Tag Archives: rosak

Anda dapat kereta ‘lemon’? Ini cara buat aduan Tribunal Tuntuan Pengguna

MEMANG mengecewakan jika kereta kita yang baru dibeli, belum hilang bau kedai, sudah bermasalah. Lebih memburukkan keadaan jika pihak pengeluar atau wakil jualan tidak mahu bertanggung jawab, kita rasakan ibarat “menabur garam di atas luka”.

Jangan risau, jangan rasa keseorangan. Tahukah anda bahawa anda sebenarnya boleh membuat laporan atau tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna?

Gambar oleh: Torque

Mungkin ramai yang pernah mendengar mengenai tribunal ini, tetapi ramaikah yang mengetahui cara sebenar membuat tuntutan? Kita sebenarnya sebagai pengguna atau pembeli mempunyai hak tersendiri di sisi undang-undang.

Jadi dalam artikel ini mari kita lihatkan soalan-soalan lazim berkenaan tribunal pengguna dan bagaimana anda boleh menuntut hak anda sebagai seorang pembeli tersakiti.

Objektif Tribunal Tuntutan Pengguna, menurut laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), adalah seperti berikut:

  1. Menyediakan forum alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna membuat tuntutan tebus rugi berkenaan dengan barang atau perkhidmatan secara murah, mudah dan cepat.
  2. Mendengar dan mengadili tuntutan dengan bebas, adil dan saksama.
  3. Membangunkan undang-undang berhubung perlindungan pengguna.

Bagaimana cara membuat tuntutan sekiranya kereta atau produk yang anda beli mempunyai masalah yang bukan disebabkan anda?

Ada dua cara, iaitu hadir sendiri ke mana-mana kaunter Tribunal Tuntutan Pengguna di seluruh negara, atau memfailkan secara online melalui portal https://ttpm.kpdn.gov.my.

Setiap permohonan yang difailkan akan dikenakan bayaran RM5.00.

Menurut laman web itu lagi, tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar:

  1. Tuntutan untuk tebus rugi bagi pembelian barang dan perkhidmatan yang dibenarkan di bawah bidang kuasa Tribunal sepertimana diperuntukkan di bawah Akta 599;
  2. Tuntutan yang jumlah amaunnya tidak melebihi RM50,000.00; dan
  3. Tuntutan yang terakru dalam masa tiga tahun dari tuntutan itu.

Adakah tribunal mempunyai kuasa perundangan untuk menyiasat aduan pengguna?

Tribunal Tuntutan Pengguna tidak mempunyai bidang kuasa perundangan di bawah Akta 599 untuk bertindak atas sesuatu aduan.

Tribunal adalah forum alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna membawa tindakan tuntutan tebus rugi terhadap penjual/pengilang dan pemberi perkhidmatan untuk pembelian barang dan perkhidmatan untuk hal perkara yang dibenarkan di bawah Akta 599.

Apakah semakan kehakiman?

Setiap award yang dibuat oleh Tribunal di bawah subseksyen 112 (2) dan 107 (3) Akta 599 adalah muktamad dan mengikat semua pihak kepada prosiding itu sepertimana yang dinyatakan di bawah seksyen 116 Akta 599.

Walau bagaimanapun, pihak yang tidak berpuas hati dengan award Tribunal boleh memohon Semakan Kehakiman di Mahkamah tinggi.

Diharapkan maklumat yang kami kongsi ini dapat membantu sedikit sebanyak bagi anda yang berhadapan dengan isu kepenggunaan. Sama-sama kita perjuangkan hak kita sebagai pengguna!

Honda CR-V keluar bunyi pelik selepas beberapa minit dibeli

SEBELUM ini, kita telah membaca kisah mengenai pemilik Perodua Bezza dan Honda HR-V yang tular apabila kenderaan mereka mengalami kerosakan dalam tempoh yang begitu singkat selepas dibeli.

Kali ini, seorang lagi pengguna media sosial tampil meluahkan rasa tidak hati mengenai Honda CR-V baharu yang baru dibeli oleh bapanya yang didakwa mengeluarkan bunyi pelik hanya beberapa minit selepas dibawa keluar dari sebuah bilik pameran kereta di Melaka Disember tahun lalu.

Menurut seorang pengguna Facebook yang bernama Ahmad Shah, bunyi pelik itu seakan-akan seperti bunyi motosikal bergerak.

“Ayah menghantar kereta tersebut ke cawangan pusat kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan. Pihak itu hanya menukar tombol kunci pintu namun kereta masih mengeluarkan bunyi yang sama,” katanya.

SUV itu kemudiannya dibawa sekali lagi ke pusat kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan dan dipandu uji kali kedua. Pengurus pusat kenderaan tersebut mengesahkan ada bunyi tidak normal pada kenderaan itu.

“Dia maklumkan bahawa kereta tersebut akan dihantar ke pusat servis utama iaitu Honda Malaysia. Ini kerana dakwanya, cawangan berkenaan tidak dapat membuat apa-apa tanpa pemeriksaan yang lebih teliti daripada Honda Malaysia,” katanya.

Dakwanya, selepas itu SUV berkenaan dihantar ke Honda Malaysia namun tiada langsung khabar berita mengenai statusnya.

“Ayah menghubungi semula pengurus tersebut dan dia maklumkan sentiasa cuba mendapatkan maklumbalas dan perkembangan dari Honda Malaysia namun setakat ini masih tidak diketahui apa puncanya.

“Agak pelik kerana kereta itu belum cecah sebulan lagi usianya namun tempoh jaminan daripada Honda seperti sudah tamat berpuluh tahun.

“Kemudiannya ayah berhubung dengan Ketua Perkhidmatan Pelanggan Honda Malaysia yang memaklumkan kes itu akan dirujuk semula dan diselesaikan oleh pihak cawangan,” luahnya.

Ahmad Shah berkata, selepas disiasat, rupanya mengikut laporan dibuat, tiada langsung dinyatakan mengenai bunyi pelik tersebut sebaliknya pihak itu hanya nyatakan ada isu tayar sahaja.

“Bunyi tersebut hilang apabila kereta berhenti namun akan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat apabila kereta sedang bergerak,” katanya.

Dalam satu hantaran lagi, Ahmad Shah berkata pengurus pusat kenderaan berkenaan telah menelefon ayahnya untuk membuat satu sesi pertemuan tentang kereta tersebut. Tarikh pertemuan itu bagaimanapun tidak diberitahu.

Honda HR-V rosak selepas 2 minggu diguna, punca masalah tidak dapat dikesan

MINGGU lalu, tular kisah mengenai seorang wanita yang kurang bernasib baik apabila Perodua Bezza yang dibelinya tidak boleh dipandu akibat rosak hanya 8 jam selepas dibeli.

Kali ini, seorang pengguna media sosial, Noriya Mamat mengalami nasib yang hampir serupa apabila Honda HR-V yang dibelinya pada Ogos tahun lalu rosak selepas hanya dua minggu digunakan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Noriya berkata, SUV tersebut mengalami masalah selepas dihantar ke pusat servis Honda di Gong Badak, Terengganu pada 2 September lalu untuk servis 1,000 km.

Dua hari selepas itu, kereta beliau mengalami beberapa kerosakan termasukan lampu depan tidak boleh dilaras, lampu penunjuk berkelip-kelip dan lampu kecemasan menyala.

Dakwa Noriya, keadaan lebih memilukan apabila pusat servis Honda itu memberikan alasan bahawa mereka tidak dapat mengesan punca masalah berkenaan.

Susulan itu, Noriya bertindak untuk menghantar semula keretanya itu ke pusat servis selama seminggu. Bagaimanapun, dia berkata, masalah bersama berulang kembali dan terpaksa menghantar sekali lagi SUV itu untuk diservis.

“Saya terpaksa berulang-alik ke pusat servis dalam keadaan saya sarat mengandung pada ketika itu,” ujar Noriya.

Masalah ini berlanjutan sehingga Disember, di mana ketika itu Noriya telah diberitahu bahawa pegawai teknikal dari ibu pejabat Honda akan datang ke Terengganu untuk melihat masalah kenderaan itu.

Pada 10 Januari lalu, ibu pejabat Honda telah menghubungi Noriya dan memaklumkan bahawa masalah SUV itu tidak dapat diselesaikan.

“Setelah empat bulan berada di pusat servis, kali ini mereka maklumkan bahawa kenderaan akan dibawa ke Honda HQ Kuala Lumpur untuk dipantau lebih lanjut dan tempoh sebulan mencari penyelesaian.

“Berapa lama lagi saya perlu menunggu? Setiap bulan saya perlu membayar RM1,500 untuk SUV yang tidak saya gunakan.

“Mengapa pihak Honda mengambil masa yang lama untuk kes seperti ini. Di mana khidmat lepas jualan yang terbaik seperti dijanjikan Honda?” soalnya.

Perodua Bezza rosak 8 jam selepas dibeli, wanita buat laporan polis

HAJAT seorang wanita untuk bergembira dengan kereta barunya tidak tercapai apabila kereta tersebut didakwa rosak lapan jam selepas dibeli.

Dalam satu hantaran di Facebook, Nagakanni Subramaniam berkata dia juga masih perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM537 walaupun sudah lebih dua bulan keretanya rosak.

Menceritakan kronologi episod malang itu, Nagakanni berkata dia membeli sebuah Perodua Bezza 1.3X pada 17 Oktober 2023 dari sebuah wakil pengedar di Segamat, Johor.

Pada pukul 7.40 malam, iaitu lapan jam selepas kereta itu dibeli, Nagakanni mendakwa enjin keretanya tidak dapat hidupkan.

Keesokan harinya, keretanya ditunda ke pusat servis Perodua Segamat di mana dia dimaklumkan bahawa enjin keretanya sudah rosak.

Susulan itu Nagakanni meminta Perodua untuk menggantikan dengan kereta baharu. Dia diminta untuk menunggu jawapan dari ibu pejabat Perodua yang mengambil masa hingga sebulan.

Pada 9 November, seorang eksekutif jualan pelanggan memaklumkan bahawa enjin keretanya itu rosak disebabkan kehadiran bendasing seperti gula.

“Masalahnya, saya pun tak bawa makanan atau gula dalam tempoh lapan jam tu, apatah lagi nak usik enjin,” tulisnya.

Eksekutif tersebut turut memaklumkan bahawa Nagakanni perlu membuat pinjaman baharu untuk mendapatkan kereta baharu.

Menurutnya, dia enggan berbuat demikian kerana masih terikat dengan pinjaman pertama yang dibuat untuk Bezza itu.

Pada 8 Disember lalu, Nagakanni berkata pihak Perodua sedang membuat siasatan dalaman bagi mencari punca-punca kesilapan.

“Atau kata lain, mereka belum boleh bagi black and white approval untuk tukar kereta saya dengan kereta baru,” katanya lagi.

Dalam hantaran itu, Nagakanni turut memuat naik dua laporan polis yang dibuat berasingan pada 18 dan 19 Oktober lalu.

Jangka hayat jalan raya diturap semula boleh capai hingga lapan tahun – Menteri Kerja Raya

ANDA pasti sering tertanya-tanya kenapa sesuatu jalan raya itu kerap diturap semula, kadang-kadang beberapa kali setahun!

Tetapi menurut Menteri Kerja Raya, jangka hayat jalan raya yang diturap atau ditampal semula boleh mencapai tujuh hingga lapan tahun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Gambar oleh: Malay Mail

“Tempoh hayat jalan raya itu adalah berdasarkan piawaian badan antarabangsa selepas ia diturap atau ditampal semula mengikut prosedur operasi standard (SOP) teknikal,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Memang ada jangka hayat jalan itu. Kalau mengikut piawaian badan antarabangsa, satu jalan itu selepas dibina semula, jangka hayatnya adalah tujuh hingga lapan tahun.

“Kita terhad dalam kewangan… saya difahamkan untuk menyempurnakan semua jalan yang ada, ia memerlukan RM4 bilion tetapi dalam belanjawan, tidak sampai separuh daripada keperluan itu yang diterima.

“Bagaimana kita hendak buat yang terbaik… ia mungkin tidak dapat kerana terhad dalam kewangan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai jangka hayat jalan yang diturap semula kerana ia didakwa cepat rosak.

Dalam pada itu, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) turut membangunkan aplikasi MyJalan KKR yang membolehkan pengguna jalan raya mengajukan permohonan atau memberi makluman berhubung kerosakan kemudahan asas terbabit.

“Saya meminta KKR membangunkan aplikasi ini bagi memudahkan penyaluran aduan kepada kementerian, kerana ada jalan bukan bawah seliaan KKR… ada yang bawah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Melalui MyJalan KKR, kita akan menyalurkan dan menapis permohonan lalu berikan kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana Ahli Parlimen disaran mengemukakan cadangan naik taraf jalan kepada pihak kerajaan negeri untuk dimasukkan ke dalam keutamaan melalui pelan pusingan akan datang.

Katanya, KKR kemudian akan meneliti cadangan itu selepas ia diangkat kepada agensi pusat, dengan kelulusannya bergantung pada peruntukan.