ujian amali sebelum mendapat Lesen Vokasional.

Selain itu, pelaksanaan kelas teori bagi semua kategori Lesen Vokasional juga akan dibenarkan secara atas talian, sama ada menerusi platform yang disediakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Memandu (IM) atau syarikat perniagaan pengantaraan yang berkelayakan yang telah dikawal selia oleh JPJ.

Menurut Loke, tempoh masa kelas teori sedia ada dikekalkan dan pihak IM atau syarikat perniagaan pengantaraan hendaklah menggunakan modul atau silibus pengajaran kelas teori Lesen Vokasional atas talian yang ditetapkan oleh JPJ sepenuhnya.

Silibus kelas teori bagi semua kategori Lesen Vokasional terutamanya melibatkan perkhidmatan e-hailing atau teksi akan disemak semula dan ditambah baik oleh JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) agar relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan. Penambahbaikan silibus akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.