Tag Archives: pusat pameran

Allure Auto Jalan Klang Lama himpunkan jenama Peugeot, Leapmotor bawah satu bumbung

Stellantis Malaysia mengumumkan pembukaan pusat jualan Allure Auto yang terletak di Jalan Klang Lama, merangkap bilik pameran pelbagai jenama Stellantis yang pertama di Malaysia.

Pusat jualan ini akan menghimpunkan model-model terbaharu Peugeot serta SUV elektrik jenama Leapmotor yang baru sahaja dilancarkan tempoh hari.

Pusat jualan 1S ini mempunyai ruang yang luas untuk mempamerkan sehingga lima kenderaan pada satu-satu masa, selain menyediakan ruang yang selesa untuk pelanggan, ruang pengedaran kenderaan serta paparan interaktif.

Pusat 1S Allure Auto Jalan Klang Lama ini akan dibantu oleh pusat 2S (servis dan alat ganti) yang terletak di USJ1, berkongsi dengan Peugeot Subang Jaya.

Fasiliti ini akan dilengkapi dengan juruteknik bertauliah Stellantis, selain menjadi hab untuk pembaikan major dan sistem bervoltan tinggi, pembaikan badan dan cat, diagnosis dan penyelenggaraan am.

Untuk memastikan sokongan yang lancar kepada pelanggan Peugeot sedia ada, Allure Auto akan bekerjasama dengan pusat pengedar sah Peugeot yang berhampiran untuk menangani sebarang isu teknikal dan menyediakan penyelesaian selepas jualan yang menyeluruh.

Menurut Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais berkata, “saya amat berbesar hati untuk memperkenalkan pusat pengedaran pelbagai jenama pertama kami di Malaysia yang direka untuk mempamerkan pelbagai kenderaan Peugeot serta SUV elektrik baharu Leapmotor C10.

“Allure Auto telah menjadi rakan pengedar yang hebat, dan outlet kedua (lebih banyak pada masa akan datang) memperlihatkan komitmen mereka untuk menawarkan pengalaman jenama yang luar biasa kepada pelanggan kami dan mengembangkan rangkaian kami di seluruh negara.”

Pusat pameran Kawasaki All-Star keempat dibuka di Johor Bahru

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) memperkenalkan pusat pameran All-Star Kawasaki yang keempat di Johor Bahru. 

Menempatkan kesemua model Kawasaki yang ditawarkan di Malaysia, pusat pameran baharu ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk servis selepas jualan dan alat ganti.

 

Juga tidak dilupakan, Kawasaki Johor Bahru ini juga menawarkan pelbagai aksesori tambahan termasuk helmet pelbagai jenama. 

Meraikan majlis pembukaan ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Pemasaran, George Kashiwagi dan  Pengarah Kawasaki Johor Baharu, Qbee Ng.  

Dalam pada itu, turut memeriahkan majlis adalah acara penyerahan tiga motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX-25RR yang baru sahaja diperkenalkan untuk pasaran tempatan. 

Sementara itu, EMOS cadang buka lapan lagi pusat pameran bertaraf All-Star Kawasaki menjelang Disember tahun ini.