Tag Archives: RON 95

Penyelarasan subsidi RON95 guna sistem MyKad, dua peringkat harga

Penyelarasan subsidi RON95 akan dilaksanakan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua peringkat harga.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mekanisme lengkap pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 akan diumumkan selepas separuh pertama tahun ini.

Tambah beliau, mekanisme berkenaan sedang diperhalus dan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

“Kita tidak mahu mengumumkan sesuatu perkara sementara kami masih menjalankan kerja, kerana perkara paling penting yang kami mahu pastikan adalah sistem ini kukuh.

“RON95 akan menggunakan dua peringkat harga iaitu harga subsidi dan tanpa subsidi. Sistem yang akan diguna dalam penyaluran subsidi RON95 kepada rakyat yang layak adalah melalui MyKad,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kewajaran menggunakan MyKad dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 itu kelak, Amir Hamzah menjelaskan sistem itu sudah digunakan dalam Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Amir Hamzah dalam masa sama turut menegaskan bahawa 85% rakyat negara ini tidak akan terkesan susulan penyasaran subsidi RON95 yang akan dilaksanakan kelak.

Kerajaan laksana penyasaran subsidi petrol RON95 pertengahan 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI hari ini berkata, kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.

Menurut Datuk Seri Anwar, penyasaran subsidi itu melibatkan perbelanjaan sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia.

Tambah beliau lagi, sesuatu yang tak dapat disangkal ialah warga asing dan 15 peratus teratas pengguna mahakaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.

Beliau berkata dana RM8 bilion itu sebenarnya lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.

“Sehingga kini, harga RON95 Malaysia ialah RM2.05 sen ketimbang negara tetangga seperti Thailand (RM5.85), Indonesia (RM3.38), Singapura (RM9.02 sen) dan Arab Saudi (RM2.66). Harga yang rendah menyebabkan Kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 tahun 2023 mencecah RM20 bilion.

“Namun, Kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik, apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan,” katanya lagi.