Tag Archives: sembang

Isi minyak pelincir kereta dalam enjin motosikal, kenapa tak boleh? – Sembang Engear

IDEA untuk mengisi minyak pelincir kereta ke dalam enjin motosikal bukanlah baharu. Kadang-kala kita hantar kereta untuk servis dan bengkel memulangkan lebihan minyak pelincir baharu di dalam botol, dan kita terfikir mungkin boleh guna untuk motosikal di rumah.

Gred minyak pelincir kedua-duanya sama, sebagai contoh kereta kita menggunakan minyak bergred 10W-30, dan motosikal kita pun sama.

Kelikatan suhu sejuk dan panas (mengikut piawaian SAE) dah sama, dua-dua pun tuang dalam enjin. Boleh?

Jawapan mudah ialah tidak boleh.

Tugas dan fungsi berbeza

Sebab utama kenapa tidak boleh ialah kerana dari segi tugasan. Minyak pelincir kereta dan motosikal mempunyai tugas yang sangat berbeza.

Untuk kereta, tugas minyak pelincir hanyalah untuk mengalas dua permukaan dalam enjin yang bersentuhan. Tujuan supaya komponen tidak calar dan tidak rosak.

Jika anda perasan, kereta moden sekarang menggunakan kelikatan minyak yang rendah. Sebagai contoh, Perodua Bezza menggunakan minyak bergred 0W-20, ini dikira minyak yang nipis.

Sebabnya ialah kereta zaman sekarang ditala untuk jimat minyak dan mengurangkan pencemaran udara. Minyak nipis memudahkan komponen bergerak, dan suhu enjin juga tidak tinggi macam kereta prestasi. Jadi, okey sahaja untuk pemanduan harian.

Minyak takkan menjadi terlalu panas atau cair walaupun kelikatannya rendah.

Minyak berbeza untuk sistem berbeza

Kemudian, kereta mempunyai minyak lain, sebagai contoh minyak transmisi atau kotak gear, yang sangat berbeza dari minyak enjin. Kemudian dalam sistem penyejuk ada cecair lain iaitu coolant.

Untuk kereta, sistem berbeza akan menggunakan cecair berbeza yang khusus. Minyak pelincir enjin tidak boleh digunakan dalam transmisi dan begitu juga sebaliknya.

Minyak lebih kritikal untuk motosikal

Untuk motosikal pula – terutamanya yang cc kecil – minyak enjin direka untuk lebih dari satu tugas. Minyak inilah yang melancarkan dan melindungi enjin, minyak yang sama juga diguna dalam transmisi, dan ia juga yang sejukkan enjin.

Motosikal juga biasanya rev pada tahap lebih tinggi. Enjin lebih panas, jadi perlukan gred lebih likat. Secara ringkasnya, minyak pelincir motosikal lebih kritikal, tugas lebih keras.

Saiz enjin juga lebih kecil, maka ruang untuk laluan minyak pun lebih sempit. Kerana itu anda lihat syarat atau kelayakan untuk minyak pelincir enjin kereta dan motosikal cukup berbeza.

Untuk fungsi dan tugasan khas, maka formula juga berbeza.

Sebagai contoh, walaupun kelikatan yang sama, minyak pelincir kereta mempunyai agen friction modifier. Jika dituang dalam enjin motosikal, klac boleh slip atau tergelincir, menyebabkan pemanduan tidak efisyen. Lebih buruk lagi, boleh merosakkan komponen transmisi motosikal.

Jadi, sekarang anda faham kenapa minyak pelincir kereta dan motosikal berbeza, dan kenapa tidak boleh suka-suka dituang ke tempat yang tidak betul. Janganlah kita risikokan enjin kita semata-mata untuk jimat.

Paling mudah adalah rujuk buku manual kerata atau motosikal kita. Ada simpan lagi tak? Buku manual memberikan panduan paling tepat untuk jentera kita.

Untuk motosikal biasanya ada spesifikasi lebih khusus yang tiada pada kereta. Sebagai contoh 4T untuk enjin empat-lejang, JASO MA untuk sistem klac basah, atau JASO MB untuk skuter.

Semoga artikel ini bermanfaat! Jika anda bersembang dengan rakan di kedai kopi tentang bab ini, kongsikan artikel ini untuk lebih kefahaman.

Kenapa rakyat Malaysia minat sangat Honda? – Sembang Engear

ANDA pasti pernah terbaca kisah di media sosial dimana seorang gadis meletakkan syarat bakal suami perlu memiliki sebuah kereta Honda untuk mengahwininya. Malah ada pula wanita yang sanggup meninggalkan teman lelaki kerana mahu bersama dengan lelaki lain yang memiliki Honda.

Sampai begitu sekali penangan Honda?

Disukai bakal mak mertua

Kami rasa perkara sebegini hanya berlaku di Malaysia. Jenama Honda begitu dipuja sehingga menjadi penanda aras dan penentu untuk banyak benda.

Graduan yang baru mula bekerja mengimpikan untuk memiliki sebuah Honda. Atau ada juga golongan sudah berkahwin tetapi sanggup mengikat perut asalkan dapat memandu Honda.

Kemudian mulalah tengah bulan makan Maggi, dan kadang-kadang dalam group komuniti bertanya soalan-soalan seperti, ”Kat mana nak cari tayar murah untuk Civic FE? Tayar Linglong ni okay tak?”

Bukan masalah jenama tayar itu, sebenarnya okay sahaja untuk kegunaan biasa. Tetapi anda memandu Honda Civic yang dijuruterakan untuk mempunyai pemanduan dan pengendalian sporti, sepatutnya anda memberikan tayar yang sepadan dengannya.

Bila pakai tayar terlalu bajet, ia akan membantutkan prestasi sebenar Civic itu. Ia boleh diibaratkan seperti menyuruh Usain Bolt, jaguh olahraga dunia untuk berlari pakai kasut Cap Ayam. Anda rasa beliau mahu?

Silap-silap pelari biasa dapat potong dia. Mestilah Usain Bolt mahu kasut berjenama dunia dengan teknologi tertentu juga.

Yang jejaka nak ‘cari makan’ mesti bawa Honda, dan para gadis pula tak pandang kereta lain selain Honda.

Silap-silap antara kereta Audi A5 atau Mercedes A200 dengan Honda Civic, para gadis lebih tertarik kepada mereka yang memandu jenama H ini. Padahal Audi dan Mercedes jauh lebih mahal (itu pun jika harga penting).

Anda mesti tak pelik jika bakal mak mertua pun meletakkan syarat Honda untuk bakal menantu, bukan?

Mengapa begini?

Sebenarnya perkara ini menjadi kepelikan sejak sekian lama. Malah sesama kami para pengamal media permotoran di Malaysia pun hairan, mengapa Honda begitu diagung-agungkan oleh sesetengah rakyat Malaysia.

Honda cantik? Model-model terkini Honda seperti CR-V dan HR-V memang cantik, rekaan masing-masing menepati citarasa pengguna. Tetapi model lain seperti Peugeot 2008 dan Mazda CX-30 pun cantik.

Tak dinafikan City Hatchback boleh jadi agak sporti juga bila dimodifikasi, memang jadi kegilaan generasi muda.

Sumber: Facebook

Kemudian nak kata laju, biasa-biasa sahaja. Civic dengan enjin 1.5 VTEC Turbo memang menarik dan lebih tinggi outputnya berbanding pesaing seperti Mazda3 dan Toyota Corolla. Tetapi kelajuan terlalu subjektif dan bergantung kepada banyak faktor. City dan WR-V pula tidaklah laju.

City Hatchback e:HEV RS mempunyai enjin hibrid paling berkuasa dalam kelasnya, dengan tork 253Nm. Tetapi ia bukanlah kereta sports. Kalau Civic Type R itu barulah kita kata laju, tetapi itu dah level lain, saing-saing dengan Volkswagen Golf R dan Mercedes-AMG A35.

Honda luas? Yang ini kami setuju. Model-model Honda seperti City, HR-V, dan CR-V boleh dikatakan paling luas dalam segmen masing-masing, tetapi ini bukan penyebab ia menjadi kegilaan rakyat Malaysia, kan?

Dan walaupun kadang-kadang Honda menghadapi masalah dan isu dari pengguna, jenama ini terus diminati. Anda rasa kenapa?

Realiti

Semua ini sebenarnya ditafsirkan dalam angka jualan juga, kerana sering menjadi jenama bukan nasional paling laris di Malaysia. Untuk tahun 2023 sahaja, Honda menjual lebih dari 80,000 kenderaan di negara ini.

Tetapi lain ceritanya di pasaran-pasaran luar. Di Jepun contohnya, Honda menjual sekitar 590,000 kenderaan sahaja, di tempat keempat berbanding Toyota dan Lexus di tempat pertama dengan lebih 1.67 juta kenderaan terjual.

Di Eropah pula, Honda berada di kedudukan bawah yang entah ke berapa, kami tak sempat kira. Tempat pertama ialah Volkswagen Group dengan lebih 3 juta unit jualan, tetapi ya lah, kumpulan ini ada banyak jenama.

Tetapi jenama tunggal antara tertinggi jumlah jualannya adalah Ford (518,371), Tesla (366,326), dan Nissan (293,476). Ya, Nissan yang sendu di Malaysia, agak top di Eropah. Honda menjual kira-kira 60,606 kenderaan di sana pada 2023.

Jika mahu tengok negara-negara jiran kita, di Indonesia misalnya, Honda di tempat ketiga selepas Toyota dan Daihatsu. Untuk Thailand pula, Honda di tempat ketiga juga, tetapi di belakang Toyota dan Isuzu.

Kesimpulannya, setiap pasaran adalah unik dengan trend dan selera masing-masing. Jika mahu terus fanatik sesuatu jenama, teruskan asalkan tidak menyusahkan sesiapa. Belilah kereta apa yang anda mahu asalkan poket mengizinkan.

Cuma menarik untuk melihat dan membandingkan adakah situasi sama berlaku di tempat lain. Sekian dulu untuk topik Sembang Engear kali ini.

Jika anda ada topik lain yang biasa anda sembang di kedai kopi dan ingin kami kupaskan, nyatakan di ruangan komen. Terima kasih kerana membaca, jumpa lagi!