Tag Archives: rekod dunia

Toyota Prius pecah rekod dunia, catat 2.5L/100 km untuk perjalanan lebih 5,000 km!

Satu rekod baharu dunia untuk kadar penggunaan bahan api yang paling rendah telah tercatat dalam Guinness World Record untuk jarak pemanduan melebihi 5,000 km, iaitu 2.5L/100 km.

Jauh lebih jimat berbanding angka rasmi 57 MPG (4.12 liter/100 km) yang dikeluarkan oleh Toyota!

Wayne Gerdes memandu sebuah Toyota Prius LE dari Los Angeles City Hall menuju ke New York City Hall, dengan jarak perjalanan sejauh 5,168.7 km.

Sepanjang perjalanan tersebut, beliau perlu menempuh laluan berketinggian 2,100 m selain menempuh kawasan gurun Mojave di mana suhu boleh mencecah setinggi 40 darjah Celcius.

Untuk mencapai angka tersebut, Gerdes mencadangkan beberapa tips yang boleh digunakan untuk meningkatkan tahap kecekapan penggunaan bahan api.

Antaranya ialah bergerak dengan perlahan dari pegun dan dalam masa yang sama mengekalkan tekanan yang sekata pada pedal pendikit.

Selain itu, untuk berhenti di satu-satu tempat, Gerdes lebih gemar mengalihkan kaki daripada pendikit lebih awal dan menggunakan momentum kereta sebanyak mungkin.

“Untuk cubaan rekod sebegini, ia memerlukan perancangan yang rapi. Anda perlu mempunyai pelan, dan mampu untuk mengubah perancangan dengan cepat.

“Jadi, sekiranya keadaan berubah, anda harus menukar perancangan anda. Ubah laluan. Fikirkan apa yang anda boleh lakukan untuk mencapai matlamat tersebut,” ujarnya lagi.

Toyota Prius LE mempunyai kapasiti tangki bahan api sebesar 43 liter, jadi berdasarkan pengiraan ringkas, Gerdes mungkin mampu mencapai jarak sejauh 1,693 km setiap kali pengisian tangki penuh dibuat.

Ia ternyata satu angka yang cukup impresif, memandangkan angka rasmi yang dikeluarkan oleh Toyota hanyalah sekitar 1,036 km sahaja.

Pininfarinia Battista pecut 0-96km/j dalam 1.79 saat, cipta rekod baharu!

PININFARINA Battista sebuah hypercar elektrik (EV) yang laju, tetapi kini kita semua tahu berapa laju. Ia baru sahaja memecahkan rekod sebagai hypercar EV dengan pecutan terpantas di dunia. Dan untuk berhenti pula, Pininfarina berkata hypercar itu juga mencipta rekod baharu.

Battista memecut dari 0 ke 96km/j (60 batu sejam) dalam hanya 1.79 saat. Ia kemudian mampu mencapai 192km/j (120 batu sejam) dalam 4.49 saat.

Bayangkan, anda hendak habiskan perenggan di atas pun melebihi lima saat, tapi ia sudah memecut hampir ke 200km/j.

Untuk prestasi membrek, Battista mampu berhenti dari kelajuan 96km/j dalam hanya 101 kaki (30.7 meter).

Menurut Pininfarina, angka-angka di atas adalah rasmi dan merupakan rekod baharu untuk kenderaan produksi. Kelajuan maksima ialah 349km/j, bukanlah suatu rekod tetapi masih sangat laju. Inikan pula untuk sebuah EV.

“Dioptimakan khas untuk agihan berat dan titik graviti yang rendah menjadi perkara penting untuk hasil ini,” kata Ketua Pegawai Produksi dan Kejuruteraan Automobili Pininfarina, Paolo Dellacha.

“Kombinasi casis khas dan talaan suspensi, tayar yang terbukti dari ujian beribu kilometer, dan empat motor elektrik dengan torque vectoring memberikan kuasa menakjubkan yang membolehkan Battista menjadi kereta dengan pecutan terpantas di dunia.”

Bagi anda yang belum tahu, Battista menggunakan empat motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 1,900hp dan 2,300Nm tork.

Pek bateri 120kWh padanya dibekalkan oleh Rimac, disusun dalam bentuk T dan diletakkan rendah di bawah untuk agihan berat optima.

Setiap unit kereta dibina dengan tangan di Itali, mengambil masa 1,250 jam untuk disiapkan. 150 unit dirancang untuk pengeluaran, dengan harga bermula 2.2 juta Euro (RM10.34 juta).

Pengeluaran telah bermula pada Julai lepas, dan penyerahan kepada pelanggan kini akan dimulakan. Pininfarina memilih Arab Saudi untuk pendedahan Battista dan Emiriah Arab Bersatu untuk cubaan rekod dunia itu. Ia dibuat di Dubai Autodrome.

Juruterbang cipta rekod pertama terbang dalam terowong, capai kelajuan 245km/j

TIADA siapa pernah menerbangkan kapal terbang melalui terowong sebelum ini. Dan Dario Costa baru-baru ini memecahkan rekod dunia sebelum kita sarapan.

Pada awal pagi selepas subuh, Dario Costa yang juga seorang juruterbang lumba dan aksi lagak ngeri profesional menerbangkan pesawat Zivko Edge 540 miliknya melalui dua terowong Çatalca Tunnels di lebuhraya Marmara di utara Turki.

Dengan lebih dua dekad pelbagai pengalaman penerbangan, juruterbang berusia 41 tahun itu telah mencatatkan lebih 5,000 jam penerbangan. Lebih separuh darinya adalah dari aerobatik prestasi tinggi.

Costa juga sebelum ini merupakan juruterbang Itali pertama yang memenangi Red Bull Air Race Challenger Class. Dia telah lama mengimpikan untuk melakukan Tunnel Pass ini, dan merupakan aksi paling sukar dan merbahaya pernah dilakukannya.

Dengan lampu malap dalam dinding konkrit melengkung, Costa berlepas di terowong pertama kira-kira jam 6:43 pagi waktu tempatan. Waktu sebegini memberikan pencahayaan paling optima untuknya.

Ruang yang sempit bermakna dia perlu memastikan pesawat sentiasa terbang hanya beberapa inci dari permukaan jalan, dengan ruang untuk kesilapan yang sangat kecil. Sekali terbersin, pasti berlipat pesawatnya di dalam terowong!

Cabaran lain adalah perubahan aliran udara dan pengendalian pesawat itu yang sangat sensitif, memerlukan reaksi kurang dari 250 milisaat untuk Costa membuat pembetulan berterusan semasa penerbangan.

Antara saat paling kritikal ialah semasa melalui ruang 360 meter antara dua terowong kerana pesawat ringan itu terdedah kepada angin lintang sambil Costa mengemudi dengan berhati-hati memasuki terowong kedua.

https://www.youtube.com/watch?v=UNyRRHxc0W4

“Segalanya berlaku sangat pantas, tetapi semasa saya keluar dari terowong pertama, pesawat mula bergerak ke kanan kerana angin lintang dan di dalam kepala saya, semuanya menjadi perlahan dalam saat itu,” terang Costa.

“Saya bertindak balas dan kekal fokus menghalakan pesawat ke laluannya untuk memasuki terowong kedua. Kemudian di dalam kepala saya, semuanya menjadi pantas kembali.”

Costa terbang dalam kelajuan purata kira-kira 245km/j dan selepas keluar sahaja dari terowong kedua, dia terus membuat lengkungan kemenangan ke atas sebelum mendarat.

Dari mula berlepas hingga keluar terowong kedua, penerbangan itu mencatatkan perjalanan 2.26km dan dalam masa kurang 44 saat, Costa telah mencipta rekod Guinness World Record yang sah.

Guinness World Record juga mengiktiraf empat rekod lagi iaitu kapal terbang pertama terbang melalui terowong, penerbangan paling lama melalui bawah halangan, kapal terbang pertama melalui dua terowong, dan kapal terbang pertama berlepas di dalam terowong.

SSC Tuatara buat ‘pencinta’ kelajuan melting, tergamam!

Berapakah kelajuan maksima yang anda berani pecut di jalan raya?

200 km/j? 250 km/j? 300 km/j?

Jika itu kelajuan paling berani ‘ditempuh’, percayalah anda masih ‘biasa-biasa’ pada kami.

Apa tidaknya, seorang pelumba kereta Oliver Webb berjaya mencipta rekod dunia dengan memandu sebuah kereta pada kelajuan lebih 500km/j!

Rekod itu dicatat Webb ketika memandu SSC Tuatara di Route 160, Las Vegas sejauh 11 kilometer.

Kejayaan Webb turut diabadikan World Genuines Record (WGR).

Terdapat beberapa kriteria perlu dipenuhi kereta dipandu Webb bagi memenuhi WGR iaitu:

  • Kereta perlu dipandu dua arah dalam masa kurang sejam
  • Menggunakan kereta produksi dijual di pasaran
  • Menggunakan tayar sama pada model biasa
  • Memasang alat GPS memantau hala laju serta diawasi oleh pegawai rekod.

Sejarah SSC Tuatara

SSC Tuatara pernah dikenali sebagai Shelby Supercar Incorperated.

Syarikat itu menghasilkan model Tuatara berdasarkan model konsep dihasilkan Jason Castriota pada 2018.

Model konsep ketika itu menggunakan enjin V8 silinder dengan sesaran 6900cc.

Namun, untuk mencapai 8800 RPM, jurutera SSC menggunakan enjin bersaiz 5900cc.

Agak mengejutkan kerana nisbah mampatan enjin ini ditetapkan pada 8.8:1.

Ianya dikira agak rendah bagi sebuah enjin moden tapi terpaksa dibuat bagi mengelak masalah knocking.

Walaupun nisbah mampatan enjin rendah, berkemungkinan sistem turbo berkembar sedikit sebanyak membantu enjin menghasilkan 1350 kuasa kuda!

Selain itu,  enjin jentera ini juga ini menggunakan methanol E85 bagi menghasilkan sebanyak 1750 kuasa kuda.

Tuatara hanya mengambil masa masa 2.5 saat untuk memecut dari 100 km/j ke 200 km/j.

Jentera ini mencatatkan hala laju purata pergi dan balik pada 508.73km/h.

Hala laju maksima dicatatkan Tuatara pula adalah 532.93km/h.

Secara logik Kuala Lumpur – Pulau Pinang tak sampai sejam guys!

Mengapa SSC Tuatara begitu laju, gagah?

SSC Tuatara mampu mencapai kelajuan tinggi memandangkan ia dihasilkan daripada gentian karbon dan aluminium.

Bukan sahaja dihasilkan dengan reka bentuk yang sangat aerodynamic, bahagian hadapan kereta juga direka dengan kecil iaitu sekitar 18 kaki persegi.

Kesimpulannya, adakah akan ada sportcar lain yang mampu mencabar rekod SSC Tuatara?

Sama-sama kita nantikan!

Rekod dunia: Toyota Mirai jangkau jarak pemanduan 1,003 kilometer

Sekumpulan anak muda berjaya mencipta rekod dunia dengan memandu sejauh 1,003 kilometer dengan hanya setangki hydrogen bagi kategori kenderaan produksi.

Rekod itu dicipta menerusi sebuah kenderaan model Toyota Mirai.

Toyota Mirai itu bergerak dari stesen pengisian hydrogen Paris commune of Orly di selatan Paris dan melalui kawasan Loit-et-Cher serta Indre-et-Loire.

Sebelum ini, Toyota memaklumkan bahawa model Mirai mampu bergerak sejauh 650 kilometer dengan pemanduan normal.

Toyota Mirai

Toyota Mirai dihasilkan pada 2014 dan produksinya masih diteruskan sehingga kini.

Pada 2019, model ini telah terjual lebih 10,250 unit seluruh dunia.

Tahun lalu, Toyota telah melancarkan lima varian generasi baharu iaitu:

  • Mirai G 7
  • Mirai G A Package
  • Mirai G Executive Package
  • Mirai Z
  • Mirai Z Executive Package

Antara ciri menarik terdapat pada Mirai versi baharu termasuk sistem keselamatan menyeluruh kepada pemandu dan penumpang.

Mirai 2021 dilengkapi dengan rangkaian teknologi Toyota Safety Sense terbaharu.

Ciri keselamatan ini termasuk sistem Pre-Collision System yang dapat mengesan keberadaan objek menghampiri kenderaan.

Selain itu, Mirai 2021 juga dilengkapi:-

  • Driver Emergency Stop Assist
  • Dynamic Radar Cruise Control (DRCC)
  • Adaptive High-beam System (AHS)
  • Lane Tracing Assist (LTA)