Tag Archives: pusat servis

Lexus RX300 F Sport hilang dari pusat servis dilarikan lelaki tak dikenali

KERETA dicuri di kawasan awam itu biasa, namun di pusat servis? Itu memang pelik. Namun itulah yang berlaku kepada Tay Han Sin apabila Lexus RX300 F Sport miliknya hilang selepas menjalani penyelenggaraan di sebuah pusat servis di Ayer Keroh, Melaka.

Menurut mangsa, kejadian berlaku pada 25 Ogos lalu ketika dia menghantar SUV mewahnya untuk penyelenggaraan kali kedua di premis sama.

Beberapa jam kemudian dia dimaklumkan kenderaannya dibawa keluar oleh seseorang selepas selesai menjalani penyelenggaraan.

“Saya terkejut apabila pusat servis memaklumkan saya sudah mengambil kereta sedangkan saya baru hendak berbuat demikian. Semakan kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali mengambil kunci berkenaan.

“Susulan kejadian itu, aduan di peringkat dalaman dan laporan polis telah dibuat. Bagaimanapun, saya terkilan dengan layanan pusat servis berkenaan yang tidak banyak membantu untuk menyelesaikan masalah ini.

Dennis Lee Han Lim (dua dari kanan) dan Tay Han Sin (dua dari kiri) ketika pertemuan dengan wakil sebuah pusat servis kenderaan di Ayer Keroh, Melaka. Gambar: Utusan Malaysia

“Saya hanya sempat menggunakan kereta tersebut selama enam bulan. Saya tetap perlu membayar ansuran kereta lebih RM2,000 sebulan meskipun kenderaan itu gagal dikesan sehingga kini,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan pusat servis berkenaan pada Isnin.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Pengaduan Awam MCA Melaka, Dennis Lee Han Lim berkata, setelah hampir sebulan menunggu, masih tiada jawapan kukuh berhubung kejadian diberikan pusat servis terlibat.

Katanya, kes tersebut masih dalam siasatan dalaman membabitkan pelbagai pihak termasuk polis.

“Saya dimaklumkan proses untuk menyelesaikan isu ini akan mengambil sedikit masa. Pihak syarikat dan insurans sudah mengetahui perkara ini dan akan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diterima termasuk siasatan pihak polis.

“Saya menyeru kepada semua pihak untuk meningkatkan ciri keselamatan di premis masing-masing terutamanya yang melibatkan harta milik pelanggan. Kes kecurian membabitkan pusat servis kereta mungkin taktik baharu dan orang ramai diminta lebih berhati-hati,” katanya.

Audi Centre Setia Alam dibuka semula, dioperasi Goh Brothers Motor

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) dan pengedarnya Goh Brothers Motor Sdn Bhd mengumumkan pembukaan semula Audi Centre Setia Alam.

Fasiliti empat tingkat bertaraf 4S itu menempatkan kemudahan jualan, servis, alat ganti, serta cat dan badan untuk jenama Jerman itu.

Audi Centre Setia Alam mempunyai keluasan 60,000 kaki persegi, dan menampilkan rekaan senibina Audi Terminal yang kontemporari dan suasana nyaman. Tambahan lagi, segala kemasan, perabot dan pencahayaan juga menepati tema ini.

Fasiliti 4S ini juga menempatkan 12 unit kereta pameran, ditemani staf-staf yang akan membantu anda mendapat maklumat diperlukan. Sementara itu di ruangan lain, terdapat 17 ruang servis dengan kemampuan menyelenggara sehingga 34 kereta sehari.

Erik Winter, pengarah urusan PHSAM berkata, “Kepuasan pelanggan sentiasa penting, dan ini menjadikan pemberian pengalaman pelanggan sebagai keutamaan kami.”

“Untuk ini, penting supaya kami bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk memastikan penambahbaikan berterusan untuk baahgian jualan dan selepas jualan bagi pelanggan Audi,” tambahnya.

Audi Centre Setia Alam terletak di lokasi strategik dan akan memberikan akses kepada pelanggan sekitar termasuk Shah Alam dan Klang.

Untuk kemudahan pelanggan juga, Audi Centre ini dilengkapi dengan ruang menunggu selesa, WiFi, dan ruang penyerahan khas untuk pengalaman unik kepada pelanggan.

Untuk promosi sempena pembukaan semula ini, Audi Centre Setia Alam juga menawarkan diagnostik 20-poin percuma bernilai RM300 untuk pelanggan terpilih, sah sehingga 31 Ogos 2022.

Semua kereta-kereta Audi yang dibeli disokong dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, servis percuma 3-tahun, dan bantuan tepi jalan 5-tahun.

Audi Centre Setia Alam terletak di 22A, Persiaran Setia Dagang, Setia Alam, Selangor. Ia dibuka dari Isnin hingga Ahad (8:30 pagi hingga 5:30 petang), manakala untuk servis selepas jualan dibuka dari Isnin hingga Sabtu (8:30 pagi hingga 5:30 petang).

Carsome PJ Automall kini dibuka, siap dengan pusat pengecasan EV

CARSOME, platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara telah melancarkan Carsome PJ Automall semalam.

Fasiliti itu merupakan pusat pengalaman Carsome terbesar di Malaysia setakat ini dan pertama yang dilengkapi dengan stesen pengecas kenderaan elektrik.

Carsome PJ Automall memberikan para pelanggan pengalaman pembelian kereta yang lebih baik – daripada melihat, memilih, hingga memandu uji.

Mereka dapat melengkapkan pembelian melalui kemudahan kewangan yang disediakan di Automall, di mana permohonan pinjaman boleh diproses dan diluluskan dalam masa satu hari.

Kemudahan tambahan termasuk perkhidmatan estetik kereta seperti perincian dan pemasangan cermin gelap untuk kereta yang baru dibeli juga disediakan.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata Carsome PJ Automall menyasarkan untuk meningkatkan pengalaman pembelian kereta pelanggan dengan menawarkan kemudahan dan keselesaan di bawah satu bumbung.

“Pelancaran Carsome PJ Automall akan mengukuhkan tawaran hibrid dalam talian ke luar talian kami dan meningkatkan pengalaman pelanggan kami.

“Motivasi kami adalah untuk menjadikan pusat pengalaman ini sebagai pusat gaya hidup, di mana pelanggan boleh menikmati proses membeli kereta, dan lebih penting, menyerahkan kebimbangan dan kerumitan proses kepada pasukan kami yang berdedikasi,” tambah Cheng.

Carsome PJ Automall yang terletak di Lebuhraya Persekutuan di bilik pameran ikonik Naza Automall menempati ruang seluas lebih 100,000 kaki persegi.

Ia boleh memuatkan lebih daripada 200 buah kereta – daripada inventori dalam talian Carsome yang semakin berkembang dan kini mempunyai lebih daripada 1,600 buah kereta – untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan, daripada model SUV, MPV, 4×4, sedan, hatchback hingga ke segmen kereta mewah.

Carsome PJ Automall juga menempatkan rakan kongsi perbankan seperti Maybank dan Public Bank; rakan kongsi perincian dan pemasangan cermin gelap kereta iaitu Ecotint dan Glass Auto, untuk mengukuhkan usaha Carsome dalam menawarkan pengalaman membeli kereta yang berbeza.

Bersempena dengan pelancaran Carsome PJ Automall, Carsome akan menganjurkan acara Shop and Dine Carsome CARnival selama dua hari pada hari Sabtu, 11 Jun dan Ahad, 12 Jun pada jam 12.00 tengah hari hingga 8.30 malam.

Pengunjung akan disajikan dengan pelbagai pilihan makanan, menikmati persembahan muzik dan juga berpeluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti dan permainan sambil melihat kereta pra-milik Carsome yang dipamerkan di Carsome PJ Automall sebelum membuat pembelian.

Mereka juga boleh menyertai cabutan bertuah dan berpeluang memenangi hadiah-hadiah bernilai sehingga RM12,000, termasuk Nintendo Switch OLED, jam tangan pintar Garmin Venu SQ dan banyak lagi.

Pusat servis Peugeot 3S Glenmarie kini rasmi dibuka, juga untuk Citroen dan DS

SEBUAH pusat servis Peugeot 3S kini secara rasmi telah dibuka di Glenmarie. Ia merupakan pusat servis pertama jenama itu dibawah pengurusan baharu Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd dan menampilkan operasi jualan, servis serta alat ganti.

Menurut Bermaz Auto Alliance, mereka komited dalam memberikan pengalaman pemilikan terbaik untuk pelanggan dan pemilik Peugeot dari segi sokongan selepas jualan serta jaminan. Sokongan ini juga meliputi pelanggan jenama Citroen dan DS yang juga di bawah Stellantis Group.

Fasiliti ini mampu menampung 21 kenderaan untuk diservis dalam satu masa, dengan juruteknik terlatih yang sentiasa peka dengan perkembangan terkini kenderaan.

Sambil menunggu kenderaan siap, pelanggan boleh menikmati ruang menunggu yang selesa dengan makanan dan minuman percuma serta WiFi.

Pusat servis Peugeot 3S Glenmarie ini terletak di Lot.15, Jalan Pelukis U1/46, Temasya Industrial Park U1, 40150, Shah Alam, Selangor. Ia dibuka pada jam 8 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi hingga 12 tengahari untuk Sabtu.

Anda miliki kenderaan Peugeot, Citroen atau DS? Untuk membuat tempahan slot servis, hubungi 03-5021 2300 (sambungan 2402/2403) atau layari https://peugeot.com.my/find-us.php.