Tag Archives: Sabah

Jaecoo Malaysia buka pusat pengedaran pertama di Kota Kinabalu

Selepas sebulan sibuk menyempurnakan penyerahan J7 kepada pelanggan, Jaecoo kini mengukuhkan rangkaian perkhidmatannya di Malaysia Timur menerusi pelancaran pusat pengedaran baharu di Kota Kinabalu, Sabah.

Dioperasikan oleh Universal Jaecoo Sdn Bhd, ia merupakan pusat pengedaran pertama Jaecoo di Malaysia Timur.

“Malaysia Timur ialah sebuah pasaran penting bagi kami. Para peminat jenama boleh menikmati pengalaman pemilikan premium yang menghidupkan falsafah jenama Jaecoo “From Classic, Beyond Classic”.

“Kami percaya J7 jelas menambat hati dan selera peminat SUV di Sabah dan Jaecoo bersedia untuk memenuhi permintaan ini,” kata Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.

Kemudahan baharu itu menampilkan seni bina geometrik dan mempunyai kapasiti untuk menerima sehingga 200 pengunjung sebulan. Ia dibina dan dilengkapi untuk memberikan pengalaman menyeluruh kepada pelanggan daripada titik pembelian kepada perkhidmatan lepas jualan.

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai keselesaan termasuk ruang tamu santai untuk pelanggan yang dilengkapi kaunter kopi dan teh, sambungan Internet kelajuan tinggi dan surau.

Menurut Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek, pengunjung ke pusat pengedaran ini berpeluang untuk melihat Jaecoo J7 AWD dan 2WD dengan lebih dekat.

“Barisan penasihat jualan kami yang dilatih secara profesional juga bersedia untuk menjawab sebarang pertanyaan tentang produk dan mengatur sesi pandu uji atas permintaan,” tambah beliau.

Pengarah Urusan Universal Jaecoo Sdn Bhd, Datuk Chok Yun Kiong menambah, “Kami teruja untuk diberi kepercayaan mewakili jenama Jaecoo yang nyata membuktikan keupayaan dan pengalaman kami sebagai rakan penjual kenderaan yang memahami pasaran Malaysia Timur.”

Gudang alat ganti Proton kini dibuka di Sabah

SELEPAS melancarkan pusat pergudangan bahagian baru (RPC) di Sarawak pada tahun lalu, Proton kini membuka satu lagi kemudahan serupa, kali ini di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, pembukaan RPC baharu ini mampu mengurangkan masa penghantaran alat ganti sebanyak 30% berikutan peningkatan kapasiti pengeluaran daripada Proton Parts Centre Sdn Bhd (PPCSB) serta alat ganti yang diperoleh melalui penghantaran terus dari luar negara.

Proton juga berkata RPC baharu ini adalah untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di negeri Sabah yang merupakan negeri ketiga tertinggi untuk penjualan kenderaan Proton di Malaysia.

Terletak di kawasan komersial di Inanam, RPC terbaru itu mempunyai ruang lantai kira-kira 28,000 kaki persegi, iaitu 2.5 kali ganda lebih besar daripada lokasi sebelumnya. Ia boleh menerima sebanyak enam kontena alat ganti di lokasi secara serentak berbanding dengan dua kontena sebelum ini.

Kemudahan ini kini boleh memproses purata 26 kontena sebulan untuk memanfaatkan sepenuh keupayaannya menyimpan stok selama tiga bulan. Dengan lebih banyak ruang penyimpanan untuk alat ganti, masa penghantaran ke pengedar dan pelanggan dapat dikurangkan.

Dengan dua RPC di Malaysia Timur, Proton boleh mengendalikan sehingga 28 kontena dari Malaysia Barat dan luar negara setiap bulan, meningkat daripada 24 kontena sebulan sebelum ini.

PPCSB juga telah melancarkan sistem pengurusan gudang (WMS) baru di semua lokasi awal tahun ini. Ia membolehkan kapasiti penghantaran harian di RPC terbaru meningkat sebanyak 66% kepada 300 baris pada bulan Julai daripada 180 baris sebelumnya, dengan kapasiti maksimum 400 baris dijangka dicapai menjelang September.

Ruang tambahan membolehkan pengagihan 8,500 bakul untuk menyimpan alat ganti, meningkat dari 5,000 bakul di fasiliti sebelumnya. Hasilnya, nilai stok dijangka meningkat sebanyak 1.5 kali ganda kepada RM9 juta menjelang Disember 2024, meningkat daripada RM5.8 juta setahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Proton berkata pegangan pasarannya di Sabah telah meningkat secara berterusan daripada 10% pada 2018 kepada 25.9% pada 2023 dan kini berada pada 27.4% setakat ini untuk tahun 2024.

Pada tahun 2023, jualan kenderaan Proton di Malaysia Timur menyumbang 15.8% kepada jumlah jualan keseluruhan syarikat. Model paling laris adalah Proton Saga dengan 13, 700 unit, diikuti oleh Persona dengan 4,264 unit dan Proton X50 dengan 2,955 unit.

EVC, Gentari jadi CPO pertama terima lesen pemasangan pengecas EV di Sabah

EV Connection (EVC), pengendali rangkaian pengecasan JomCharge, dan Gentari menjadi pihak pertama menerima lesen untuk pemasangan sistem pengecas EV awam di Sabah dari Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Lesen ECoS adalah setara dengan lesen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) di Semenanjung Malaysia dan adalah penting dalam memastikan pemasangan selamat yang mematuhi piawaian keselamatan untuk melindungi penggunaan awam.

EVC dan Gentari juga merupakan pengendali poin pengecas pertama di Semenanjung Malaysia yang dilesenkan oleh ST.

ECoS ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Sabah sejak 10 Januari 2023. Ia beroperasi sebagai pengawal selia rasmi bagi sektor tenaga dalam portfolio Ketua Menteri.

Matlamat utama ECoS adalah untuk memastikan tenaga yang selamat, mampan, mampu milik dan boleh diakses untuk negeri Sabah.

It memainkan peranan penting dalam membentuk landskap tenaga Sabah, mempromosikan amalan tenaga yang bertanggungjawab, dan menjaga kepentingan kedua-dua pengguna dan alam sekitar.

Sebelum majlis penyerahan lesen, ECoS telah menganjurkan sesi taklimat yang dihadiri oleh wakil daripada Bomba, pihak berkuasa tempatan, kontraktor pemasangan dan pengendali titik pengecasan EV (CPO).

“Gentari komited terhadap menyokong peralihan mobiliti hijau di seluruh Malaysia. Menjadi CPO pertama yang dilesenkan di Sabah dengan kerjasama EVC menggariskan fokus Gentari terhadap keselamatan, kebolehpercayaan dan tumpuan pelanggan dalam operasi kami,” kata Ketua Pegawai Operasi Gentari, Haikal Zubir.

“Kami amat berbesar hati untuk menjadi antara CPO yang pertama bersama Gentari untuk menerima lesen daripada ECoS. Keselamatan awam semasa mengecas sentiasa amat penting kepada kami dan kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan ECoS dalam memastikan perkara ini,” kata Pengarah Urusan EVC, Ir Lee Yuen How.

Dengan bilangan EV yang terus berkembang di Sabah, EVC dan Gentari komited untuk menyokong infrastruktur pengecasan EV Sabah yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan tersebut.

Ini selaras dengan agenda tenaga lestari sebagai inisiatif strategik yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju & Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 dan juga selaras dengan sasaran kerajaan persekutuan untuk mencapai 10,000 pengecas awam menjelang 2025.

Shell tak jadi tutup 34 stesen minyak di Sabah tahun depan

MENERUSI satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Jabatan Ketua Menteri Sabah mengesahkan bahawa Shell telah membatalkan rancangannya untuk menutup 34 stesen minyak di Sabah menjelang Januari tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan sama berkata kerajaan negeri mengalu-alukan berita baik itu.

“Kami telah bawa isu ini ke perhatian kerajaan Persekutuan, kami hargai cakna dan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap situasi di Sabah,” katanya.

Menurut kenyataan itu susulan daripada pengumuman Shell mengenai rancangan penutupan tersebut pada Jun lepas, Hajiji telah bertemu dengan Pengerusi Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman untuk membincangkan perkara berkenaan.

Pada Jun lalu, Shell Timur Sdn Bhd selaku pengendali kiosk Shell di Sabah dan Labuan dilaporkan akan menutup 35 stesen minyak yang kurang produktif di kawasan pantai timur bagi mengekalkan prestasi syarikat.

Stesen yang terjejas ialah 10 di Tawau, dua di Semporna, enam di Lahad Datu, 12 di Sandakan, dua di Labuan dan masing-masing satu di Likas, Telipok dan Kuala Penyu.

Makcik mengadu jalan raya Sabah teruk kepada Agong

“TERUK sangat, teruk sangat jalan raya kami, banjir Tuanku.” Begitulah aduan seorang wanita secara terus kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Dalam video yang tular di media sosial semalam, wanita itu difahamkan mengadu kepada Agong yang sedang memandu perlahan menyantuni rakyat yang menunggu keberangkatan baginda dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan.

Baginda dan Raja Permaisuri Agong kini dalam lawatan Jelajah Kembara Kenali Borneo, dalam mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.

Video yang dimuat naik di laman Instagram @sabah.info itu meraih komen dari netizen yang rata-rata mengecam pemimpin, menteri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di negeri itu.

Ada juga yang berkata dengan cara sebeginilah baru akan ada tindakan. Tidak kurang juga yang berkata mereka menunggu laporan dan kemas kini dari daerah-daerah lain pula.

Menurut pengalaman penulis yang pernah memandu di beberapa bandar di Sabah dari Kota Kinabalu hingga ke Tamparuli, Kundasang, dan Ranau, setuju dengan sentiment bahawa jalan raya negeri itu kurang memuaskan.

Sayang sekali kerana Sabah sebuah negeri yang cantik, bersih, dan mempunyai rakyat yang mesra, tetapi pengalaman kita melancong ke sana ‘dirosakkan’ oleh keadaan jalan raya seperti permukaan bulan.

Sarawak kemuka cadangan bina perkhidmatan kereta api rentas Borneo

MASA yang diambil untuk mengembara menggunakan jalan darat antara Sabah dan Sarawak mungkin akan dapat dikurangkan dengan ketara selepas ini.

Ini kerana negeri yang dikenali dengan jolokan Bumi Kenyalang itu telah mengemukakan cadangan untuk pembinaan perkhidmatan kereta api merentasi Kepulauan Borneo.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg berkata cadangan itu telah disampaikan oleh kerajaan negeri kepada Kementerian Pengangkutan dalam satu pertemuan Sabtu lalu.

“Ini adalah projek Kerajaan Persekutuan dan satu kajian mengenai projek itu akan dibuat oleh Kementerian Pengangkutan. Kereta api ini dijangka melalui Sabah dan berhubung juga dengan Kalimantan, Indonesia.

“Jadi seharusnya perlu juga ada perbincangan antara Malaysia, Indonesia dan Brunei kerana projek ini mungkin melibatkan ketiga-tiga negara,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat projek pembangunan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Tan Sri Abang Johari Openg Gambar oleh: Firdaus Latif/MalayMail

Beliau berkata, sekiranya projek itu berjaya dilaksana, ia bakal membuka peluang ekonomi kepada kawasan yang dilalui kereta api terbabit.

“Saya rasa masanya telah tiba untuk kita wujudkan khidmat kereta api ini yang semestinya akan dapat merancakkan aktiviti ekonomi terutama dari segi logistik,” tambah beliau.

Kami rasakan cadangan ini sangat baik kerana ia bukan sahaja dapat memudahkan penduduk Sabah dan Sarawak, malah dapat meningkatkan sektor pelancongan negara dan juga mengeratkan hubungan antara tiga negara yang terlibat.

Bagaimanapun, kos pembangunan projek bertaraf mega seperti ini haruslah diteliti sebaik mungkin agar tidak berlaku sebarang ketirisan yang sudah tentunya akan menjejaskan pembangunannya.

Puspakom umum jadual perkhidmatan unit bergerak bagi Mac

Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) telah mengeluarkan jadual perkhidmatan unit bergeraknya bagi bulan Mac.

Menerusi poster dikeluarkan, unit berkenaan akan berada di beberapa negeri termasuk Perak, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Selain negeri di Semenanjung Malaysia, beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak juga bakal menerima perkhidmatan unit bergerak Puspakom.

Antara kawasan berada dalam senarai Puspakom termasuk Ranau, Kudat, Kota Belud, Kunak, Kapit, Limbang dan Marudi.

Perkhidmatan bergerak ini bertujuan memberi perkhidmatan kepada pelanggan menetap di kawasan pendalaman serta jauh dari cawangan Puspakom.

Pelanggan boleh menikmati pelbagai perkhidmatan disediakan termasuk pemindahan pemilikan dan pemeriksaan kenderaan rutin.

Terdahulu, Puspakom memaklumkan pelanggan boleh berkunjung terus ke lokasi dinyatakan tanpa perlu membuat temu janji dalam talian.

Operasi akan berjalan bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang.

Justeru, para pelanggan diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

Projek Pan Borneo alami kelewatan kerana Covid-19, penduduk enggan pindah

KERAJAAN sedang berusaha mempercepatkan pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah yang kini mengalami sedikit kelewatan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, terdapat dua punca utama kelewatan projek berkenaan termasuk disebabkan pandemik Covid-19.

Jelasnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan rantaian bekalan bahan untuk projek berkenaan terjejas.

Selain itu, terdapat juga sebilangan penduduk yang didakwa enggan berpindah dari tapak kediaman mereka walaupun telah menerima pampasan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin. – Foto ihsan Malay Mail

“Kerajaan sedang berusaha menyusun semula perancangan bagi mempercepatkan projek ini supaya projek ini dapat disiapkan lebih cepat daripada jadual,” katanya.

Lebuh Raya Pan Borneo Sabah terdiri daripada tiga fasa dan sebagai permulaan 35 pakej kerja dilaksanakan dalam fasa satu projek membabitkan jarak 706 kilometer.

Terdahulu, Bung Moktar berkata kerajaan sentiasa memantau kualiti dan cara kerja kontraktor terlibat bagi memastikan tiada masalah berbangkit sehingga menyusahkan rakyat.

“Sekiranya kontraktor gagal melakukan kerja penyelenggaraan seperti dinyatakan dalam kontrak, kerajaan akan melantik pihak ketiga untuk melakukan kerja tersebut.

“Kontraktor menanggung sepenuhnya kos kerja dilakukan pihak ketiga,” katanya lagi.

Lebuh Raya Pan Borneo dijangka mempunyai jarak lebih 1,089 kilometer apabila ia siap kelak.

Keseluruhan projek berkenaan dijangka menelan belanja lebih RM14.2 bilion.

Harga tiket laluan ke Sabah, Sarawak kembali ke paras purata

HARGA tiket penerbangan laluan ke Sabah dan Sarawak akan kembali ke paras purata apabila jumlah kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa.

Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, kerajaan juga akan meneruskan pemantauan harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik.

Jelas Datuk Henry Sum Agong, harga tiket penerbangan yang tinggi itu adalah kesan daripada pelaksanaan had kapasiti penerbangan oleh kerajaan Sarawak.

“Pada ketika itu, kekerapan penerbangan ke Sarawak berkurangan sebanyak 94 peratus berbanding semasa tempoh sebelum Covid-19.

“Bagi penerbangan antara Semenanjung dan Sabah, kekerapan penerbangan berkurangan sebanyak 89 peratus berbanding semasa tempoh sebelum Covid-19,” katanya.

Orang ramai digalakkan melakukan ujian kendiri sebelum melakukan perjalanan merentas negeri bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. – Foto ihsan Malay Mail

Henry berkata demikian Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti).

Terdahulu, Lukanisman mengajukan pertanyaan mengenai langkah kerajaan mengurangkan harga tiket penerbangan dari Sarawak dan Sabah ke Semenanjung Malaysia.

Dakwa Lukanisman, harga tiket penerbangan terlalu mahal ketika negara berdepan pandemik Covid-19 selain berharap perkara itu dapat ditangani segera.

Sementara itu, harga tiket penerbangan ditentukan menggunakan kaedah dinamik dan mempraktikkan konsep ‘cross-subsidisation’.

Ia bermaksud, laluan penerbangan mencatatkan keuntungan akan menampung kos operasi laluan yang tidak mencatat keuntungan.

Sebelum ini, penerbangan Kuala Lumpur ke Miri dan Kuala Lumpur ke Sibu masih merekodkan harga tinggi iaitu antara RM530 hingga RM1600 untuk sehala.

Laluan Semenanjung ke Sabah pula, harga tiket lebih tinggi antara lapan peratus hingga 163 peratus berbanding pada 2019.

Sabah masih Fasa 2 PPN, belum boleh rentas daerah

NEGERI Sabah masih tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ia sekaligus menyaksikan penduduk negeri itu belum lagi dibenarkan melakukan pergerakan rentas daerah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, pergerakan rentas daerah hanya dibenarkan untuk tujuan kecemasan dan lain-lain urusan penting.

“Pergerakan rentas daerah masih tidak dibenarkan kecuali dengan tujuan antaranya kecemasan, pekerjaan dengan surat majikan, janji temu vaksin, perkhidmatan perlu, pasangan jarak jauh dan ibu bapa melawat anak bawah 18 tahun,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial bahawa pergerakan rentas daerah telah dibenarkan di Sabah.

Semakan mendapati, dakwaan itu adalah notis lama dikeluarkan pada tahun lepas.

Terdahulu, Idris menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan berita tidak sahih atau palsu.

Ini kerana jika didapati bersalah boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dengan denda maksimum RM50,000 serta penjara setahun.

Warga maya dakwa lelaki rempuh kenderaan di KKIA alami kemurungan

GAGAL mengawal kemarahan akibat barisan menunggu dipotong, seorang pemandu teksi bertindak merempuh beberapa kenderaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah.

Insiden pada semalam berlaku selepas lelaki terbabit dikatakan berang kerana barisan menunggu penumpang dipotong pemandu teksi lain.

Menerusi rakaman video tular di media sosial, lelaki berusia 60 tahun itu dilihat merempuh tiga buah kenderaan lain dalam kejadian jam 1 petang itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt George Abdul Rakman mengesahkan kejadian berkenaan, lapor Bernama.

Setakat ini, polis masih menyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, polis mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Sementara itu, insiden mulai tular sejak semalam selepas beberapa pengguna media sosial memuat naik video berkenaan di media sosial.

Pelbagai reaksi diberi pengguna media sosial selain ada yang bersimpati dengan pemandu teksi terbabit yang dibimbangi mengalami masalah kemurungan.

Pengusaha teksi sapu punca kluster baharu di Beaufort

ORANG ramai dinasihati terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 susulan tercetus satu kluster baharu melibatkan pengusaha teksi sapu di Beaufort, Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, pengusaha berusia 68 tahun itu positif Covid-19 setelah mengalami gejala demam dan batuk sejak 1 Julai lalu.

“Kluster ini melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti yang majoritinya adalah ahli keluarga dan pelanggan teksi sapu.

“Daripada 71 kontak yang disaring, sebanyak 60.5 peratus didapati positif dengan jumlah kumulatif 44 kes,” kata Datuk Masidi Manjun.

Memetik laporan Bernama, kluster baharu itu telah mencatat jangkitan 44 kes kumulatif Covid-19.

Semalam, 370 kes baharu Covid-19 direkod di Sabah. Ia menjadikan jumlah kumulatif 73,506 kes di negeri itu.