RUSIA pada Khamis telah menyekat eksport petrol dan diesel berkuat kuasa serta-merta. Ia bagi menstabilkan pasaran bahan api domestik, lapor agensi berita dpa.
Arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Mikhail Mishustin itu merupakan langkah sementara, tetapi tiada tarikh tamat diberikan.
“Sekatan sementara akan membantu memenuhi pasaran bahan api, yang seterusnya akan membolehkan penurunan harga untuk pengguna,” kata kerajaan dalam kenyataan di Moscow.
Hanya beberapa pengecualian dibenarkan, termasuk bekalan yang dipersetujui negara itu dengan Kesatuan Ekonomi Eurasia yang didominasi Moscow, termasuk negara seperti Kazakhstan dan Belarus, lapor agensi berita Interfax.
Langkah itu diambil ekoran kenaikan mendadak harga bahan api di Rusia. Di sesetengah wilayah, bekalan petrol dan diesel semakin berkurangan, terutama di selatan negara itu yang memerlukannya untuk pertanian.
Kerajaan Rusia sebelum ini cuba meningkatkan jumlah bahan api yang didagangkan di bursa domestik. Ia juga memantau harga, khususnya yang perlu dibayar oleh pengguna pertanian.
Rusia masih menjadi antara pengeksport utama petrol dan diesel walaupun berlaku sekatan Barat ekoran perangnya terhadap Ukraine.
TELAH beberapa minggu berlaku konflik antara Rusia dan Ukraine, terdapat juga kesannya dalam industri automotif seluruh dunia, sebagai contoh kenaikan harga minyak mentah dunia.
Kami sejujurnya tidak menyokong keganasan dan sangat bersimpati dengan mereka yang menerima kesan dari konflik peperangan ini.
Apa pun, kali ini kita bercerita mengenai industri automotif Rusia dan kenderaan-kenderaan buatan negara itu. Kita hanya akan memfokus kepada enam jenama terbesar dan paling popular di sana.
1. LADA
Sebuah jenama kereta yang dikilangkan dan dimiliki oleh AvtoVAZ, sebuah syarikat Rusia yang dimiliki oleh French Groupe Renault. Avtovaz ialah pembuat atau pengilang kereta terbesar di Rusia dan Eropah Timur.
Lada mula muncul dalam pasaran pada 1973, menjadi jenama utama AvtoVAZ sehingga diambil alih oleh kumpulan Renault pada 2016.
Model popular termasuklah Lada Granta, Vesta, XRAY, dan Largus. Setiap model ini juga ada banyak varian dan bentuk badan seperti sedan, active, hatchback, cross, wagon, dan macam-macam.
2. UAZ
Berpangkalan di Ulyanovsk, Russia, jenama ini menghasilkan kenderaan-kenderaan off-road, bas, dan trak. UAZ merupakan sebahagian dari kumpulan Sollers sejak 2000.
Dikenali dengan kenderaan utiliti UAZ-469 yang digunakan agak meluas sebagai kenderaan tentera di Eropah Timur dan seluruh dunia. Ala, macam Jeep tu. UAZ mula mengeluarkan kenderaan pada 1941 semasa perang Soviet.
3. Aurus
Ditubuhkan pada 2012, Aurus sebuah jenama kenderaan mewah dan kenderaan motorcade (pengiring).
Sebelum ini mereka hanya fokus kepada kenderaan pengiring, tetapi baru-baru ini mula mengeluarkan kenderaan pertama mereka untuk orang awam, iaitu Aurus Senat.
Senat mempunyai gaya mirip Rolls-Royce. Model lain adalah Limousine dan Arsenal.
4. GAZ
Seterusnya ialah GAZ, pengeluar yang berpangkalan di Nizhny Novgorod dan sebelum ini dikenali sebagai Gorky (1932-1990).
Mereka mengeluarkan kenderaan komersil ringan, van panel, bas mini, bas bandar, bas persiaran, malah ada bas elektrik.
GAZ dieksport ke lebih 40 negara, antara pengeluar utama di Eropah dalam segmen LCV (kenderaan komersil ringan).
5. Kamaz
Kamaz pula ialah pengeluar trak, bas, traktor, casis dan enjin, ibupejabat terletak di Naberezhnye Chelny.
Kamaz mula ditubuhkan pada 1969, dan sejak itu kenderaan berat mereka dieksport ke merata dunia seperti Amerika Latin, Timur Tengah, Afrika dan negara-negara Komanwel lain.
Setakat 2014, Kamaz merupakan pengeluar trak terbesar di Rusia, kilangnya mengeluarkan 43,000 trak setahun dengan pegangan pasaran sekitar 45 peratus.
Kalau korang tengok rali Dakar, mesti perasan dominasi pasukan Kamaz. Mereka merupakan pemenang kategori trak paling banyak dalam rali ini iaitu sebanyak 18 kali!
6. Ural
Satu lagi pengeluar trak, Ural, yang ditubuhkan pada 1941. Ural fokus dalam menghasilkan lori, traktor, casis, kenderaan khas dan kenderaan tentera.
Jenama lain
Sebenarnya ada banyak lagi jenama lain buatan Rusia, antaranya SeAZ, Aleko, Avtokam, VIS, dan ada juga jenama pakatan seperti Ford Sollers dan Renault Russia.
Apa model kenderaan penumpang paling popular di Rusia?
Kalau dilihat lima kenderaan paling popular di Rusia pada 2021 mengikut turutan dari paling popular adalah Lada Vesta, Lada Granta, Kia Rio, Hyundai Creta dan Hyundai Solaris. Sumber: Rusautonews.com.
Jadi Lada Vesta dan Granta ni pada 2021 masing-masing dijual sebanyak 113,698 dan 111,430 unit.
Kenapa kereta jenama Rusia tidak masuk Malaysia?
Kalau dilihat, kebanyakan pengeluar Rusia menghasilkan kenderaan komersil, berat, dan kenderaan khas mungkin kerana faktor cuaca ekstrem di sana. Kenderaan yang sesuai untuk permukaan lasak, off-road, salji tebal, dan kenderaan tentera.
Dan untuk jenama kenderaan penumpang pula, kebanyakannya nampak kurang menarik, sebagai contoh Aleko dan SeAZ Oka. Untuk kenderaan sebegini, banyak model lain jenama Jepun yang lebih terbukti dan lebih biasa dengan pasaran kita.
Untuk Lada pula, memang keretanya nampak lebih elok dan agak menarik, mungkin boleh laku di sini. Kereta-keretanya ada rupa seperti Renault, Opel, atau Volkswagen. Malah Lada Granta tu nampak gaya Proton Saga!
Tetapi jika dilihat Lada langsung tidak masuk ke pasaran Asia Tenggara, mungkin masing-masing tak memerlukan?
PENANDA aras minyak mentah melonjak berikutan masalah bekalan, potensi gangguan perdagangan dan isu perkapalan akibat sekatan ke atas Rusia.
Niaga hadapan minyak mentah Brent meneruskan pergerakan rancak tanpa henti, melonjak 3.62 peratus kepada US$117 setong.
Minyak mentah West Texas Intermediate pula meningkat 3.44 peratus kepada US$114.40 setong.
Terdahulu, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat setinggi US$118.22 setong sekaligus menjadikan ia tertinggi sejak Februari 2013.
Memetik laporan Bernama, pasaran bertindak balas terhadap pusingan terbaru sekatan Amerika Syarikat ke atas sektor penapisan Rusia.
Ia membawa kepada kebimbangan bahawa sekatan eksport boleh beralih kepada sektor minyak dan gas Rusia.
Untuk rekod, Rusia menyumbang kira-kira 10 peratus daripada bekalan minyak global.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, Rusia merupakan pengeluar minyak ketiga dunia dan pengeksport minyak terbesar ke pasaran global.
Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) termasuk Rusia mengambil keputusan mengekalkan pertambahan dalam pengeluaran sebanyak 400,000 tong sehari pada Mac.
RUSIA terus berdepan tekanan susulan tindakan menyerang negara jiran, Ukraine.
Terbaharu, industri automotif Rusia pula menerima ‘tamparan’ hebat selepas sebuah syarikat pengeluaran kenderaan dari Jepun memberi bayangan menghentikan pengeluaran di negara itu.
Mitsubishi Motors seperti dilapor Reuters berkata, syarikat itu bukan sahaja bakal menghentikan pengeluaran malah, menghentikan jualan kenderaan di Rusia.
Salah sebuah keluaran Mitsubishi yang terbaharu iaitu model Xpander. – Foto ihsan Mitsubishi
Ia berikutan langkah sekatan ekonomi dikenakan oleh beberapa kuasa besar termasuk Jepun yang mengutuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Sejak dua minggu lalu, ketegangan mula memuncak selepas Rusia mengarahkan tenteranya menceroboh Ukraine.
Tindakan Rusia terus dikecam majoriti negara Eropah yang menggesa serangan bersenjata dihentikan segera.
Sementara itu, konflik bukan sahaja menyaksikan kehilangan nyawa orang awam tetapi turut melibatkan kerosakan infrastruktur dan harta benda.
Antonov AN-225. Foto ihsan Wikipedia
Media melaporkan pesawat terbesar di dunia, Antonov AN-225 turut musnah dibedil tentera Rusia.
Insiden itu menyebabkan ramai pihak mengkritik tindakan Rusia yang secara tidak langsung menghapuskan identiti Antonov sebagai pesawat terbesar dibina sejak 1988.
TOYOTA Motor Corp berpusat di Tokyo mengesahkan sistem perisiannya berdepan ancaman virus dipercayai angkara serangan siber.
Memetik laporan Rueters, keadaan tersebut menjejaskan pengeluaran kenderaan syarikat itu bagi pasaran tempatan.
Kojima Industries Corp yang merupakan rakan dagang Toyota berkata, serangan virus turut menyebabkan gangguan komunikasi di antara syarikat itu dengan para pembekal lain.
Susulan serangan siber, Toyota telah membuat aduan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat insiden terbabit.
Terdahulu, wujud dakwaan bahawa serangan siber dihadapi Toyota mempunyai kaitan dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Hal ini kerana serangan berlaku sejurus kerajaan Jepun memberi sokongan kepada pihak menentang tindakan Rusia di Ukraine.
Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi daripada pihak berwajib mengenai dakwaan tersebut.
Serangan siber dihadapi Toyota telah menjejaskan pengeluaran lebih 13,000 unit kenderaan bagi pasaran Jepun.
Setakat ini, tiada laporan melibatkan gangguan fasiliti perisian Toyota di negara lain termasuk Malaysia.
SELEPAS India, Pakistan dan Korea Selatan, Rusia pula mahu menyertai perlumbaan untuk kontrak jet pejuang Malaysia.
Dmirty Shugaev, pengarah Russian Federal Service For Military-Technical Cooperation berkata Moscow akan membentangkan sebuah jet pejuang pelbagai fungsi untuk menyertai tender Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akhir bulan ini.
“Pihak Rusia sedang mempertimbangkan kemungkinan penyertaan Rosoboronexport dengan MiG-35 untuk tender pembekalan pesawat pejuang ringan dan latihan TUDM,” kata Shugaev.
“Cadangan kami akan meletakkan Rusia dalam persaingan terus dengan Tejas India yang dibangunkan Hindustan Aeronautics Limited (HAL).”
Pesawat pejuang ringan baharu untuk Malaysia
Pada Jun lepas, Malaysia membuka tender untuk pesawat pejuang termaju dan LCA (Light Combat Aircraft).
Kementerian Pertahanan bercadang memperoleh 18 buah Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) untuk menggantikan armada 18 unit BAE Hawk 108 dan 208 (latihan dan pejuang ringan) serta 7 unit Aermacchi MB-339CM (pesawat latihan).
Pada Disember 2018, Kuala Lumpur telah membuat permintaan maklumat untuk program FLIT-LCA ini. Ia telah mendapat respon dari lapan negara membabitkan Boeing T-7 Red Hawk (AS), HAL Tejas (India), PAC JF-17 Thunder (China dan Pakistan), Hongdu L-15 (China) dan Yak-130 (Rusia).
HAL Tejas dari India berkata akan memberi respon kepada RFP (Request For Proposal) dari TUDM pada minggu ketiga September. Sementara itu, satu pencabar baharu hadir dari Rusia iaitu MiG-35.
Tejas vs MiG-35
Tejas direka untuk keperluan pertempuran moden, dengan penekanan kepada kelajuan, pecutan, maneuverabiliti dan kelincahan. Pesawat ini juga berkemampuan untuk berlepas dan mendarat di landasan pendek.
Ia turut dilengkapi sistem kawalan penerbangan fly-by-wire, radar pelbagai mod dan sistem utiliti mikroprosesor.
MiG-35. Sumber: Eurasian Times
MiG-35 pula merupakan versi eksport MiG-29M OVT (Fulcrum F), pesawat penguasaan ruang udara satu tempat duduk yang sangat lincah dan dilengkapi enjin berkuasa. Ia dikategorikan sebagai pesawat ‘peralihan generasi ke-4++’.
Pesawat sebegini juga biasanya mempunyai jangka hayat lebih panjang, dan mampu dinaiktaraf seperti pesawat generasi ke-5.
Berkenaan harga, MiG-35 bernilai USD30 juta (RM124.35 juta) seunit berbanding HAL Tejas iaitu USD43 juta (RM178.23 juta) seunit.
Malaysia dan TUDM khususnya pernah menggunakan MiG-29 sebelum ini yang telah dilucut tauliah perkhidmatan pada 2017. Jadi mungkinkan MiG-35 mempunyai kelebihan atas faktor keserasian?
SEBUAH helikopter Mil Mi-8 dengan 16 penumpang terhempas di wilayah timur jauh Kamchatka, Rusia awal pagi ini. Menurut petugas kecemasan, sembilan dari mereka ditemui selamat manakala tujuh lagi masih hilang dan dikhuatiri maut.
Helikopter itu difahamkan milik syarikat Vityaz-Aero, terbang dengan tiga orang krew dan 13 penumpang yang merupakan pelancong.
Sebuah helikopter Mil Mi-8 milik Vityaz-Aero. Gambar oleh: Jetphotos.com
Ia dalam perjalanan dari Moscow ke St Petersburg sebelum terhempas di sebuah tasik di semenanjung Kamchatka. Agensi berita TASS melaporkan tujuh penumpang dan dua krew ditemui selamat di lokasi kejadian.
Semenanjung Kamchatka merupakan lokasi pelancongan popular dengan alam semulajadinya. Ia terletak lebih 6,000km di timur Moscow dan kira-kira 2,000km ke barat Alaska.
Standard keselamatan penerbangan Rusia semakin baik kebelakangan ini, tetapi kemalangan terutamanya yang melibatkan helikopter dan kapal terbang berusia bukanlah satu perkara yang asing.
Pada Julai lepas, 28 penumpang terkorban apabila pesawat turboprop enjin-kembar Antonov An-6 terhempas.