Tag Archives: recharge ev

Volvo C40 Recharge Pure Electric 2024 kini dengan jarak pemanduan 550km, lampu matriks, harga kekal RM289k

VOLVO Car Malaysia (VCM) hari ini mengumumkan SUV elektrik (EV) C40 mendapat penambah baikan bagi tahun 2024. Ia kini ditawarkan dengan jarak pemanduan lebih jauh iaitu sehingga 550km, dan lampu depan LED matriks.

Pek baterinya ditambah dari 78kWh menjadi 82kWh, dan dengan sistem penyejukan lebih baik, menambah 100km jarak pemanduan berbanding sebelumnya.

Bateri Volvo C40 2024 ini juga kini menyokong pengecasan DC sehingga 200kW (berbanding 150kW sebelumnya), bermakna tahap bateri dari 10 peratus boleh dicapai ke 80 peratus dalam masa 28minit sahaja.

Rangkaian kuasa juga telah ditambah baik. Berbanding dia motor dengan kuasa sama 150kW (204hp) depan dan belakang, C40 kini menampilkan sepasang motor dengan output berbeza.

Di depan mempunyai output 117kW (159hp) manakala di belakang 183kW (249hp). Jumlah kuasa masih sama iaitu 300kW (408hp).

Seperti disebut tadi, Volvo C40 2024 juga kini dilengkapi dengan lampu LED matriks untuk pencahayaan lebih baik. Ciri lain adalah rim 19-inci dan warna baharu Vapour Grey.

Dengan penambahan spesifikasi baharu ini, VCM mengekalkan harga C40 Recharge iaitu RM288,888 atas jalan tanpa insurans. Ini juga merangkumi jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, serta jaminan bateri lapan-tahun atau 160,000km.

Terdapat juga pakej servis percuma lima-tahun atau 100,000km serta bantuan tepi jalan dengan tempoh sama.

65 pelanggan mula terima Volvo XC40 Recharge Pure Electric

VOLVO Car Malaysia (VCM) baru-baru ini telah menyerahkan kumpulan pertama XC40 Recharge Pure Electric kepada pelanggan mereka di negara ini.

Sebanyak 65 pemilik menerima EV pertama keluaran Volvo itu, dan acara penyerahan itu juga menandakan satu detik bermakna untuk Volvo mengorak langkah elektrifikasi mereka.

Setakat ini, VCM telah menerima lebih 300 tempahan untuk XC40 Recharge EV dan dijangka menyerahkan sejumlah 100 unit SUV itu menjelang hujung bulan ini.

Volvo XC40 Recharge Pure Electric dijual pada harga RM262,459.75 dan ditawarkan dalam lima warna iaitu Black Stone, Crystal White Pearl, Denim Blue, Glacier Silver dan Sage Green.

XC40 Recharge EV dilengkapi pek bateri lithium-ion 78kWh yang boleh memberikan jarak pemanduan sehingga 418km. Pecutan ke 100km/j pula boleh dilakukan dalam 4.9 saat sahaja, sementara kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j.

Untuk pengecasan, tahap bateri boleh mencapai 80 peratus dalam hanya 40minit menggunakan pengecaj pantas DC. Jika menggunakan pengecaj AC biasa dengan kapasiti 11kW, pengecasan ke tahap 80 peratus akan mengambil masa kira-kira 7 jam setengah.

Volvo XC40 Recharge EV dilengkapi dengan navigasi yang dikatakan terbaik dalam kelasnya. Google Maps akan diintegrasi sepenuhnya dan disokong oleh Google Assistant yang akan memberikan maklumat seperti trafik dalam masa sebenar.

Kami juga telah memandu uji SUV elektrik ini, anda boleh jemput baca di sini.

Jemput juga tonton video ringkas kami di bawah ini: