Tag Archives: selebriti

7 selebriti ini dilarang membeli Ferrari, artis Malaysia ada tak?

Dari mula ia diasaskan hinggalah ke hari ini, setiap kereta yang dihasilkan oleh Ferrari menjadi rebutan ramai. Oleh itu tidak hairanlah pengeluar supercar dari Maranello, Itali itu mempunyai ‘kuasa’ untuk memilih siapa yang berhak menjadi pelanggannya.

Agak luar biasa, bukan? Tetapi itulah hakikat bagi sebuah jenama yang mengutamakan imej lebih daripada segala-galanya.

Percaya atau tidak, Ferrari sebenarnya mempunyai senarai individu yang terdiri daripada selebriti terkenal yang dihalang daripada membeli kereta keluarannya. Berikut adalah antara nama besar dalam senarai tersebut:

Justin Bieber

Foto: Autoevolution

‘Beliebers’ pasti ingat bahawa bintang pop terkenal itu pernah membeli sebuah Ferrari 458 Italia sekitar tahun 2011. Dia menghantar keretanya ke West Coast Customs untuk mendapatkan balutan berwarna Electric Blue, kit badan Liberty Walk serta logo kustom. Itu kesalahan pertama.

Bukan itu sahaja, selepas berparti di Beverley Hills, Bieber dilaporkan tidak menjumpai keretanya itu selama tiga minggu! Tidak lama selepas ia dijumpai kembali, penyanyi lagu Baby itu melelongnya pada harga sekitar $435,000 tanpa izin Ferrari. Patutlah kena ban.

Floyd Mayweather Jr.

Foto: Eurosport

Hampir sama seperti kes Justin Bieber, Mayweather Jr. dihalang daripada membeli Ferrari kerana dia melanggar peraturan pemilikan Ferrari yang melarang pelanggan daripada menjual kereta mereka dalam tempoh kurang setahun selepas dibeli.

Namun penulis pasti ini bukanlah satu masalah besar buat Mayweather Jr. kerana dia adalah peninju terkaya dunia dengan pendapatan sekitar $450 juta setakat ini. Dengan harta sebanyak itu, banyak lagi kereta mewah yang boleh dibeli olehnya.

Kim Kardashian

Foto: vroomgirls.com

Sama ada benar atau tidak Kim Kardashian di-ban daripada membeli Ferrari sebenarnya masih kabur namun cerita ini timbul kerana dia pernah dilihat memandu Ferrari 458 Italia berwarna putih yang dilaporkan dihadiahkan oleh Jho Low.

Disebabkan publisiti negatif yang berpunca daripada skandal 1MDB, nama Kim Kardashian dikatakan telah dimasukkan ke dalam senarai tidak rasmi individu-individu yang dilarang daripada membeli Ferrari.

Deadmau5

Foto: Ben via Wikimedia Commons

Kira-kira 10 tahun yang lalu, artis EDM dari Kanada, Joel Zimmerman atau lebih dikenali sebagai Deadmau5 membalut Ferrari 458 Spider miliknya dengan livery meme Nyan Cat. Malah dia juga menukar logo kuda jenama itu dengan logo kucing, manakala tulisan ‘Ferrari’ ditukar menjadi ‘Purrari’.

Tidak cukup dengan itu, Zimmerman turut menjual kereta itu menerusi laman Craigslist tidak sampai setahun selepas memilikinya. Seperti yang anda boleh jangka, tindakan itu mengundang amarah Ferrari yang kemudiannya menghantar surat pemberhentian (cease and desist) kepada Zimmerman.

Tyga

Foto: E Online

Menurut laporan, Tyga pernah menyewa sebuah Rolls-Royce Ghost dan sebuah Ferrari 458 Spider sekitar tahun 2016. Namun penyanyi rap terkenal itu dilaporkan gagal membayar duit sewaan sebelum perjanjian sewaan tamat menyebabkan kedua-dua kereta tersebut ditarik semula.

Bukan itu sahaja, keengganannya membayar hutang kepada syarikat yang menyewakan kedua-dua kereta berkenaan menyebabkan Tyga disaman oleh syarikat itu dan ini sudah tentu memberikan imej buruk kepada Ferrari.

50 Cent

Foto: Facebook 50 Cent

Seorang lagi bintang rap yang ‘berjaya’ meletakkan namanya dalam senarai hitam Ferrari adalah 50 Cent atau nama sebenarnya Curtis Jackson. Pada 2020, Jackson mengadu di media sosial apabila Ferrari 488 miliknya tidak dapat dihidupkan akibat bateri mati.

Dalam hantaran tersebut, Jackson berkata dia tidak mahu kereta itu lagi dan akan menggantikannya dengan kereta smart. Publisiti buruk seperti ini sudah tentu tidak digemari oleh Ferrari.

Chris Harris

Foto: Motoring Research

Mereka yang tidak mengikuti perkembangan sektor automotif mungkin tidak mengenali Chris Harris namun dalam dunia kereta, Harris dianggap sebagai salah seorang wartawan yang cukup dihormati.

Pertelingkahan antara Harris dan Ferrari berpunca daripada sebuah artikel bertajuk ‘How Ferrari Spins’ yang diterbitkan dalam laman web Jalopnik pada 2011. Dalam artikel itu, Harris mendakwa Ferrari mengubahsuai unit pandu uji mereka bagi memastikan ia mendapat pujian tertinggi dari wartawan automotif.

Beto Kusyairy kemalangan ketika sertai konvoi solidariti Palestin

PELAKON terkenal, Beto Kusyairy mengalami kecederaan selepas terlibat kemalangan ketika mengikuti konvoi motosikal Solidarity Ride Free Palestine Wings Motor Gangs Society (WMGS) Asean ke Masjid Negeri Perak di Ipoh pada Isnin.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku berhampiran Ladang Bikam, Sungkai yang turut melibatkan seorang lagi peserta konvoi berkenaan.

Lagenda rock tanah air, Datuk Awie yang mengetuai konvoi tersebut mengesahkan kejadian tersebut tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Insiden kemalangan itu tak berapa serius. Ada dua orang terlibat,” katanya ringkas kepada pemberita berhubung insiden tersebut.

Beliau ditemui selepas program Solidarity Ride Free Palestine WMGS Asean ke Masjid Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di sini pada Isnin.

Terdahulu seramai lebih 300 peserta konvoi tiba di Masjid Negeri Perak kira-kira jam 7.30 malam sempena program berkenaan.

Biarpun hujan sepanjang perjalanan, konvoi berkenaan tetap diteruskan melibatkan 11 kelab motosikal berkuasa tinggi yang lain.

Hadir sama menyambut ketibaan konvoi berkenaan, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi; Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin dan Imam Utama Masjid Negeri Perak, Ridzuan Zaidin.

Mula ingat scammer, rupanya orang mahu beri MINI Clubman kepada Bell Ngasri

TUAH terus mengiringi pelakon Bell Ngasri apabila dia menerima sebuah MINI Clubman daripada DTC Motors Sdn. Bhd. sempena kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular.

Kereta sports bernilai kira-kira RM200,000 itu telah disampaikan oleh penyampai Hot FM, Khairy Jamaluddin (KJ) sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DTC Motor Sdn. Bhd. Afendy Wahid.

“Sebenarnya saya langsung tidak sangka akan dapat kereta kerana bagi saya hadiah yang saya terima (Bintang Paling Popular) sudah cukup besar,” kata Bell.

“Bila ada orang nak beri saya kereta saya tidak kisah kereta apapun saya terima. Jadi, apabila diberi kereta mewah yang memang saya idamkan saya berasa cukup terharu.

“Syukur dan terima kasih kerana undian rakyat Malaysia saya dapat begitu banyak rezeki yang tidak disangka-sangka ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, 43, mendedahkan dia tidak dapat tidur malam memikirkan kereta yang bakal diperolehi.

“Jika mengikut tradisi pemenang utama semua dapat kereta. Tapi dapat trofi pun saya dah bersyukur sangat-sangat.

“Tidak sangka pada hari saya ke Hot FM untuk temubual, ada orang menghubungi Hot FM meluahkan hasrat beri kereta. Mulanya saya ingat scammer (ketawa).

“Alhamdulillah, betul saya dapat kereta. Terima kasih kepada DTC Motors dan juga semua yang berusaha merelisasikan hadiah ini,” ujar Bell yang sebelum ini telah memiliki dua buah kereta.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif DTC Motor Sdn. Bhd. Afendy Wahid berkata, pihaknya berniat untuk memberikan kereta kepada Bell selepas melihat kemenangannya tanpa sebarang kereta yang sudah menjadi kelaziman dalam pengajuran Anugerah Bintang Popular (ABP) sebelum ini.

“Saya tertanya-tanya kenapa Bell tidak dapat kereta seperti pemenang terdahulu. Saya berbincang dengan kakitangan, apa kata kita yang beri.

“Saya hubungi pihak Bell dan segala usaha dipermudahkan. Kami pilih kereta MINI Clubman kerana berasa sesuai dengan diri Bell,” ujar Afendy yang turut memberitahu DTC Motors memberikan diskaun sehingga RM50,000 selama sebulan bermula 1 Ogos ini sempena bulan kemerdekaan.

MINI Clubman mempunyai beberapa versi, tetapi kebanyakannya dikuasakan enjin 2.0-liter MINI TwinPower Turbo dengan output 192hp dan 280Nm tork. Dengan transmisi automatik dwi-klac 7-kelajuan, ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa 7.2 saat.

Kelengkapan standard kereta ini termasuklah sistem pendingin hawa dwi-zon, sistem navigasi 6.5-inci, MINI Connected, Apple CarPlay, lampu LED, kemasan warna dwi-tona, enam beg udara, Dynamic Stability Control (DSC), dan kawalan differential elektronik.