Pengeluar motosikal ketiga terbesar di dunia, Bajaj Auto bakal memperkembangan tawaran model Pulsar di pasaran global apabila bakal melancarkan Pulsar NS400 pada 3 Mei ini.
Pengumuman tersebut dibuat berdasarkan hantaran terbaru yang dimuat naik di media sosial.
Walaupun tidak mendedahkan rupa jelas Pulsar NS400 tersebut namun apa yang pasti model baharu itu akan dikuasakan enjin 400cc sama yang terdapat pada Dominar 400.
Hasilnya, unit satu silinder 373.3cc itu akan menawarkan 39hp dan 35Nmseperti yang ditawarkan Dominar 400.
Buat masa ini, maklumat lebih terperinci masih belum diketahui namun semuanya dijangka akan terjawab pada 3 Mei nanti.
Pengeluar motosikal India, Bajaj Auto baru-baru ini telah memperkenalkan Pulsar 160 generasi baharu yang dinaik taraf dengan pelbagai ciri terkini.
Pertamanya, Pulsar 160 kini tampil dengan pencahayaan LED menggantikan halogen sementara reka bentuk lampu juga berbeza.
Selain itu, Bajaj turut menaik taraf panel meter kepada digital sepenuhnya yang juga boleh disambungkan kepada telefon pintar bagi mengakses fungsi navigasi jenis ‘turn-by-turn’.
Menariknya, ABS dwi-saluran juga didatangkan secara standard meskipun masih lagi dilengkapi dengan cakera brek tunggal dan fork teleskopik di bahagian depan serta tangki berkapasiti 12L.
Bagaimanapun, Pulsar 160 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 160.3cc dengan sistem penyejukan minyak yang berupaya menjana 17hp dan 14.6Nm pada 7,250rpm.
Bagi pasaran India, Pulsar 160 ini dipasarkan pada harga jualan INR145,792 (RM8.2k).
Untuk rekod, Pulsar 160 turut ditawarkan di Malaysia oleh Modenas selaku pengedar rasmi. Bagaimanapun, tiada kepastian sama ada model baharu ini akan turut diperkenalkan disini.
MODENAS Pulsar NS200 bukanlah motosikal baharu dalam pasaran, tetapi ia telah menerima facelift untuk 2021.
Dan baru-baru ini Engear dijemput untuk mengujinya di litar. Walaupun sesi tunggang uji itu agak singkat, namun kami dapat belajar banyak mengenai naked bike ini dan memperoleh beberapa input penting.
Pulsar NS200 2021 dijual pada harga RM9,655 dan mendapat tiga warna baharu iaitu Plasma Blue, Burnt Red dan Pewter Grey.
Dengan lebih 8,000 unit terjual, ia antara yang paling popular dalam segmennya. Memang berbaloi sangatkah Pulsar NS200 ini pada harga bawah RM10k?
Semasa tunggang uji di litar, Mr Rocket mulanya tidak berapa gemar idea naked bike di litar. Tambahan pula litar di HB Karting di Batu 3, Shah Alam agak kecil, kurang sesuai dengan naked bike yang mempunyai bar hendal lebar.
Namun selepas memecut keluar selekoh, Mr Rocket mula seronok, “Ada pickup,” katanya.
Tork pada rpm rendah tidaklah begitu kuat, tapi jika ditukar tayar kepada yang lebih agresif, mungkin akan lebih seronok ditunggang.
Tetapi pada masa yang sama, Mr Rocket kata walaupun gearnya agak sporti dengan nisbah pendek, tayar belakang masih bertahan dan tiada tanda-tanda slip atau tergelincir semasa memecut dan menukar gear.
Oh ya, paling penting pada NS200 sekarang ialah ia dilengkapi ABS, jadi pasti memberikan kita lebih keyakinan untuk menunggang dan ‘push’ ke had dinamiknya.
Dari segi spesifikasi, Modenas Pulsar NS200 dikuasakan oleh enjin 199.5cc SOHC dengan teknologi Triple Spark yang mempunyai tiga palam pencucuh.
Ia menjana 24hp dan 18.6Nm tork, serta dipadankan bersama kotak gear 5-kelajuan.
Untuk mengetahui ulasan penuh Mr Rocket, jemput tonton video di bawah:
MOTOSIKAL terbaharu keluaran Bajaj dikenali sebagai F250 dan NS250 telah diperkenalkan kepada umum.
F250 merupakan varian sport sementara, NS250 pula berada dalam keluarga naked bike.
Kedua-dua model ini masih menggunakan enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api.
Kapasiti enjin turut ditingkatkan kepada 249.07 cc yang menghasilkan kuasa sehingga 24.5 PS pada 8,750 rpm dan 21.5 Nm tork pada 6,500 rpm.
Foto ihsan Bajaj
Sementara itu, kotak gear didatangkan dengan lima kelajuan serta dipadankan bersama klac jenis slip & assist.
Bajaj tidak lupa memberi tumpuan pada sistem brek dengan menggunakan cakera lebih besar (300 mm) di hadapan dan belakang (230 mm).
Pada masa sama, ia juga dilengkapi dengan ABS one-channel secara standard.
Berikut antara ciri lain ada pada F250 dan NS250 baharu ini:
Rim 17 inci
Tayar saiz 100/80 (hadapan) dan 130/70 (belakang)
Fork teleskopik 37 mm
Monoshock pelarasan pra beban
Tangki bahan api 14 liter
Meter kombinasi LCD dan analog
Soket USB
Setakat ini, F250 ditawarkan dalam warna merah dan kelabu sementara, NS250 didatangkan dengan hanya warna kelabu.
Foto ihsan Bajaj
Bagaimanapun, kedua-dua model ini ditawarkan di pasaran India sahaja dan masih belum pasti sama ada akan dipasarkan di pasaran global dalam waktu terdekat.
Harga F250 adalah 1.4 juta rupee (RM7,758) dan NS250 pula 1.38 juta rupee (RM7,647).
SEJAK mula diperkenalkan pada Mei 2017 dan menerima penambahan ABS pada 2019, Modenas Pulsar hari ini diperkenalkan dengan warna dan rekaan grafik baharu.
Dengan lebih dari 8,000 unit terjual, Modenas Pulsar NS200 ABS dikatakan antara street bike paling popular di negara ini.
Untuk kemaskini 2021, NS200 diberikan tiga warna baharu iaitu Plasma Blue, Burnt Red dan Pewter Grey, digandingkan dengan grafik baharu pada badannya.
Seperti pada namanya, Pulsar NS200 dikuasakan oleh enjin 200cc DTS-i yang menjana 18kW (24hp) dan 18.6Nm tork, dan digandingkan dengan transmisi 5-kelajuan.
Selain dari sistem brek anti-kunci ABS yang didatangkan standard, NS200 ini dilengkapi dengan penyerap hentak teleskopik di depan dan bush anti-geseran serta suspensi belakang jenis gas Nitrox.
Harga cadangan Modenas Pulsar NS200 ABS ini kekal tidak berubah, iaitu RM9,655 (tanpa cukai jalan dan insurans). Berminat? Anda boleh mula melihat street bike ini dengan lebih dekat di semua pengedar sah Modenas pada Oktober ini.