Tag Archives: sime darby auto connexion

Sime Darby Auto Connexion-Ford perluas rangkaian di Malaysia Timur

Sime Darby Auto Connexion-Ford (Auto ConneXion), pengedar tunggal Ford di Malaysia, telah meluaskan rangkaian pengedarannya di Malaysia Timur menerusi pembukaan dua pusat servis baharu di Kapit dan Mukah.

Menurut syarikat itu, peluasan rangkaian ini sejajar dengan usaha untuk menyediakan perkhidmatan dan produk berkualiti yang boleh dinikmati oleh pelanggannya yang semakin meningkat di Malaysia Timur.

Dengan pembukaan dua pusat servis baharu itu, terdapat 11 pengedar yang bersedia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Sabah dan Sarawak.

Buat masa ini, rangkaian pengedar di Sarawak merangkumi Kuching (SDAC), Sibu (Ngu Brothers), Miri (ALV Brothers), Bintulu (Ngu Brothers), Kota Samarahan (Jimisar Motors) dan dua pusat servis khusus di Kapit dan Mukah.

Manakala di Sabah, terdapat dua pengedar di Kota Kinabalu (Boston Auto and Rightpower Corporation), serta di Sandakan (Boston Auto) dan Tawau (TB Automotive).

Rangkaian pengedar komprehensif dan pusat servis khusus di serata Malaysia Timur ini membolehkan para pelanggan Ford di dalam dan luar bandar mendapatkan perkhidmatan yang mudah dan boleh dipercayai.

Turse Zuhair, Pengarah Urusan, Auto ConneXion berkata, “Malaysia Timur terus menjadi pasaran pertumbuhan utama bagi Auto ConneXion seperti yang dilihat daripada permintaan kukuh dan konsisten pada 2024. Dipacu oleh permintaan ini, kami terus menambah baik perkhidmatan dan titik capaian pelanggan bagi memenuhi permintaan pelanggan kami yang semakin meningkat.”

Pelanggan dijemput untuk mengunjungi pusat pengedar baharu ini untuk meninjau tawaran terbaharu Ford, termasuk penjimatan sehingga RM8,000 atau Pelan Servis Ford Blue Oval selama 5 tahun serta penjimatan sehingga RM2,000.

Bagi meningkatkan pengalaman pemilikan, alat ganti tulen Ford Motorcraft Genuine boleh didapati di semua wakil penjual sah Ford di Malaysia Timur pada harga berpatutan.

Acara Ford Raptor Rev ditunda ke 22 & 23 Februari

Sime Darby Auto ConneXion (Auto ConneXion) mengumumkan penangguhan tarikh bagi acara Ford Raptor Rev. Acara yang pada awalnya dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 Januari 2025 itu kini telah diubah ke tarikh 22 dan 23 Februari 2025.

Menurut syarikat itu, penjadualan semula ini adalah bagi memberi ruang untuk melakukan persiapan yang lebih rapi demi memastikan pengalaman yang menyenangkan bagi semua peserta selepas menerima maklum balas dan penyertaan di luar jangkaan.

Disebabkan oleh permintaan yang tinggi, Ford telah membuka 40 lagi penyertaan bagi pemilik Raptor, menjadikan keseluruhannya 90 penyertaan untuk diisi. Tarikh akhir pendaftaran bagi tambahan ini adalah pada 22 Januari 2025, selagi masih ada kekosongan.

“Kami memohon maaf kerana perlu menjadualkan semula acara ini dan sangat berterima kasih diatas kesabaran dan kesefahaman yang ditunjukkan oleh kalangan komuniti Ranger Raptor dan semua peminatnya.

“Maklum balas di luar jangkaan yang diterima ini sekaligus menunjukkan kesungguhan pelanggan, dan kami bertekad akan memberikan pengalaman yang terbaik untuk semua. Bagi memastikan keselesaan dan kepuasan semua, acara ini juga akan dilanjutkan menjadi dua hari berbanding hanya sehari,” ujar Pengarah Urusan Auto ConneXion-Ford, Turse Zuhair.

Mereka yang telah mendaftar awal pula tetap akan menikmati kelebihan seperti yang dijanjikan, dan semua peserta akan dimaklumkan berkaitan kemaskini yang terlibat.

Raptor Rev dibuka untuk pendaftaran, terhad kepada 50 peserta sahaja

Sime Darby Auto ConneXion (Auto Connexion), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, telah mengumumkan 11 dan 12 Januari 2025 sebagai tarikh berlangsungnya acara off-road Raptor Rev.

Syarikat itu telah melancarkan laman mikro eksklusif (www.raptorrev.com.my) untuk acara berkenaan dan mempelawa pemilik Ford Ranger Raptor untuk mendaftar, dengan tempat terhad kepada 50 penyertaan sahaja.

Bakal berlangsung di Bay 13, Litar Sepang dari 7 pagi hingga 7 malam, Raptor Rev menyediakan latihan yang mendalam meliputi teori off-road, suspensi, tayar, lompatan, drifting, hot laps Baja serta laluan berhalangan 4×4 secara amali.

Selepas menamatkan latihan teori dan amali tersebut, peserta akan bersaing dalam Cabaran Autocross yang akan menguji kemahiran mereka. Pemenang akan membawa pulang baucar minyak bernilai RM3,000.

Pemilik Ranger Raptor boleh menempah penyertaan mereka dalam acara Raptor Rev dengan yuran sebanyak RM275 (kadar yuran biasa RM350) bermula sekarang hingga 13 Disember.

Tawaran eksklusif ini meliputi sehelai kemeja-T Raptor dan topi edisi terhad, pakej makanan dan minuman lengkap sepanjang hari, akses kepada bengkel khusus yang merangkumi sesi teori dan praktikal, serta penyertaan dalam Cabaran Autocross.

Acara ini juga terbuka kepada khalayak awam yang bukan pemilik Ranger Raptor untuk ikut serta sebagai pengunjung secara percuma.

100 pendaftaran yang dibuat dalam talian akan menerima baucar makanan dan minuman yang boleh digunakan di trak makanan yang disediakan.

Mereka boleh mengikuti hot laps di dalam litar Baja bersama pemandu berpengalaman, memandu uji Ranger Raptor serta menikmati pelbagai persembahan dan aktiviti menarik.

Bukan itu sahaja, 100 pemilik Ranger Raptor pertama yang menunjukkan kunci trak mereka ketika hari juga akan mendapat kemeja-T edisi terhad Raptor Rev.

Ford Ranger XLT Plus diperkenalkan untuk pasaran Malaysia – 300 unit sahaja, RM144k

Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar tunggal Ford di Malaysia, telah melancarkan Ford Ranger XLT Plus Edisi Khas yang tampil dengan pelbagai ciri baharu yang dinaik taraf.

Jika dibandingkan dengan versi standard, Ranger XLT Plus Edisi Khas tampil lebih berani dengan dapra dan palang sukan dalam kemasan hitam matte. Menjadikan penampilannya lebih menonjol adalah pelekat pada bahagian sisi dan bonet.

Menurut SDAC, Ranger XLT Plus Edisi Khas boleh didapati dalam dua warna iaitu Absolute Black dan Meteor Grey.

Untuk bahagian dalam pula, varian ini mendapat plat pelindung (scuff plate) LED pada ambang pintu dan pemegang cawan tarik keluar yang terletak di hadapan corong pendingin hawa.

Selain daripada penambahan ini, Ranger XLT Plus Edisi Khas tampil dengan ciri-ciri yang sudah sedia ada seperti gril krom, rim aloi 17 inci, skrin sentuh 10.1 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kluster instrumen digital dan pendingin hawa dua zon.

Di bawah bonet adalah enjin diesel bi-turbo 2.0-liter empat silinder yang mampu menghasilkan 210 PS dan 500 Nm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem pacuan empat roda.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengurangan Gulingan, Sistem Brek Aktif, Edaran Brek Elektronik (EBD), dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Hanya 300 unit Ranger XLT Plus Edisi Khas akan ditawarkan, setiap satu dijual pada harga RM143,888 di Semenanjung Malaysia dan RM149,388 di Sabah dan Sarawak.

Pelanggan yang berminat boleh melihat Ranger XLT Plus Edisi Khas dengan lebih dekat di Ford Experience Hub di Setia City Mall dari 25 hingga 29 September 2024.

20 pelanggan pertama yang membeli trak ini menerusi sistem tempahan dalam talian SDAC akan menerima baucar minyak bernilai RM3,000.

Ford Ranger Stormtrak masuk pasaran Malaysia – 200 unit sahaja, RM182k

SELEPAS dilancarkan di Thailand pada April tahun lalu, Ford Ranger StormTrak kini tiba di Malaysia dengan harga jualan bermula dari RM181,888.

Untuk perbandingan, harga jualan Ranger StormTrak di Thailand bermula dari 1,264,000 baht atau RM161,195 mengikut kadar pertukaran semasa.

Pada bahagian luaran, Ranger StormTrak boleh dibezakan dengan Ranger WildTrak melalui sepasang lampu LED tiga poin pada bahagian depan, serta perincian Race Red pada bampar hadapan, logo StormTrak dan rim aloi berukuran 20 inci.

Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu Arctic White, Meteor Grey dan Absolute Black.

Di dalam, anda akan menemui jahitan kontras berwarna Race Red dan logo StormTrak pada tempat duduk dan papan pemuka, kemasan Suede Miko dan tombol gear e-shifter.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk kluster instrumen digital berukuran 8.0 inci, skrin sentuh 12 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar dan Park Assist 2.0.

Naik taraf yang dibawakan oleh varian ini tidak terhad kepada aspek visual sahaja kerana terdapat juga beberapa ciri berguna yang disertakan.

Ini termasuk sistem rak fleksibel (seperti yang terdapat pada Ranger Platinum) dan rel bumbung dengan bar boleh ayun. Menurut Ford, rak tersebut boleh menampung muatan dengan berat sehingga 80 kg (dinamik) dan 250 kg (statik).

Selain itu, Ranger StormTrak juga didatangkan dengan sistem pencahayaan zon yang berfungsi untuk mencerahkan lagi sekeliling badan trak pikap ini.

Seperti WildTrak, varian baharu ini dikuasakan oleh enjin diesel 2.0-liter BiTurbo dengan kuasa sebanyak 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm antara 1,750 hingga 2,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem pacun empat roda.

Ranger StormTrak boleh ditempah secara eksklusif dalam talian, dengan hanya 200 unit ditawarkan untuk pasaran tempatan. Pelanggan yang membuat tempahan akan menerima jaket windbreaker eksklusif semasa sesi penyerahan kenderaan.

SDAC-Ford jual 8,858 unit Ranger dan Everest pada 2023

SIME Darby Auto Connexion-Ford (SDAC-Ford) telah mengumumkan prestasi jualannya bagi tahun 2023 di mana ia berjaya memecahkan rekod dengan 8,858 unit Ford Ranger dan Everest terjual sepanjang tahun lalu.

Menurut SDAC-Ford, pencapaian itu membuktikan prestasi kukuh jenama Ford pada 2023 dan sekali gus memantapkan kedudukannya dalam industri automotif negara.

Satu faktor penyumbang penting kepada kejayaan syarikat ialah perkembangan rangkaian pengedar SDAC-Ford untuk menambah baik pengalaman servis Ford.

Pada tahun lepas, syarikat telah menyempurnakan upacara pecah tanah bagi premis pengedar Ford Signature bernilai RM12 juta yang terletak di Jalan Baru, Seberang Prai.

Kemudahan bertaraf 3S serba canggih ini mempunyai kawasan seluas 46,000 kaki persegi, menampilkan identiti korporat Ford Signature dan menyediakan 16 ruang servis dan empat ruang pameran kenderaan. Ia akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir suku kedua tahun ini.

Selain itu, SDAC-Ford turut memperluaskan kehadirannya di Malaysia Timur. Di Sabah, syarikat itu telah melancarkan dua pusat pengedar utama iaitu Ford Kota Kinabalu (Inanam) dan Ford Kota Kinabalu (Penampang).

Di Sarawak pula, SDAC-Ford membuka Ford Kota Samarahan pada Oktober 2023 bagi terus mengukuhkan kedudukannya di negeri itu.

SDAC-Ford kini mempunyai 38 cawangan pengedar di seluruh negara, dengan sembilan daripadanya terletak di Malaysia Timur.

“Kami amat berbangga dengan kemajuan yang kami capai tahun lepas, yang sesungguhnya merupakan kejayaan hebat bagi SDAC-Ford. Ini jelas membuktikan daya tarikan kenderaan Ford yang memenangi anugerah, disokong oleh kesungguhan dan kegigihan pasukan kami dan sokongan tidak berbelah bagi para pelanggan,” kata Turse Zuhair, Pengarah Urusan, SDAC-Ford.

“Sambil kami bersiap sedia menempuh satu lagi tahun cemerlang, kami yakin bahawa Ford akan terus mempelopori pasaran, sambil kami memenuhi komitmen terhadap kecemerlangan dan memberikan tahap kepuasan yang lebih tinggi kepada pelanggan,” tambahnya.

Ford Ranger Platinum gabung kemewahan dan praktikaliti

Pada awal-awal dahulu, trak pikap sering digunakan untuk urusan kerja seperti membawa muatan besar atau mengharungi laluan mencabar.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai yang menjadikan trak pikap sebagai kenderaan pilihan bukan sahaja untuk kegunaan harian tetapi juga untuk memenuhi gaya hidup mereka pada hujung minggu.

Menyedari perubahan trend ini, pengeluar-pengeluar mula menawarkan varian-varian baharu yang menggabungkan kemewahan dengan praktikaliti serta ketahanan sebuah trak pikap.

Salah satu daripada pengeluar tersebut adalah Ford, yang telah melancarkan varian baharu Ranger ke pasaran tempatan iaitu Ford Ranger Platinum.

Diposisikan di antara varian WildTrak dan Raptor, Ranger Platinum tampil dengan pelbagai elemen bertaraf premium yang menjadikan ia lebih menonjol di jalan raya.

Ini termasuk lampu LED matrix, gril yang direka semula dan rim aloi berukuran 20 inci dalam kemasan dwi tona. Tulisan PLATINUM pada bahagian bonet dan tailgate membezakan ia dengan varian-varian yang lain.

Di dalam, suasana mewah dapat dilihat dan dirasakan menerusi kehadiran upholsteri kulit dengan corak jahitan yang menyerlah, lambang PLATINUM pada tempat duduk dan kemasan kayu pada papan pemuka.

Untuk keselesaan penumpang, kerusi pemandu dan penumpang hadapan dilengkapi dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan pelarasan 10 hala. Tidak cukup dengan itu, kerusi pemandu juga mempunyai fungsi memori.

Sistem infohibur boleh diakses menerusi panel instrument digital berukuran 12.4 inci atau skrin sentuh potret 12 inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto wayarles.

Mereka yang gemar mendengar muzik pasti akan terhibur setiap kali menaiki Ranger Platinum kerana ia didatangkan dengan sistem audio Bang & Olufsen dengan lapan pembesar suara.

Tidak dilupakan juga, dari aspek praktikaliti, Ranger Platinum membawakan dua ciri baharu yang berguna iaitu power roller shutter dan Flexible Rack System.

Kuasa dibekalkan oleh enjin 2.0 liter Bi-Turbo diesel yang menghasilkan 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm dari 1,750 hingga 2,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem pacuan empat roda.

Walaupun tampil mewah, keupayaan Ranger Platinum sebagai sebuah trak pikap tidak boleh dipertikaikan dengan kapasiti muatan maksimum 1,000 kg dan kapasiti tunda sehingga 3,500 kg.

Bukan itu sahaja, ia mempunyai sudut pendekatan 30 darjah, sudut pelepasan 25.6 darjah dan boleh mengharungi air setinggi 800 mm.

Ford Ranger Platinum dijual pada harga RM183,888 dan didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima tahun atau 160,00 km.

Pelanggan juga boleh memilih untuk melanjutkan waranti kepada enam atau tujuh tahun atau sehingga 40,000 km dengan pakej waranti lanjutan Premium Care (EWP).

Ford Ranger Raptor baharu bakal dilancarkan pada 7 Oktober ini

Penantian peminat Ford Ranger Raptor generasi baharu bakal berakhir apabila pengedar rasmi Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion mengesahkan bahawa model itu akan dilancarkan pada 7 Oktober ini.

Apa yang menarik, trak pikap prestasi tinggi itu akan membuat kemunculannya di litar Baja khas di perkarangan Litar Antarabangsa Sepang.

Poster teaser pelancaran Ranger Raptor

Bukan itu sahaja, orang ramai, pelanggan Ford dan peminat Ranger khususnya dialu-alukan untuk mendaftar di laman sesawang SDAC-Ford Malaysia untuk mendapat jemputan eksklusif ke acara pelancaran yang akan berlangsung selama tiga hari hingga 9 Oktober 2022.

Mereka yang menerima jemputan tersebut akan menjadi antara yang pertama di Malaysia untuk menyaksikan Ranger Raptor generasi baharu secara langsung.

Mereka juga akan berpeluang untuk melihat trak pikap berkenaan dengan lebih dekat sambil diberikan taklimat serta memandu ujinya di dalam laluan trek yang telah disediakan.

Selain itu, model-model baharu Ford yang baru dilancarkan seperti barisan Ranger dan Everest juga turut akan dipamerkan dan disediakan untuk pandu uji kepada yang berminat.

Spesifikasi Ranger Raptor baharu masih belum didedahkan namun ia dijangka hadir dengan enjin EcoBoost 3.0-liter twin-turbo V6 baharu yang menghasilkan 397 PS dan 583 Nm, serta transmisi automatik 10 kelajuan.

Terdapat tujuh mod pemanduan iaitu Normal, Sport, Slippery, Rock Crawl, Sand, Mud/Ruts dan juga Baja. Penggunaan injap aktif pada sistem ekzos pula membolehkan pemandu memilih daripada empat profil bunyi iaitu Quite, Normal, Sport dan Baja.

Sistem suspensi Ranger Raptor juga telah dipertingkatkan dengan peredam adaptif FOX Live Valve 2.5 inci yang menggunakan minyak Teflon bagi mengurangkan geseran sebanyak 50 peratus berbanding sebelum ini.

Ford Ranger Wildtrak Sport dengan pembaharuan luar dan dalam, lebih hensem! Bermula RM158k

FORD telah memperkenalkan Ranger Wildtrak Sport iaitu satu edisi khas dengan harga bermula RM158,388 (atas jalan, tanpa insurans) di Semenanjung Malaysia.

Ini menjadikan Wildtrak sebagai varian permulaan, bermakna trak pikap dual-cab itu kini mendapat enjin 2.0-liter diesel biturbo berkuasa 213PS dan 500Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan.

Apa yang baharu untuk Wildtrak 2021? Di luar, terdapat gril rekaan baharu, cermin sisi dengan warna Ebony Black, pemegang pintu dan tailgate, serta rim aloi 18-inci dengan warna hitam.

Sementara itu bahagian dalam diberikan scuff plate baharu di bahagian sisi dengan tulisan ‘RANGER’, tempat duduk kulit, serta stereng dengan jahitan kontra.

Ciri keselamatan turut diberi peningkatan, dimana Ford Ranger Wildtrak Sport ini dilengkapi Autonomous Emergency Braking (AEB), Forward Collision Warning dan Lane Departure Warning and Assist.

Ciri keselamatan standard sedia ada termasuklah enam beg udara, penggera tali pinggang depan dan belakang, Traction Control, Stability Control, Trailer Sway Control, Hill Descent Control, Hill Start Control, pengesan undur, ISOFIX, dan Mykey.

Ranger Wildtrak Sport turut didatangkan dengan ciri kemudahan seperti tiga port USB, soket 12-volt di depan, serta soket AC 230-volt 150 watt.

Sebagai tambahan, anda boleh miliki Ford Ranger baharu ini dengan pakej tint (RM2,700) dan dashcam (RM1,199).

Dua warna ditawarkan iaitu Saber (seperti dalam gambar) dan Absolute Black.