Tag Archives: r&r

Pengecaj pantas DC 180kW di R&R Gambang kini beroperasi semula

BERITA baik untuk pemandu kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) yang menghala ke Kuantan atau Pantai Timur. Pengecaj pantas DC Fast Charger 180kW di Petronas hentian Gambang arah Timur kini kembali beroperasi.

Stesen pengecaj itu sebelum ini tidak boleh digunakan kerana menjalani kerja-kerja pembinaan sehingga 19 April. Jadi, ia kini beroperasi semula lebih awal dari tarikh jangkaan. Semasa dalam tempoh pembinaan, pengecaj mudah-alih DC Kempower 22kW digunakan buat sementara.

Pengecaj DC itu adalah di bawah rangkaian Gentari dan mempunyai dua nozel berkapasiti 90kW setiap satu dengan kos penggunaan RM2.20 seminit. Pengecaj-pengecaj ini boleh diaktifkan dengan aplikasi Setel atau JomCharge (kedua-duanya boleh didapati di Google Play Store dan Apple App Store).

Sementara itu, untuk mereka yang memandu pulang ke Kuala Lumpur, Petronas hentian Gambang arah Barat juga mempunyai pengecaj DC 50kW. Pengecaj ini mempunyai kadar RM1.20 seminit dan hadir dengan nozel jenis AC (Type 2) dan DC (CCS dan CHAdeMO).

Boleh mula ‘dine-in’ di R&R PLUS terpilih secara berperingkat

SEMUA pelanggan yang sudah lengkap dos vaksinasi kini boleh menjamu selera di premis (dine-in) R&R terpilih sejajar negara memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Pegawai Komersial PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Christine Liew berkata lokasi-lokasi yang mula dibuka pada 16 September adalah restoran Jejantas Sungai Buloh, Simpang Pulai (arah Selatan), dan Mambau (arah Timur dan Barat).

Sementara itu, kawasan rehat Sungai Buloh (arah Selatan) mula dibuka hari ini (17 September) manakala R&R Dengkil (arah Utara dan Selatan) akan dibuka bermula 18 September.

Christine berkata lebih 80 peratus dari rakan niaga PLUS di R&R telah lengkap dos vaksinasi mereka bagi mematuhi SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Dalam minggu-minggu akan datang, kami akan mengumumkan lebih banyak medan selera R&R yang akan sedia untuk dine-in apabila lebih ramai rakan niaga kami yang lengkap dos vaksinasi mereka,” katanya.

Sumber: Bernama

Tambah Christine, dengan semangat ‘Kita Jaga Kita’, diharapkan semua pelanggan tetap mematuhi semua SOP yang ditetapkan MKN dengan menunjukkan status vaksinasi mereka dari MySejahtera untuk dine-in semasa membuat pesanan makanan.

“Pelanggan yang telah lengkap dos vaksinasi akan mendapat pelekat hijau dari pengusaha makanan, mengesahkan mereka untuk dine-in di premis.”

Sementara itu, pelanggan yang belum mendapat vaksinasi lengkap boleh tetap memilih untuk bungkus (take-away) di premis-premis ini atau menggunakan fungsi Pre-Order di aplikasi PLUS atau melalui https://orderdisini.plus.com.my/.