Tag Archives: Ranger Stormtrak

Ford Ranger Stormtrak masuk pasaran Malaysia – 200 unit sahaja, RM182k

SELEPAS dilancarkan di Thailand pada April tahun lalu, Ford Ranger StormTrak kini tiba di Malaysia dengan harga jualan bermula dari RM181,888.

Untuk perbandingan, harga jualan Ranger StormTrak di Thailand bermula dari 1,264,000 baht atau RM161,195 mengikut kadar pertukaran semasa.

Pada bahagian luaran, Ranger StormTrak boleh dibezakan dengan Ranger WildTrak melalui sepasang lampu LED tiga poin pada bahagian depan, serta perincian Race Red pada bampar hadapan, logo StormTrak dan rim aloi berukuran 20 inci.

Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu Arctic White, Meteor Grey dan Absolute Black.

Di dalam, anda akan menemui jahitan kontras berwarna Race Red dan logo StormTrak pada tempat duduk dan papan pemuka, kemasan Suede Miko dan tombol gear e-shifter.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk kluster instrumen digital berukuran 8.0 inci, skrin sentuh 12 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar dan Park Assist 2.0.

Naik taraf yang dibawakan oleh varian ini tidak terhad kepada aspek visual sahaja kerana terdapat juga beberapa ciri berguna yang disertakan.

Ini termasuk sistem rak fleksibel (seperti yang terdapat pada Ranger Platinum) dan rel bumbung dengan bar boleh ayun. Menurut Ford, rak tersebut boleh menampung muatan dengan berat sehingga 80 kg (dinamik) dan 250 kg (statik).

Selain itu, Ranger StormTrak juga didatangkan dengan sistem pencahayaan zon yang berfungsi untuk mencerahkan lagi sekeliling badan trak pikap ini.

Seperti WildTrak, varian baharu ini dikuasakan oleh enjin diesel 2.0-liter BiTurbo dengan kuasa sebanyak 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm antara 1,750 hingga 2,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem pacun empat roda.

Ranger StormTrak boleh ditempah secara eksklusif dalam talian, dengan hanya 200 unit ditawarkan untuk pasaran tempatan. Pelanggan yang membuat tempahan akan menerima jaket windbreaker eksklusif semasa sesi penyerahan kenderaan.

Ford Ranger Stormtrak dilancarkan di Thailand, harga dari RM164k

FORD terus memperkembangkan barisan Ranger di pasaran Thailand dengan pengenalan varian baharu yang dikenali sebagai Ranger Stormtrak.

Ia diposisikan antara varian Wildtrak dan Raptor, dengan harga jualan bermula dari 1,264,000 baht (~RM163,679), iaitu 200,000 baht (~RM25,898) lebih mahal berbanding Wildtrak dan 505,000 baht (~RM65,394) lebih murah berbanding Raptor.

Dari segi penampilan, Stormtrak hampir serupa dengan Ranger Wildtrak X yang diperkenalkan di Eropah dan Australia pada bulan lalu. Bagaimanapun, naik taraf yang dibawanya terhad kepada visual sahaja kerana ia tidak mendapat suspensi Bilstein, tayar off-road dan perlindungan bawah badan seperti Wildtrak X.

Stormtrak tampil dengan lampu LED tiga poin yang diintegrasikan pada gril, tulisan ‘Ranger’ berwarna hitam pada bonet dan rim aloi 20 inci. Ia juga mendapat grafik hitam pada bahagian belakang, trim merah pada bampar dan rim, dan lencana Stormtrak pada pintu dan tailgate.

Untuk pasaran Thailand, model ini ditawarkan dalam warna Arctic White, Meteor Grey, Absolute Black dan Sedona Orange. Turut disertakan adalah sistem rak fleksibel pada bahagian belakang yang kelihatan seperti spoiler gergasi.

Ruang dalaman pula menampilkan jahitan kontras berwarna merah, tulisan ‘Stormtrak’ pada papan pemuka dan tempat duduk dengan balutan upholsteri kulit dan suede Miko.

Untuk kelengkapan, terdapat kluster instrumen digital berukuran 12.4 inci, skrin sentuh infohibur 12 inci, sistem pendingin hawa dua zon, tuil gear elektronik (e-shifter) dan brek parkir elektronik. Sistem ADAS dengan Adaptive Cruise Control, Active Park Assist dan kamera 360 darjah juga tersedia.

Ranger Stormtrak dikuasakan oleh enjin 2.0-liter EcoBlue bi-turbo diesel yang menghasilkan 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm dari 1,750 hingga 2,000 rpm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem pacuan 4WD.