Tag Archives: safety car

Porsche Taycan Turbo GT jadi safety car bagi Formula E 2024

PORSCHE Taycan Turbo GT dipilih menjadi safety car (kereta keselamatan) bagi Formula E. Dua unit EV paling berkuasa Porsche itu akan membuat kemunculan umum pertama di perlumbaan Berlin pada 11 dan 12 Mei akan datang.

Thomas Laudenbach, Naib Presiden Porsche Motorsport berkata: “Kelestarian dan elektrifikasi adalah cukup penting bagi Porsche, dimana ia dizahirkan melalui aktiviti sukan permotoran kami – termasuk pemilihan Taycan Turbo GT sebagai safety car.

“Ini simbolik dari perkara yang kami belajar dari sukan permotoran untuk pelbagai kegunaan. Dalam Formula E, ianya sangat penting untuk kereta sports elektrik, sebagai contoh pengurusan tanaga.

“Ini satu lagi sebab kenapa Taycan ditambah baik dari pelbagai aspek baru-baru ini,” katanya.

Taycan Turbo GT baharu ini hadir dengan lebih kuasa dan jarak pemanduan selain boleh dicas dengan lebih pantas. Ia telah memecahkan beberapa rekod di litar Nurburgring dan Laguna Seca.

Dengan pakej Weissach, ia mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 2.2 saat, dan mencapai kelajuan maksima 305km/j.

Attack Mode pula menghamburkan sehingga 120kW kuasa tambahan. Ini merupakan teknologi dari Porsche 99X Electric, iaitu jentera Formula E yang memenangi kejuaraan terkini.

Untuk pertama kali, dua versi jentera EV ini akan memikul tugas safety car. Kereta pertama ialah Taycan Turbo GT dengan warna Purple Sky Metallic, manakala satu lagi dengan warna Shade Green Metallic.

Nissan Z 2022 dipilih jadi Safety Car untuk Super GT

NISSAN Z baharu akan menggalas tugas sebagai Safety Car (kereta keselamatan) untuk siri perlumbaan Super GT. Kereta itu akan diserahkan hujung bulan ini dan ia pastinya akan mendapat beberapa penambahbaikan.

Nissan tidak mendedahkan perincian perubahan yang diperlukan untuk menjadikannya sebuah kereta keselamatan. Walaubagaimanapun, gambar-gambar menunjukkan beberapa ‘jajan’ yang terdapat padanya.

Di bahagian luar, Nissan Z dipasang dengan lampu kereta keselamatan di dalam gril dan bar lampu di atas bumbung.

Di dalam pula, Nissan menambah tempat duduk Recaro berwarna hitam yang nampak agresif berserta tali pinggang keledar Nismo berwarna merah.

Kereta ini juga dilengkapi dengan peralatan komunikasi radio baharu bagi memastikannya sentiasa terhubung dengan pegawai-pegawai litar semasa perlumbaan.

Nissan menyiapkan kereta itu bersama Nissan Motorsports & Customizing Co., dan dikemaskan dengan pelekat “Safety Car” di sekeliling kereta.

Ia akan menjalankan beberapa tugasan di litar seperti pemeriksaan pra-perlumbaan serta memimpin perlumbaan semasa berlakunya kemalangan.

Nissan akan menyerahkan kereta ini pada 29 Mei iaitu semasa pusingan ketiga musim 2022 yang akan bertempat di litar Suzuka, Jepun.

Nissan Z 2022 dikuasakan oleh enjin 3.0-liter V6 turbo yang menghasilkan 400hp dan 474Nm tork dan pemilik boleh memilih sama ada transmisi manual 6-kelajuan atau automatik 9-kelajuan.

Selain itu, Nissan akan mempertaruhkan Z GT500 dalam siri Super GT. Jentera ini yang dilancarkan tahun lepas akan menggantikan GT-R.

Jentera lumba Z GT500 dipacu enjin 2.0-liter 4-silinder turbo dengan kuasa dihadkan pada 650hp. Ia juga mendapat gaya agresif dengan sirip-sirip aero, spoiler besar, dan rupa cukup garang.

BMW M2 CS Racing dipilih jadi kereta keselamatan MotoGP 2022

SAINGAN MotoGP musim 2022 yang akan membuka tirainya pada Mac depan bakal menyaksikan kelibat BMW M2 CS Racing sebagai kereta keselamatan terbaharu kejohanan itu.

Ini merupakan satu peristiwa yang bersejarah buat BMW dan MotoGP kerana ini adalah kali pertama kereta lumba sebenar dipilih untuk menggalas tugas itu. Bukan itu sahaja, pemilihan jentera istimewa ini juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 divisyen BMW M.

Oleh kerana ia asalnya memang dibangunkan untuk digunakan di litar lumba, M2 CS Racing hanya memerlukan beberapa modifikasi untuk ditransformasikan menjadi kereta keselamatan MotoGP. Ini termasuk penambahan bar lampu di atas bumbung dan lampu tambahan pada bampar hadapan.

Selain itu, ia juga dipakaikan livery khas yang menampilkan warna tradisi BMW M iaitu biru muda, biru gelap dan merah, serta logo ulang tahun khas divisyen itu pada bahagian bumbung.

Dibangunkan berasaskan M2 CS, versi Racing ini didatangkan standard dengan kelengkapan yang spesifik untuk kegunaan sukan permotoran seperti Limited-Slip Differential (LSD) mekanikal dengan fungsi pre-load dan sistem penyejukan berasingan, aci pacuan (drive shaft) yang dihasilkan khas serta bumbung yang diperbuat dairpada karbon.

Kuasa dibekalkan oleh enjin S55 3.0-liter enam silinder turbo yang turut digunakan oleh M2 Competition dan M2 CS, namun dalam versi ini ia ditala bagi menghasilkan 450hp dan 550Nm. Enjin itu digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang dinaik taraf dengan perisian khas.

Selain M2 CS Racing, barisan jentera BMW M untuk MotoGP tahun ini juga akan disertai oleh M3 Competition, M4 Competition, M5 CS, M8 Competition Gran Coupe, X5 M Competition dan dua buah superbike M 1000 RR.

Sementara itu, i4 M50 pula akan digunakan sebagai kereta keselamatan dalam MotoE World Cup yang merupakan program sokongan MotoGP.