Tag Archives: rowan atkinson

Jualan EV di UK sendu, ‘Mr. Bean’ dipersalahkan

PELAKON Mr. Bean, Rowan Atkinson telah dipersalahkan berikutan jualan kenderaan elektrik (EV) di United Kingdom yang sendu atau kurang memberangsangkan, lapor Sky News.

Nama Atkinson disebut semasa mesyuarat perubahan iklim dan alam sekitar di House of Lords minggu lepas. Mereka berkata, komen Atkinson itu memburukkan jualan EV di UK.

Komen tersebut diterbitkan dalam The Guardian pada 3 Jun 2023, dimana Atkinson berkata “kenderaan elektrik tidaklah begitu mesra terhadap alam sekitar seperti yang didakwa.”

Dia juga mengulas mengenai kesan EV terhadap alam sekitar, pengeluarannya, bahan api alternatif, jangka hayat kereta, dan “bulan madu kita bersama EV sudah berakhir”.

Minggu berikutnya, The Guardian menyiarkan satu artikel lain oleh Simon Evans, naib editor Carbon Brief, yang telah mengesahkan kesalahan terhadap dakwaan Atkinson itu.

Dalam mesyuarat itu, Green Alliance memberikan pendapat berkenaan halangan utama dihadapi kerajaan UK dalam proses meninggalkan kereta diesel dan petrol sebelum 2035.

Katanya, “Salah satu artikel paling memburukkan ialah komen tulisan Rowan Atkinson dalam The Guardian yang telah dibuktikan salah.”

“Malangnya, semakan fakta tidak akan sampai secara meluas seperti dakwaan salah pada awalnya.”

Tahun lepas, kerajaan UK mengumumkan untuk menangguhkan pengharaman jualan kereta petrol dan diesel baharu kepada 2035.

Menurutnya, perubahan itu “lebih praktikal, sesuai, dan realistik” yang “meringankan beban kepada golongan pekerja”.

 

Rowan Atkinson pandu Toyota GR Yaris berkuasa hidrogen di Goodwood

PELAKON British, Rowan Atkinson baru-baru ini telah membuat kemunculan mengejut di acara Goodwood Festival of Speed dengan memandu Toyota GR Yaris. Tetapi beliau memandu GR Yaris berkuasa hidrogen, sebagai salah satu inisiatifnya dalam menyokong emisi sifar.

Toyota sebelum ini memperlihatkan GR Yaris ini dalam pemanduan demonstrasi semasa acara World Rally Championship untuk mengenengahkan enjin turbo 1.6-liter 3-silinder yang telah ditukar kepada hidrogen melalui sistem suntikan khas.

Dalam satu video yang dimuatnaik ke Instagram, Rowan Atkinson mengulas akan keyakinannya terhadap kenderaan hidrogen.

Menurut pelakon dengan kelulusan ijazah kejuruteraan itu, kedua-dua kenderaan (enjin pembakaran dalaman dan hidrogen) boleh menjadi alternatif terhadap kenderaan elektrik (EV).

“Kerana itulah saya berada di sini hari ini, untuk menyokong matlamat membuka mind akita tentang bagaimana kita memacu kenderaan di masa depan,” katanya dalam acara yang disiarkan secara langsung itu.

“Saya rasa khasnya untuk sukan permotoran, kereta lumba elektrik adalah sedikit susah memandangkan ia berbunyi seperti mesin basuh dalam mod ‘spin’.

“Ianya sukar tetapi ramai yang sedang cuba mengekalkan emosi (bunyi enjin) yang mana hanya kereta enjin pembakaran dalaman boleh berikan.

Tambahnya, “Mungkin kita akan membiasakan diri dengan kereta lumba elektrik dan menyukainya, tetapi buat masa ini, ada sekumpulan pembeli yang tidak begitu mahukannya.”

Atkinson – bintang dalam Mr Bean dan Johnny English – dikenali sebagai seorang peminat kereta. Beliau sebelum ini pernah memiliki McLaren F1, Lancia Delta Integrale HF, dan Honda NSX. Antara koleksinya pada masa ini termasuklah Toyota GR Yaris standard berkuasa petrol.