Tag Archives: rasuah

Bekas menteri pengangkutan Singapura mengaku bersalah terima sogokan

Laman berita Reuters melaporkan bekas menteri pengangkutan Singapura S Iswaran mengaku bersalah atas pertuduhan menerima hadiah semasa memegang jawatan dalam kerajaan.

Iswaran merupakan menteri kabinet Singapura pertama yang dibicarakan di mahkamah selepas kes rasuah terakhir dilaporkan pada tahun 1986 tidak dapat dibicarakan di mahkamah kerana menteri pembangunan negara itu meninggal dunia.

Bekas menteri berusia 62 tahun yang ditahan pada Julai tahun lalu dituduh mengambil sogokan bernilai ratusan ribu dolar Singapura daripada taikun hartanah Ong Beng Seng, di mana sebahagiannya untuk memajukan kepentingan perniagaan Ong.

Menurut kertas pertuduhan, Iswaran didakwa menerima hadiah berupa tiket tiket perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris, muzikal, penerbangan dengan pesawat peribadi Ong dan tiket ke Formula Satu GP Singapura.

Menurut laman Channel News Asia (CNA), dia mengaku bersalah atas tuduhan menghalang keadilan, serta menerima hadiah yang bernilai tanpa bayaran atau bayaran yang tidak mencukupi daripada seseorang yang terbabit dengannya atas kapasiti rasmi.

Dalam pada itu, pihak pendakwa raya mengurangkan pertuduhan yang dihadapi Iswaran kepada lima daripada 35, manakala baki 30 lagi pertuduhan akan diambil kira untuk menjatuhkan hukuman.

Untuk pertuduhan menerima hadiah, seseorang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda, manakala bagi kesalahan menghalang keadilan, Iswaran boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

 

Kakitangan ditahan SPRM, PROLINTAS jamin beri kerjasama

PROJEK Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) berkata ia bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berikutan siasatan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) menerima maklum bahawa beberapa warga kerja kami telah ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan membabitkan kes pembinaan.

“Kami komited dan bersedia untuk bekerja rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan.

“PROLINTAS terus komited dalam mengekalkan integriti dan tadbir urus korporat pada tahap tertinggi,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, SPRM mengesahkan penahanan lapan individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya kerana dipercayai telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.

Kes rasuah RM85 juta: Bos MARii antara sembilan yang ditahan SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan laporan BebasNews berkenaan sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung projek berjumlah RM85 juta membabitkan sebuah institut automotif.

Menurut sumber, kesemua mereka termasuk seorang wanita dipercayai ditahan merupakan empat pemilik syarikat dan masing-masing seorang  penasihat perubatan, akauntan, pengarah syarikat, ketua eksekutif dan ketua pegawai operasi. Mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Perintah reman antara tiga hingga enam hari bermula semalam dikeluarkan oleh Majistret Tuan Shah Wira Abdul Halim terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 34 hingga 58 tahun di Mahkamah Majistret, Putrajaya.

Sumber berkata, dua suspek lelaki yang direman selama enam hari itu dipercayai telah meminta dan menerima suapan lebih RM14.9 juta daripada tiga lagi suspek sebagai balasan  bagi membantu syarikat milik mereka mendapat geran menerusi tiga syarikat lain antara tahun 2018 hingga 2020.

BebasNews hari ini memetik sumber melaporkan ‘orang kuat’ Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii),  Datuk Madani Sahari  dan beberapa pegawai lain bakal ditahan reman selepas  SPRM melakukan sebuah ke atas institut itu semalam.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM,  Dato’ Tan Kang Sai yang dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.