Tag Archives: ranger

Kes Ford Ranger langgar kereta mewah, 10 individu lagi dipanggil polis

POLIS bakal memanggil sepuluh individu dipercayai terlibat dalam insiden kumpulan konvoi kereta mewah berhenti di Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan.

Ketua Polis Johor berkata, kesemua mereka akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.

“Mereka yang terlibat akan dipanggil termasuk pemandu yang kita sudah tahan dan juga mereka yang berkaitan.

“Pemandu perempuan itu sudah membuat laporan polis mendakwa dia dipukul.

“Kita juga dapati pemandu wanita itu tidak mabuk, dia mungkin panik,” kata Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Sebelum ini, polis menyiasat insiden dipercayai melibatkan kesalahan memandu secara melulu, memukul pemandu wanita dan membuat halangan di jalan raya.

Sementara itu, polis mengesahkan menerima laporan pemandu wanita pacuan empat roda mendakwa dirinya dipukul kumpulan konvoi tersebut.

Semalam, tular di media sosial menunjukkan kereta pacuan empat roda Ford Ranger melanggar sebuah kereta mewah berhampiran susur keluar Sedenak.

Ahli perniagaan wanita berusia 28 tahun berasal dari Yong Peng itu ditahan kira-kira 1 pagi untuk siasatan lanjut setelah hadir menyerah diri di balai polis.

Wanita itu direman selama tiga hari dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) yang boleh membawa hukuman dua tahun penjara atau denda jika disabit kesalahan.

Ford Ranger XLT Plus Special Edition dibuka untuk tempahan, RM137k

SIME Darby Auto Connexion (SDAC) telah mengumumkan harga rasmi model Ford Ranger XLT Plus Special Edition iaitu RM136,888 (tanpa insuran dan cukai jalan).

Trak edisi khas ini datang dengan enjin 2.0-liter turbo yang dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan, menghasilkan kuasa 180PS dan 420Nm tork.

Trak edisi khas ini juga berkeupayaan meredah air sedalam 800 mm sama seperti generasi Ranger sedia ada.

Ranger XLT Plus Special Edition ini menampilkan beberapa perubahan iaitu:

  • rekaan gril hadapan ala Raptor
  • fender flare
  • bar sporti yang direka semula
  • scuff plate dengan logo Ranger dan lampu LED
  • alat perakam pemanduan dengan ciri rakaman HD, rakaman waktu malam, aplikasi peranti pintar iOS dan Android

Selain itu, Ranger XLT Plus Special Ediiton ini turut didatangkan dengan ciri pintar seperti:

  • pintu kargo belakang mudah angkat
  • sistem multimedia SYNC® dengan kamera undur
  • sistem 4×4 shift-on-the-fly
  • Limited Slip Differential (LSD)
  • Bantuan Menurun Cerun (HDC)
  • Bantuan Mula Mendaki (HLA)
  • Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek Kecemasan (EBA)
  • Kawalan Kestabilan Elektronik beserta Kawalan Cengkaman
  • Mitigasi Pelanggaran Tergolek
  • Kawalan Ayunan Treler
  • Kawalan Adaptif untuk Beban

Terdapat lima warna yang boleh dipilih iaitu Absolute Black, Aluminium Metallic, Arctic White, Lightning Blue dan Meteor Grey.

Anda boleh berkunjung ke Centre Court Quensbay Mall Pulau Pinang pada 24 hingga 27 Februari ini untuk melihat model ini dengan lebih dekat manakala unit pameran pula bakal berada di pusat pameran Ford seluruh negara bermula 10 Mac depan.

Ford Ranger Raptor 2022 dengan 3.0-liter V6 dan sistem anti-lag dari kereta lumba GT

FORD Ranger Raptor telah berada dalam pasaran sejak 2018 dan kini jenama Blue Oval itu menggantikannya dengan generasi baharu sepenuhnya.

Paling penting, Ranger Raptor kini mendapat enjin baharu 3.0-liter V6 menggantikan 2.0-liter 4-silinder sebelum ini. Barulah betul-betul Raptor!

Walaubagaimanapun, kuasa tidaklah 400hp seperti pada Explorer ST, sebaliknya ia ditala agar menghasilkan 288hp dan 491Nm, masih lebih dari mencukupi! Kotak gear dikekalkan iaitu automatik 10-kelajuan.

Ford juga menawarkan pilihan diesel untuk Ranger Raptor baharu ini. Tetapi untuk versi petrol, trak prestasi ini akan menampilkan teknologi anti-lag yang diadaptasi dari jentera lumba GT dan hot hatch Focus ST.

Anti-lag ini akan memastikan kedua-dua unit turbo berpusing sehingga tiga saat agar kuasa dan respon dikekalkan walaupun anda melepaskan sebentar pedal minyak.

Seperti sesebuah trak pikap dengan nama Raptor, Ranger ini juga mendapat suspensi khas untuk membolehkannya mengharungi semua jenis permukaan.

Ranger Raptor baharu ini dilengkapi penyerap hentak FOX 2.5-inci yang dipasang pada lengan suspensi atas dan bawah aluminium berserta sistem link Watt di belakang.

Pergerakan suspensi adalah lebih panjang berbanding Ranger biasa dan daya serapan ditingkatkan sebanyak 25 peratus.

Ranger Raptor juga dibina dengan beberapa bahagian yang diperkukuh iaitu tiang-C, ruang kargo dan tayar simpanan. Bahagian lain yang diperkukuh adalah cagak suspensi depan dan belakang.

Ford Ranger Raptor baharu ini mendapat sistem pacuan semua-roda dengan transfer-case dua-kelajuan kawalan elektronik. Pengunci differential depan dan belakang pula boleh dikawal dengan mod-mod berikut: Normal, Sport, Slippery, Rock Crawl, Sand, Mud/Ruts dan Baja.

Ciri lain adalah lampu depan LED matriks, rim 17-inci dengan tayar all-terrain, ekzos sport boleh laras, pemijak tepi aluminium, dan ruang-ruang kemasukan udara di depan.

Ruang dalaman pula direka yang mana menurut Ford, mengmabil inspirasi jet pejuang. Ia juga didatangkan dengan paddleshift, kluster instrumen digital 12.4-inci, sistem infotainmen menegak SYNC4 12-inci, Android Auto, Apple CarPlay, dan sistem audio B&O dengan 10 pembesar suara.

Ford Ranger Raptor ini akan mula dijual di Eropah pada penghujung musim panas, manakala untuk Amerika Syarikat, dijangka mula dipasang pada Mei 2023.

Diharapkan Ranger Raptor baharu ini dapat tiba ke Malaysia menjelang hujung tahun ini. Berapakah harga anggarannya anda rasa? Ford Ranger Raptor sedia ada dijual pada harga sekitar RM208,888.

Ford Ranger Wildtrak Sport dengan pembaharuan luar dan dalam, lebih hensem! Bermula RM158k

FORD telah memperkenalkan Ranger Wildtrak Sport iaitu satu edisi khas dengan harga bermula RM158,388 (atas jalan, tanpa insurans) di Semenanjung Malaysia.

Ini menjadikan Wildtrak sebagai varian permulaan, bermakna trak pikap dual-cab itu kini mendapat enjin 2.0-liter diesel biturbo berkuasa 213PS dan 500Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan.

Apa yang baharu untuk Wildtrak 2021? Di luar, terdapat gril rekaan baharu, cermin sisi dengan warna Ebony Black, pemegang pintu dan tailgate, serta rim aloi 18-inci dengan warna hitam.

Sementara itu bahagian dalam diberikan scuff plate baharu di bahagian sisi dengan tulisan ‘RANGER’, tempat duduk kulit, serta stereng dengan jahitan kontra.

Ciri keselamatan turut diberi peningkatan, dimana Ford Ranger Wildtrak Sport ini dilengkapi Autonomous Emergency Braking (AEB), Forward Collision Warning dan Lane Departure Warning and Assist.

Ciri keselamatan standard sedia ada termasuklah enam beg udara, penggera tali pinggang depan dan belakang, Traction Control, Stability Control, Trailer Sway Control, Hill Descent Control, Hill Start Control, pengesan undur, ISOFIX, dan Mykey.

Ranger Wildtrak Sport turut didatangkan dengan ciri kemudahan seperti tiga port USB, soket 12-volt di depan, serta soket AC 230-volt 150 watt.

Sebagai tambahan, anda boleh miliki Ford Ranger baharu ini dengan pakej tint (RM2,700) dan dashcam (RM1,199).

Dua warna ditawarkan iaitu Saber (seperti dalam gambar) dan Absolute Black.

Ford Ranger pula jadi trak pikap kegemaran Taliban

SEMUA tahu Hilux sentiasa menjadi kenderaan kegemaran untuk kegunaan mlitan di banyak kawasan Timur Tengah walaupun Toyota selalu cuba menafikannya.

Malah, penggunaan trak pikap lasak ini sangat sinonim di konflik-konflik rantau itu hinggakan ada satu peperangan khusus dinamakan sempena Hilux. Walaubagaimanapun, nampaknya kumpulan-kumpulan ini seperti beralih kepada penggunaan Ford Ranger pula.

Memang biasa menjadi kebiasaan untuk melihat beberapa orang bersenjatakan AK-47 di belakang Hilux, berita-berita kebelakangan ini menunjukkan Ford Ranger menjadi semakin popular di sana.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan tentera Amerika yang berundur baru-baru ini telah meninggalkan lambakan Ranger dengan spesifikasi tentera.

Gambar-gambar juga jelas memaparkan kumpulan Taliban bergambar dengan bukan sahaja kelengkapan tentera tinggalan Amerika, tetapi juga memandu dan meronda dengan Ford Ranger yang baru dicat dengan warna celoreng.

Sebagai tambahan, laporan Forbes juga mengatakan sekurang-kurangnya 270 unit Ford Ranger dengan warna hijau hutan dan coklat pasir telah jatuh ke tangan kumpulan Islamis itu. Lebih dari 40,730 kenderaan Ford lain yang dibekalkan oleh pihak Amerika sejak 2012 juga akan diambil oleh mereka.

Tidak perlu rasanya kita sentuh terlalu mendalam mengenai situasi di sana. Apa yang penting, kita lihatkan apa yang Taliban perolehi dengan Ranger tersebut.

Ford Ranger yang mereka perolehi adalah dengan spesifikasi J97 Light Tactical Vehicle digunakan oleh polis dan pihak berkuasa Afghanistan sebelum ini. Ranger ini bukanlah yang terbaharu, tetapi juga bukanlah versi terlalu lama.

Trak double-cab 4-pintu ini adalah versi T5 yang hadir dengan enjin 2.2-liter turbo diesel, kotak gear manual 6-kelajuan, dan beberapa aksesori seperti bampar besi di sekeliling badan serta tayar off-road.

Jadi adakah trak ‘Built Ford Tough’ akan dapat bertahan setanding trak pikap jenama Jepun, atau kemudian mereka akan kembali dengan Toyota semula?