Tag Archives: Raptor Rev

Acara Ford Raptor Rev tarik 80 peserta, ratusan peminat off-road

Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion) baru-baru ini telah mengadakan sebuah acara off-road Ford Raptor Rev yang bertempat di Bay 13, Litar Sepang.

Acara penuh aksi yang berlangsung selama dua hari pada 22 dan 23 Februari ini direka untuk memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada pemilik Ford Ranger Raptor serta peminat off-road.

Menurut Auto ConneXion, acara ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan penyertaan seramai 80 pemilik Ranger Raptor. Orang awam turut hadir bagi menyaksikan sendiri kemampuan Raptor secara langsung.

 

Antara aktiviti yang disediakan khusus buat pemilik Ranger Raptor yang mendaftar untuk menyertai acara eksklusif ini termasuk sesi bengkel serta latihan yang meliputi lompatan dan off-road drifting, laluan berhalangan 4×4 dan pusingan Baja.

Seorang pakar dari Ford, Chris Dean juga dibawakan khas dari Australia bagi memberikan penerangan mendalam mengenai kemampuan sebenar sistem suspensi FOX Ranger Raptor terutamanya ketika beraksi di atas permukaan mencabar.

Sementara itu, orang ramai yang berkunjung secara percuma ke acara berkenaan turut berpeluang menyertai beberapa aktiviti seperti hot lap Baja bersama pemandu profesional, sesi pandu uji Ranger Raptor dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang melihat empat personaliti popular iaitu pelakon dan peminat automotif Ezzrin Loy, pemain bola sepak dan peminat 4×4 Intan Serah, bekas pemain boling kebangsaan Syaidatul Afifah dan pelumba drift profesional Hee Wei Seng menyertai hot lap bersama peminat bertuah.

Turut hadir adalah jenama tayar terkenal yang juga rakan utama acara Raptor Rev iaitu BFGoodrich. Selain menyediakan sokongan teknikal dan mengadakan bengkel informatif, jenama itu turut mempamerkan tayar KO3 yang baru dilancarkan.

“Kami sangat berbangga kerana dapat menghimpunkan komuniti Ranger Raptor dalam acara off-road yang unik ini. Raptor Rev bertujuan untuk mempamerkan kemampuan luar biasa Ranger Raptor.

“Ia merupakan sebuah platform yang baik untuk pemilik dan peminatnya untuk menyaksikan sendiri kemampuan sebenar Raptor dalam persekitaran yang mencabar dan dalam masa yang sama mengeratkan lagi hubungan sesama pemiliknya dan peminat off-road,” ujar Pengarah Urusan Auto ConneXion, Turse Zuhair.

Raptor Rev dibuka untuk pendaftaran, terhad kepada 50 peserta sahaja

Sime Darby Auto ConneXion (Auto Connexion), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, telah mengumumkan 11 dan 12 Januari 2025 sebagai tarikh berlangsungnya acara off-road Raptor Rev.

Syarikat itu telah melancarkan laman mikro eksklusif (www.raptorrev.com.my) untuk acara berkenaan dan mempelawa pemilik Ford Ranger Raptor untuk mendaftar, dengan tempat terhad kepada 50 penyertaan sahaja.

Bakal berlangsung di Bay 13, Litar Sepang dari 7 pagi hingga 7 malam, Raptor Rev menyediakan latihan yang mendalam meliputi teori off-road, suspensi, tayar, lompatan, drifting, hot laps Baja serta laluan berhalangan 4×4 secara amali.

Selepas menamatkan latihan teori dan amali tersebut, peserta akan bersaing dalam Cabaran Autocross yang akan menguji kemahiran mereka. Pemenang akan membawa pulang baucar minyak bernilai RM3,000.

Pemilik Ranger Raptor boleh menempah penyertaan mereka dalam acara Raptor Rev dengan yuran sebanyak RM275 (kadar yuran biasa RM350) bermula sekarang hingga 13 Disember.

Tawaran eksklusif ini meliputi sehelai kemeja-T Raptor dan topi edisi terhad, pakej makanan dan minuman lengkap sepanjang hari, akses kepada bengkel khusus yang merangkumi sesi teori dan praktikal, serta penyertaan dalam Cabaran Autocross.

Acara ini juga terbuka kepada khalayak awam yang bukan pemilik Ranger Raptor untuk ikut serta sebagai pengunjung secara percuma.

100 pendaftaran yang dibuat dalam talian akan menerima baucar makanan dan minuman yang boleh digunakan di trak makanan yang disediakan.

Mereka boleh mengikuti hot laps di dalam litar Baja bersama pemandu berpengalaman, memandu uji Ranger Raptor serta menikmati pelbagai persembahan dan aktiviti menarik.

Bukan itu sahaja, 100 pemilik Ranger Raptor pertama yang menunjukkan kunci trak mereka ketika hari juga akan mendapat kemeja-T edisi terhad Raptor Rev.