Tag Archives: simulasi

EV Honda bakal tampilkan bunyi enjin kereta ikonik S2000, NSX, serta HondaJet!

Pemanduan sesebuah kenderaan elektrik (EV) yang terlalu senyap dan lancar tanpa sebarang gegaran mekanikal itu mungkin tidak sesuai untuk semua orang, lebih-lebih lagi mereka yang berjiwa olskool.

Jadi, Honda mahu memastikan model EV mereka akan datang mempunyai ciri dan pengalaman pemanduan yang unik.

Bertempat di 0 Tech Meeting 2024 yang berlangsung baru-baru ini, Honda memperlihatkan konsep pemanduan bersimulasi yang mampu meniru karakteristik model-model ikonik berprestasi tinggi jenama itu.

Antaranya ialah generasi pertama Honda NSX, hot hatch Civic Type R, roadster S2000, jentera F1, Honda CRX serta tidak ketinggalan jet peribadi HondaJet!

Selain memaparkan panel meter mengikut tema jentera yang dipilih, sistem Honda e Digital UX Concept ini boleh mensimulasikan not enjin model-model yang disebutkan tadi.

Peminat deruman enjin VTEC yang nyaring pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba ciri ini apabila ia ditawarkan kelak.

Honda juga akan menggunakan sistem gegaran dalam kabin untuk menghasilkan pengalaman pemanduan seakan kereta berenjin pembakaran dalaman.

Menurut laman The Drive, selain daripada paparan tema meter panel dan runut bunyi enjin, Honda juga sedang bereksperimen untuk menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh, termasuklah memperkenalkan talaan yang berbeza pada roda stereng, pemetaan pedal pendikit serta ketinggian sistem suspensi.

Tidak ketinggalan, ciri penukaran gear bersimulasi menggunakan paddle shifter seperti yang telah wujud pada model Hyundai Ioniq 5 N.

Jalan Batang Kali-Genting Highlands bakal muncul dalam Assetto Corsa

BUAT enthusiasts atau pemandu tegar di Malaysia, beberapa laluan sering menjadi pilihan seperti Kuala Kubu Bharu, Sg. Koyan menuju Cameron Highlands, Ulu Yam, dan Batang Kali menuju Genting Highlands.

Tidak lama lagi, cara untuk ‘menikmati’ jalan-jalan ini tidak akan terhad kepada memandu kereta sebenar sahaja, sebaliknya boleh dibuat dari rumah sahaja. Ini kerana ‘litar-litar’ ini akan direalisasikan dalam permainan simulasi Assetto Corsa.

Dibangunkan oleh AntuDusun melalui Project Kaido, mereka berkongsi rekaan-rekaan mereka ke laman Facebook Malaysian Touge Simracing dan menyenaraikan lokasi-lokasi popular seperti Simpang Pulai, Sumpitan, dan Ulu Yam.

Terbaharu, mereka menayangkan video ‘litar’ terbaharu iaitu laluan Batang Kali-Genting Highlands atau juga dikenali sebagai Ulu Yam.

Selain bentuk dan selekoh jalan yang disimulasikan sebaik mungkin, perincian turut ditambah seperti papan-papan tanda, latar belakang gunung-ganang, garisan kuning jalan, malah lengkap dengan sekatan jalan raya (SJR) serta pondok polis!

Jangan lupa perlahankan kereta anda di sini, barulah real, bukan?

Bagi kami, Project Kaido bukan sahaja satu platform terbaik untuk menyerlahkan bakat pereka grafik Malaysia, malah ia akan menjadikan sesi pemanduan hujung minggu lebih mudah dan selamat.

Tidak semestinya kita perlu memandu keluar kereta, lebih-lebih lagi dengan meningkatnya insiden kemalangan di Litar Ulu Yamburgring sejak akhir-akhir ini.

Selain itu, tunjukkan sokongan anda dengan melanggan kepada pautan Patreon mereka dengan bayaran hanya RM12. Semoga mereka boleh membawakan lebih banyak laluan dan ‘litar’ ke dunia simulasi Assetto Corsa di masa depan.