Tag Archives: sedan

Proton S70 dapat 5-bintang bagi ujian perlanggaran ASEAN NCAP

SEDAN terbaharu Proton yang baru sahaja dilancarkan, S70 telah memperoleh penarafan 5-bintang bagi ujian keselamatan yang dijalankan oleh ASEAN NCAP (ASEAN New Car Assessment Program). Keputusan itu disiarkan dalam laman web rasmi organisasi itu.

Unit yang diuji merupakan varian permulaan iaitu Executive, dan mendapat penarafan 5-bintang dengan skor keseluruhan 82.95 mata.

Proton S70 dinilai berdasarkan protokol penilaian terkini ASEAN NCAP 2021-2025 yang merangkumi empat perkara iaitu Adult Occupant Protection (AOP), Child Occupant Protection (COP), Safety Assist Technology (SAT), dan Motorcycle Safety (MS).

Berikut adalah skor bagi setiap perkara dalam penilaian terkini:

  • AOP – 36.46 mata
  • COP – 17.02 mata
  • SAT – 15.71 mata
  • MS – 13.75 mata

Proton S70 datang standard dengan ciri keselamatan seperti enam beg udara, Vehicle Safety Assist, Anti-lock Braking System, Electronic Brake Distribution, Brake Assist, Hill-hold Assist, Rear Collision Warning, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Door Opening Warning, dan pengesan undur.

Tetapi varian Flagship dan Flagship X didatangkan dengan sistem bantuan pemandu (ADAS) yang membawakan 13 sistem keselamatan seperti berikut:

  • Autonomous Emergency Braking
  • Forward Collision Warning
  • Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go
  • Intelligent Cruise Control
  • Lane Departure Warning
  • Lane Departure Prevention
  • Lane Centering Control
  • Traffic Sign Information
  • Intelligent High Beam Control
  • Lane Change Assist
  • Door Opening Warning
  • Rear Collision Warning
  • Rear Cross Traffic Alert

Proton S70 dilancarkan semalam, dengan empat varian, dan harga permulaan RM73,800 untuk Executive hingga RM94,800 untuk Flagship X. Anda boleh baca laporan pelancaran penuh di sini.

Proton S70 dilancar secara rasmi – 4 varian, harga dari RM74k-RM95k

RASANYA ramai yang menunggu sedan terbaharu Proton, apatah lagi apabila kali terakhir pengeluar kenderaan nasional itu melancarkan model sedan adalah menerusi Persona pada 2016.

Nampaknya penantian mereka berakhir hari ini dengan pelancaran rasmi Proton S70 ke pasaran tempatan. Ia merupakan keempat yang terlahir dari kerjasama antara Proton dan Geely selepas X70, X50 dan X90.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, S70 boleh didapati dalam empat varian iaitu Executive, Premium, Flagship dan Flagship X.

Keeempat-empat varian menampilkan gabungan enjin 1.5-liter turbo tiga silinder dan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang menghasilkan 150 PS dan 226 Nm.

Untuk pengetahuan, ini merupakan enjin port injection dan transmisi yang sama seperti yang digunakan oleh X50 Standard, Executive dan Premium.

Enjin 1.5-liter turbo TGDi dengan 177 PS dan 255 Nm yang terdapat pada X50 Flagship dan X70 baharu tidak ditawarkan pada S70, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Dibina menggunakan platform B-Segment Modular Achitecture (BMA), S70 mempunyai ukuran panjang 4,602 mm, lebar 1,809 mm, tinggi 1,466 mm dan jarak roda 2,637 mm, sedikit lebih kecil berbanding Geely Emgrand.

Dari segi kelengkapan, varian paling basic iaitu Executive dilengkapi dengan enam beg udara, Lane Change Assist, brek parkir elektronik, rim aloi 16 inci, tempat duduk fabrik dan skrin infotainment lapan inci.

Premium menambah lampu depan LED, bar lampu belakang, upholsteri leatherette, pendingin hawa automatik dan kamera undur.

Flagship mendapat lebih banyak ciri tambahan termasuk ADAS, sistem pemantauan tekanan tayar, rim aloi 17 inci, kluster instrumen digital 10.3 inci, pelarasan kuasa tempat duduk pemandu, skrin infotainment 12.3 inci, pengecas wayarles dan kamera 360 darjah dengan paparan 3D.

Flagship X yang merupakan varian tertinggi dalam barisan S70 mendapat hanya satu ciri tambahan iaitu bumbung suria.

Varian Flagship dan Flagship X didatangkan dengan sistem bantuan pemandu (ADAS) yang membawakan 13 sistem keselamatan seperti berikut:

  • Autonomous Emergency Braking
  • Forward Collision Warning
  • Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go
  • Intelligent Cruise Control
  • Lane Departure Warning
  • Lane Departure Prevention
  • Lane Centering Control
  • Traffic Sign Information
  • Intelligent High Beam Control
  • Lane Change Assist
  • Door Opening Warning
  • Rear Collision Warning
  • Rear Cross Traffic Alert

Untuk warna, terdapat tujuh pilihan semuanya. Snow White dan Space Grey tersedia untuk keempat-empat varian S70, manakala Armour Silver dan Passion Red hanya ditawarkan untuk Premium dan Flagship.

Marine Blue dan Teal Bayou Green pula hanya untuk Flagship dan Flagship X manakala Quartz Black adalah eksklusif untuk Flagship X sahaja.

Harga jualan bermula dari RM73,800 untuk Executive, RM79,800 untuk Premium, RM89,800 untuk Flagship dan RM94,800 untuk Flagship X.

Pakej standard untuk S70 merangkumi lima perkara iaitu waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan, pakej data 1GB sebulan untuk lima tahun, kos buruh percuma sebanyak enam kali, kadar faedah pembiayaan dari 2.34 peratus dan program insurans Proton.

Bukan itu sahaja, 3,000 pemilik pertama yang mendaftarkan kereta mereka sebelum 29 Februari 2024 akan mendapat kit badan aero bernilai RM3,130 (Flagship X sahaja), servis baucar RM500 (Premium dan Flagship sahaja) dan program insurans Proton yang dinaik taraf.

Proton S70: Apa yang kami tahu setakat ini

SETAKAT ini, kerjasama antara Proton dan Geely telah menyaksikan kemunculan tiga model SUV iaitu X70, X50 dan X90.

Bagi kami Proton S70 agak istimewa kerana ia merupakan sedan pertama yang terlahir daripada kerjasama antara dua syarikat ini dan juga sedan pertama bagi pengeluar kereta nasional itu sejak Persona yang dilancarkan pada 2016.

Dalam satu sesi prebiu eksklusif media yang diadakan baru-baru ini, Proton telah mendedahkan perincian lanjut mengenai sedan itu.

S70 sedan lokal sebenar

Ya, umum tahu bahawa S70 adalah berasaskan Geely Emgrand yang dijual beberapa pasaran luar termasuk China dan Filipina. Namun S70 bukanlah sekadar model rebadge kerana menurut Proton, ia memerlukan 453 pembangunan parts baharu melibatkan 283 pembekal tempatan.

Bukan itu sahaja, proses pembangunannya juga mengambil masa kira-kira 260,000 jam kejuruteraan.

Platform segmen B tapi saiz segmen C

Seperti Emgrand, S70 dibina menggunakan platform B-Segment Modular Achitecture (BMA) yang turut digunakan oleh Proton X50, namun dengan ukuran (mengikut Emgrand) panjang 4,638 mm, lebar 1,820 mm, tinggi 1460 mm dan jarak roda 2,650 mm, saiznya lebih dekat dengan sedan segmen C berbanding sedan segmen B.

Malah, ruang butnya yang berkapasiti 500 liter sebenarnya lebih besar berbanding Honda Civic dan Toyota Corolla.

Enjin turbo

Dalam siaran media sebelum ini, Proton mengesahkan S70 akan dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo tiga silinder dan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.

Sesi eksklusif baru-baru ini mendedahkan bahawa enjin tersebut menghasilkan 150 PS dan 226 Nm, bermakna ia enjin turbo multi-port injection (MPI) dan bukannya TGDI. Ia mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Eco, Sport dan Comfort.

Ride & handling mantap

Proton mendedahkan bahawa mereka menghabiskan masa selama kira-kira 75,000 jam dengan jarak perjalanan sejauh 1.2 juta km untuk menguji sistem suspensi.

Seperti X90, sistem stereng S70 menawarkan tiga mod iaitu Normal, Comfort dan Sport.

Empat varian

S70 akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Varian paling basic iaitu Executive dilengkapi dengan enam beg udara, Lane Change Assist, brek parkir elektronik, rim aloi 16 inci, tempat duduk fabrik dan skrin infotainment lapan inci.

Premium menambah lampu depan LED, bar lampu belakang, upholsteri leatherette, pendingin hawa automatik dan kamera undur.

Flagship mendapat lebih banyak ciri tambahan termasuk ADAS, sistem pemantauan tekanan tayar, rim aloi 17 inci, kluster instrumen digital 10.3 inci, pelarasan kuasa tempat duduk pemandu, skrin infotainment 12.3 inci, pengecas wayarles dan kamera 360 darjah dengan paparan 3D.

Sebagai varian tertinggi, Flagship X mendapat satu ciri tambahan iaitu bumbung suria.

ADAS

Untuk sistem keselamatan dan bantuan pemandu, S70 menggunakan 12 sensor. Ini termasuk satu kamera monocular, dua radar belakang, empat kamera keliling dan lima sensor ultrasonik.

Terdapat 13 sistem keselamatan semuanya iaitu:

  • Autonomous Emergency Braking
  • Forward Collision Warning
  • Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go
  • Intelligent Cruise Control
  • Lane Departure Warning
  • Lane Departure Prevention
  • Lane Centering Control
  • Traffic Sign Information
  • Intelligent High Beam Control
  • Lane Change Assist
  • Door Opening Warning
  • Rear Collision Warning
  • Rear Cross Traffic Alert

Warna

Secara asasnya, terdapat tujuh warna luaran yang ditawarkan oleh Proton namun ia bergantung kepada varian yang anda pilih.

Warna Snow White dan Space Grey tersedia untuk keempat-empat varian S70, namun Armour Silver dan Passion Red hanya ditawarkan untuk Premium dan Flagship.

Marine Blue dan Teal Bayou Green pula hanya untuk Flagship dan Flagship X manakala Quartz Black adalah eksklusif untuk Flagship X sahaja.

Harga? 

Buat masa ini, harga rasmi S70 masih belum didedahkan namun bagi mereka yang berminat, sedan ini sudah dibuka untuk tempahan dengan bayaran RM500.

S70 sah nama rasmi sedan baharu Proton

SEDAN baharu Proton yang dilaporkan akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini nampaknya akan dikenali sebagai Proton S70 dan bukannya S50 seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Menurut laporan rakan media paultan.org, sedan yang bakal menggantikan Preve itu dilihat sedang menjalani penggambaran di jalan raya tanpa sebarang pelekat penyamaran.

Seperti yang boleh dilihat, logo ‘S70’ terpampang jelas pada bahagian tailgate, ditemani dengan tulisan ‘PROTON’ di bawah jalur lampu.

Bagaimanapun, pemegang nombor plat memaparkan tulisan ‘PROTON S 0’, bermakna nombor 7 yang sepatutnya terletak selepas huruf S sengaja ditinggalkan. Mungkin untuk tujuan teaser?

Bukan itu sahaja, unit yang menjalani penggambaran itu juga dilihat mempunyai kit badan yang merangkumi skirting pada bahagian hadapan dan sisi, diffuser belakang serta spoiler.

Keputusan Proton untuk menamakan sedan ini sebagai S70 memberikan petanda bahawa model itu akan dipasarkan sebagai sedan segmen C, walaupun ia dibangunkan menggunakan platform BMA yang sama dengan X50 yang merupakan crossover segmen B.

Gambar oleh: The Ajerul

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, S70 adalah berasaskan Geely Emgrand, yang mempunyai ukuran panjang 4,638 mm, lebar 1,820 mm, tinggi 1460 mm dan jarak roda 2,650 mm.

Ini menunjukkan Emgrand lebih besar berbanding sedan-sedan segmen B yang ada dalam pasaran seperti Proton Persona, Honda City dan Toyota Vios.

Di China, Emgrand boleh didapati dengan enjin NA 1.5-liter yang dipadankan dengan transmisi CVT atau manual lima kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan 114 PS dan 147 Nm.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan yang S50 juga akan ditawarkan dengan enjin 1.5-liter TGDI yang dipasang di Tanjung Malim.

Mazda6 2023 facelift diperkenal – 2.0 dan 2.5, sedan dan wagon, dari RM180k

SELAIN Mazda3, Bermaz Motor juga memperkenalkan Mazda6 yang dikemas kini untuk 2023. Sedan segmen-D ini ditawarkan dengan dua pilihan enjin serta pilihan badan sedan dan Touring (wagon). Harga adalah seperti berikut:

Mazda6 2.0 Mid Sedan – RM180,359
Mazda6 2.5 High Touring – RM230,848
Mazda6 2.5 High Plus Sedan 20th Anniversary Edition – RM240,848

Kita lihatkan bab mekanikal dulu, iaitu enjin. Model dengan enjin 2.0 menjana 162hp dan 213Nm tork manakala model dengan enjin 2.5-liter mempunyai output 192hp dan 258Nm tork. Transmisi adalah standard untuk semua, iaitu automatik SkyActiv-Drive 6-kelajuan, memacu roda depan.

Ciri luaran pada Mazda6 2023 ini termasuklah lampu LED dengan Signature Illumination, DRL LED, lampu kabus LED, pengesan parkir, dan rim 17-inci bagi 2.0 Sedan, tetapi 19-inci untuk 2.5 Touring dan Sedan.

Kemasan dalaman pula terdiri dari brek parkir elektronik, paparan instrumen digital 4.6-inci, stereng balutan kulit, paparan HUD untuk dua varian atas, pendingin hawa dwi-zon, corong pendingin hawa belakang, dan tempat duduk berkuasa.

Mazda6 juga dilengkapi dengan skrin infotainmen 8-inci, sambungan Android Auto, Apple Carplay tanpa-wayar, kamera 360-darjah, dan 6 pembesar suara atau sistem audio Bose dengan 11 pembesar suara (bergantung kepada varian).

Ciri keselamatan adalah standard untuk semua varian, seperti ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control System, Emergency Stop Signal, dan Hil Launch Assist.

Varian dengan enjin 2.5-liter mendapat tambahan sistem bantuan pemandu seperti lampu adaptif, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning System, Lane-Keep Assist System, Driver Attention Alert, Smart Brake Support, dan Mazda Radar Cruise Control.

Mazda6 ditawarkan dengan tujuh warna iaitu Arctic White, Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Gray, Sonic Silver, Soul Red Crystal, Polymetal Gray, dan dua warna baharu Platinum Quartz dan Rhodium White Premium.

Versi 20th Anniversary Edition 2.5 Sedan datang dengan warna eksklusif Artisan Red Premium serta kemasan-kemasan kosmetik lain.

Kesemua Mazda6 di Malaysia dilindungi dengan jaminan lima-tahun berserta pakej penyelenggaraan lima-tahun termasuk upah, alatganti, dan bendalir. Tetapi jaminan ini terhad kepada 100,000km, yang mana dahulu.

Mazda3 akhirnya terima facelift – Enjin 2.0 sahaja, sedan dan hatchback, dari RM156k

AKHIRNYA selepas empat tahun berada dalam pasaran, Mazda3 telah menerima facelift dan kemas kini. Bukanlah hendak kata ia benar-benar perlu facelift kerana Mazda3 tetap nampak cantik dan baharu, tetapi ia mungkin memerlukan kemas kini dari segi spesifikasi dan kelengkapan.

Mazda3 yang dikemas kini bagi 2023 ditawarkan dengan empat varian untuk pasaran Malaysia, seperti berikut:

Mazda3 2.0 High Sedan – RM156,059
Mazda3 2.0 High Plus Sedan – RM166,059
Mazda3 2.0 High Plus Liftback – RM166,059
Mazda3 2.0 Ignite Edition Liftback – RM175,059

Seperti dapat anda lihat di atas, kesemua varian kini hadir dengan enjin 2.0-liter sahaja untuk sedan dan Liftback (hatchback), bermakna enjin 1.5-liter digugurkan. Enjin 2.0 SkyActiv-G untuk semua model, dengan output 162hp dan 213Nm tork.

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear SkyActiv-Drive 6-kelajuan berserta mod manual. Angka kecekapan bahan api adalah sehingga 6.2L/100km bagi model sedan, manakala 6.3L/100km untuk hatchback.

Bagi kelengkapan luaran, semua varian mendapat lampu depan LED, tetapi DRL LED hanya untuk tiga varian teratas, model sedan High dilengkapi DRL mentol. Lain-lain boleh dikira sama, seperti lampu kabus LED, cermin sisi auto-lipat, penggilap cermin auto, dan pengesan undur depan serta belakang.

Rim bagi High Sedan adalah 16-inci dengan tayar 205/60, manakala tiga lagi varian lebih tinggi dilengkapi rim 18-inci dibaluti tayar 215/45.

Ciri dalam kabin bagi kesemua model termasuklah tempat duduk kulit dengan pelarasan 10-arah untuk pemandu, brek parkir elektronik, paparan instrumen 7-inci, head-up display (HUD) berwarna, dan pendingin hawa dwi-zon.

Sistem infotainmen pula terdiri dari paparan tengah 10.25-inci, sambungan Apple Carplay dan Android Auto, lapan pembesar suara, dan dua soket USB Type-C. Kamera undur juga standard, tetapi varian tertinggi Mazda3 2.0 Ignite Edition hatchback mendapat tambahan kamera 360-darjah.

Bagi sistem keselamatan, semua varian hadir dengan ciri standard seperti ABS, EBD, Dynamic Stability Control, Emergency Stop Signal, Hill Launch Assist, dan ISOFIX.

Tetapi hanya tiga varian tertinggi didatangkan dengan sistem bantuan maju seperti lampu adaptif, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning System, Lane-Keep Assist System, Driver Attention Alert, Smart Brake Support, dan Mazda Radar Cruise Control.

Kesemua varian Mazda3 2023 ini masih diimport sepenuhnya, maka sebab itulah harganya masih lebih tinggi berbanding model-model seperti Honda Civic dan Toyota Corolla. Apa pendapat anda, berbaloi memilih Mazda3?

Bagi kami, model ini sentiasa nampak dan rasa lebih premium berbanding pesaingnya, dan walaupun nampak ‘segar’ dalam pasaran, ia sememangnya wajar mendapat kemas kini kelengkapan.

Kia K3 2024 tampil dengan rekaan fastback, enjin 1.6L dan 2.0L

KIA telah memperkenalkan sedan subkompak K3 serba baharu di Mexico City, di mana ia dilaporkan akan menggantikan tempat Rio.

Untuk pengetahuan anda, K3 asalnya merupakan nama alternatif kepada Forte dan Cerato yang digunakan untuk pasaran-pasaran tertentu termasuk Korea Selatan.

Namun dengan kemunculan model baharu ini, sedan kompak itu berkemungkin besar akan menggunakan nama lain apabila model generasi baharu tiba kelak.

Berbalik kepada K3, ia tampil lebih berani berbanding Rio sedan dengan bentuk badan fastback, gril Tiger Nose yang lebih menonjol serta rekaan lampu LED yang tajam pada bahagian hadapan dan belakang.

Ukuran dimensinya juga lebih besar iaitu 4,545 mm panjang, 1,765 mm lebar, 14,75 mm tinggi, manakala jarak antara roda adalah 2,670 mm. Ruang but adalah 544 liter.

Lukisan konsep Kia K3

Model yang ditampilkan ini merupakan versi GT-Line yang mempunyai reka bentuk lebih agresif dengan liang saluran udara yang besar pada bahagian bampar, rim 17 inci dan paip ekzos berkembar.

Di dalam, terdapat papan pemuka yang minimalis dan moden, stereng ala EV6, serta kluster instrumen digital yang disekalikan dengan skrin sentuh sistem infohibur.

Skrin sentuh berkenaan mempunyai paparan berdefinisi tinggi 10.25 inci, fungsi Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, ciri Bluetooth yang boleh menyambungkan sehingga dua telefon sekali gus dan port USB Type C pada bahagian hadapan dan belakang.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk sistem pendingin hawa automatik dua zon, corong pendingin hawa belakang dan sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna.

Untuk enjin, K3 boleh didapati dengan enjin 1.6-liter empat silinder yang menghasilkan 123 PS. Enjin ini boleh dipadankan dengan transmisi automatik atau manual enam kelajuan.

Versi GT-Line didatangkan dengan enjin 2.0-liter empat silinder dengan 152 PS dan transmisi automatik enam kelajuan berserta paddle shifter. Enjin 1.4-liter juga akan ditawarkan untuk pasaran eksport.

Dari segi keselamatan pula, K3 dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dan ESC sebagai kelengkapan standard. Varian-varian tertentu akan mendapat sistem bantuan pemandu ADAS seperti Front Collision Avoidance (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Rear Cross-traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA) dan Driving Attention Warning (DAW).

Menurut Kia, K3 akan dipasang di Nuevo Leon, Mexico dan akan memasuki pasaran-pasaran terpilih bermula suku keempat tahun ini.

Honda Accord generasi ke-11 tidak akan dijual di Malaysia

SEMASA pelancaran Honda City facelift, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Hironobu Yoshimura mengumumkan bahawa syarikat itu tidak akan menawarkan Honda Accord generasi ke-11.

Dalam erti kata lain, Accord generasi ke-10 yang sedia ada akan menjadi model Accord terakhir yang dijual di pasaran tempatan.

Keputusan Honda Malaysia untuk menghentikan jualan model itu tidak terlalu mengejutkan memandangkan pasaran sedan segmen D yang semakin mengecil dan pelanggan juga dilihat lebih gemar mendapatkan crossover dan SUV.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan Accord masih sempat berbuat demikian kerana model itu akan dijual sehingga stok habis.

Dipasang di kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka, Accord ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5 TC (RM187,400) dan 1.5 TC-P (RM197,400).

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC Turbo yang menghasilkan 201 PS dan 260 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi jenis CVT.

Mercedes C300 AMG Line pandai bermain dengan emosi – Pandu uji

SEBENARNYA tanpa disedari, banyak keputusan pembelian kita dipengaruhi emosi. Kita beli kasut Adidas berharga RM560 hanya kerana lebih sukakannya walaupun ada Puma yang hampir serupa berharga RM380.

Atau kita beli kemeja-T kosong berwarna hitam di Uniqlo berharga RM50 walaupun ada baju yang hampir sama di Factory Outlet Store (FOS) berharga RM39, hanya kerana kita lebih sukakan jenama yang lebih mahal itu.

Perkara ini juga boleh terjadi semasa membeli kereta terutamanya untuk segmen premium. Terdapat isu seperti brand loyalty (ketaatan terhadap jenama, bunyi pelik dalam Bahasa Malaysia) yang menyebabkan kita tidak mudah menukar jenama.

Hal ini berbeza untuk kereta segmen bawah RM100,000 kerana faktor harga lebih sensitif. Jadi untuk bab ini, kita simpankan perbincangan di hari lain, ya.

Untuk kali ini, penulis ingin berkongsikan mengenai Mercedes C300 AMG Line dan bagaimana ia bermain dengan emosi penulis untuk sangat sukakannya walaupun ia bukan jenis kereta yang biasa penulis suka.

W206 ‘buatan Malaysia’

Mercedes C300 AMG Line merupakan antara penawaran C-Class generasi W206 terkini yang kini dipasang secara CKD sejak Ogos tahun lepas. Pemasangan tempatan ini menurunkan harganya kepada RM327,888 berbanding kira-kira RM333,888 semasa baru dilancarkan.

Masih suatu harga yang tidak murah untuk sebuah sedan kecil premium. Sedan permulaan untuk mereka yang baru melangkah masuk ke segmen ini. Tetapi dengan C-Class W206 ini, Mercedes pandai memikat hati pemandu dan sesiapa yang pernah menaiki kereta ini.

Pertamanya, ia tampil cukup premium dan nampak mahal tanpa perlu terlalu mencuba. Elemen krom cukup-cukup sahaja di keliling tingkap dan gril depan, tidak perlu silaukan mata orang sekeliling. Bentuk badannya masih klasik kereta Jerman RWD dengan bonet depan panjang dan kabin yang lebih rapat ke tayar belakang.

Mungkin inilah definisi elegan.

Kemudian gaya elegan ini ‘disuntik’ dengan elemen sporti dari pakej AMG Line, seperti anda dapat lihat pada bentuk gril berbeza dari C200 Avantgarde, rim 19-inci yang nampak sukar dicuci, dan bentuk bampar serta skirt sisi yang lebih agresif.

Sebenarnya bukan mudah untuk mencampurkan kit badan sporti pada kereta yang elegan dan mewah tanpa menjadikannya nampak janggal.

Di bahagian dalam anda akan rasa sangat istimewa dengan Mercedes C300 ini kerana rekabentuk kabinnya begitu menawan, nampak berkualiti tinggi, dan rasa premium. Tidak hairanlah jika Mercedes sentiasa nombor satu untuk bab rekaan kabin.

Di depan stereng terdapat skrin 12.3-inci untuk paparan instrumen manakala di tengah terletaknya skrin infotainmen 11.9-inci. Kedua-duanya cukup besar dan memaparkan segala macam maklumat dengan jelas melalui resolusinya yang tinggi.

Penulis paling suka khasnya setup skrin berasingan pada C-Class generasi baharu ini berbanding sekeping skrin panjang melintang untuk dua fungsi berbeza pada model sebelumnya.

Selain itu, anda boleh rasakan pereka dan jurutera memberikan usaha lebih untuk anda sukakan Mercedes C-Class ini seperti boleh dilihat pada corong pendingin hawa, kemasan gentian karbon (AMG Line sahaja), panel pelaras tempat duduk di pintu, dan segala tuil dan butang.

Segalanya terasa sedap dipegang dan digunakan, sebagai contoh tuil penukar gear di sebelah kanan dan suis lampu isyarat di sebelah kiri. Terdapat juga panel-panel sesentuh yang anda boleh sentuh dan gosokkan untuk mengawal skrin infotainmen di depan dan skrin tengah.

Secara keseluruhan, kabin ini terasa selesa untuk anda pandu jauh, mudah digunakan seharian, dan membuatkan anda rasa istimewa – penting untuk kereta segmen begini.

Oh ya, tidak cukup dengan itu, paling anda rasa C-Class ini mahal ialah bila melaras tempat duduk dan bumbung panoramiknya. Anda dapat ketahui yang ia menggunakan motor lebih mahal, bukan motor biasa kerana pelarasannya cukup-cukup lembut, boleh digerakkan sedikit dengan tepat, dan motor ini seolah-olah ‘membrek’ sebelum berhenti.

Ia tidak bergerak dan berhenti dengan mendadak. Ini antara perkara yang anda tidak dapat lihat atas kertas atau risalah. Kena cuba sendiri baru faham. Silap-silap anda cuba dalam bilik pameran pun anda terus sedia untuk tandatangan dokumen, tanpa perlu pandu uji.

Pengendalian ‘kena pandai ejas’

Untuk pemanduan pula, C300 masih berpegang teguh dengan prinsip klasik Mercedes untuk mempunyai pengendalian lembut, lancar, selesa dan elegan walaupun model ini mendapat pakej AMG Line.

Dengan Dynamic Select dan suspensi adaptif Agility Control, kereta ini versatil untuk pelbagai situasi pemanduan. 95 peratus keadaan Mercedes C300 AMG Line ini lembut di selekoh walaupun menggunakan Goodyear Eegle F1 iaitu tayar sport menawarkan had cengkaman tinggi.

Tetapi jika anda sudah biasa dengan karakternya, Mercedes C300 ini mampu ‘tapau’ pesaingnya dari negara sama walaupun jenama itu lebih sinonim dengan ciri sporti. Asalkan anda “kena pandai ejas”.

Anda faham cara C300 AMG Line ini mengambil rentak di selekoh dan jalan tidak rata, anda tahu had tayar, kereta ini boleh menjadi sebuah sedan eksekutif yang lincah di jalan seperti Lebuh Raya DASH. Ia mampu menggalas tugas diperlukan pengurus muda yang ingin bergegas ke mesyuarat.

Enjin C300 merupakan unit 2.0-liter berkuasa 255hp dan 400Nm tork, lebih tinggi dari 1.5-liter yang dibekalkan pada C200.

Enjin ini disambungkan dengan kotak gear automatik 9-kelajuan 9G-Tronic dan gandar belakang, serta mendapat bantuan mild hybrid ISG (integrated starter generator) yang memberikan output tambahan 20hp dan 200Nm.

Dari angka yang diberikan, ia sebenarnya lebih dari mencukupi untuk kegunaan seharian. Mampu membawa sedan ini ke kelajuan tiga digit tanpa perlu mengaum lebih, terima kasih kepada tork 400Nm seawal 2,000rpm dan kotak gear 9-kelajuan.

Dan menariknya, sistem mild hybrid pada C300 sangat efektif dalam memberikan penjimatan. Jika anda pandu biasa-biasa sahaja, anda mampu pergi sejauh 700 hingga 750km dengan mudah setiap tangki.

Kesimpulan

Penulis jarang sukakan Mercedes sedan dan biasanya tidak meletakkan harapan tinggi pada C-Class selain AMG dua digit (C43, C63).

Tetapi dengan C300 AMG Line kali ini, cukup untuk penulis meletakkan kereta ini dalam senarai pendek untuk dibeli selepas bersara. Untuk pandu santai ke masjid dan pasar, dan sesekali ke Ipoh untuk minum white coffee.

Senang cerita, agak keberatan juga memulangkan kereta ini kepada Mercedes-Benz Malaysia.

Spesifikasi Mercedes C300 AMG Line

Harga: RM327,888
Enjin: 2.0-liter 4-silinder turbo
Kotak gear: Automatik 9-kelajuan 9G-Tronic
Kuasa: 255hp @ 5,800rpm
Tork: 400Nm @ 2,000-3,200rpm

Aehra Sedan sebuah konsep EV untuk saingi Porsche Taycan – 800hp, 800km

AEHRA iaitu sebuah syarikat baharu dari Itali yang memfokuskan EV ultra premium, telah mendedahkan perincian rekaan model kedua mereka, bernama Sedan.

Aehra Sedan akan menggunakan platform yang sama dengan SUV yang dipertontonkan tahun lepas. Kedua-dua model banyak berkongsi komponen dan elemen rekaan, tetapi sudah tentu Sedan menampilkan badan yang lebih rendah.

Rekabentuknya sangat licin dan beralun dengan pembuka pintu tersorok, rupa depan agresif, lampu nipis, dan mendapat aerodinamik aktif serta ciri penyejukan. Ia juga menampilkan pintu double-falcon yang dibuka ke atas. Terdapat juga cermin sisi jenis digital.

Aehra tidak cenderung berkongsi perincian powertrain buat masa ini, tetapi apa yang diketahui ialah ia bakal menggunakan bateri yang dibangunkan bersama Miba Battery Systems. Ini akan memberikan Aehra Sedan jarak pemanduan hampir 800km sekali cas.

Menurut laporan Autocar, sedan ini bakal dilengkapi konfigurasi tiga-motor, AWD, dengan output 800hp dari pek bateri 120kWh.

Aehra sebelum ini pernah mendedahkan Sedan itu menggunakan “bahan komposit sangat mapan, ringan dan maju”. Kami tidak pasti apa yang dimaksudkan, tetapi kami syak ianya bahan seperti gentian karbon dan plastik canggih.

Semua ini kedengaran hebat, kereta ini juga nampak cantik, tetapi adakah ianya benar-benar akan menjadi realiti?

Aehra berkata mereka mempunyai “dana swasta yang besar”, yang akan membolehkan mereka mula menjual Sedan dan SUV di Amerika Utara serta Eropah menjelang 2026. Harus diketahui ini adalah penangguhan setahun dari 2025 yang dicadangkan sebelum ini.

Harganya di beberapa pasaran utama akan berada hampir sama dengan harga Porsche Taycan, menjadikannya pesaing rapat sedan EV dari Jerman itu.

Bos Aehra, Filippo Perini yang pernah bekerja di Lamborghini berkata versi produksi Sedan akan sangat sama dengan gambar-gambar galeri yang anda lihat ini. Mari kita harapkan visi mereka menjadi realiti. Pasti menarik.

Audi A5 Sportback bila subjektif melawan objektif – Pandu uji

TIDAK banyak kereta yang boleh menggabungkan karakter elegan dengan sporti yang sebenar. Sama ada terlalu elegan, terlalu sporti, atau mungkin elegan acah-acah sporti.

Dalam segmen sedan premium saiz sederhana dengan harga antara RM250,000 hinggga RM380,000, salah satu kereta yang menepati ciri-ciri di atas adalah Audi A5 Sportback. Ya, untuk ini, ia cukup sempurna.

Cuma, A5 Sportback ini mempunyai satu masalah. Suatu isu objektif tetapi boleh diatasi dengan subjektif. Nanti kami ceritakan.

Bergaya ke makan malam, pantas ke track day

Penampilan Audi A5 Sportback ini cukup segak dengan garisan-garisan kemas pada badannya. Pakej S line datang dengan standard, memberikan bampar depan lebih tajam, serta warna krom pada trim kemasukan udara, diffuser belakang, dan ekzos berkempar.

Kemasan-kemasan krom ini berkesan menaikkan seri A5 Sportback ini, tambahan lagi warna District Green cukup unik dan menunjukkan Audi ini mungkin dimiliki orang lebih muda. Tidaklah warna yang membosankan seperti hitam, perak atau kelabu.

Penulis juga cukup suka bentuk badan Sportback ini kerana memberikan bumbung dan cermin belakang ala fastback, trend popular sedan masa kini. Dengan Sportback juga, Audi ini hadir dengan pintu tanpa bingkai, cukup seksi.

Ruang kabin pula tipikal sebuah Audi, sangat kemas dan tersusun. Ia tidak terlalu menonjol dengan garisan pelik, tetapi anda dapat tahu ia kereta yang premium. Panel-panel brushed aluminium tidak menyilaukan mata, dan tampak seperti bahan pada jam tangan mewah Tag Heuer.

Anda begitu rendah dalam Audi A5 Sportback dan pada kedudukan pemandu tanpa melihat ke belakang, anda pasti rasa seperti dalam sebuah sports coupe; Porsche 911 atau Audi R8 misalnya. Kerana kaki hampir melunjur ke depan dan punggung juga tida begitu jauh dari lantai.

Posisi sebegini mungkin membuatkan anda mengeluh sedikit bila perlu keluar masuk dengan kerap dalam urusan seharian. Tetapi jika memandu A5 Sportback ini dari KL ke Pulau Pinang dengan kelajuan tinggi, anda pasti tersenyum. Dan langsung tidak memenatkan.

Di depan pemandu ialah infotainment digital 12.3-inci yang Audi gelarkan sebagai virtual cockpit atau kokpit maya. Paparannya cantik, jelas, moden, dan padat dengan info. Anda boleh laraskan pelbagai tetapan untuk memilih apa yang mahu anda lihat pada satu-satu masa.

Sekarang anda lihat Audi A5 Sportback seperti sebuah sedan elegan, mewah dan selesa. Tetapi harus diingat, ia ‘menyembunyikan’ prestasi yang bukan calang-calang.

Di depan kokpit tersimpannya enjin 2.0-liter turbo TFSI yang mampu menjana 249hp dan 370Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan S-tronic dan sistem pacuan Quattro, membolehkan Audi A5 ini mencapai 100km/j sepantas enam saat.

Enjin EA888 ini – seperti yang ramai tahu – merupakan enjin yang dikongsi dalam kumpulan besar Volkswagen. Ia cukup berkuasa tetapi pada masa yang sama masih cekap. Tetap memberikan penjimatan yang sangat baik.

Tetapi bila dipadankan dengan kotak gear dengan pertukaran laju, suspensi sports, dan bunyi yang merdu, ia terus menukar tanggapan anda sebaliknya memberikan karakter pemanduan sporti.

Anda tidak perlu laju, hanya keluar rumah beberapa simpang pun sudah boleh rasa tahap prestasi Audi A5 Sportback ini. Semua ini dirasa dari cara sterengnya yang tepat dan suspensi yang sedikit keras.

Dan apabila di kelajuan tinggi, A5 Sportback ini sangat stabil dan senyap. Ada ketikanya penulis menyangka sedang memandu sekita 110km/j, rupanya lebih 130km/j. Ia tetap senyap walaupun menggunakan tayar sports Bridgestone Potenza dengan profil rendah bersaiz 19-inci.

Oh ya, enjin Audi A5 Sportback ini juga mempunyai sistem mild hybrid 12-volt. Ia tidak menunjukkan kehadirannya dalam kebanyakan situasi pemanduan, sebaliknya lebih kepada pembantu semasa kenderaan hendak mula bergerak kerana pada masa inilah kereta kita banyak menggunakan bahan api.

Maka sebab itulah Audi A5 ini masih menjimatkan dan pergerakan di kelajuan rendah sangat lancar walaupun menggunakan kotak gear dwi-klac. Motor elektrik banyak membantu dalam situasi ini.

Objektif vs subjektif

Cuma ada satu masalah. Audi A5 Sportback berharga kira-kira RM363,000, sedikit lebih rendah harganya dari BMW M340i xDrive. Tetapi sedan premium sports lain lebih murah, sebagai contoh Jaguar XE (RM345k) dan Volkswagen Arteon (RM258k).

Spesifik untuk Volkswagen Arteon, ianya kembar kepada Audi A5 Sportback. Enjin dan casisnya sama, cuma Audi 32hp dan 20Nm lebih berkuasa. Malah kedua-duanya mendapat sistem pacuan semua roda (Quattro vs 4Motion), mungkin talaan dan kawalannya berbeza.

Arteon juga tiada sistem hibrid 12-volt, tetapi ini masih tidak menjustifikasikan harga A5 Sportback yang jauh lebih tinggi. Satu faktor lagi adalah Arteon dipasang secara CKD, manakala A5 adalah CBU.

Di sinilah objektif vs subjektif hadir. Jika anda mahu berfikir rasional dan terlalu berkira-kira bab wang, anda akan ambil VW Arteon dan berjimat lebih RM100k. Tetapi pada pendapat anda, adakah pemilik dan pembeli Audi pentingkan semua itu?

Pembelian kereta melibatkan juga aspek emosi dan subjektif. Suka atau minat tidak boleh diukur dengan angka atau wang ringgit, begitu juga perasaan cinta, bukan?

Sebab itulah anda lihat ada orang beli Ferrari F40 berusia hampir 30 tahun dengan harga jutaan ringgit, sedangkan ada banyak lagi supercar lain yang lebih laju dan lebih mudah dipandu pada harga kurang sejuta.

Sebab itu jugalah ada yang tetap membeli Audi A5 Sportback. Kalau dah mahu, tak boleh cakap apa. Orang lain tak faham, hanya pemilik sahaja faham.

Spesifikasi Audi A5 Sportback Quattro

Harga: RM363,330
Enjin: 2.0-liter 4-silinder turbo TFSI dengan mild hybrid 12-volt
Kotak gear: Automatik dwi-klac 7-kelajuan S-tronic
Kuasa: 249hp @ 5,000rpm
Tork: 370Nm @ 1,600rpm

Peugeot 508 yang hensem kini dinaik taraf untuk 2023 – pilihan petrol, diesel, PHEV

PEUGEOT 508 boleh dikatakan sedan paling cantik dalam pasaran hari ini, dan kini ia mendapat kemas kini untuk 2023.

Untuk kedua-dua sedan dan wagon, Peugeot 508 facelift didatangkan dengan lencana singa dan gril baharu, diapit oleh lampu depan lebih nipis dengan teknologi LED matriks. Lampu DRL tiga cakaran menjadi pelengkap kepada muka depan 508 ini.

Di belakang, lampu LED penuh direka semula, tetapi masih dengan tema tiga cakaran. Terdapat tiga warna baharu boleh dipilih (Okenite White, Titanium Grey, Eclipse Blue), tiga varian (Allure, GT, Peugeot Sport Engineered), dan beberapa pilihan rim dari 17 hingga 20 inci.

Di dalam pula, 508 2023 sedan dan wagon dilengkapi skrin infotainmen 10-inci, kluster instrumen 12-inci, tombol gear baharu, mod pemanduan (Electric, Eco, Hybrid, Normal, Sport, 4WD, bergantung kepada varian), dan tetapan suspensi (Normal, Sport, Comfort).

Peugeot 508 2023 mempunyai beberapa pilihan janaan kuasa. Antaranya 1.2-liter turbo petrol dengan 130hp, 1.6-liter 4-silinder turbo dengan 218hp, dan 1.5-liter turbo diesel dengan 130hp. Kotak gear adalah automatik 8-kelajuan untuk semua.

Terdapat juga versi PHEV untuk model pacuan dua-roda, menggabungkan enjin 150hp atau 180hp dengan motor elektrik 81kW untuk kuasa gabungan 180hp atau 225hp.

Jika anda memilih varian PSE, enjin petrol 200hp akan digabungkan dengan motor 81kW di depan dan 83kW di belakang, menjadikan output keseluruhan sebanyak 360hp.

Ciri lain pada Peugeot 508 facelift termasuklah cermin dengan pemanas, pintu but berkuasa, sistem night vision, Adaptive Cruise Control dengan ciri Stop & Go, kamera parkir, dan sistem keselamatan dengan fungsi pengecaman papan tanda.

Peugeot 508 facelift dijangka memasuki pasaran Eropah pada musim panas ini.

Gambar kereta Xiaomi MS11 tertiris, rupa macam McLaren sedan!

ANDA pasti tahu Xiaomi, syarikat teknologi China yang cukup dikenali dengan telefon pintar dan peranti elektronik. Kini, mereka akan menghasilkan kereta pula, dengan pelancaran dijangka pada 2024.

Sedan elektrik itu telah muncul di beberapa lamab web dan saluran media sosial negara itu, termasuk di Weibo.

Xiaomi mula membentuk divisyen pembangunan kenderaan mereka pada 2021 dan membeli Deepmotion Tech iaitu syarikat teknologi pemanduan autonomi tidak lama selepas itu. Tidak lama selepas itu, mereka telah membina pula kilang pengeluaran EV.

Prototaip telah siap pada musim panas tahun lepas, dan kini, versi produksi kenderaan itu yang diberi nama MS11 telah muncul. Begitu cepat, bukan?

Secara keseluruhan, rekaan sedan ini agak kemas. Ia mempunyai rupa sportback seperti sedan-coupe, suatu rekaan yang sudah dijangka untuk kenderaan sebegini, memandangkan EV perlu aerodinamik.

Ciri sporti ditambah dengan liang-liang udara di fender depan dan belakang, serta terdapat juga brek Brembo berwarna kuning. Apa pun, salah satu sebab ia nampak agak cantik adalah kerana ia nampaknya ‘meminjam’ beberapa elemen dari rekaan kereta sports terkemuka.

Di depan, kita tak dapat nafikan terdapat pengaruh kuat dari McLaren melalui rekaan lampu dan bentuk bampar. Di belakang pula, bar lampu belakang panjang melintang cukup serupa dengan Aston Martin DBS. Rim pula boleh dikatakan menyerupai rim pada Lamborghini Huracan Evo.

Apa pun, elemen-elemen ini bukanlah seperti ditiru bulat-bulat. Di bahagian lain, terdapat pengesan Lidar pada bumbung serta pembuka pintu jenis flush, menunjukkan tahap teknologi yang agak tinggi.

Spesifikasi kuasa dan jarak pemanduan belum diumumkan. Tetapi laporan dari Car News China mengatakan kereta ini akan menggunakan bateri yang dibekalkan oleh CATL dan BYD, manakala motor elektrik dibina sendiri oleh Xiomi.

Sebaik dilancarkan nanti, ia berkemungkinan menjadi pesaing kepada Afeela, iaitu model kerjasama Sony dan Honda.

BMW 3-Series 2023 baharu kini dengan tiga varian, dari RM284k

BMW Malaysia hari ini telah mengemaskini barisan 3-Series mereka, kini dengan tiga varian iaitu 320i M Sport, 330i M Sport dan 330e M Sport.

Kesemua varian ini dipasang di dalam negara (CKD) dan dijual pada harga berikut:

320i M Sport: RM283,800
330i M Sport: RM317,800
330e M Sport: RM298,800

BMW 3-Series 2023 kini mendapat rupa yang diperbaharui dengan lampu depan LED yang bersambung terus dengan gril, sama seperti 5-Series. Dengan pakej M Sport, sedan ini tampil sporti dengan elemen-elemen seperti ruang kemasukan udara agresif, dan kit badan khas.

Ciri lain dari pakej M Sport termasuklah rim 18-inci dwi-tona 848 M, lencana M, suspensi M Sport (untuk 320i dan 330i) dan suspensi M adaptif (330e), serta ekzos lebih besar.

Dari segi janaan kuasa, 320i dan 330i dikuasakan oleh enjin 2.0-liter petrol. Tetapi output adalah berbeza iaitu 184hp/300Nm untuk 320i dan 245hp/400Nm bagi 330i.

320i mampu memecut ke 100km/j dalam 7.4 saat, manakala pecutan 330i sudah tentu lebih pantas, pada 5.9 saat. Kelajuan maksima masing-masing adalah 235km/j dan 250km/j.

Sementara itu, 330e plug-in hybrid (PHEV) dipacu oleh enjin 2.0-liter petrol yang sama tetapi dengan gandingan sistem hibrid. Output keseluruhan adalah 292hp dan 420Nm tork, manakala pecutan ke 100km/j ialah 5.8 saat.

Walaupun 330e M Sport mempunyai pecutan terpantas, kelajuan maksimanya ialah 230km/j, paling rendah antara ketiga-tiga varian. Transmisi untuk kesemua varian 3-Series 2023 masih sama, iaitu automatic Steptronic 8-kelajuan.

Untuk ruang dalaman pula, BMW 3-Series kini mendapat papran skrin melengkung yang mengandungi unit instrumen 12.3-inci dan infotainmen 14.9-inci.

Kelengkapan M Sport di dalam kabin terdiri dari pemijak sisi M, pedal kaki M, roda stereng kulit M, dan lapik siling M Anthracite.

BMW 3-Series 2023 juga hadir dengan teknologi seperti Comfort Access, Apple Carplay, Android Auto, BMW Live Cockpit Professional, iDrive Controller, Intelligent Personal Assistant, dan Head-Up Display.

Honda City Hatchback RS bukan sekadar rupa sporti – Pandu uji

Honda City; sebuah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Cukup sinonim dengan rakyat Malaysia, dah dikenali macam kereta nasional pula.

Cuma kali ini ia hadir dengan versi hatchback. City Hatchback ini sebenarnya pengganti Jazz kerana model Jazz generasi terkini tidak ditawarkan di pasaran kita. Sebab apa? Itu cerita hari lain.

Unit yang kami pandu kali ini ialah varian tertinggi RS yang berharga RM107,783. Varian permulaan City Hatchback S ditawarkan pada harga RM78,600.

Mari kita lihatkan adakah berbaloi untuk berbelanja RM30,000 ekstra untuk varian RS dan adakah ia sebuah pakej yang bagus untuk pasaran kita.

Gaya trendy dan muda

Seperti biasa kita lihat dari luar, City Hatchback RS ini tampak cukup moden dan bergaya. Dengan warna putih, ia ada elemen sporti ala Type-R tapi pada masa yang sama kemasan-kemasan hitam RS pada gril depan, bampar, cermin sisi, dan spoiler memberikan kontra yang cukup menyerlah.

Rekaan lampu belakang pula cukup seksi dengan tekstur tiga dimensi, dan rekaan ini tampil serasi untuk model sedan dan hatchback. Sukar untuk mendapat rekaan lampu belakang yang serasi untuk bentuk badan berbeza.

Cuma bagi penulis, stance tayar dan rim nampak sedikit ‘manja’ jika dibandingkan dengan badan kereta ini. Kalau tukar sahaja rim aftermarket dengan tayar lebih agresif, fuhh mantul mat! Memang cair gadis-gadis IPTA tengok.

Tapi kita harus faham, mungkin ada sebab mengapa Honda berikan tayar dan rim sebegini pada City Hatchback RS. Mungkin atas faktor kos, nanti harga lagi mahal, korang bising pula kan.

Lagi satu, penulis percaya ia bagi mendapatkan penggunaan bahan api yang baik kerana kereta ini sebuah hibrid.

Menyebut tentang hibrid, kita ke bahagian enjin pula. City Hatchback RS dipacu oleh enjin 1.5-liter NA sama seperti varian-varian lain, tetapi menggunakan kitaran Atkinson untuk fungsi hibrid dan padanan dengan motor elektrik.

 

Powertrain ini menjana output keseluruhan 109hp dan 253Nm, dan kuasa dihantar ke roda depan melalui kotak gear eCVT.

Praktikaliti sebuah Jazz

Anda jangan tertipu dengan rupa hatchback kereta ini, dalamannya sangat luas. Tempat duduk belakang misalnya, masih ada lebih dua penumbuk di lutut walaupun tempat duduk depan tidak ditolak habis ke hadapan. Bumbung pun tidak terkesan sangat, masih ada ruang kepala yang lapang di dalam.

Paling menarik bagi penulis, Honda berjaya membawakan praktikaliti sebuah Jazz ke dalam City Hatchback ini. Tempat duduk belakangnya adalah hadir dengan fungsi Ultra Seat, iaitu terdapat empat mod (Tall, Utility, Long, dan Refresh) untuk disesuaikan dengan keperluan harian.

Kokpit moden

Kokpit City Hatchback RS menampilkan paparan instrumen separa digital dengan skrin multi-info di sebelah kiri, dan speedometer analog di kanan.

Paparan digital kiri ini cukup jelas dan berdefinisi tinggi. Anda boleh scroll pelbagai maklumat seperti tahap bateri, aliran kuasa, dan penggunaan kuasa serta caj, semua dalam masa sebenar. G-meter pun ada, kot-kot korang nak layan track atau touge.

Kemasan dalam kabin seperti papan pemuka semua cantik, terasa premium dan berkualiti. Tempat duduk kulit juga selesa.

Pemanduan D dan B

Untuk memandu City Hatchback RS ini, memandangkan ia sebuah hibrid, terdapat sedikit kelainan pada gearnya. Selain D untuk Drive seperti pemanduan biasa, anda akan dapati gear tambahan B iaitu Braking.

Apa beza kedua-dua gear ini dan bila hendak gunakannya?

D untuk kegunaan biasa, dan paling sesuai jika anda memandu di jalan lurus dan rata, tidak banyak perubahan kelajuan. B pula jika melalui jalan raya berbukit dan berselekoh dimana terdapat banyak perubahan kelajuan. Malah memandu dalam trafik di bandar pun sesuai guna B.

Ini kerana B memberikan lebih rasa ‘engine braking’, memberikan anda lebih kawalan semasa memperlahankan kenderaan selain memberikan tahap caj bateri lebih tinggi.

Sebagai contoh, memandu menuruni bukit dengan gear B akan membuatkan bateri anda mencapai tahap penuh lebih cepat berbanding D.

Dengan kesan engine braking ini juga membolehkan anda mengaplikasikan teknik ‘one pedal driving’ dengan gear B. Tak percaya, anda cuba sendiri. Hampir tidak perlu menekan pedal brek jika hendak berhenti di lampu isyarat.

Tetapi jika anda malas pening kepala, guna sahaja D untuk semua pemanduan, juga tidak salah.

Oh ya, City Hatchback RS ini mempunyai paddleshifter di stereng, tetapi kereta ini tidak mempunyai gear. Jadi paddleshifter ini hanya digunakan untuk melaras tahap kekuatan ‘engine braking’ tadi. Tarik paddle kiri untuk daya brek lebih kuat, dan vice versa.

Anda boleh tonton video di bawah untuk lebih pemahaman, bermula minit 6:45.

Secara keseluruhan, Honda City Hatchback RS ini walaupun kedengaran kompleks dan rumit, ia sebenarnya cukup mudah dipandu. Anda pandu sahaja seperti biasa, tiada mod bateri, enjin atau kotak gear yang perlu dipilih.

Sistem hibrid yang bijak semuanya bekerja di sebalik tabir memberikan anda penjimatan dan prestasi bila diperlukan.

Jangan terkejut jika enjinnya boleh hidup dan mati berpuluh kali walaupun dalam pemanduan ringkas ke kedai runcit. Sebab itulah Honda City Hatchback RS ini mampu mencatat bacaan 18.1km per liter sepanjang lebih 1,300km kami memandu ujinya.

Pengendalian juga cukup baik. City Hatchback ini bukan sekadar City sedan yang ‘dipotong’. Menurut Honda, City Hatchback mempunyai casis yang enam peratus lebih tegar berbanding model sedan.

Beratnya juga 7.6kg lebih ringan, jadi ini memberikan idea bahawa pengendaliannya sedikit lebih sporti dan lincah. Haa bukan sekadar rupa ya.

Untuk maklumat tambahan, City Hatchback RS ini mempunyai jaminan 5-tahun untuk kereta, dan jaminan 8-tahun untuk bateri, tanpa had perbatuan!

Sebagai konklusi, kami rasakan Honda City Hatchback RS ini satu pakej yang sesuai dan menepati selera rakyat Malaysia. Selain itu, ia cukup dengan teknologi terkini, sesuai untuk mereka yang tech-savvy bagi julat harga RM100k hingga RM110k.

Spesifikasi Honda City Hatchback e:HEV RS

Harga: RM107,783
Enjin: 1.5-liter kitaran Atkinson, DOHC
Kotak gear: eCVT dengan 7-kelajuan maya
Kuasa: 97hp @ 5,600rpm
Tork: 127Nm @ 4,500rpm
Output keseluruhan: 108hp, 253Nm

Honda Civic RS lebih matang, tapi bukan tua – Pandu uji

SETIAP kali Honda mengeluarkan model baharu di Malaysia, ianya akan menjadi perhatian ramai peminat dan pemerhati industri automotif negara ini. Pelancaran Civic serba baharu tidak terkecuali.

Civic FE ini mendapat pelbagai pendapat mengenai rupa luarannya, kerana aspek penampilan menjadi isu pertama dan utama yang sering dibahaskan orang kita. Ada yang selesa dengan pembaharuan Civic ini, dan ada yang lebih gemarkan penampilan Civic FC.

Bagi penulis secara keseluruhan, lebih sukakan rekabentuk Civic FE baharu ini. Silhouette atau bayangnya dari sisi masih hampir sama, tetapi perincian diubah menjadikan Civic ini kelihatan lebih matang.

Tetapi tidak tua!

Lampu depan contohnya kurang gaya terlalu tajam dan garang, kini lebih relaks dan mirip lampu kereta jenama Eropah yang lebih premium. Kami taknak sebut jenama apa…

Kemudian bahagian ‘hidungnya’ kini gelap dan tiada krom, jadi sebenarnya nampak lebih premium juga pada pendapat penulis. Tiada lagi permukaan-permukaan berkilau.

Bahagian belakang juga lebih kemas pada FE ini, cuma penulis masih cuba untuk ‘menghadam’ rekaan lampu. Ini kerana ia seperti terlalu tinggi atau tebal, jika lebih nipis rasanya lebih padan dengan rekabentuk keseluruhan.

Tetapi siapalah kami nak persoalkan lebih-lebih, bukan? Mungkin pereka bentuk Civic FE ini ada penjelasan lebih kukuh dari aspek seni dan penampilan.

Akhir sekali sebelum kita masuk ke dalam, penulis hendak sentuh rim Civic ini, yang mana kami rasa cukup cantik dan sporti. Warna satu tona hitam dengan 10 bilah sangat padan dengan karakter kereta ini.

Ia juga menjadikan anda tidak perlu tergesa-gesa menukar rim ini selepas beli Civic. Rupanya sahaja sudah nampak cukup aftermarket.

Kokpit baharu yang moden dan sporti

Honda nampaknya semakin pandai menjadikan kabin kereta mereka cukup mantap dan kontemporari, bukan luas semata-mata. Jika dulu Mazda dikatakan mempunyai kabin cukup menarik dan terasa mewah, kini Honda juga bersaing rapat untuk aspek ini.

Paling penulis suka pada kabin Civic ini adalah rekaan ‘honeycomb’ mendatar yang panjang untuk corong pendingin hawa, dan ia terus ‘ditarik’ melintang menghubungkan dua pendingin hawa. Ini memberikan ilusi seolah-olah pendingin hawa itu mempunyai rongga yang luas dan lebar.

Bahan yang digunakan juga cukup baik, warna krom yang memberi kontra kepada papan pemuka hitam, tetapi tidak terlalu berkilau. Just nice, orang putih kata.

Dan corong ini juga diselitkan dengan tuil pelaras arah pending hawa yang – lagi sekali – terasa premium bila digunakan. Terdapat ‘klik’ yang cukup “ummmpph…” bila anda melaraskannya.

Aspek lain yang boleh dikatakan mengenai kabin Honda Civic FE ini ialah kedudukan serta posisi memandu yang rendah dan terasa sporti. Pada masa yang sama, penglihatan ke luar masih sangat baik, langsung tidak terganggu.

Anda dapat melihat ke depan dan tepi serta mengemudi kereta dengan baik di bandar dan tempat sempit, tetapi yang penting posisi rendah membuatkan anda dapat lebih banyak ‘feel’ dari pergerakan kereta.

Tiada lagi NA, hanya turbo

Barisan Civic FE kali ini tidak lagi ditawarkan dengan enjin naturally-aspirated (NA), sebaliknya hanya turbo. Enjin 1.5-liter VTEC Turbo ini menjana 180hp dan 240Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT.

Melalui pemanduan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dengan jalan persekutuan serta lebuhraya, apa yang boleh dikatakan ialah kesan ‘rubber band’ dari kotak gear kini kurang terasa, menjadikan enjin dirasakan lebih responsif.

Pecutan atau pertambahan kelajuan dapat dibuat dengan lebih cepat. Malah pecutan dirasakan lebih cekap, seolah-olah tiada ‘powertrain loss’ dalam sistem CVT kali ini.

Pengendalian antara terbaik dalam segmen

Untuk aspek pengendalian dan pemanduan keseluruhan pula, penulis boleh simpulkan dengan satu ayat mudah: semua sedan segmen-C sekarang sangat sedap dipandu.

Jika 10 atau 15 tahun dahulu, Honda begitu ‘raw’ dan sangat jitu pemanduannya, ibarat jentera perlumbaan yang dibawa ke bilik pameran dan dipasang nombor plat.

Kemudian Honda semakin ‘lembut’ dan hilang arah tuju sedikit sebelum Mazda cemerlang untuk aspek ini. Toyota pula dari dulu dikenali sebagai pemanduan tiada jiwa, seperti kereta untuk abah-abah.

Tetapi kini untuk 2022, boleh dikatakan semua sedan segmen-C seronok dipandu dengan cara masing-masing.

Mazda3 terasa penghalusan dan penelitian dengan bantuan GVC, Toyota Corolla mempunyai kawalan badan yang sangat baik, dan Honda Civic FE 2022 ini pula mempunyai posisi memandu dan respon stereng yang tepat.

Semakin sukar untuk buat pilihan sedan segmen-C sekarang, tetapi kebanyakan dari anda tidak kisah aspek pemanduan, dan hanya mahukan SUV, betul?

Apa pun, karakter pemanduan Civic FE penulis rasakan satu penambahbaikan cukup besar berbanding FC, malah berbanding FC versi facelift sekalipun. Nampaknya Honda semakin kembali ke jiwa sporti mereka, dan ini membuatkan penulis tidak sabar untuk melihat apa yang mereka boleh tawarkan dengan Civic Type-R nanti.

Satu lagi perkara penting ialah Honda telah menambahbaik casis Civic FE untuk menjadikannya lebih tegar tetapi pada masa yang sama lebih ‘refined’. Hasilnya seperti yang dikatakan tadi; pemanduan lebih sporti tetapi senyap dan selesa.

Spesifikasi Honda Civic RS 2022

Harga: RM150,700
Enjin: 1.5-liter VTEC Turbo
Kotak gear: CVT
Kuasa: 180hp @ 6,000rpm
Tork: 240Nm @ 1,700rpm

Hyundai Grandeur kembali untuk tahun 2023 – tampil rekaan Seamless Horizon

HYUNDAI telah mendedahkan reka bentuk luaran dan dalaman sedan flagship mereka iaitu Grandeur. Juga dikenali sebagai Azure di pasaran luar Korea Selatan, model generasi ketujuh ini tampil jauh berbeza dengan model terdahulu yang dilancarkan pada 2016.

Sekali imbas, Grandeur mempunyai wajah mirip Staria, dengan gril Parametric Jewel dan bar lampu LED melintang yang digelar sebagai Seamless Horizon. Menurut Hyundai, elemen yang diinspirasikan oleh cahaya fajar ini menyerlahkan lagi kelebaran Grandeur.

Apa yang menarik, lampu Seamless Horizon juga digunakan pada bahagian belakang bagi tujuan yang sama. Tulisan ‘GRANDEUR’ yang dijarakkan serta ketiadaan muncung ekzos memberikan imej yang kemas dan bersih.

Dimensinya tidak diketahui namun tidak mustahil jika ia lebih besar berbanding model generasi keenam yang mempunyai ukuran panjang 4,990 mm, lebar 1,875 mm, tinggi 1,480 mm dan tapak roda 2,885 mm.

Seperti bahagian luaran, ruang dalaman Grandeur juga menyaksikan perubahan yang ketara. Hyundai menggunakan gabungan bahan-bahan yang premium dan lestari untuk menghasilkan suasana yang tenang dan nyaman.

Ini termasuk upholsteri kulit Nappa yang diwarnakan secara semula jadi, trim kayu sebenar dan kemasan aluminium. Di samping kulit yang diproses secara eko itu, kulit anti-bakteria juga digunakan untuk membaluti bahagian-bahagian tertentu.

Untuk kelengkapan pula, antara yang boleh dilihat di sini adalah skrin berkembar di atas papan pemuka, panel kawalan sistem pendingin hawa dan sistem pencahayaan ambien pada panel pintu. Stereng tiga spoke itu diinspirasikan oleh stereng yang digunakan pada model asal.

Tiada perincian teknikal yang didedahkan setakat ini namun menurut The Korean Car Blog, Grandeur dijangka ditawarkan dengan empat pilihan enjin iaitu GDi 2.5 dan 3.5 liter, LPG (Liquified Petroleum Gas) 3.5 liter dan turbo hibrid 1.6 liter.

Malah, laman web itu juga mendakwa bahawa Hyundai telah menerima lebih 60,000 tempahan untuk Grandeur setakat ini.

Tempahan Audi RS3 Sedan 2023 kini dibuka – 2.5-liter 5-silinder TFSI, 400hp, dari RM650k

AUDI Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan RS3 Sedan 2023 kini dibuka, dengan harga sekitar RM650k hingga RM750k.

Sedan prestasi ini dikuasakan enjin 2.5-liter 5-silinder TFSI turbo yang mampu manghasilkan 400hp pada 5,600 hingga 7,000rpm. Tork pula setinggi 500Nm dan hadir dari 2,250 hingga 5,600rpm. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear S-tronic dwi-klac 7-kelajuan.

Dengan sistem quattro, ia mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 3.8 saat, manakala kelajuan maksima pada 250km/j.

Penghantaran kuasa juga dibantu oleh sistem RS Torque Splitter yang menggunakan klac berbagai-cakera secara elektronik pada setiap syaf. Ia mengagihkan kuasa mengikut situasi pemanduan, malah mampu menghantar semua kuasa enjin kepada satu tayar jika diperlukan.

Audi A3 S-Line

Dalam pengumuman sama, Audi juga melancarkan A3 Sedan S Line serba baharu, dengan harga bermula RM331,990 termasuk duti dan cukai.

Walaupun spesifikasi teknikalnya belum didedahkan, kita boleh jangkakan ia akan mendapat enjin 1.5-liter TFSI 4-silinder turbo dengan kuasa 150hp dan 250Nm tork. Transmisi pula ialah S-tronic dwi-klac 7-kelajuan, dengan pecutan 0-100km/j dalam 8.4 saat dan kelajuan maksima 232km/j.

Semua model Audi hadir dengan penyelenggaraan percuma 3-tahun, jaminan perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan 5-tahun.

Tempahan Audi A3 Sedan dan RS3 boleh dibuat di semua Audi Centres di Setia Alam, Glenmarie dan Juru.

BMW 330e M Sport sedan seronok dipandu dengan ‘perisa’ elektrifikasi – Pandu uji

BMW secara tradisinya terkenal dengan karakter mereka yang sedap dipandu, lebih-lebih lagi 3-Series. Malah model ini menjadi penanda aras untuk pengendalian bagi segmen sedan kompak premium.

Dari zaman E30, E36, hinggalah kepada G20 yang terkini, boleh dikatakan BMW masih di tempat teratas untuk aspek ini. Ada pesaing seperti Mercedes C-Class dan Jaguar XE yang agak hampir, tetapi BMW 3-Series masih sedikit ke depan.

Kini dengan era elektrifikasi, BMW telah mula menyuntik elemen ini ke dalam kereta-kereta mereka, maka lahirlah BMW 330e. Ianya varian tambahan selain 320i dan 330i untuk pasaran Malaysia.

Jadi, adakah aspek elektrifikasi ini telah ‘merosakkan’ aspek pengendalian sinonim dengan BMW? Kenderaan hibrid adalah lebih berat berbanding versi asal, jadi hukum fizik secara umum mengatakan berat bukanlah sahabat baik untuk pengendalian.

Rekaan

Jika dilihat rekaan 3-Series generasi G20 terkini tidak jauh berbeza dari yang sebelumnya. BMW banyak mengambil pendekatan evolusi berbanding revolusi.

Ia mungkin nampak kekal dari tradisi 3-Series, tetapi jika ingin bersaing dengan model-model lain dalam bab rekabentuk ini, BMW perlu menghasilkan satu perubahan yang lebih drastik.

Apa pun, rekabentuk BMW G20 kali ini tetap cantik dengan lampu depan lebih sofistikated, ‘Hofmeister kink’ yang diubah posisi kini di belakang pintu, dan lampu belakang dengan kesan 3-dimensi. Bagi penulis lampu belakang ini bukan sahaja cantik, tetapi tampil begitu moden.

Dan varian M Sport hadir dengan pelbagai kit M yang sporti di luar dan dalam, menaikkan lagi seri kereta ini.

Di bahagian kabin pula, penulis rasakan BMW 3-Series G20 masih kekurangan jika dibandingkan dengan pesaing terdekatnya, C-Class. Walaubagaimanapun, rekaan kokpit G20 kali ini jauh lebih baik berbanding F30 sebelumnya.

Kokpit kini sedap dilihat, dengan susun atur yang cukup kemas, dan pilihan bahan yang membuatkan 3-Series ini terasa cukup berkualiti dan solid.

Pemanduan

Paling ketara mengenai BMW 3-Series generasi G20 ini ialah sterengnya yang kekal tajam, responsif dan tepat walaupun menggunakan sistem baharu. Stereng serta posisi memandunya yang sporti menyumbang kepada kepuasan pemanduan untuk kereta ini.

Kuasa lebih dari mencukupi, dengan penjimatan bahan api yang agak mengagumkan. Oh ya, enjinnya juga sangat senyap, memberikan pemanduan selesa untuk perjalanan jauh.

Dan memandangkan 330e ini merupakan versi plug-in hibrid (PHEV), cara memandunya ialah anda harus rajin mengecaj baterinya bila ada kelapangan, sebagai contoh setiap kali balik ke rumah.

Ini kerana jika baterinya habis, 330e M Sport ini ibarat ‘menggalas’ beban lebih yang sia-sia kerana dengan berat sekitar 1,740kg, kereta ini adalah hampir 300kg lebih berat berbanding 330i.

Ya betul, baterinya boleh dicaj sambil bergerak semasa dipandu, tetapi kadarnya agak rendah dan perlahan. Selain itu, komputer kereta juga jarang sekali menggunakan baterinya sehingga betul-betul habis.

Secara keseluruhan, BMW 330e ini tetap lincah dan sporti. Dalam kebanyakan masa, anda hampir terlupa bahawa ianya sebuah hibrid.

Untuk siapa BMW 33e M Sport?

Jika anda mahukan sedan premium sporti dengan sedikit elemen elektrifikasi, BMW 330e M Sport ini satu pilihan cukup ideal. Sekurang-kurangnya dapat ‘menyediakan’ anda sebelum beralih kepada kenderaan EV sepenuhnya nanti.

Tetapi jika anda rasakan kenderaan hibrid masih terlalu kompleks, lebih baik pilih sahaja 320i atau 330i.

Spesifikasi BMW 330e M Sport

Harga: RM260,680
Enjin: 2.0-liter 4-silinder turbo
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 181hp @ 5,000rpm
Tork: 300Nm @ 1,350rpm
Kapasiti bateri: 12kWh
Output bateri: 67hp, 120Nm

Volvo S60 T8 R-Design sedan eksekutif serba boleh – Pandu uji

SEBUAH sedan yang serba boleh; pandu perlahan dengan bergaya ke majlis makan malam, pergi mesyuarat, atau melayan selekoh di Lebuh Raya Karak. Inilah dia Volvo S60.

Sekali pandang, Volvo S60 ini nampak begitu bersahaja, dengan garis-garis lurus yang ringkas pada badannya, cuma mungkin DRL LED Thor’s Hammer yang membuatkannya sedikit menyerlah. Tetapi ia ‘menyimpan’ prestasi yang cukup tinggi, malah melebihi pesaing-pesaingnya yang nampak lebih sporti dari luaran.

407hp dan 640Nm tork dari pakej 2.0-liter turbo dan sistem hibrid. Amacam? Kita akan cerita dengan lebih lanjut selepas ini.

Gaya elegan bersahaja

Volvo S60 berada dalam segmen sedan premium kompak seperti BMW 330i, Mercedes-Benz C300 dan Volkswagen Arteon.

Mungkin ada banyak sebab mengapa Volvo S60 kurang menjadi pilihan berbanding jenama-jenama kebiasaan tetapi mereka yang memilih jenama Sweden ini – bagi penulis – mempunyai citarasa tersendiri dan tahu apa yang mereka mahukan.

Bagi penulis, Volvo S60 cukup bergaya dan segak, serta nampak agak menonjol di jalan raya berbanding sedan lain dalam segmennya.

Pakej R-Design menaikkan lagi seri kereta ini dan membuatkannya tampil lebih sporti. Ia terdiri dari item seperti gril hitam, perumah cermin sisi hitam, rim aloi Matt Tech Black Diamond Cut 19-inci, tempat duduk sports, dan pedal aluminium.

Dari sisi, Volvo S60 nampak seperti sebuah sedan sports pacuan roda-belakang seperti BMW atau Jaguar, dengan bonet depan agak panjang, kabin sedikit ke belakang, dan but yang pendek. Padahal ia secara asasnya sebuah pacuan roda-depan.

Kabin selesa seperti di rumah

Pelik? Tetapi itulah yang penulis rasakan bila memandu atau berada dalam Volvo S60 ini. Kebiasaannya kita akan penat memandu dan mahu berehat di rumah.

Tetapi dengan S60, ia cukup selesa dan nyaman lantas menjadikan penulis tidak kisah bila orang rumah meminta penulis ke kedai sebentar untuk memberi satu atau dua barang. Jika dengan kereta lain, kita akan terasa liat atau malas.

Selesa untuk S60 bukan semata-mata bermakna tempat duduknya lembut, tetapi segala butang-butang kawalan, stereng, tombol, semuanya mudah dan sedap digunakan.

Pilihan bahan dan warna pada papan pemuka (metal mesh), tempat duduk kulit (Nappa dan Nubuck), tombol gear kristal, semuanya menyumbang kepada aspek ini.

Pada masa yang sama, kabin S60 ini terasa cukup premium dan moden dengan skrin instrumen digital 12.3-inci di depan stereng serta skrin infotainmen menegak di tengah, bersaiz 9-inci.

Cuma kawalan pada S60 dan model-model lain Volvo yang semuanya dari skrin infotainmen tidak begitu digemari penulis. Ianya okay untuk kawalan seperti sistem hiburan, tetapi jika pelarasan pendingin hawa pun melalui skrin, ia kurang praktikal.

Pakej hibrid prestasi tinggi

Hanya satu varian diberikan untuk S60 ini, iaitu T8 AWD Recharge yang terdiri dari enjin 2.0-liter turbo dan supercaj 4-silinder yang digandingkan dengan motor elektrik dan bateri berkapasiti 11.6kWh. Ya, Volvo S60 T8 ini merupakan model PHEV (plug-in hibrid).

Tetapi jangan biarkan status PHEV mengelirukan anda. PHEV bukan bermakna ia ‘lembut’ atau bersifat seperti hibrid tradisional. Sebaliknya Volvo menjadikan versi PHEV sebagai berprestasi tinggi, malah duduk lebih atas dari varian-varian lain.

Enjinnya menyalurkan 302hp dan 400Nm tork, dan kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 8-kelajuan. Motor elektrik pula membekalkan tambahan 87hp dan 240Nm ke roda belakang.

Jadi, bergantung kepada mod pemanduan, Volvo S60 T8 boleh menjadi pacuan roda-depan (enjin sahaja), pacuan roda-belakang (mod EV), atau pacuan semua-roda (mod hibrid).

Mentaliti berbeza bila memandu

Menurut Volvo, S60 merupakan model yang paling fokus kepada pemandu, kiranya paling sporti. Adakah ini benar? Dan lagi satu, adakah status ini cukup untuk menandingi pesaingnya dari Munich?

Baik, Volvo S60 T8 ini cukup selesa digunakan dalam semua keadaan sama ada ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, bergaya hujung minggu minum kopi di Bangsar Shopping Centre, atau menyakat Ford Mustang di lebuh raya.

Sterengnya yang ringan serta kabin selesa membuatkannya sesuai untuk kegunaan harian. Tetapi tork setinggi 640Nm dan kabin yang senyap walaupun dipandu laju menjadikan S60 ibarat kereta sports tanpa drama. Laju dan pantas tanpa sebarang bunyi ekzos meletup-letup.

Untuk itu, penulis rasakan S60 T8 ini memang model Volvo yang paling fokus kepada pemandu kerana model-model lain adalah lebih berat dan lebih menekankan aspek keselesaan.

Tetapi jujur kata, S60 T8 tidak dapat menandingi BMW 3-Series G20 untuk aspek pengendalian. Ini kerana pada 2,041kg, S60 ini 600kg lebih berat berbanding 320i jadi ia tidak selincah BMW.

Selain itu, beberapa mod pemanduan seperti Eco, Comfort, Dynamic dan Individual membolehkan anda menukar karakter kereta ini. Tetapi sepanjang pemanduan, kita sentiasa berfikir mengenai baki caj bateri, penjimatan tenaga, dan berapa banyak pedal hendak ditekan.

Pendek kata, mentaliti dan car akita memandu Volvo S60 T8 ini sedikit berbeza dari kenderaan lain. Kita akan selalu memikirkan tentang penjimatan tenaga. Ada masanya kita tak kisah memandu perlahan dan ‘menyimpan kuasa’ bateri untuk digunakan bila perlu.

Berbaloi?

Jika anda mahukan sedan premium sporti dan anda rajin mengecaj di rumah, maka Volvo S60 T8 AWD Recharge ini satu pilihan sangat menarik untuk dinilai. Anda akan jimat penggunaan petrol, dapat gaya, rasa premium, dan prestasi.

Tetapi jika anda tidak mampu mengecaj dengan kerap, sebagai contoh anda tinggal di kondominium dengan tiada tempat mengecaj, maka S60 ini bukan pilihan ideal.

Ini kerana keseluruhan 407hp dan 640Nm hanya didapati bila bateri mempunyai kuasa. Jika bateri kehabisan kuasa sepenuhnya, hanya enjin yang digunakan untuk menggerakkan kereta dan kita terasa berat bateri itu seperti sia-sia atau ibarat mengusung bagasi penuh dalam but sepanjang masa.

Spesifikasi Volvo S60 T8 AWD Recharge

Harga: RM282,540.00
Enjin: 2.0-liter turbo, supercaj, 4-silinder
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 320hp @ 5,700rpm
Tork: 400Nm @ 1,200rpm
Kapasiti bateri: 11.6kWh
Output bateri: 87hp, 240Nm
Output keseluruhan: 407hp, 640Nm