Tag Archives: S1K

Pasukan HI-REV Dream Chaser umum barisan pelumba untuk S1K

Pasukan perlumbaan HI-REV Dream Chaser mengumumkan barisan pelumba yang akan menyertai kejuaraan perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

Dua jentera bakal dipertaruhkan, iaitu Honda City dan Suzuki Swift yang telah diubahsuai untuk memenuhi tuntutan teknikal perlumbaan sejauh 1,000 km.

Jentera Honda City akan dipandu oleh Lee Wai Chong (Malaysia), Aaron Haikal (Malaysia) dan Fitra Eri (Indonesia), sementara jentera Suzuki Swift pula akan dikendalikan oleh Daim Hishamudin (Singapura), Hayden Haikal (Malaysia) dan Rahul Mayer (Malaysia).

Perlumbaan S1K ini dijangka menjadi pentas terbaik bagi pasukan HI-REV Dream Chaser mempamerkan kehebatan dan kemahiran pemandu, jentera lumba, serta daya tahan pelincir HI-REV di dalam perlumbaan ketahanan.

Selain daripada S1K, pasukan ini turut menyertai perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) di mana mereka berjaya mencipta sejarah merangkul gelaran juara keseluruhan untuk tahun ketiga berturut-turut.

Pasukan Proton R3 umum gandingan pemandu S70 R3 untuk Sepang 1000KM

Divisyen perlumbaan Proton R3 mengumumkan empat orang pelumba yang akan memandu dua jentera Proton S70 R3 untuk perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM 2024 bulan depan.

Kereta bernombor 81 akan dipandu oleh gandingan Syafiq Ali dan Fahrizal Hasan, sementara kereta bernombor 82 pula mendapat gandingan pelumba muda Alister Yoong dan Ariff Azmi.

Gandingan tersebut dipilih berdasarkan pengalaman masing-masing di dalam sukan permotoran.

Syafiq Ali merupakan pemenang individu terbanyak dalam sejarah perlumbaan 1000KM Sepang selain meraih podium sebanyak tiga kali bersama Proton R3. Sementara Fahrizal Hasan pula mempunyai sejarah kejayaan yang panjang dalam perlumbaan kereta berkuasa tinggi dan memenangi kelasnya sebanyak dua kali dalam perlumbaan 12 jam Sepang.

Kereta nombor 82 pula menampilkan pasangan pelumba termuda dalam sejarah Proton R3, di mana kedua-duanya merupakan produk Akademi Sukan Axle yang dikendalikan oleh Alex Yoong – satu-satunya pemandu Formula 1 Malaysia.

Alister Yoong, 21 tahun, mempunyai banyak pengalaman terkumpul dalam perlumbaan tempat duduk tunggal, manakala Ariff Azmi, 18 tahun, merupakan juara karting yang turut bersaing dengan Alister dalam perlumbaan 1000km tahun lepas.

Dalam masa yang sama, Proton R3 turut mendedahkan jentera lumba sebenar Proton S70 R3 yang akan digunakan pada perlumbaan ketahanan S1K yang akan berlangsung bulan depan.

Menurut Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “sukan permotoran adalah salah satu komponen utama DNA Proton dan warisan persaingan kami dalam perhimpunan perlumbaan bermula sejak Proton Saga yang pertama.

“Walaupun kami tidak bertanding di Sepang 1000km sejak tiga tahun lalu, pasukan Proton R3 mengikuti perkembangan terkini dalam industri perlumbaan, dan hasilnya pembangunan pantas pada kereta lumba setahun selepas Proton S70 dilancarkan.

“Pasukan Proton R3 mempunyai sejarah panjang dalam membantu mempromosikan kerjaya pemandu muda dan meningkatkan profil mereka dengan memandu bersama pasukan. Kami teruja untuk bekerjasama dengan pasukan pemanduan berbakat tahun ini yang menawarkan kami peluang terbaik untuk menjulang gelaran dan menambah rekod PROTON sebagai jenama paling berjaya dalam sejarah Sepang 1000km,” tambah Roslan Abdullah.

Toyota sasar kemenangan di Sepang 1000KM hujung minggu ini

SELEPAS membuat kemunculan sulungnya pada Sepang 1000KM edisi 2020, Toyota kini menetapkan sasarannya untuk memenangi perlumbaan ketahanan berprestij itu menerusi model Vios.

Untuk tahun ini, Sepang 1000KM akan berlangsung selama lebih sembilan jam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 17 hingga 20 November 2022.

UMW Toyota Motor dan Gazoo Racing Malaysia akan berentap dalam kelas MTC dan SP2. Dua pelumba akan menggalas cabaran dalam kelas MTC untuk merebut gelaran juara keseluruhan, manakala 15 pelumba dari kelas SP2 akan bersaing dalam Gazoo Racing Vios Enduro Cup yang terbuka untuk semua generasi model yang bertanding dalam Vios Challenge dan siri Vios Sprint Cup.

Saingan tahun lalu menyaksikan Toyota menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan keempat dalam kelas MTC. Hayden Haikal dan Timothy Yeo berjaya melepasi garisan penamat di kedudukan pertama dan tiga pusingan di hadapan pesaing terdekat mereka namun malangnya pasangan tersebut dikenakan penalti yang menyebabkan mereka jatuh ke kedudukan keempat keseluruhan dan ketiga dalam kelas MTC.

Sementara itu, gandingan kedua Toyota iaitu Boy Wong dan Dannies Ng yang memandu Vios berjaya menamatkan saingan di tempat keempat dalam kelas MTC dan keenam keseluruhan. Tiga buah Toyota juga berjaya menduduki lima kedudukan teratas daripada 39 penyertaan.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata Gazoo Racing Vios Enduro Cup bakal menjadi acara penutup kepada musim perlumbaan yang sangat berjaya buat Toyota.

Perlumbaan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 dengan juara keseluruhan akan membawa pulang RM10,000. Naib juara akan mendapat RM8,000, manakala pemenang tempat ketiga, keempat dan kelima masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM6,000, RM4,000 dan RM2,000.

Slot penyertaan Gazoo Racing Vios Enduro Cup adalah terhad. Untuk pendaftaran, pasukan dan pelumba yang berminat boleh menghubungi wakil Pengurusan Perlumbaan UMW Toyota Motor, Janet di talian 016-367 3300.