Tag Archives: shell recharge

Stesen pengecasan DC 180 kW Shell Recharge kini tersedia di R&R Paka LPT2

Pengguna Lebuhraya Pantai Timur yang mahu menuju ke Kelantan dan Terengganu, terutama pemilik EV kini boleh menggunakan stesen pengecasan berprestasi tinggi (HPC) Shell Recharge di dua lokasi baharu di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Lokasi HPC yang dimaksudkan itu ialah di Shell R&R Paka (kedua-dua arah Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu).

Dengan kemudahan pengecasan pantas sehingga 180 kW, ia mampu menjadikan perjalanan ke Pantai Timur yang lebih lancar dan boleh mengurangkan isu kebimbangan jarak untuk komuniti EV yang semakin berkembang.

 


Buat masa ini, pihak Shell masih lagi berusaha untuk menyiapkan stesen pengecasan di Shell R&R Temerloh (Arah KL), Lebuhraya Pantai Timur 1.

Apabila stesen ini siap kelak, ia bakal melengkapkan lagi rangkaian stesen HPC yang terdiri daripada 13 buah stesen di Semenanjung Malaysia, membolehkan EV yang serasi dicas 0-80 peratus dalam tempoh 30 minit.

Selain infrastruktur pengecasan, Shell juga mahu memastikan pemilik dan pemandu EV mempunyai akses kepada kemudahan penting seperti ruang rehat, kedai serbaneka, serta pilihan makanan dan minuman di Shell Café untuk perjalanan yang lebih menyenangkan.

Bersempena dengan musim perayaan Aidilfitri, Shell menawarkan rebat kredit eksklusif untuk pemilik EV yang menggunakan Shell Recharge di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur.

Bermula 24 Mac hingga 4 April, pemandu EV yang menggunakan aplikasi ParkEasy di lokasi HPC akan menerima ganjaran seperti berikut:
• Rebat kredit 100 peratus untuk ahli Platinum
• Rebat kredit 50 peratus untuk ahli Gold dan Standard (pay-per-use)

Rebat tersebut akan dikreditkan dalam tempoh tujuh hari selepas kempen berakhir, tertakluk kepada terma dan syarat.

Berikut merupakan senarai stesen pengecasan HPC Shell Recharge di seluruh negara:

1. Highlands Hotel, Genting Highlands
2. Shell R&R Tangkak PLUS (arah Selatan)
3. Shell R&R Pagoh PLUS (arah Utara)
4. Shell R&R Seremban PLUS (arah Utara)
5. Shell R&R Seremban PLUS (arah Selatan)
6. Shell RTC, Simpang Pulai PLUS
7. Shell R&R Tapah (arah Selatan)
8. Shell D’Alpinia LDP
9. Shell R&R Temerloh LPT1 (arah Timur)
10. Shell R&R Paka LPT2 (arah Kuala Terengganu)
11. Shell R&R Paka LPT2 (arah KL)
12. Shell R&R Perasing LPT2
13. Shell R&R Temerloh LPT1 (arah KL) – bakal dibuka

 

Shell Malaysia, Visa tambah baik kemudahan pembayaran Shell Recharge di Lembah Klang

Shell Malaysia dan ParkEasy mengumumkan kerjasama baharu dengan Visa untuk menambah baik kemudahan pembayaran di fasiliti Shell Recharge di sekitar Lembah Klang.

Kerjasama baharu ini bertujuan untuk menyediakan platform pembayaran yang lebih lancar dan memudahkan semua pemilik kenderaan elektrik untuk membuat pembayaran menggunakan kad kredit atau debit.

Untuk info, ParkEasy merupakan penyedia penyelesaian parkir inovatif yang dimiliki sepenuhnya oleh Shell yang mengendalikan fasiliti Shell Recharge di Malaysia.

Terminal kad kini tersedia di empat lokasi Shell Recharge, iaitu di Pavilion Kuala Lumpur, Hotel Pavilion Kuala Lumpur, Pavilion Bukit Jalil dan Pavilion Damansara Heights untuk kedua-dua pengecasan arus ulang alik (AC) dan arus terus (DC).

Pemilik EV boleh meletakkan kenderaan di tempat pengecasan yang dipilih, dan perlu memasukkan nombor tempat di terminal sebelum membuat pembayaran. Caj pra-pengesahan sebanyak RM150 akan dikenakan untuk setiap sesi pengecasan.

Bersempena dengan kolaborasi terbaharu ini, pemilik EV boleh menikmati pulangan tunai 10 peratus sekiranya membuat pembayaran menggunakan kad Visa bermula 15 Januari hingga 30 Jun 2025, dihadkan kepada RM5 untuk setiap sesi.

Selain itu, terdapat juga rebat kredit 10 peratus ditawarkan apabila pemilik membuat tambah nilai 50 kredit ke dalam akaun ParkEasy menggunakan kad Visa, terhad 5 kredit untuk setiap rebat.

Shell Recharge cipta rekod Malaysia dengan hab pengecasan EV prestasi tinggi di Genting Highlands

SHELL Recharge mencipta sejarah di Malaysia dengan pelancaran dan pembukaan hab pengecasan kenderaan elektrk (EV) terbesar di puncak Genting Highlands.

Stesen itu juga menampilkan pengecasan berprestasi tinggi (HPC) berkuasa 360kW, memberikan fasiliti pengecasan menyenangkan buat pemilik EV.

Dengan 10 ruang pengecasan yang terdiri dari empat pengecas berkuasa tinggi 360kW dan enam pengecas 22kW, pembukaan ini juga menandakan kejayaan kerjasama Shell Recharge dengan Porsche Malaysia dan Genting Malaysia Berhad.

“Penyempurnaan hab pengecasan Shell Recharge High-Performance Charging yang mencipta rekod di puncak tinggi di Malaysia ini mewakili usaha keras kami dalam membina rangkaian pengecasan EV di negara ini,” kata Seow Lee Ming, Pengurus Besar Shell Mobility Malaysia.

Lee Ming turut menambah bahawa pemandu-pemandu EV boleh terus menantikan pengumuman Shell Malaysia dalam penambahan infrastruktur pengecasan mereka di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) tidak lama lagi.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Shell Recharge HPC di Resorts World Genting, layari https://www.shell.com.my/motorists/shell-recharge/shell-recharge-hpc.html.

Shell dan Porsche bekerjasama untuk buka pengecas EV prestasi tinggi di Genting Highlands

GENTING Highlands merupakan salah satu destinasi percutian tetapi untuk pemandu kereta elektrik (EV) mungkin ada ‘halangan’ kerana perlu mendaki bukit, dan terdapat kerisauan isu pengecasan bateri.

Namun, ini tidak akan menjadi masalah lagi di masa depan kerana Shell Recharge mendedahkan perancangan mereka untuk membina stesen pengecasan prestasi tinggi (HPC) 360kW.

Dengan kerjasama bersama Porsche Malaysia dan Genting Malaysia Berhad, projek itu akan menempatkan 10 ruang pengecasan bagi memudahkan lagi akses kenderaan EV ke pusat percutian tanah tinggi itu.

Ini juga akan menjadi penambahan terbaharu bagi 136 lokasi pengecasan Shell Recharge EV sedia ada di seluruh negara, yang juga menghubungkan Singapura, Malaysia, dan Thailand.

“Tidak lama lagi, pemilik EV seluruh negara dan luar negara boleh memandu naik ke resort ini (Genting Highlands) tanpa kerisauan jarak (range anxiety), mendapatkan pengalaman pemanduan tanpa risau dengan rangkaian Shell Recharge kami,” kata Seow Lee Ming, Pengurus Besar Shell Mobility Malaysia.

Sementara itu, CEO Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter pula berkata: “Kerjasama kami dengan Shell Recharge menunjukkan komitmen kami dalam membolehkan pemanduan jarak jauh dan merentasi sempadan dengan EV, menghubungkan tiga negara – Thailand, Malaysia, dan Singapura.

“Kami teruja untuk memudahkan lagi pengalaman pengecasan bagi pemilik-pemilik Porsche Taycan, serta model-model elektrik Porsche yang lain (akan datang), dengan adanya Shell Recharge 360kW di Resorts World Genting,” tambah Christopher.

Apabila siapnya 10 pengecas itu, pemilik EV mampu mengecas kenderaan mereka dari 5 hingga 80 peratus dalam masa kira-kira 20 minit sahaja.

Dari kesemua 10 stesen pengecas itu, empat darinya adalah terdiri dari pengecas prestasi tinggi 360kW dan baki empat stesen bagi pengecas AC 22kW. Kesemua pengecas bakal didatangkan dengan penghubung jenis CCS Type 2.

Berita lebih baik dan penting juga, Shell Recharge kini dalam fasa peralihan ke arah mekanisma harga mengikut kilowatt-hour (kWh).

Pelanggan pengecas AC mendapat kadar pengecasan baharu ini bermula 1 November lepas manakala pelanggan pengecas pantas DC bakal menikmati kadar baharu bermula 15 Disember.

Shell Recharge mengekalkan bayaran tempahan parkir pengecas yang sama di seluruh negara, dan semua tempahan boleh dibuat menggunakan aplikasi Shell ParkEasy. Untuk maklumat lanjut mengenai Shell Recharge HPC di Genting, layari https://www.shell.com.my/motorists/shell-recharge/shell-recharge-hpc.html.

Van elektrik warga Singapura dilihat curi-curi caj di stesen DC Shell Recharge

DALAM episod Warga Singapura Buat Hal Apa Hari Ini, selepas isi ‘mencuri subsidi’ dengan mengepam petrol RON95 secara haram, kini ada hal terbaharu mereka lakukan.

Sebuah van elektrik dengan nombor pendaftaran negara itu dilihat mengecaj di stesen pengecaj pantas DC Shell Recharge di Tangkak, Johor.

Menurut gambar yang dikongsi Pak Cik Shell di laman Instagram beliau, van BYD T3 itu menggunakan kemudahan itu secara haram.

Shell Recharge merupakan fasiliti mengecaj kenderaan elektrik berbayar. Anda perlu membayarnya terlebih dahulu menggunakan aplikasi ParkEasy sebelum penghadang di petak parkir diturunkan.

Dari gambar yang dikongsi, van tersebut tidak diparkir dengan betul dengan penghadang masih belum diturunkan, menandakan ia dicaj secara curi-curi.

Fasiliti Shell Recharge mengenakan bayaran pengesahan RM4, dan RM20 untuk setiap lima minit bagi 25 minit pertama. Kemudian caj bertukar kepada RM20 untuk setiap lima minit seterusnya.

Ini bermakna anda akan dikenakan caj RM244 sejam tanpa henti untuk penggunaan biasa.

Shell Recharge merupakan jaringan pengecas pantas yang disediakan di sepanjang laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dengan dua lokasi permulaan yang terletak di Shell Tangkak Lay-by (arah Selatan) dan Shell R&R Pagoh (arah Selatan).