Tag Archives: sambung bayar

Ini sebab kenapa anda perlu elak dari beli kereta sambung bayar

Semalam tular di media sosial satu video yang menunjukkan seorang wanita memecahkan cermin sebuah Honda City ketika ia sedang ditarik oleh pihak yang dipercayai ejen penarik kereta.

Turut kelihatan dalam video berdurasi 63 saat itu seorang lelaki merosakkan kereta berkenaan menggunakan sepana.

Cerita sebenar di sebalik kejadian ini masih menjadi tanda tanya namun rata-rata netizen mendakwa kereta itu ditarik kerana pemiliknya gagal membayar ansuran bulanan selama lapan bulan.

Namun menurut pengguna Facebook, Rasis Jalil, kereta tersebut dibeli secara ‘sambung bayar’.

“Keluarga ni dah bayar pemilik asal tapi pemilik asal tak bayar ke bank. Puas dah pesan jangan beli kereta sambung bayar,” katanya.

Apakah itu sambung bayar?

Secara ringkasnya, sambung bayar adalah apabila pemilik sesebuah kenderaan yang masih membayar ansuran bulanan menjual kereta tersebut kepada pihak ketiga (pembeli) tanpa membuat pertukaran hak milik.

Pembeli akan membuat bayaran muka kepada pemilik asal dan mereka akan meneruskan bayaran ansuran seperti biasa kepada pihak bank bagi pihak pemilik asal sehingga tamat tempoh perjanjian sewa beli.

Tidak dinafikan ia memang nampak seperti situasi menang-menang kerana pemilik asal mendapat wang tunai segera, manakala pembeli pula mendapat kereta tanpa perlu membayar harga penuh.

Walau bagaimanapun, anda perlu tahu bahawa sebarang urusan sambung bayar haram dan tidak sah dari segi undang-undang.

Menurut asklegal.my, perjanjian sambung bayar adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967. Akta tersebut menyatakan bahawa mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bukan itu sahaja, sambung bayar juga mempunyai pelbagai risiko yang boleh membuat anda menyesal di kemudian hari. Pertama sekali, oleh kerana kereta masih di bawah nama pemilik asal, skor kredit mereka akan terjejas sekiranya pembeli gagal membuat bayaran ansuran bulanan.

Pemilik asal juga perlu bertanggungjawab terhadap semua saman yang dikeluarkan terhadap kereta tersebut, walaupun ia dipandu oleh pembeli pada ketika itu. Lebih teruk lagi, pemilik asal boleh dituduh bersubahat sekiranya kereta tersebut terlibat dalam kes jenayah.

Bagi pembeli pula, mereka berdepan dengan risiko dianiaya pemilik asal. Walaupun mereka membayar ansuran bulanan, pemilik asal boleh menuntut balik kereta pada bila-bila masa kerana kereta masih di bawah nama mereka.

Oleh kerana sambung bayar adalah salah di sisi undang-undang, sebarang kontrak atau perjanjian antara pemilik asal dan pembeli adalah tidak sah. Ini bermakna pembeli tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik asal.

Situasi akan menjadi lebih rumit sekiranya pemilik asal meninggal dunia. Sekiranya ini berlaku, hak milik kereta akan dipindahkan kepada waris secara automatik. Pewaris boleh menuntut semula kereta dan mereka tidak diwajibkan untuk meneruskan atau mematuhi apa-apa perjanjian antara pemilik asal dan pembeli.

Elak miliki kenderaan “sambung bayar” jika tak mahu ‘sakit kepala’

ISTILAH “KSB” atau “kereta sambung bayar” bukan suatu yang baharu di negara ini.

Sedar atau tidak ia semakin menjadi ‘barah’ dalam masyarakat memandangkan terlalu banyak masalah timbul dek kerana “KSB”.

Persoalannya, bagaimana perkara ini boleh berlaku? Apakah cara terbaik memiliki atau menjual kenderaan selain daripada “KSB”?

Jom, check it out!

Gambar hiasan. – Foto ihsan Malay Mail

Elak membeli ikut nafsu

Memang seronok memilki kereta sendiri! Namun, adakah seronok untuk menyelenggaranya?

Kebiasaannya, individu yang cenderung memiliki kenderaan “KSB” adalah mereka yang tertarik dengan jenama mewah.

Disebabkan kewangan tidak begitu kukuh, maka jalan singkat adalah dengan memiliki kenderaan “KSB”.

Masalah mula timbul jika pemilik kenderaan ‘buat-buat’ lupa yang anda membayar kenderaan terbabit setiap bulan.

Akhirnya, siapa yang menanggung kerugian?

Maka, elak ikut nafsu ketika membeli kenderaan tetapi semak dahulu penyata bank. Berpijak di bumi nyata ya!

Gambar hiasan. – Foto ihsan Malay Mail

Serah kenderaan pada bank

Ramai individu tidak mampu melangsaikan bayaran bulanan kepada pihak bank memilih untuk menjadikan kenderaan mereka sebagai “KSB”.

Penulis nasihatkan elak daripada berbuat demikian kerana ia mungkin menimbulkan 1001 permasalahan.

Jalan penyelesaian terbaik adalah dengan kembalikan semula kenderaan anda kepada pihak bank.

Ini kerana pihak bank mempunyai prosedur tersendiri yang secara tidak langsung mengurangkan ‘sakit kepala’ pemilik kenderaan.

Gambar hiasan. – Foto ihsan Malay Mail

Dapatkan khidmat kaunseling

Kaedah terbaik menangani masalah kewangan adalah dengan mendapatkan khidmat kaunseling.

Maka, elak ‘gadai’ kenderaan sebagai “KSB” dan segera dapatkan nasihat kewangan daripada pihak yang diiktiraf.

Di Malaysia, Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) antara pihak berautoriti yang menjalankan khidmat nasihat kewangan.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web www.akpk.org.my.

Demikian antara tiga cara atau nasihat mengenai cara-cara mengelak daripada terperangkap dengan masalah “KSB”.

Akhir kata sebagai peringatan, fikir dahulu sebelum bertindak…jangan menyesal di kemudian hari!