Tag Archives: S70 R3

Proton bakal tempatkan dua unit S70 R3 di perlumbaan 1000km Sepang

Proton telah memperkenalkan kereta lumba Proton S70 R3 yang akan bertanding di perlumbaan 1000km Sepang 2024 yang akan berlangsung dari 22 hingga 24 November depan.

Gambar-gambar rasmi yang disiarkan oleh pengeluar kereta nasional itu menunjukkan S70 R3 sedang menjalani persiapan akhir dan hanya menunggu untuk dipakaikan livery perlumbaan sahaja.

Spesifikasi tidak didedahkan namun berdasarkan ngauman nyaring yang jelas kedengaran menerusi video yang dikongsi pada 1 Oktober lalu, terdapat kemungkinan kereta ini menggunakan nadi Campro 1.6 liter seperti yang digunakan oleh kereta-kereta lumba Proton sebelum ini.

Ditubuhkan pada tahun 2003, Proton R3 adalah bahagian sukan permotoran yang disokong oleh kilang Proton, dengan singkatan yang bermaksud Race, Rally, Research.

Sepanjang dua dekad yang lalu, R3 telah berjaya membawa model Proton dalam acara perlumbaan dan rali di peringkat domestik dan antarabangsa. Pengetahuan yang diperoleh dimanfaatkan untuk membangunkan kepelbagaian komponen peningkatan prestasi dan model edisi terhad untuk dijual kepada pelanggan.

Bukan itu sahaja, baru-baru ini, mereka juga telah menceburi bidang pelincir dengan menggunakan jenama R3.

S70 R3 adalah yang terbaru dalam barisan model Proton yang dibangunkan untuk sukan permotoran. Dengan penampilan sulungnya, Proton dan bahagian sukan permotorannya menerokai bidang baru, bertanding dengan kereta yang dibangunkan bersama Geely dan hanya setahun selepas pelancarannya di pasaran.

Proton merupakan OEM paling berjaya dalam sejarah 1000km Sepang dengan enam kemenangan, manakala R3 adalah pasukan paling berjaya dengan lima kemenangan, termasuk tiga kemenangan berturut-turut dari 2017 hingga 2019.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “Setelah tidak bertanding dalam tiga perlumbaan 1000km Sepang yang lalu, Proton teruja untuk kembali ke grid permulaan pada 2024. Proton S70 R3 menandakan satu pencapaian baru bagi jenama ini apabila kita membawa model yang dibangunkan bersama Geely ke dalam persaingan buat kali pertama.”

“Walaupun ia merupakan kereta baru, Proton menyahut cabaran untuk menempatkan dua unit S70 R3 dalam perlumbaan dan bukannya menggunakan model lama yang terbukti sebagai pilihan alternatif. Kami bertekad untuk membuktikan kemampuan model sedan Proton terbaru di litar perlumbaan,” tambah beliau.

Proton Global Services teroka peluang tambah aliran pendapatan

PROTON sedang dalam usaha memperluaskan perniagaannya dengan mempelbagaikan operasi dan aliran pendapatannya dengan meneroka peluang di dalam dan di luar ekosistem automotif.

Usaha ini diteraju oleh anak syarikat milik Proton Edar iaitu Proton Global Services (PGS), yang dalam masa yang singkat mengukuhkan dirinya sebagai penyumbang utama kepada rangkaian perniagaan Proton.

Ditubuhkan pada tahun 2021 dengan hanya satu outlet makanan dan minuman dan barangan cenderahati, PGS telah meluaskan skop operasinya dengan kini merangkumi enam bidang utama, iaitu Gaya Hidup, Kejuruteraan, Latihan, Tenaga Baharu, Logistik dan R3 Motorsports.

Dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Yeet Chuan, pendapatan telah meningkat secara eksponen daripada kurang RM1 juta pada tahun 2021 meningkat pula 19 kali ganda pada akhir tahun 2023.

Bagi pembeli dan peminat Proton, bidang perniagaan yang paling ketara ialah bahagian Gaya Hidup yang menguruskan perniagaan Proton Café dan barangan Proton, serta bahagian R3 Motorsports yang membangunkan varian prestasi dan menjalankan aktiviti perlumbaan.

Proton Café dilancarkan pada tahun 2021 dan kini terdapat 16 cawangan beroperasi di pengedar Proton dengan rancangan untuk mengembangkan lagi perniagaannya kepada 25 cawangan menjelang 2025.

Bagi memenuhi permintaan untuk barangan berjenama Proton dan R3, kini terdapat 20 rakan kongsi barangan Proton di seluruh negara serta kedai maya di protonmerchandise.com untuk jualan dalam talian.

R3 Motorsports meraikan ulang tahunnya yang ke-20 pada tahun lalu dengan pelancaran Proton X50 R3 edisi Ulang Tahun Ke-20. Tahun ini, mereka akan membangunkan kereta lumba S70 R3 untuk menyertai S1K, selain mempromosikan minyak pelincir R3 berprestasi tinggi.

Selain itu, PGS juga menjalankan projek dalam ekosistem Proton. Ini membolehkan syarikat induk menerima hasil tambahan kerana keuntungan dikongsi dengan Proton Edar.

Contoh projek sedemikian termasuk menukar lampu di casting plant Proton kepada unit penjimatan tenaga yang lebih cekap dan membekalkan perabot serta mentauliahkan ruang pejabat baharu untuk pemindahan jabatan ke Proton Tanjong Malim.

Bahagian Tenaga Baharu pula memberi tumpuan kepada pengenalan tenaga yang boleh diperbaharui untuk membantu penarafan ESG syarikat sambil menjual penyelesaian bagi penjimatan kegunaan tenaga.

Inisiatif yang dijalankan termasuk penjualan dan pemasangan sel PV solar kepada pengedar dan vendor Proton serta bekerjasama dengan rakan kongsi untuk membina bukti konsep untuk pengecasan EV mudah alih.

Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar berkata,”Proton memperoleh beberapa faedah dengan membentuk Proton Global Services.

Dari sudut kos, syarikat kini mampu mengawal kos operasi dengan lebih baik manakala operasi jualan komersil PGS membolehkan kami memanfaatkan kekuatan rangkaian pengedar dan imej jenama kami dan memaksimumkan peluang hasil daripada jualan barangan, makanan dan minuman dan minyak pelincir berprestasi tinggi.”