Tag Archives: seludup

Subsidi diesel: Penyeludup mula ubah strategi, tingkatkan penyeludupan RON95 pula

KES penyeludupan bahan api RON95 dilaporkan meningkat selepas kerajaan mengumumkan penyasaran subsidi diesel, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata hasil pemantauan dilakukan pegawai penguat kuasa yang ditempatkan di lapan pintu masuk utama di Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis mendapati penyeludup mula mengubah strategi mereka.

“Kementerian mendapati modus operandi penyeludupan yang digunakan melibatkan taktik pembelian petrol berulang di stesen minyak sekitar negeri bersempadan.

“Sebelum ini, mereka menggunakan kereta pacuan empat roda bagi menyeludup petrol kini mereka mengubah suai tangki kereta sedan untuk mengisi petrol,” katanya pada sidang media khas selepas mengadakan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Armizan berkata kementerian mengeluarkan Arahan Pengawal Bekalan kepada pemilik stesen minyak untuk memantau dan melaporkan kenderaan yang dikesan melakukan pembelian berulang serta arahan itu berkuat kuasa esok sebaik sesi libat urus pemilik stesen minyak di seluruh Kelantan diadakan.

“Selain itu, kementerian saya juga akan memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dalam melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan bagi mengesan kenderaan yang telah diubah suai,” katanya.

Armizan berkata ini meliputi pengubahsuaian kenderaan bagi tujuan penyeludupan merentasi sempadan dan penyelewengan melibatkan penjualan diesel bersubsidi kepada industri penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengulas mengenai Ops Tiris 3.0, beliau berkata ops ini diteruskan sehingga hujung tahun ini.

Kastam rampas tiga unit Yamaha RX-Z seludup di Kelantan

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan telah merampas tiga motosikal jenis Yamaha RX-Z terpakai yang telah diseludup dari negara jiran. 

JKDM Kelantan turut merampas enam kenderaan klon bersama dua motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CB400 dan Yamaha TDC. 

Menurut Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abudl Salam Wan Long, jumlah rampasan (termasuk cukai) dianggarkan berjumlah hampir RM600,000. 

“Antara kenderaan yang dirampas ialah Nissan Teana, BMW Z4 2.5I, Nissan Serena, Honda Jaz Fit, Toyota Vellfire, Honda Odyssey.

“Turut dirampas adalah motosikal Honda CB400, Yamaha TDC selain daripada RX-Z,” ujarnya. 

Wan Jamal turut mendedahkan modus operandi yang diguna pakai adalah membawa masuk kenderaan berkenaan secara persendirian atau menerusi sindiket yang bertapak di sempadan. 

“Bagi tiga RX-Z terpakai pula, ia diseludup melalui pangkalan haram di Sungai Golok menggunakan sampan dan dijual kepada pembeli tempatan dengan harga sekitar RM7,000 hingga RM8,000 seunit,” tambahnya.