Tag Archives: santa fe

Hyundai Santa Fe facelift dilancarkan di Malaysia, dari RM186k-RM206k

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) mengumumkan bahawa Hyundai Santa Fe generasi keempat versi facelift sudah dilancarkan dan boleh ditempah di semua bilik pameran Hyundai di seluruh negara.

100 pelanggan pertama yang membuat tempahan akan menikmati diskaun sebanyak RM10,000, menjadikan harga jualan bermula dari RM185,888 untuk 1.6L Turbo Hybrid Plus, RM205,888 untuk 1.6L Turbo Hybrid Max dan RM199,888 untuk 2.2L Turbo Diesel Max.

Ketiga-tiga varian Santa Fe dipasang secara tempatan dan didatangkan dengan jaminan selama lima tahun/300,000 km.

Dari segi penampilan, Santa Fe baharu lampu nyalaan siang LED berbentuk T, gril lebar yang menggabungkan lampu utama, serta bar bercahaya yang menyambungkan kedua-dua lampu belakang. Terdapat empat warna untuk dipilih iaitu Jet Black, Snowflake White Pearl, Meteor Grey dan Stormy Sea.

Antara kelengkapan yang ada termasuk skrin sentuh 10.25 inci dengan peta, navigasi berpandukan suara berasaskan satelit, kawalan iklim automatik dua zon, dan Smart Power Tailgate.

Santa Fe juga dilengkapi dengan sistem keselamatan SmartSense yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist dan Smart Cruise Control dengan Stop & Go. Turut disertakan adalah Blind Spot View Monitor dan Surround View Monitor.

Dari segi kuasa, enjin diesel CRDi 2.2-liter itu menghasilkan 202 PS dan 440 Nm, manakala enjin hibrid Gamma-II T-GDi 1.6-liter pula menjana kuasa keseluruhan sebanyak 230 PS dan 350 Nm.

Enjin petrol tersebut dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang memacu roda hadapan, manakala versi diesel pula mendapat transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda HTRAC.

Kedua-dua varian didatangkan dengan Terrain Mode Selector yang membolehkan pemandu memilih mod pemanduan yang bersesuaian dengan keadaan pemanduan seperti Sand, Snow & Mud, Eco, Sport, Comfort dan Smart.

Hyundai Santa Fe facelift, Tucson generasi ke-4 kini boleh ditempah

HYUNDAI-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengumumkan pembukaan tempahan untuk Tucson generasi keempat dan Santa Fe facelift. Kedua-dua model ini membuat kemunculan sulungnya di Premium Auto Car Expo (PACE) 2023 di Setia City Convention Centre di Setia Alam hujung minggu lalu.

Tucson

SUV segment C ini tampil dengan bahasa reka bentuk Sensous Sportiness yang lebih menonjol, dengan lampu nyalaan siang yang ‘tersembunyi’ di dalam gril Parametric Jewel, lampu yang merentangi sepanjang bahagian belakang dan gerbang roda bersegi.

Ruang dalaman yang moden pula menampilkan konsol tengah yang tidak berbutang, skrin sentuh sistem infohibur lapan inci dengan Apple CarPlay/Android Auto dan pengecaman suara.

Diimport sepenuhnya dari Korea Selatan, Tucson ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0 Lite, 1.6T Plus dan 1.6T Max.

Varian 2.0 Lite menggunakan enjin Smartstream MPI yang menghasilkan 156 PS dan 192 Nm, disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam kelajuan.

Sementara itu, varian 1.6T Plus dan 1.6T Max menampilkan gabungan enjin turbo Smartstream dan transmisi klac berkembar basah (DCT) tujuh kelajuan dengan kuasa sebanyak 180 PS dan 265 Nm.

Tak kira varian, Tucson dilengkapi dengan tujuh beg udara, brek parkir elektrik dengan Auto Hold, Blind Spot Collision Warning dan Safe Exit Warning.

Sebagai varian tertinggi, 1.6T Max mendapat pelarasan lapan hala, pemanasan/pengudaraan tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, panel instrumen digital 10.25 inci, tailgate kuasa, pengelap cermin auto, pengecas wayarles dan Hyundai SmartSense Safety termasuk Smart Curise Control.

Warna-warna yang ditawarkan adalah Amazon Grey Metallic, Phantom Black Pearl, Creamy White Pearl, Crimson Red Pearl dan Silky Bronze Metallic. Dua warna terakhir itu tidak ditawarkan pada 2.0 Lite.

Santa Fe

Jika lima tempat duduk tidak mencukupi, anda boleh mendapatkan SUV tujuh tempat duduk iaitu Santa Fe yang kini dipasang secara tempatan (CKD) di Kulim, Kedah.

Untuk pasaran Malaysia, tiga varian ditawarkan iaitu Hybrid Plus, Hybrid Max dan Diesel Max. Varian-varian Hybrid dikuasakan oleh enjin 1.6-liter T-GDI dengan 180 PS dan 265 Nm dan sebuah motor elektrik 44.2 kW, memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 230 PS dan 350 Nm.

Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang akan menghantar kuasa yang terhasil ke roda hadapan.

Sementara itu, varian Diesel mempunyai gabungan enjin 2.2-liter CRDi yang menjana 202 PS dan 440 Nm, transmisi DCT lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda Hyundai HTRAC.

Ketiga-tiga varian didatangkan standard dengan enam beg udara, sistem keselamatan Hyundai SmartSense termasuk Smart Cruise Control, skrin sentuh lapan inci dengan Apple CarPlay/Android Auto wayarles, pengecaman suara, wiper automatik dan pengecas wayarles.

Varian Hybrid Max dan Diesel Max dilengkapi dengan upholsteri kulit, panel instrumen digital 12.3 inci dan tailgate kuasa, manakala Hybrid Max mendapat ciri tambahan berupa pemanas/pengudaraan tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, dan ciri memori untuk tempat duduk pemandu.

Santa Fe facelift boleh didapati dalam warna empat warna iaitu Snowflake White Pearl, Jet Black, Meteor Grey dan Stormy Sea.

Hyundai Santa Fe facelift versi CKD akan dilancarkan di Malaysia

SIME Darby Hyundai Integrated Sdn Bhd (SDHI) baru-baru ini telah menandatangani persijilan produksi massa (Certificate of Mass Production) dengan Inokom Corporation Sdn Bhd bagi memulakan pemasangan tempatan Hyundai Santa Fe versi facelift.

Tidak banyak perincian yang didedahkan buat masa ini, namun menurut Hyundai Sime Darby Motors (HSDM), kerjasama terbaru ini adalah bukti komitmen bersama untuk memperkukuhkan ekosistem automotif tempatan.

Diperkenalkan di peringkat global pada Jun 2020, Santa Fe generasi keempat versi facelift bukan sahaja membawakan reka bentuk yang lebih segar tetapi juga platform Integrated Architecture baharu yang menjanjikan peningkatan prestasi dan keselamatan.

Untuk versi facelift ini, lampu kabus pada bahagian bawah bampar dibuang, manakala lampu utama direka semula dan diintegrasikan dengan gril yang lebih lebar. Melengkapkan imej baharu SUV ini adalah lampu nyalaan siang berbentuk T.

Sementara itu, bahagian dalaman pula menampilkan konsol tengah yang mencondong serta butang memilih gear sebagai pengganti tuil gear konvensional. Turut disertakan adalah skrin sentuh 10.25 inci dan panel instrumen digital 12.3 inci.

Semasa dilancarkan di Malaysia pada May 2019, Santa Fe boleh didapati dengan enjin petrol 2.4-liter empat silinder dengan 172 PS dan 225 Nm, atau turbodiesel 2.2-liter dengan 193 PS dan 440 Nm.

Enjin petrol tersebut dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang memacu roda hadapan, manakala versi diesel pula mendapat transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda HTRAC.

Versi facelift yang akan datang ini dijangka akan ditawarkan dengan pilihan enjin yang sama.

Hyundai Santa Fe serba baharu dengan rupa berkotak macam Lego

HYUNDAI Santa Fe serba baharu telah didedahkan secara rasmi dan membawakan rupa jauh berbeza dengan model sedia ada. Kini dalam generasi kelima, Santa Fe 2024 menampilkan rekaan berkotak berserta lampu yang funky dan motif “H”.

Ia mendapat rim 21-inci dibaluti tayar 245/45/21 yang terletak dalam gerbang roda berbentuk petak. Pintu but belakang juga cukup besar dan selebar badan Santa Fe itu.

Lampu belakangnya terletak agak ke bawah, juga hadir dengan tema “H” sementara logo Hyundai dan tulisan “Santa Fe” besar diletakkan pada pintu but. Tiada angka ukuran diberikan, tetapi katanya jarak roda telah ditambah, kini berukuran 2,765mm.

Dari sisi, ia mempunyai bayangan Land Rover Defender 130 atau boleh juga dikatakan seperti Lego. Bahagian dalam juga telah dirombak rekaannya. Ia kini dilengkapi dengan susunan dwi-skrin dan seperti kebiasaan untuk kenderaan Hyundai, ia tetap mendapat panel pendingin hawa berasingan.

Anda boleh tahu yang ini sebuah kenderaan yang lebar melihatkan pada ruang yang lebar antara dua tempat duduk depan. Konsol tengah ini menempatkan dua pad pengecasan tanpa-wayar bersebelahan.

Satu lagi tema rekaan yang dapat dilihat ialah corong pendingin hawa yang panjang berterusan, suatu trend kebanyakan pengeluar kereta masa kini. Ianya memanjang dari hujung ke hujung papan pemuka.

Dilaporkan juga bahan plastik kitar semula digunakan untuk membuat tikar, siling, dan bahagian belakang tempat duduk baris kedua dan ketiga. Balutan kulit pada panel pintu juga merupakan bahan lestari.

Belum ada perincian teknikal buat masa ini, tetapi kita juga dapat melihat tulisan “2.5T” di belakang, bermakna ia akan mendapat enjin 2.5-liter turbo.

Apa pendapat anda mengenai rekaan Hyundai Santa Fe 2024 ini? Bagi kami, Hyundai semakin berani dalam aspek reka bentuk dengan memberikan revolusi untuk setiap generasi model-modelnya. Ini juga boleh memberi gambaran bahasa rekaan yang akan digunakan oleh model lain yang akan datang.