Tag Archives: raya

JPJ terima 245 aduan melalui aplikasi e-Aduan sempena Raya

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 245 aduan yang dilaporkan orang ramai melalui aplikasi e-Aduan@JPJ sepanjang tempoh Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu sempena Aidilfitri yang bermula 29 April lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, “Kesalahan tertinggi yang dilaporkan adalah memotong barisan dan menggunakan laluan kecemasan.”

Gambar oleh: Bernama

“Aplikasi ini baru sahaja dilancarkan seminggu sebelum Aidilfitri dan kita mendapat kerjasama amat baik daripada pengguna jalan raya di seluruh negara.”

“Sebahagian aduan itu telah diambil tindakan dalam tempoh 48 hingga 72 jam,” tambahnya.

Menurutnya, JPJ mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sudi membantu mereka menguatkuasakan undang-undang jalan raya dengan melaporkan kejadian melalui video dan gambar yang sah melalui sistem e-Aduan@JPJ.

Aplikasi e-aduan boleh dimuat turun melalui Google Play untuk pengguna telefon pintar jenis Android dan orang ramai juga perlu mengaktifkan sistem kedudukan global (GPS) bagi memudahkan pengesanan lokasi.

Dalam pada itu Aedy Fadly berkata, sebanyak 89,490 kenderaan diperiksa sepanjang tempoh Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 18,690 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dan kesalahan tertinggi yang dikesan ialah tidak memiliki lesen memandu dan tidak memperbaharui cukai jalan,” katanya.

Filem pendek ‘Kota Raya’ tampil Toyota Corolla Cross Hybrid

UMW Toyota Motor baru-baru ini telah melancarkan kempen Ramadan Raya mereka dengan tema ‘Bersama Lebih Bermakna’.

Bagi meneruskan sambutan di seluruh negara, Toyota juga baru melancarkan filem Pendek Aidilfitri (atau iklan raya) bertajuk ‘Kota Raya’, menampilkan Toyota Corolla Cross Hybrid.

Diilhamkan daripada hubungan kekeluargaan, ‘Kota Raya’ memaparkan suka duka yang dihadapi golongan milenial di kota. Selepas dua tahun tidak dapat meraikan lebaran bersama keluarga pastinya menimbulkan rasa kerinduan.

Kali ini ramai yang tidak sabar-sabar meluangkan masa untuk beraya bersama-sama . Filem pendek ini dibintangi oleh Aedy Ashraf sebagai Aidil, manakala Amerul Affendi pula memainkan watak Fitri.

Turut menampilkan cameo Duta Toyota Gazoo Racing dan Toyota Yaris, Janna Nick sebagai Aqilah.

‘Kota Raya’ boleh ditonton sekarang di saluran YouTube dan platform media sosial lain.

“Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini pasti lebih ceria kerana semua orang berpeluang untuk pulang berhari raya di kampung,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran. K.

“Kami di Toyota mengalu-alukan kedatangan pelanggan kami ke semua pusat servis kami untuk menyenggarakan kereta mereka sebelum pulang ke kampung halaman.

“Perayaan kali ini semestinya disambut bersama keluarga, setelah pulang beraya di kampung tidak dibenarkan dalam tempoh dua tahun lepas. Sudah tentu seronok untuk melihat semua orang kembali beraya bersama keluarga,” katanya.

Promosi Raya

Sempena sambutan ‘Bersama Lebih Bermakna’, semua peminat Toyota dijemput menyertai peraduan ‘Pandu Uji dan Menang Duit Raya’ yang boleh disertai dari sekarang hingga 1 Mei 2022.

Setiap pandu uji yang dilakukan membolehkan pemandu mengambil bahagian dalam peraduan dan memenangi ‘duit raya’ bernilai RM100, manakala pandu uji yang disusuli oleh tempahan yang berjaya akan melayakkan pemilik Toyota peluang menerima duit raya RM200.

Sejumlah 30 pemenang akan dipilih setiap minggu. Demi membawakan sambutan ‘Bersama Lebih Bermakna’ lebih dekat dengan pelanggan, UMW Toyota Motor telah menganjurkan acara Hujung Minggu Ramadan di semua pusat pameran dan jualan baru-baru ini.

Lebih daripada 4,000 pelanggan Toyota menikmati tawaran hebat di samping pelbagai ganjaran nilai tambah lain di bilik-bilik pameran Toyota di seluruh negara.