Tag Archives: sekolah memandu

Satu kelas teori untuk lesen motosikal dan motokar bermula 1 Ogos ini – Menteri

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyatukan modul Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) untuk lesen motosikal dan motokar bermula 1 Ogos ini, lapor Bernama.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, dasar satu kelas teori telah dimulakan sejak 2023 lagi, namun JPJ masiuh menggunakan modul berasingan untuk motosikal dan motokar.

“Kedua-dua modul KPP01 yang sebelum ini berasingan, dikemaskini menjadi satu modul pembelajaran sahaja untuk memberikan penekanan tambahan kepada pemanduan secara selamat.

Jelasnya lagi, maklumat lanjut berkenaan syarat-syarat, kaedah pelaksanaan dan prosedur pengoperasian akan diumumkan oleh JPJ kelak.

Selain itu, antara penambahbaikan perkhidmatan JPJ yang bakal dibuat termasuklah menyediakan kaedah pembayaran melalui e-dompet TnG selain memudahkan pembayaran saman melalui aplikasi MyJPJ.

Difahamkan, JPJ juga akan memperkenalkan portal rasmi baharu yang lebih minimalis dan kemas, selari dengan teknologi semasa.

Sekolah ini akan ajar anda memandu pantas atas salji guna GR Corolla

Bermula tahun 2025, sebuah sekolah memandu di Colorado akan menggunakan khidmat barisan kereta sports Toyota Gazoo Racing, iaitu GR Supra, GR86 dan GR Corolla untuk program pemanduan musim sejuk.

Program pemanduan berprestasi tinggi ini akan menawarkan kursus selama satu atau dua hari, di mana setiap pelajar akan diberikan tunjuk ajar memandu di atas litar yang diliputi ais dan salji di Steamboat Springs.

Barisan jentera GR itu akan disediakan dalam versi manual dan automatik bagi membolehkan pemandu dari pelbagai latar belakang merasai sendiri pengalaman mengendalikan jentera beradrenalin tinggi itu.

Namun untuk program pemanduan yang biasa, sekolah itu masih lagi mengekalkan penggunaan kenderaan pacuan semua roda Toyota seperti sedan Camry, SUV Highlander dan 4Runner.

Dibuka sejak tahun 1983, Bridgestone Winder Driving School telah bertanggungjawab memberikan tunjuk ajar kepada hampir 100,000 orang pemandu untuk lebih yakin memandu di dalam keadaan jalan cengkaman rendah.

Bagi kami, program yang bagus sebegini wajar diperluaskan kepada rakyat Malaysia terutama pemilik kereta sports dan kenderaan elektrik (EV) supaya mereka dapat mempelajari aspek pengendalian kereta-kereta berkuasa tinggi dalam pelbagai keadaan cuaca.

Walaupun di Malaysia tiada musim salji, tapi kemahiran tersebut boleh diaplikasikan untuk pemanduan atas jalan licin, memandangkan sejak kebelakangan ini negara kita kerap menerima taburan hujan yang agak tinggi.

Hakikatnya, memang ramai orang yang mampu membeli kereta pantas, tapi hanya segelintir sahaja yang mempunyai kesedaran untuk menaik taraf kemahiran diri sendiri.

Had usia kenderaan sekolah memandu dilanjut hingga 10 tahun – Anthony Loke

KEMENTERIAN Pengangkutan bersetuju untuk melanjutkan had usia kenderaan yang digunakan di institut memandu kepada 10 tahun berbanding tujuh tahun sebelum ini.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dasar baharu itu adalah bagi membantu kos pengoperasian institut pemandu yang terjejas sebelum ini akibat Covid-19.

“Kementerian mengambil sedikit pertimbangan untuk memberi kelonggaran tersebut. Kalau kita ‘rigid’ dan tidak tukar apa-apa peraturan itu maka kebanyakan kenderaan yang masuk ke tahun ketujuh sudah tidak boleh dipakai, sudah menambah beban pengusaha dan ia tidak adil,” katanya.

Dalam pada itu, Loke turut mengumumkan pengecualian pemeriksaan berkala Puspakom bagi kenderaan baharu di bawah institut memandu selama dua tahun.

Gambar oleh: MalayMail

“Untuk tahun seterusnya hingga tahun ke-10, pemeriksaan berkala yang diwajibkan adalah setahun sekali berbanding dua kali setahun,” katanya sambil menambah langkah itu diambil bagi meningkatkan produktiviti aset institut memandu tanpa berkompromi terhadap isu keselamatan.

“Saya mengambil satu pendekatan di mana dari segi dasar kita longgarkan tetapi meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak industri,” katanya.

Tegas beliau, sekiranya didapati kenderaan institut memandu tidak diselenggara dengan baik sehingga melibatkan kemalangan, maka pihak kementerian tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha institut memandu terbabit.

“Sebenarnya sudah banyak institut memandu telah dikenakan tindakan digantung operasi. Bukan disebabkan isu kemalangan tetapi tidak mengikut syarat-syarat dan sebagainya,” ujarnya.

Institut memandu boleh dikenakan tindakan jika ramai pemandu kemalangan – JPJ

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertindak membatalkan permit institut memandu dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang mempunyai rekod ramai pemegang lesen dari institut berkenaan terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, jika ramai pemandu dari sesebuah institut itu terbabit dalam kemalangan jalan raya, berkemungkinan tindakan boleh dikenakan terhadap pengusaha atau pemiliknya.

“Perkara itu akan dilaksanakan menerusi perancangan untuk mewujudkan sistem kod pada lesen yang akan dapat mengenal pasti institut memandu tempat pemegang lesen memperoleh latihan pemanduan kenderaan,” katanya.

“Antara tindakan yang boleh diambil ialah membatalkan permit institut memandu terbabit dan menarik balik sijil tenaga pengajarnya,” tambah Zailani.

Menurutnya, langkah itu diambil dalam usaha JPJ membantu mengurangkan statistik kemalangan jalan raya termasuk angka maut.

Kod pada lesen itu akan diperkenalkan pada pelancaran program e-testing April depan.

“Kita dalam proses bagi kod dalam lesen memandu, kita boleh tahu calon (pemandu) dapat lesen dari mana.

“Jika mereka didapati lakukan kesalahan, terlibat kemalangan, kita akan tahu mereka dapat lesen dari institut memandu yang mana. Kita akan buat audit, pengesanan untuk tahu jika ada masalah dengan institut terbabit.”

Menurut Zailani lagi, ia sebahagian dari pembaharuan JPJ ke arah pendigitalan dengan modul berkenaan dapat mengenal pasti kelemahan di peringkat insitut memandu.