Tag Archives: Ramadan

200 pegawai, anggota trafik digerakkan ke 142 hotspot atasi kesesakan lalu lintas Ramadan

DALAM usahanya untuk menangani kesesakan lalu lintas sepanjang Ramadan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengerakkan 200 pegawai dan anggota di 142 lokasi hotspot di sekitar ibu negara.

Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, kehadiran pegawai dan anggota JSPT adalah bagi memberi pertolongan dan kerjasama kepada orang ramai selain melancarkan aliran trafik pada waktu puncak.

“Saya mengambil kesempatan ini bagi menasihati orang ramai supaya mengawal emosi, bersabar dan jangan ambil tindakan melulu sekiranya berada dalam kesesakan jalan raya.

“JSPT akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai termasuk melancarkan Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Ia bagi memudahkan pergerakan balik kampung dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) supaya premis atau kediaman yang ditinggalkan dalam keadaan selamat,” katanya.

Selain itu, orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat halangan trafik dengan meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, dianggarkan 1.2 juta kenderaan setiap hari masuk ke ibu negara dan kira-kira 800,000 pada hari minggu sepanjang Ramadan.

“Sepanjang bulan Ramadan, JSPT menjangkakan kesesakan kerana ramai pengguna jalan raya mengambil kesempatan pulang awal ke rumah dengan pelepasan diberi majikan,” katanya.

PDRM perketat kawalan di plaza tol, sempadan negeri

SILA batalkan niat jika anda berhajat merentas negeri bagi menyambut perayaan Aidilfitri.

Ini kerana anda tidak mungkin berjaya berbuat demikian memandangkan pihak polis sedang meningkatkan pengawalan di plaza tol serta sempadan negeri.

Memetik laporan Bernama, langkah memperketatkan kawalan dibuat susulan peningkatan semula kes Covid-19.

Semalam, polis memaklumkan pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis.

Selain itu, perjalanan rentas negeri turut dibenarkan bagi tujuan kecemasan dan kematian melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak serta adik-beradik.

Pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial pula adalah dilarang.