Tag Archives: Sarawak

Pusat 3S pertama Peugeot dibuka di Kuching, Sarawak

Peugeot Malaysia mengumumkan pembukaan pusat 3S (jualan, servis & alat ganti) Peugeot yang pertama di negeri Sarawak, terletak di bandar Kuching.

Dikendalikan oleh Heng Lian Enterprise Berhad, pusat 3S seluas 4,200 kaki persegi ini mempunyai ruang pameran yang mampu memuatkan empat buah kenderaan, satu tempat penyerahan, selain menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan sokongan jaminan.

Dengan adanya pusat 3S ini, ia dilihat dapat memenuhi keperluan komuniti pemandu Peugeot sekaligus mengukuhkan lagi komitmen jenama itu terhadap aspek kepuasan pelanggan.

Menurut Daniel Gonzales, Ketua Pegawai Operasi ASEAN & Pengedar Am Stellantis berkata, “Strategi kami untuk mengukuhkan kehadiran serta pertumbuhan PEUGEOT di Malaysia melibatkan pertambahan rangkaian pengedar, dan Malaysia Timur memainkan peranan penting dalam usaha pengembangan ini.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Heng Lian dan mengalu-alukan kehadiran mereka ke dalam rangkaian pengedaran kami sebagai Pusat 3S pertama. Kami juga akan terus meluaskan kehadiran ke pasaran Malaysia Timur ini.

“Bagi mengekalkan standard kepakaran paling tinggi, pasukan penyelenggaraan selepas jualan di PEUGEOT Kuching telah menjalani latihan yang komprehensif, sama ada secara dalam talian dan bersemuka dengan kerjasama Stellantis Malaysia. Komitmen ini turut melibatkan semua kakitangan pada masa depan demi memastikan semua pemilik kenderaan PEUGEOT menerima servis dan sokongan yang terbaik.”

Prinsipal Pengedar PEUGEOT Kuching, Sylvia Ng berkata, “PEUGEOT Kuching bukan sekadar sebuah bilik pameran, tetapi ia merupakan komitmen untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang luar biasa kepada para pelanggan kami.

“Pelaburan kami ke atas perkhidmatan selepas jualan, dari penyelenggaraan hinggalah sokongan jaminan memastikan para pelanggan baharu dan sedia ada PEUGEOT akan menerima penjagaan yang terbaik. Dengan pasukan yang terlatih dan lokasi strategik, kami bersedia untuk menetapkan standard baharu dalam aspek khidmat pelanggan dan kecemerlangan automotif.”

Para pelanggan Peugeot boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Stellantis di 1800-18-STLA, atau alternatifnya berhubung secara terus dengan pengedar Peugeot Kuching di talian 016-2171464.

Mitsubishi Motors Malaysia lancar pusat 4S baharu di Kota Samarahan

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), dengan kerjasama rakan pengedar Auto Pacifica Sdn Bhd, telah melancarkan pusat 4S kedua Mitsubishi di Sarawak.

Dengan pembukaan kemudahan terbaharu ini, MMM kini mempunyai lapan pusat 4S di seluruh negara.

Beralamat di Lot 4168, Block 24, Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan, pusat 4S ini terletak secara strategik di sepanjang jalan yang menghubungkan Kota Samarahan dan Kuching, memberikan akses mudah kepada pelanggan di kawasan sekitar.

Pusat yang berkeluasan 21,700 kaki persegi ini menampilkan identiti korporat Mitsubishi Motors yang selari dengan mesej global jenama iaitu ‘Drive Your Ambition’.

Ia juga mempunyai pelbagai kemudahan seperti pusat servis, pusat cat dan badan, ruang rehat lengkap dengan Wi-Fi, serta ruang bermain-kanak.

“Pembukaan bilik pameran baharu di Kota Samarahan ini merupakan satu langkah strategik ke arah mencapai lokasi yang belum diterokai dan meluaskan perkhidmatan kami,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

Tambah Ikeda lagi, Auto Pacifica telah menjadi rakan kongsi Mitsubishi yang dipercayai sejak 2009, dan ini
merupakan cawangan ketiga syarikat itu di Bumi Kenyalang.

“Dengan bilik pameran moden dan kelengkapan servis yang canggih, kami yakin bahawa pelanggan Mitsubishi di Kota Samarahan akan menerima perkhidmatan dan sokongan luar biasa,” katanya lagi.

UMW Toyota buka pusat 3S di Kota Samarahan, Sarawak

UMW Toyota Motor (UMWT) baru-baru ini melancarkan pusat 3S Toyota baharu yang terletak di Kota Samarahan, Sarawak.

Kemudahan terbaru ini dikendalikan oleh Borneo Mobility (Samarahan) Sdn Bhd yang telah dilantik sebagai rakan pengedar UMWT sejak 2020.

Ia terletak di lokasi strategik 30 km dari tenggara Kuching dan bakal memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kawasan yang mempunyai populasi lebih daripada 130,000 orang itu.

Selain ruang pameran, pusat 3S ini juga menyediakan lima ruang servis bagi menyediakan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan Toyota di sekitar Kota Samarahan dan kawasan berhampiran.

Menurut UMWT, pusat ini dijangka akan menyumbang 12% kepada jumlah jualan Borneo Mobility.

Dikenali dengan jolokan ‘Kota Pengetahuan’, Kota Samarahan kini berkembang pesat dengan dua buah universiti terkemuka, kawasan perumahan, pusat komersial dan projek infrastruktur, menjadikannya lokasi yang menarik untuk membangunkan perniagaan.

Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor berkata, “Pusat servis 3S baharu ini adalah cara kami membawa jenama Toyota lebih dekat kepada pelanggan kami, di mana sahaja mereka berada, sambil memastikan mereka mempunyai akses mudah kepada perkhidmatan kami pada bila-bila masa.”

Pusat 3S Toyota baharu ini beralamat di Lot 9040-9043, Block 26, 15-20 Uni Alam Commercial Centre, Jalan Datuk Mohamad Musa, 94300 Kota Samarahan, Sarawak.

Waktu operasi adalah 8 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi hingga 1 petang pada Sabtu.

Gentari, SEDC Energy jalin kerjasama bangunkan hab hidrogen di Bintulu

GENTARI Hydrogen Sdn Bhd baru-baru ini menandatangani perjanjian induk (HoA) dengan SEDC Energy Sdn bhd (SEDCE) untuk pembangunan hub pengeluaran hidrogen berpusat yang dikenali sebagai ‘Sarawak H2 Hub’ di Bintulu.

Majlis pertukaran dokumen antara Gentari Hydrogen dan SEDCE pada Persidangan Peralihan Tenaga Borneo (BETC) 2024 disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Abang Haji Openg.

SEDCE ditugaskan untuk memulakan ekosistem tenaga baharu di Sarawak, selaras dengan visi kerajaan negeri untuk menekankan penggunaan tenaga baharu dan lebih bersih.

Hab pengeluaran hidrogen berskala global yang dirancang di Bintulu itu bertujuan untuk menjadi pembekal tunggal hidrogen hijau untuk kemudahan hiliran di kawasan itu.

Ia akan diuruskan oleh sebuah syarikat usaha sama yang akan ditubuhkan oleh Gentari dan SEDCE, yang juga bertanggungjawab untuk mengoptimumkan semua projek pengeluaran hidrogen di rantau ini.

Gambar oleh: Facebook SEDC Sarawak

“Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab hidrogen yang bersih di ASEAN, diterajui oleh negeri seperti Sarawak dengan sumber mampan yang mencukupi,” kata Ketua Pegawai Hidrogen Gentari, Michèle Azalbert.

Beliau juga percaya hidrogen adalah jalan ke hadapan dan pihaknya komited untuk menyumbang ke arah Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak, sebagai tambahan kepada visi dan objektif kerajaan Malaysiad alam Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).

Ketua Pegawai Eksekutif SEDCE, Robert Hardin pula berkata perkongsian strategik antara SEDCE dan Gentari untuk Sarawak H2 Hub akan menjadi akan memacu lebih banyak pembangunan dan menarik pelaburan baharu
terutamanya dalam sektor tenaga baharu.

“Hidrogen akan memainkan peranan dalam peralihan tenaga dan seperti yang diketengahkan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, peranan Sarawak dalam memajukan pembangunan ini wajar diberi perhatian,” katanya.

Sarawak meletakkan dirinya sebagai pengeluar hidrogen komersial menjelang 2027 dengan visi peralihan negeri kepada ekonomi hidrogen.

Pemandu Perodua Kembara halang ambulans dikenakan tindakan

Baru-baru ini tular satu video berdurasi 53 saat yang memaparkan seorang pemandu Perodua Kembara sedang menghalang laluan sebuah ambulans di Sri Aman, Sarawak.

Menerusi kenyataan dalam video berkenaan, seorang pesakit meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital gara-gara sikap pentingkan diri pemandu tersebut.

Polis Daerah Sri Aman, Sarawak dalam satu kenyataan berkata, tindakan telah diambil terhadap pemandu Kembara itu kerana menghalang sebuah ambulans di Kilometer 6, Jalan Kuching-Sri Aman dekat Jalan Kampung Entulang Bungkang.

Menurut Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Suprintendan Mathew Manggie, pemandu itu dikenakan tindakan mengikut Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59 iaitu Kesalahan Tidak Beri Laluan kepada ambulans.

“Pada Jumaat lalu sekitar jam 3 petang, tular sebuah kenderaan di media sosial yang tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans yang membawa pesakit ke Hospital Sri Aman.

“Sehari selepas kejadian itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman mengambil tindakan mengesan kenderaan itu dan pemandunya,” katanya.

Petronas umum penemuan enam telaga minyak baharu di Sarawak

PETRONAS Carigali Sdn Bhd, unit milik penuh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah mengumumkan kejayaan penemuan enam minyak dan gas di lima blok di kawasan luar pantai Sarawak.

Penemuan itu merangkumi masing-masing telaga Gedombak di Blok SK306 dan telaga Mirdanga di Blok SK411 di wilayah Balingian; telaga Sinsing di Blok SK313, telaga Machinchang dan Pangkin di Blok SK301B serta telaga Kalung Emas di Blok SK315 di wilayah Luconia Barat.

“Kesemua enam penemuan itu adalah daripada kelompok medan minyak baharu serta sedia ada yang mempamerkan tahap bahan cemar yang rendah,” kata syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan.

Menurut Petronas, penemuan terbabit adalah menerusi usaha cari gali domestik secara intensif yang dijalankan pada akhir 2022 yang turut membawa kepada penemuan Nahara-1 di Blok SK306.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata kejayaan itu juga membuktikan potensi lembangan Malaysia yang masih belum diterokai dan menunggu masa untuk ditemui oleh syarikat yang bersedia menggunapakai kaedah baharu serta inovatif.

“Kami berharap ini akan menjadi pendorong bagi menarik lebih banyak syarikat untuk menyertai serta melabur dalam sektor huluan Malaysia, terutama di peringkat eksplorasi,” katanya.

Dengan penemuan ini, adakah ianya akan melambatkan peralihan ke arah kereta elektrik (EV)? Atau bahan api yang dijumpai boleh menjana tenaga elektrik untuk EV?

CN-235 milik TUDM semasa berkhidmat sebagai pesawat pengangkut. Imej oleh: Airspace Review

Dalam pada masa yang sama, diharapkan juga keselamatan dan kedaulatan maritim kita dapat dijaga dengan baik oleh pihak berkuasa untuk mengelakkan insiden seperti pencerobohan oleh nelayan atau kapal asing.

Sarawak guna lampu isyarat AI di simpang berisiko kemalangan

SARAWAK sedang menguji kamera litar tertutup (CCTV) dengan kecerdasan buatan (AI) pada lampu isyarat di sekitar bandaraya Miri. Inisiatif ini sebagai usaha mengurangkan kesalahan trafik, kesesakan, dan kemalangan jalan raya.

Buat masa ini, CCTV itu dipasang di lampu isyarat Jalan Merbau dan Jalan Pujut-Miri. Dengan penggunaan AI, CCTV ini mampu merakam kelajuan kenderaan, mengenal pasti nombor pendaftara, serta mengenal pasti beberapa kesalahan trafik.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin, projek itu telah menunjukkan hasil positif dalam masa seminggu penggunaannya.

Katanya, seorang pesalah trafik berulang telah dirakam oleh kamera kerana memandu laju sebanyak lapan kali dalam tempoh seminggu.

“Tempoh ujian akan berlangsung selama enam bulan dan keputusannya akan dibentangkan kepada kementerian untuk menentukan langkah seterusnya,” kata Lee.

Beliau menerangkan data yang dikutip akan dianalisis untuk mendapatkan maklumat berkenaan tingkah laku trafik, mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, dan membolehkan keputusan dibuat berdasarkan data untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.

Lee berkata hampir mustahil untuk ‘lari’ dari pengecaman kerana sistem itu mampu mengenal pasti data seperti aliran trafik, warna kenderaan, jenis, model, jenama, kelajuan, nombor pendaftaran, dan terus merekodkan kesalahan pemandu.

Bagi kami, ini satu insiatif yang bagus bagi penggunaan AI untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.

Mungkin aplikasi ini boleh diperluaskan lagi dengan meletakkan juga CCTV AI di lorong kecemasan dan kawasan sesak untuk merekodkan pemandu yang memotong barisan atau menyalah guna lorong kecemasan.

Pastinya banyak lagi penggunaan yang boleh dimanfaatkan dari CCTV AI ini selain dari di simpang lampu isyarat.

Sarawak kemuka cadangan bina perkhidmatan kereta api rentas Borneo

MASA yang diambil untuk mengembara menggunakan jalan darat antara Sabah dan Sarawak mungkin akan dapat dikurangkan dengan ketara selepas ini.

Ini kerana negeri yang dikenali dengan jolokan Bumi Kenyalang itu telah mengemukakan cadangan untuk pembinaan perkhidmatan kereta api merentasi Kepulauan Borneo.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg berkata cadangan itu telah disampaikan oleh kerajaan negeri kepada Kementerian Pengangkutan dalam satu pertemuan Sabtu lalu.

“Ini adalah projek Kerajaan Persekutuan dan satu kajian mengenai projek itu akan dibuat oleh Kementerian Pengangkutan. Kereta api ini dijangka melalui Sabah dan berhubung juga dengan Kalimantan, Indonesia.

“Jadi seharusnya perlu juga ada perbincangan antara Malaysia, Indonesia dan Brunei kerana projek ini mungkin melibatkan ketiga-tiga negara,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat projek pembangunan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Tan Sri Abang Johari Openg Gambar oleh: Firdaus Latif/MalayMail

Beliau berkata, sekiranya projek itu berjaya dilaksana, ia bakal membuka peluang ekonomi kepada kawasan yang dilalui kereta api terbabit.

“Saya rasa masanya telah tiba untuk kita wujudkan khidmat kereta api ini yang semestinya akan dapat merancakkan aktiviti ekonomi terutama dari segi logistik,” tambah beliau.

Kami rasakan cadangan ini sangat baik kerana ia bukan sahaja dapat memudahkan penduduk Sabah dan Sarawak, malah dapat meningkatkan sektor pelancongan negara dan juga mengeratkan hubungan antara tiga negara yang terlibat.

Bagaimanapun, kos pembangunan projek bertaraf mega seperti ini haruslah diteliti sebaik mungkin agar tidak berlaku sebarang ketirisan yang sudah tentunya akan menjejaskan pembangunannya.

Lima unit Toyota Mirai diserah kepada SEDC Sarawak, sedan RWD berkuasa hidrogen

UMW Toyota Motor telah menyerahkan empat unit Toyota Mirai kepada SEDC Energy. Serentak dengan itu juga, satu unit kenderaan sel bahan api hidrogen (FCEV) itu diserahkan kepada Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Ini menandakan satu langkah dalam insiatif Mobility For All dan Happiness For All oleh Toyota, ke arah sifar karbon menjelang 2050 berserta Green Mobility dan Green Energy Initiatives oleh kerajaan Sarawak.

Gambar oleh: Facebook SEDC Sarawak

Toyota Mirai itu merupakan model generasi kedua yang mula diperkenalkan di Jepun pada Disember 2020. Sedan pacuan roda-belakang (RWD) itu dibina pada pelantar TNGA (Toyota New Global Architecture) dengan konfigurasi longitudinal (GA-L).

Hidrogen disimpan di dalam tiga tangki kereta, pertambahan berbanding dua tangki pada model sebelumnya. Ini memberikan jarak pemanduan sehingga 850km.

“Untuk menyambung kemaraan kenderaan elektrik, Toyota telah melabur dalam R&D bagi mengkomersialkan kenderaan sel bahan api hidrogen. Dengan penyerahan Mirai kepada SDEC Energy, kedua-dua pihak dijangka mendapat peluang mengkaji potensi teknologi ke arah membangunkan ekonomi karbon rendah,” kata Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

Tahun lepas, Petroleum Sarawak (Petros) melancarkan stesen pelbagai bahan api yang pertamanya pada April.

Ia menawarkan stesen pengisian hidrogen selain dari bahan api biasa seperti petrol dan diesel selain pengecaj EV dengan kapasiti 22kW dan 60kW.

Puspakom umum jadual perkhidmatan unit bergerak bagi Mac

Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) telah mengeluarkan jadual perkhidmatan unit bergeraknya bagi bulan Mac.

Menerusi poster dikeluarkan, unit berkenaan akan berada di beberapa negeri termasuk Perak, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Selain negeri di Semenanjung Malaysia, beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak juga bakal menerima perkhidmatan unit bergerak Puspakom.

Antara kawasan berada dalam senarai Puspakom termasuk Ranau, Kudat, Kota Belud, Kunak, Kapit, Limbang dan Marudi.

Perkhidmatan bergerak ini bertujuan memberi perkhidmatan kepada pelanggan menetap di kawasan pendalaman serta jauh dari cawangan Puspakom.

Pelanggan boleh menikmati pelbagai perkhidmatan disediakan termasuk pemindahan pemilikan dan pemeriksaan kenderaan rutin.

Terdahulu, Puspakom memaklumkan pelanggan boleh berkunjung terus ke lokasi dinyatakan tanpa perlu membuat temu janji dalam talian.

Operasi akan berjalan bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang.

Justeru, para pelanggan diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

Pasca kebenaran rentas negeri, penerbangan ke Sarawak ditambah

KEKERAPAN penerbangan ke Sarawak ditambah bagi menyokong pemulihan ekonomi dan pembukaan semula sektor pelancongan.

Menteri Pengangkutan Negeri Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, sebanyak 76 penerbangan seminggu telah diluluskan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

“Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak sedang berbincang dengan syarikat penerbangan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan pihak berkepentingan lain.

“Ini bagi mengukuhkan lagi proses berkenaan melalui penggunaan aplikasi Teknologi Maklumat (IT) secara menyeluruh dan lebih mesra pengguna.

“Dalam masa sama meningkatkan kecekapan pihak berkuasa untuk memproses data dan memantau kemasukan penumpang, selain mengelak kesesakan dan memendekkan masa proses kemasukan di Lapangan Terbang Sarawak,” katanya.

Menurut Lee perbincangan antara pihak berkepentingan adalah penting bagi memastikan pelaksanaan jadual baharu berjalan lancar.

“Adalah diharapkan ini akan melancarkan proses pergerakan penumpang dan pelancong ke Sarawak kerana kita telah pun berada dalam Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.

“Kami percaya dengan peningkatan kekerapan jadual penerbangan ini, syarikat-syarikat penerbangan akan menawarkan tambang berpatutan kepada orang awam dan pelawat,” katanya lagi.

Berikut merupakan bilangan penerbangan ke Sarawak yang terbaharu:-

Kuching 42 penerbangan seminggu
Miri 9 penerbangan seminggu
Bintulu 4 penerbangan seminggu
Sibu 6 penerbangan seminggu
Limbang dan Lawas 2 penerbangan seminggu
Mulu 3 penerbangan seminggu

Harga tiket laluan ke Sabah, Sarawak kembali ke paras purata

HARGA tiket penerbangan laluan ke Sabah dan Sarawak akan kembali ke paras purata apabila jumlah kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa.

Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, kerajaan juga akan meneruskan pemantauan harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik.

Jelas Datuk Henry Sum Agong, harga tiket penerbangan yang tinggi itu adalah kesan daripada pelaksanaan had kapasiti penerbangan oleh kerajaan Sarawak.

“Pada ketika itu, kekerapan penerbangan ke Sarawak berkurangan sebanyak 94 peratus berbanding semasa tempoh sebelum Covid-19.

“Bagi penerbangan antara Semenanjung dan Sabah, kekerapan penerbangan berkurangan sebanyak 89 peratus berbanding semasa tempoh sebelum Covid-19,” katanya.

Orang ramai digalakkan melakukan ujian kendiri sebelum melakukan perjalanan merentas negeri bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. – Foto ihsan Malay Mail

Henry berkata demikian Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti).

Terdahulu, Lukanisman mengajukan pertanyaan mengenai langkah kerajaan mengurangkan harga tiket penerbangan dari Sarawak dan Sabah ke Semenanjung Malaysia.

Dakwa Lukanisman, harga tiket penerbangan terlalu mahal ketika negara berdepan pandemik Covid-19 selain berharap perkara itu dapat ditangani segera.

Sementara itu, harga tiket penerbangan ditentukan menggunakan kaedah dinamik dan mempraktikkan konsep ‘cross-subsidisation’.

Ia bermaksud, laluan penerbangan mencatatkan keuntungan akan menampung kos operasi laluan yang tidak mencatat keuntungan.

Sebelum ini, penerbangan Kuala Lumpur ke Miri dan Kuala Lumpur ke Sibu masih merekodkan harga tinggi iaitu antara RM530 hingga RM1600 untuk sehala.

Laluan Semenanjung ke Sabah pula, harga tiket lebih tinggi antara lapan peratus hingga 163 peratus berbanding pada 2019.

Kenderaan terjunam ke dalam Sungai Batang Lassa, mangsa dipercayai lemas

SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh penghadang besi jambatan sebelum terjunam ke dalam Sungai Batang Lassa, Daro.

Memetik kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, insiden berlaku pada awal pagi Jumaat.

Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Daro telah digerakkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan sekitar jam 4.45 pagi.

“Maklumat awal yang diterima menyatakan saksi melihat Toyota Hilux berwarna perak tersebut sedang bergerak di atas jambatan itu dan tiba-tiba hilang dari pandangan.

“Pagar yang menjadi penghalang keselamatan pada hujung jambatan telah patah dan disyaki kenderaan tersebut jatuh,” menurut kenyataan itu.

Kenderaan dipercayai dipandu mangsa dikenali sebagai Kevin Lau Beng Song berusia 25 tahun.

Mangsa dikatakan berasal dari Ulu Sungai Merah, Sibu.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan menggunakan tiga bot tunda milik pemaju projek jambatan.