Tag Archives: Sepang 1000KM

Sepang 1000KM: Proton raih tempat kelima selepas lima tahun sepi

Selepas lima tahun menyepi, pasukan rasmi pengeluar Proton R3 kembali beraksi di perlumbaan Sepang 1000KM 2024 dalam kategori Malaysian Touring Car (MTC).

Ini merupakan kali pertama Proton berlumba menggunakan jentera S70 R3 selepas sedan segmen C tersebut dilancarkan pada 28 November 2023.

Dalam perlumbaan yang berlangsung selama 181 pusingan itu menyaksikan pasukan Proton R3 bergelut dengan kesukaran di mana kereta #81 terpaksa menarik diri seawal pusingan ke-8.

Sementara sebuah lagi kereta S70 bernombor 82 yang dipandu oleh Ariff Azmi dan Alister Yoong berdepan dengan masalah teknikal menyebabkan mereka kehilangan lebih 40 minit.

Biarpun dengan cabaran yang dihadapi, pasukan Proton R3 tetap berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-5 kelas MTC.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, “Walaupun kami menyasarkan satu lagi kemenangan keseluruhan, pasukan Proton R3 sedar akan tugas untuk melengkapkan sebuah jentera lumba serba baharu bagi menentang pasukan yang telah melengkapkan perlumbaan untuk tempoh tiga tahun yang lalu.

Jelasnya lagi, hasil daripada data dan pengalaman perlumbaan yang dikumpulkan sepanjang hujung minggu itu akan digunakan sebagai asas bagi R3 untuk memulakan persiapan musim perlumbaan 2025.

Berita baik, bersempena dengan acara KLIMS 2024, Proton akan turut mempamerkan jentera #82 dalam keadaan yang sama seperti kereta tersebut mengakhiri perlumbaan S1K.

Pasukan HI-REV Dream Chaser umum barisan pelumba untuk S1K

Pasukan perlumbaan HI-REV Dream Chaser mengumumkan barisan pelumba yang akan menyertai kejuaraan perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

Dua jentera bakal dipertaruhkan, iaitu Honda City dan Suzuki Swift yang telah diubahsuai untuk memenuhi tuntutan teknikal perlumbaan sejauh 1,000 km.

Jentera Honda City akan dipandu oleh Lee Wai Chong (Malaysia), Aaron Haikal (Malaysia) dan Fitra Eri (Indonesia), sementara jentera Suzuki Swift pula akan dikendalikan oleh Daim Hishamudin (Singapura), Hayden Haikal (Malaysia) dan Rahul Mayer (Malaysia).

Perlumbaan S1K ini dijangka menjadi pentas terbaik bagi pasukan HI-REV Dream Chaser mempamerkan kehebatan dan kemahiran pemandu, jentera lumba, serta daya tahan pelincir HI-REV di dalam perlumbaan ketahanan.

Selain daripada S1K, pasukan ini turut menyertai perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) di mana mereka berjaya mencipta sejarah merangkul gelaran juara keseluruhan untuk tahun ketiga berturut-turut.

Pasukan Proton R3 umum gandingan pemandu S70 R3 untuk Sepang 1000KM

Divisyen perlumbaan Proton R3 mengumumkan empat orang pelumba yang akan memandu dua jentera Proton S70 R3 untuk perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM 2024 bulan depan.

Kereta bernombor 81 akan dipandu oleh gandingan Syafiq Ali dan Fahrizal Hasan, sementara kereta bernombor 82 pula mendapat gandingan pelumba muda Alister Yoong dan Ariff Azmi.

Gandingan tersebut dipilih berdasarkan pengalaman masing-masing di dalam sukan permotoran.

Syafiq Ali merupakan pemenang individu terbanyak dalam sejarah perlumbaan 1000KM Sepang selain meraih podium sebanyak tiga kali bersama Proton R3. Sementara Fahrizal Hasan pula mempunyai sejarah kejayaan yang panjang dalam perlumbaan kereta berkuasa tinggi dan memenangi kelasnya sebanyak dua kali dalam perlumbaan 12 jam Sepang.

Kereta nombor 82 pula menampilkan pasangan pelumba termuda dalam sejarah Proton R3, di mana kedua-duanya merupakan produk Akademi Sukan Axle yang dikendalikan oleh Alex Yoong – satu-satunya pemandu Formula 1 Malaysia.

Alister Yoong, 21 tahun, mempunyai banyak pengalaman terkumpul dalam perlumbaan tempat duduk tunggal, manakala Ariff Azmi, 18 tahun, merupakan juara karting yang turut bersaing dengan Alister dalam perlumbaan 1000km tahun lepas.

Dalam masa yang sama, Proton R3 turut mendedahkan jentera lumba sebenar Proton S70 R3 yang akan digunakan pada perlumbaan ketahanan S1K yang akan berlangsung bulan depan.

Menurut Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “sukan permotoran adalah salah satu komponen utama DNA Proton dan warisan persaingan kami dalam perhimpunan perlumbaan bermula sejak Proton Saga yang pertama.

“Walaupun kami tidak bertanding di Sepang 1000km sejak tiga tahun lalu, pasukan Proton R3 mengikuti perkembangan terkini dalam industri perlumbaan, dan hasilnya pembangunan pantas pada kereta lumba setahun selepas Proton S70 dilancarkan.

“Pasukan Proton R3 mempunyai sejarah panjang dalam membantu mempromosikan kerjaya pemandu muda dan meningkatkan profil mereka dengan memandu bersama pasukan. Kami teruja untuk bekerjasama dengan pasukan pemanduan berbakat tahun ini yang menawarkan kami peluang terbaik untuk menjulang gelaran dan menambah rekod PROTON sebagai jenama paling berjaya dalam sejarah Sepang 1000km,” tambah Roslan Abdullah.

Kereta lumba Proton S70 R3, ini lima perkara yang perlu anda tahu

Proton menerusi divisyen sukan permotoran Proton R3 baru sahaja mengumumkan barisan pelumba yang bakal mengemudi jentera terbaharu S70 R3 di Sepang 1000KM (S1K) bulan depan.

Dalam masa yang sama, para pengamal media telah didedahkan dengan jentera lumba baharu yang bakal digunakan oleh pasukan Proton R3.

Ini merupakan lima perkara yang perlu anda tahu tentang Proton S70 R3:

 

1. Masih guna khidmat enjin Campro

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Proton S70 R3 tidak akan berlumba menggunakan enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo.

Sebaliknya, ia akan menggunapakai nadi Campro S4PH 1.6 liter yang telah lama digunakan sejak penglibatan Proton R3 dalam S1K menerusi jentera Preve, Suprima S, Iriz, Saga, dan Satria Neo.

Proton tidak mendedahkan spesifikasi sebenar jentera ini, namun berdasarkan laporan terdahulu, enjin S4PH yang dimuatkan pada Saga dan juga Iriz dikatakan mampu menghasilkan lebih 200 hp!

 

2. Kenapa tidak gunakan enjin asal S70? Buang turbo?

Proton menyertai perlumbaan S1K dalam kategori MTC yang membenarkan penggunaan enjin berbeza daripada pengeluar yang sama.

Ini bermakna, Proton dapat menjimatkan kos pembangunan di mana mereka boleh merujuk kepada data-data yang telah diperoleh daripada perlumbaan terdahulu untuk jentera baharu ini.

Sekiranya menggunakan enjin asal, Proton memerlukan masa yang lebih lama untuk mengumpulkan data-data yang diperlukan.

Langkah untuk membuang turbo pada enjin asal S70 juga dilihat tidak begitu efisien, jadi adalah lebih baik Proton gunakan sahaja enjin Campro yang sudah terbukti memenangi lima gelaran juara S1K.

Untuk para peminat S70, usah risau kerana Proton mendedahkan mereka mempunyai perancangan tersendiri untuk menyertai perlumbaan pada tahun hadapan dengan menggunakan Proton S70 spesifikasi jalanan. Bermakna, Proton mungkin akan berlumba dengan S70 menggunakan enjin 1.5 liter turbo!

 

3. Apa yang berbeza pada S70 R3?

Proton telah menambah splitter hadapan, spoiler belakang, diikuti dengan rim bersaiz 15 inci yang dibaluti tayar 195/55 R15.

Secara asasnya, konfigurasi suspensi S70 yang asal masih lagi sama seperti model jalanan mengikut peraturan, namun ditambah baik dengan set penyerap hentak yang lebih sesuai untuk perlumbaan.

 

4. Kabin sarat dengan kelengkapan perlumbaan

Untuk ruang kabin, segala peralatan yang tidak diperlukan telah dibuang jauh-jauh, malah panel pintu juga telah diringkaskan.

Apa yang wujud hanyalah tempat duduk perlumbaan Recaro, kotak pedal AP Racing, skrin paparan Motec, tombol gear manual, serta sangkar keselamatan wajib.

 

5. S70 R3 versi jalanan bakal muncul?

Proton sebelum ini mendedahkan perancangan untuk menghasilkan model S70 versi R3 dengan naik taraf peralatan berprestasi tinggi untuk dijual kepada umum.

Ia mungkin tidak akan muncul dalam masa terdekat, namun dengan galeri gambar di bawah, anda boleh bayangkan rupa paras S70 varian R3 yang mungkin akan meluncur di jalan raya kelak.

Adakah ia bakal hadir dengan spesifikasi yang hampir sama macam kereta lumba S70 ini? Sebagai seorang peminat Proton, harapnya ia bukanlah sekadar perubahan kosmetik semata-mata.

Jentera lumba Proton S70 R3 sedia gegar Sepang 1000KM

Proton nampaknya sudah bersedia untuk menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang tahun ini dengan mendedahkan jentera lumba serba baharu, Proton S70 R3.

Berdasarkan video yang dimuat naik semalam, sedan itu sedang menjalani ujian di litar Proton Shah Alam yang turut disertai oleh naib CEO Proton, Roslan Abdullah.

Buat masa ini, Proton tidak mendedahkan spesifikasi terperinci jentera lumba S70 itu.

Namun berdasarkan ngauman enjin S70 yang nyaring ketika ujian atas mesin dyno, besar kemungkinan sedan tersebut mengekalkan enjin Campro 1.6 liter aspirasi semula jadi seperti yang digunakan pada jentera lumba Proton yang terdahulu.

Berbanding dengan model S70 R3 yang didedahkan sebelum ini, jentera lumba S70 R3 itu didatangkan dengan spoiler belakang yang lebih besar, diikuti rim Raxer Wheels yang dibaluti getah Hankook Ventus TD.

Selain daripada itu, jentera lumba S70 itu turut dilengkapi dengan pelbagai perkakasan perlumbaan seperti tempat duduk perlumbaan, sangkar keselamatan, kotak pendikit, paparan instrumen Motec dan banyak lagi.

Kali terakhir Proton beraksi dalam perlumbaan S1K adalah pada tahun 2019, jadi bagaimana pula jangkaan anda terhadap prestasi sebenar Proton S70 R3 ini?

Sama-sama kita saksikan kemunculannya di Litar Antarabangsa Sepang.

Toyota Vios dominasi perlumbaan Sepang 1000KM

TOYOTA kembali ke perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM dengan prestasi mengagumkan, memperoleh kemenangan tempat pertama dan kedua dalam perlumbaan sembilan jam itu.

Tiga Toyota menamatkan perlumbaan dalam lima kelompok teratas keseluruhan dalam kelas Malaysian Touring Car (MTC).

Di tempat pertama ialah jenteraToyota Gazoo Racing Malaysia #37 dipandu oleh duta TGR, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dan juara Sporting Class, Naquib Azlan.

Mereka menamatkan perlumbaan 181 pusingan itu 6.2 saat di depan pesaing terdekat mereka, Yaris #39 pasukan Wing Hin Motorsports yang dipandu Hayden Haikal dan Jwan Hii.

Tempat ketiga diduduki oleh Hi Rev Dream Chaser (Mitchell Cheah dan Brendan Paul Anthony), manakala tempat keempat ialah Yaris #38 Wing Hin Motorsports (Boy Wong dan Dannies Ng).

Melengkapkan tempat lima teratas ialah Honda City dari R Engineering HMRT, dipandu oleh Lee Wee Sing dan Leon Khoo Beng Koon.

“2021 adalah mengenai pembelajaran dan memberikan pendedahan litar untuk membangunkan Vios dan Yaris bagi bersaing dalam cabaran 1000KM ini,” kata Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor.

“Kami telah mempunyai program menyeluruh dan hampir memenangi perlumbaan tetapi terpaksa menerima penalti yang menyebabkan kami tamat di tempat ketiga dalam MTC Class.

“Memenangi perlumbaan tahun ini dan melakukannya bukan sahaja menamatkan perlumbaan, tetapi juga dengan tiga kereta dalam tempat lima teratas lebih dari mencukupi untuk menggantikan ‘kekurangan’ tadi,” tambahnya.

Sebanyak 77 kereta bersaing dalam perlumbaan Sepang 1000KM edisi ke-14 yang berlangsung selama lebih sembilan jam dan 180 pusingan.

Toyota sasar kemenangan di Sepang 1000KM hujung minggu ini

SELEPAS membuat kemunculan sulungnya pada Sepang 1000KM edisi 2020, Toyota kini menetapkan sasarannya untuk memenangi perlumbaan ketahanan berprestij itu menerusi model Vios.

Untuk tahun ini, Sepang 1000KM akan berlangsung selama lebih sembilan jam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 17 hingga 20 November 2022.

UMW Toyota Motor dan Gazoo Racing Malaysia akan berentap dalam kelas MTC dan SP2. Dua pelumba akan menggalas cabaran dalam kelas MTC untuk merebut gelaran juara keseluruhan, manakala 15 pelumba dari kelas SP2 akan bersaing dalam Gazoo Racing Vios Enduro Cup yang terbuka untuk semua generasi model yang bertanding dalam Vios Challenge dan siri Vios Sprint Cup.

Saingan tahun lalu menyaksikan Toyota menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan keempat dalam kelas MTC. Hayden Haikal dan Timothy Yeo berjaya melepasi garisan penamat di kedudukan pertama dan tiga pusingan di hadapan pesaing terdekat mereka namun malangnya pasangan tersebut dikenakan penalti yang menyebabkan mereka jatuh ke kedudukan keempat keseluruhan dan ketiga dalam kelas MTC.

Sementara itu, gandingan kedua Toyota iaitu Boy Wong dan Dannies Ng yang memandu Vios berjaya menamatkan saingan di tempat keempat dalam kelas MTC dan keenam keseluruhan. Tiga buah Toyota juga berjaya menduduki lima kedudukan teratas daripada 39 penyertaan.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata Gazoo Racing Vios Enduro Cup bakal menjadi acara penutup kepada musim perlumbaan yang sangat berjaya buat Toyota.

Perlumbaan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 dengan juara keseluruhan akan membawa pulang RM10,000. Naib juara akan mendapat RM8,000, manakala pemenang tempat ketiga, keempat dan kelima masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM6,000, RM4,000 dan RM2,000.

Slot penyertaan Gazoo Racing Vios Enduro Cup adalah terhad. Untuk pendaftaran, pasukan dan pelumba yang berminat boleh menghubungi wakil Pengurusan Perlumbaan UMW Toyota Motor, Janet di talian 016-367 3300.